Selasa, 28 Mei 2013

PM Salah Pilih Penasihat Pilihan Raya - Daim



KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan kesilapan dengan memilih penasihat yang salah hingga menyebabkan kerugian kepada parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Selain itu menurut Daim, satu lagi penyebab utama kepada kekalahan BN ialah berkaitan masalah dalaman parti itu sendiri.

Daim berkata demikian dalam satu temu bual bersama China Press. Artikel berkenaan turut dimuat naik ke dalam blog wartawan veteran Datuk Abdul Kadir Jasin.


Temu bual itu turut diterbitkan semula dalam beberapa portal berita.

Selain itu Daim yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata Najib terlalu mengharapkan populariti peribadinya bagi membantu BN mendapatkan kembali majoriti dua per tiga kerusi Parlimen yang hilang pada tahun 2008.

"Ini adalah pilihan raya parlimen, bukan pilihan raya presiden.

"Penasihat PM harus dipecat. Jika anda kaitkan undi BN sebagai undi untuk Najib, maka keputusan BN yang lemah juga akan memberi kesan kepadanya.

"Memilih kerajaan adalah perkara yang serius, jadi tinggalkan penasihat badut ini dan jangan ikut permainannya," kata Daim.

Menerusi temu bual itu juga, Daim turut menyalahkan BN yang disifatkan gagal menggunakan sumbernya dalam usaha menawan kembali kerusi di kawasan yang majoritinya adalah pengundi Cina.

"Kawasan majoriti Cina sukar untuk ditawan dan BN tidak sepatutnya membuang masa serta wang di kawasan berkenaan tetapi perlu memberi tumpuan di kawasan yang mereka kalah dengan majoriti tipis pada 2008. BN juga sepatutnya perkukuhkan penguasaan di kerusi yang mereka menangi pada PRU-12.

"Terlalu banyak masa dan wang disia-sia di kawasan bandar yang keputusannya sudah boleh dijangka," kata Daim bagi mengulas mengenai perbelanjaan besar untuk majlis makan malam percuma dan konsert.

Tambah Daim, BN sepatutnya memberi tumpuan kepada isu yang dekat di hati rakyat, seperti rasuah, urus tadbir yang baik, keselamatan, pendidikan, kadar inflasi, kemiskinan bandar dan graduan muda.

Tiada ulasan: