Ahad, 5 Mei 2013

Siapa Menang Atau Kalah, Terimalah Dengan Baik - Ibrahim Ali

PASIR MAS: Calon Bebas Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berharap agar semua pihak dapat menerima keputusan undi dengan baik tanpa mengira siapa pun yang akan menang atau kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, harapan itu perlu ditegaskan apabila saat peti undi ditutup, pengiraan undi dikira dan kemudiannya pengumuman keputusan pilihan raya akan dibuat di seluruh negara.

"Saya harap apa sahaja keputusan, kita menerima dengan baik siapa menang siapa kalah. Janganlah ada golongan yang melakukan tindakan-tindakan yang tidak sopan, provokasi sehingga berlaku seperti di Arab Spring yang berlaku huru-hara.

"Selepas pilihan raya, kita tak nak ia berlaku... janganlah sesekali terlalu emosi. Saya rasa selepas keputusan kita dengar, kita boleh bersorak, bertepuk tangan tetapi jangan melompat sana melompat sini sehingga ke tengah jalan raya, mengganggu kenderaan lalu lintas dan membuat pihak lain sakit hati. Pertembungan ini boleh menghancurkan negara kita jika tidak dijaga baik-baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuang undi di Maktab Vokasional Pasir Mas, Bunut Susu di sini, Ahad.

Ibrahim tiba untuk mengundi pada pukul 9.15 pagi dan selesai membuat pengundian lima minit selepas itu pada pukul 9.20 pagi.

Ibrahim yang juga penyandang kerusi Parlimen Pasir Mas berkata, beliau turut berharap agar semua pemimpin parti politik sama ada Barisan Nasional (BN) juga Pakatan Rakyat tidak melakukan sesuatu yang tidak baik.

"Didiklah penyokong-penyokong mereka supaya menjadi rakyat yang bertanggungjawab. Kita hendak lihat selepas sahaja keputusan pilihan raya selesai, mana-mana pihak yang menang akan tubuh kerajaan dan keadaan kembali tenang.

"Kehidupan mesti diteruskan dan kembali bersatu sebagai bangsa Malaysia untuk masa depan lebih cerah dan gemilang," katanya.

Mengenai hari pengundian pada Ahad, Ibrahim berkata, ramai yang sudah keluar sejak awal lagi untuk mengundi di kawasan Parlimen beliau.

"Ini satu perkara yang baik dari segi demokrasi dan rakyat betul-betul memahami peranan mereka dalam mendokong negara yang mengamalkan konsep demokrasi berparlimen dan raja perlembagaan," katanya.

Tiada ulasan: