Selasa, 7 Mei 2013

Faktor Mukhriz MB Tarik Pengundi Muda, Atas Pagar

ALOR SETAR: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam sebelum hari pengundian bahawa Datuk Mukhriz Mahathir akan menjadi Menteri Besar Kedah jika Barisan Nasional (BN) menawan semula negeri ini dilihat menjadi faktor penting kepada kejayaan BN merampas semula Kedah.

Ia dikatakan menjadi tarikan kepada pengundi muda, atas pagar dan pengundi dari luar untuk memberi sokongan kepada BN kerana yakin terhadap kewibawaan Mukhriz sebagai Menteri Besar yang baharu.

Penganalisis politik, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata pengumuman saat akhir Najib itu menjadi 'bomb issue' yang menarik sokongan pengundi untuk memberikan semula Kedah kepada BN.

"Orang Kedah sebelum ini tak pasti siapa Menteri Besar. Apabila diumumkan, orang muda dan belia yang sememangnya mempunyai keyakinan terhadap Mukhriz beralih sokongan kepada BN untuk mentadbir semula negeri Kedah," katanya.

Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa UUM itu berkata ramai yang mengakui BN membuat pilihan terbaik apabila meletakkan Mukhriz bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjadi Menteri Besar jika BN menang.

"Ini merupakan kehendak rakyat, bukan parti. Jika PAS pun, rakyat hendakkan Menteri Besar yang muda tetapi nampak seperti orang lama (bekas Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak) masih mahu kekal," katanya.

Mohd Azizuddin berkata faktor Najib itu sendiri menjadi isu yang kuat di Kedah di kalangan orang-orang Melayu, yang melibatkan lebih 75 peratus penduduk di negeri ini, walaupun tidak begitu menjadi dalam kalangan masyarakat Cina.

"Agenda tranformasi Perdana Menteri diterima baik oleh rakyat walaupun tak sepenuhnya. Orang Cina juga menerima baik transformasi itu tetapi masih menolak BN," katanya.

Pada pilihan raya umum semalam, BN menang 22 kerusi DUN berbanding PAS (8), PKR (4) dan DAP (2).

Selain itu, faktor lain yang menyebabkan BN kembali menjadi pilihan adalah kerana kegagalan kerajaan negeri sebelum ini yang diterajui PAS dalam membawa pembangunan yang dijanjikan sebelum ini selain perbalahan sesama sendiri pemimpin parti yang membentuk kerajaan negeri sebelum ini.

"Kerajaan negeri banyak kelemahan. Rakyat bosan dengan masalah dalam parti pembangkang dan PAS tak perform, maka mereka beralih semula kepada BN. Mereka lebih tertarik kepada BN.

"PAS asyik bergaduh selepas memerintah negeri ini. Ekonomi tak bagus, pembangunan tak ada. Pelaburan menurun. BN pula dilihat cuba bawa pelaburan dan pembangunan," katanya.

Gandingan pemimpin lama dan baharu iaitu Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Pengerusi BN negeri dan Mukhriz sebagai Timbalannya sejak Januari 2011 turut membantu memperbaiki prestasi BN di Kedah.

Walaupun Mukhriz yang menjadi Menteri Besar tetapi peranan Ahmad Bashah, yang mempertahankan kerusi DUN Bakar Bata pada PRU kali ini, dalam membolehkan BN menang kembali di Kedah tidak boleh dipertikaikan.

Selepas BN dan Umno kalah teruk pada PRU 2008, Umno Kedah menjadi lesu sehinggakan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah diberikan kepada orang luar, Naib Presiden Umno Datuk Mohd Shafie Apdal, yang berasal dari Sabah.

Selepas Bashah dilantik memegang kedua-dua jawatan itu pada awal tahun 2011, dan dibantu oleh Mukhriz, Umno Kedah berubah sama sekali dan kemuncaknya semalam apabila kembali menawan Kedah. - BERNAMA

Tiada ulasan: