Selasa, 7 Mei 2013

Pemilihan Sebagai MB Kelantan Atas Permintaan Nik Aziz - Ahmad Yakob

KOTA BARU: Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yakob berkata, pemilihan beliau untuk memegang jawatan itu adalah atas permintaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ahmad berkata, permintaan Nik Aziz itu turut mendapat restu daripada pimpinan PAS Pusat.

"(Pemilihan) sebenarnya sebelum pilihan raya, tetapi saya beri peluang kepada Tok Guru (gelaran Nik Aziz) supaya memilih mana-mana (pihak), sebab saya suka pada mana-mana sahabat (di kalangan pemimpin PAS) untuk menjadi Menteri Besar.


"Tetapi bagi Tok Guru, dia mahu satu perkataan sahaja... tidak mahu lebih daripada itu. Jadi, apabila tidak ada pilihan dan telah dipersetujui oleh PAS Pusat, saya secara sukarela menerima tanggungjawab yang tinggi dan besar ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kelantan di hadapan Sultan Muhammad V Tengku Muhamad Faris Petra Sultan Ismail di Istana Negeri Kubang Kerian dekat sini, Isnin.

Perlantikan Ahmad sebagai Menteri Besar sekali gus mengakhiri pimpinan Nik Aziz di kerajaan negeri selama lebih 22 tahun sejak tahun 1990.

Ahmad berkata, pemilihan tersebut bukan sahaja memberi kejutan kepada seluruh rakyat Kelantan, tetapi kepada beliau sendiri.

"Ini terutama antara saya dengan Tok Guru yang begitu jauh dari segi keilmuan, kewarakan dan sebagainya... tidak dapat ditandingi lagi. Bagaimanapun, perkara ini sebagai Menteri Besar adalah tanggungjawab dan amanah," katanya.

Beliau menambah, ia dapat dilaksanakan secara elektif sebagaimana yang diamalkan oleh Nik Aziz dan kerjasama teman-teman seperjuangan yang mampu untuk membuat sesuatu atas dasar membangun bersama Islam.

"Ia terutama mengikut apa yang telah kita tawarkan kepada rakyat pada pilihan raya iaitu negeri berasaskan keberkatan, kemakmuran dan kebajikan," katanya.

Ditanya mengenai perlantikan itu akan menjejaskan pimpinan PAS negeri, Ahmad berkata, ia merupakan suatu kejutan kepada semua pada peringkat pertama, tetapi perlu menerima hakikatnya Nik Aziz sentiasa uzur atas faktor usia.

Bagaimanapun Ahmad berkata, beliau akan meneruskan visi dan misi yang diperjuangkan oleh Nik Aziz yang berpengalaman sebagai Menteri Besar selama 23 tahun.

"Dengan itulah, kita tak akan buat perubahan, tetapi pembaharuan dengan keupayaan pada exco-exco baru yang kita akan lantik," katanya.

Tiada ulasan: