Tiada seorang pun daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dilihat hadir pada majlis angkat sumpah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sebagai Menteri Besar di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, pagi semalam.
Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, ketika dihubungi berkata, mereka memboikot majlis itu kerana tidak mengiktiraf Zambry sebagai Menteri Besar kerana mendakwa ADUN Pangkor itu terbabit dalam ‘menggulingkan kerajaan rakyat’ selepas 11 bulan pakatan pembangkang memerintah negeri itu pada Februari 2009.
“Pelantikan beliau juga bertentangan dengan kehendak majoriti rakyat kerana berdasarkan undi (popular) calon pakatan memperoleh 613,490 undi, lebih 21 peratus berbanding 507,123 undi diperoleh BN, jadi atas dua sebab ini kami tidak rasa perlu hadir pada majlis angkat sumpah itu,” katanya.
Setiausaha BN Perak, Datuk Khusairi Talib, bagaimanapun membidas pendirian pakatan pembangkang dan menyelar perbuatan mereka yang tidak menghormati Kesultanan Perak dengan sengaja tidak hadir majlis atas jemputan Pejabat Istana Sultan Perak itu.
“DAP sebenarnya faham pembentukan kerajaan negeri berdasarkan bilangan kerusi dimenangi dan bukannya undi popular, tetapi sengaja buat-buat tidak faham dan ini jelas menunjukkan sikap negatif pemimpin pembangkang.
“Ini kali kedua mereka memboikot majlis angkat sumpah selepas melakukannya pada 2009 sedangkan pada 2008 ketika Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat sumpah Menteri Besar, sebahagian besar ADUN BN hadir sebagai menghormati jemputan Istana, walaupun ketika itu kami masih bersedih dengan kekalahan BN,” katanya.
Zambry pula pada sidang media di kediaman rasmi di sini sejurus mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar berkata, beliau tidak mengetahui sama ada ADUN pembangkang memboikot majlis itu atau tidak, kerana difahamkan mereka turut menerima jemputan ke majlis berkenaan.
“Berdasarkan pengumuman mereka (pembangkang) semalam (kelmarin), mereka mengatakan untuk menerima keputusan yang dibuat rakyat Perak dalam pilihan raya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan