Rabu, 22 Mei 2013

SKMM Minta Orang Ramai Awasi E-Mel Penipuan Guna Identiti Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah dimaklumkan akhir-akhir ini bahawa insiden 'e-mel penipuan Nigeria' yang dahulunya pernah diterima orang ramai kini semakin berleluasa.

Ketua Komunikasi Strategik SKMM Sheikh Raffie Abd Rahman berkata namun kali ini e-mel penipuan berkenaan menggunakan nama rakyat Malaysia atau nama tokoh dari Malaysia.


Beliau berkata modus operandi penipuan termasuklah menggunakan alamat e-mel palsu, menceritakan tentang sesuatu musibah, dan seterusnya merayu bantuan kewangan dan kemudiannya cara-cara mengkreditkan wang ke suatu akaun yang palsu.

"Penipuan ini bukan sahaja menggunakan nama-nama orang Malaysia yang biasa didengar oleh penerima, tetapi juga nama-nama personaliti politik atau isteri mereka.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai e-mel seperti ini. Ini suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Penipuan ini menggunakan akaun e-mel dan alamat palsu. Jadi, jangan terpedaya," katanya.

Orang ramai juga diperingatkan agar tidak memapar, memapar semula atau memajukan e-mel penipuan sebegini kerana tindakan itu boleh menjadi suatu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -BERNAMA

Tiada ulasan: