Ahad, 12 Mei 2013

Polis, SPR Digesa Ambil Tindakan Tegas Terhadap Anwar

KUALA LUMPUR: Polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertindak tegas terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganjurkan siri perhimpunan bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin berkata ini kerana tindakan Anwar itu adalah penghinaan kepada rakyat Malaysia yang memilih Barisan Nasional (BN) untuk terus berkuasa.


"SPR perlu menyaman Anwar dan polis perlu mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada terhadap Anwar kerana terus mempertikai keputusan PRU13.

"Cara yang dia (Anwar) buat sekarang adalah menghina dan mengkhianati rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Wacana Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah' anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara pada Ahad.

Pakatan pembangkang mengadakan perhimpunan membantah keputusan PRU13 di Stadium Kelana Jaya, Rabu lepas, semalam di Pulau Pinang, dan hari ini dilapor akan berbuat demikian di Ipoh.

Zulkifli, yang juga bekas Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, berkata siasatan suruhanjaya khas berkaitan dalang insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah perlu disegerakan bagi mengheret pihak terbabit ke muka pengadilan.

Beliau berkata ini penting kerana terdapat dakwaan pemimpin pembangkang terbabit dalam isu insiden itu, yang mengorbankan lapan anggota polis dan dua anggota tentera terkorban selepas bertempur dengan musuh. BERNAMA

Tiada ulasan: