Jumaat, 3 Mei 2013

Saiful pertahan diri tayang sumpah laknat kali kedua di depan Kaabah

Petaling Jaya: Saiful Bukhari Azlan, 28, semalam terus mempertahankan dirinya sebagai mangsa liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menayangkan rakaman video sumpah laknat kedua yang dilakukannya di hadapan Kaabah di Makkah.

Saiful berkata, sumpah berkenaan dilakukannya ketika menunaikan umrah bersama arwah neneknya, April tahun lalu, bagi memohon petunjuk Allah dan melepaskan rasa sedih atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati Ketua Pembangkang itu tidak bersalah atas tuduhan liwat berkenaan.


Saiful yang juga bekas pembantu peribadi Anwar berkata, beliau pada mulanya tidak berniat untuk mendedahkan rakaman itu, namun apabila bapanya, Azlan Mat Lazim menarik semula tuduhan bahawa anaknya menjadi mangsa konspirasi politik untuk memfitnah Anwar, beliau memutuskan untuk mendedahkannya demi maruah diri dan keluarga.

“Sumpah laknat saya di hadapan Kaabah ini adalah benteng terkuat perjuangan saya sebagai seorang Islam, bagi membuktikan saya benar-benar diliwat Anwar dan membersihkan nama saya dan keluarga dari apa juga tohmahan yang tidak wajar.

“Saya yakin, sumpah laknat di hadapan Baitullah bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan dan dalam sejarah Islam pun, perkara begini amat serius.

“Saya juga bertanyakan kepada ulama mengenai kesan sumpah laknat ini dan mereka mengatakan, amatlah besar kesan dan akibatnya jika ia adalah dusta,” katanya pada sidang media di sini. Turut hadir, peguamnya, Zamri Idrus.

Rakaman video sumpah laknat oleh Saiful di hadapan Kaabah itu dipertontonkan di hadapan kira-kira 30 wakil media dan dimuat naik ke laman Youtube petang semalam.

Saiful sebelum ini pernah melakukan sumpah laknat yang sama di Masjid Wilayah Persekutuan pada 2008, yang turut ditemani bapanya.

Saiful turut mempersoalkan keengganan Anwar untuk bersumpah laknat menafikan tuduhan liwat berkenaan, termasuk tidak mahu memberi keterangan secara bersumpah ketika prosiding membela diri di mahkamah tahun lalu.

“Saya percaya, beliau (Anwar) tidak akan berani bersumpah walau di hadapan sesiapa atau di mana sekali pun. Beliau akan terus melarikan diri dan berdolak dalih dengan penafian kosong,” katanya.

Berhubung tindakan bapanya yang menarik semula kenyataan bahawa tuduhan liwat itu adalah untuk menjatuhkan Anwar, Saiful berkata, beliau amat terkejut dengan perkara itu kerana memikirkan bapanya tidak akan kembali mempertahankannya.

“Bapa saya menghubungi saya pagi semalam (kelmarin) dan berkata “Boy, papa dah tak tahan..papa nak kembali ke pangkal jalan” dan bapa saya nak buat pengakuan itu di khalayak ramai,” katanya.

Tiada ulasan: