Sabtu, 18 Mei 2013

Keputusan Perbuatan Mensabotaj Umno Pada PRU-13 Diketahui Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, apa jua keputusan atau bentuk hukuman berhubung perbuatan mensabotaj parti oleh anggota Umno pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dijangka diketahui minggu depan.

Katanya, siasatan mengenai aduan itu masih dijalankan.

"Lembaga Disiplin menerima 11 aduan sabotaj dan kita telah arahkan pihak penyiasat membuat siasatan rapi supaya kita dapat membuat keputusan dengan adil dan tidak menganiaya mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas perbuatan sabotaj oleh anggota Umno pada PRU-13.

Sebelum ini pada 18 April, Lembaga Disiplin Umno memaklumkan telah menerima beberapa aduan sabotaj dalam kalangan anggota parti menjelang pilihan raya.

Megat Najmuddin berkata, perbuatan sabotaj yang dilaporkan itu berlaku di peringkat bahagian di beberapa negeri termasuk Perak, Pahang, Kelantan dan Kedah, dengan kesalahan seperti berkempen untuk pembangkang, menghasut anggota Umno lain dan enggan membuka bilik gerakan pilihan raya.

"Bagaimanapun ini tidak membabitkan kesalahan anggota bertanding sebagai calon bebas atau menjadi penyokong dan pencadang bagi calon selain Umno. Mereka ini telah kita pecat," jelasnya.

Katanya, hukuman yang akan diputuskan bergantung kepada keseriusan perbuatan sabotaj yang dibuat.

Bagi PRU13, Umno telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dianggotai empat wakil Majlis Tertinggi Umno dan empat wakil Lembaga Disiplin parti bagi mempercepatkan proses membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman kepada mereka yang didapati bersalah mensabotaj atau melanggar disiplin parti.

Pada 22 April, Umno memecat 58 anggota serta-merta kerana bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-13.

Pada pilihan raya umum 2008, sebanyak 22 kes dari enam negeri dibawa ke Lembaga Disiplin Umno yang menyaksikan tiga anggota dipecat manakala enam digantung keanggotaan selama tiga tahun, dan seorang anggota diberi amaran keras kerana melanggar disiplin parti. -BERNAMA

Tiada ulasan: