Dalam sidang medianya di sebuah hotel di sini, Azlan, 61, berkata kenyataannya pada 8 Mac lalu adalah akibat terpengaruh dengan hasutan serta desakan beberapa individu.
Beliau turut menarik balik permohonan maaf kepada Anwar dan keluarga ketua pembangkang itu sebelum ini.
“Pelakuan liwat Anwar ke atas anak saya adalah benar dan bukan satu konspirasi politik untuk menjatuhkannya.
“Saya sedar sudah membuat kesilapan dengan mengkhianati anak saya dan berharap belum terlambat untuk saya memperbetulkan kesilapan ini dengan memohon maaf kepada anak saya, keluarga terdekat serta rakan-rakan.
“Kami berdua (Saiful) juga pernah bersumpah laknat di Masjid Wilayah pada 2008 dan sebagai bapa saya tidak boleh mengkhianati sumpah itu kerana saya perlu takut Allah daripada manusia,” katanya yang ditemani seorang rakan ketika sidang media itu.
Azlan berkata, keputusan menarik balik kenyataan itu dibuat kerana insaf dan sedar kesalahan dilakukannya tanpa desakan daripada mana-mana pihak.
“Saya lakukan ini demi kepentingan pembelaan Saiful Bukhari. Saya kini kembali di belakangnya dan keluarga serta akan terus membela kes anak saya hingga ke peringkat Mahkamah Rayuan.
“Tindakan saya sebelum ini adalah kesilapan besar kerana selama ini saya membela anak saya, tiba-tiba saya mengkhianati sumpah beliau,” katanya.
Ditanya mengapa membuat kenyataan dalam tempoh beberapa hari sebelum pilihan raya, Azlan berkata ia hanyalah kebetulan seperti kenyataan pada 8 Mac lalu yang hampir dengan hari pembubaran Parlimen.
Azlan juga mengumumkan keluar daripada PKR berkuat kuasa serta-merta dan menegaskan tidak akan menganggotai mana-mana parti politik lain selepas ini.
Sementara itu, Mohd Saiful Bukhari dalam laman sosial Twitternya berkata, beliau akan terus doa, bersabar dan istiqamah selain menegaskan wang tidak dapat menghapuskan kebenaran.
“Berkat doa, sabar dan istiqamah. Jika bapa jujur dan ikhlas, syukur Alhamdulillah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan