Isnin, 13 Mei 2013

PAS punca PKR gagal peroleh majoriti kerusi

KUALA LUMPUR: Kegagalan PKR memperolehi kerusi majoriti pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) Ahad lalu dikatakan berpunca daripada sikap rakan kompenan Pakatan Rakyatnya sendiri, dakwa Azmizam Zaman Huri.
 
Ketua AMK Selangor itu berkata, ini kerana berikutan kedegilan PAS yang tetap mahu meletakkan calonnya di kerusi DUN Kota Damansara.
 
Malah, menurut Azmizam PKR pastikan akan menang mudah di kawasan itu jika PAS tidak berbuat demikian sekali gus membolehkan PKR memperoleh jumlah kerusi yang sama.
 
Keputusan PRU13 Ahad lalu menyaksikan PAS dan DAP masing-masing memperoleh 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PKR 14 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) 12 kerusi dan jika dilihat secara individu, tidak ada satupun parti politik memperolehi kerusi majoriti untuk memerintah.
 
Dengan ketiadaan majoriti itu, PAS, PKR dan DAP perlu membentuk sebuah kerajaan campuran di Selangor
 
“PKR seharusnya memenangi jumlah kerusi yang sama atau lebih jika merujuk kepada kerusi DUN Kota Damansara dan DUN Semenyih yang menunjukkan calon PKR tewas akibat pertembungan tiga penjuru yang salah satunya ditandingi PAS iaitu di Kota Damansara,” katanya dalam satu kenyataan.
 
Azmizam juga turut menegaskan bahawa kerusi Menteri Besar Selangor yang sehingga kini menjadi teka-teki tidak boleh bergantung kepada bilangan kerusi DUN sahaja seperti yang didakwa PAS sebelum ini.
 
Beliau turut menempelak PAS Selangor agar tidak mempertikaikan kerusi Menteri Besar Selangor sekaligus memberi ruang untuk parti itu memilih calonnya. 
 
Dalam pada itu, beliau juga turut mempersoalkan tindakan DAP memberi laluan kepada wakil PAS menjadi Menteri Besar di Perak pada 2008 meskipun DAP memenangi lebih banyak kerusi DUN atas semangat pakatan pembangkang.

Tiada ulasan: