Jumaat, 3 Oktober 2025

PAS Semakin Mendominasi, Kerajaan Madani Bergelut Kekalkan Sokongan: PRU16 Ujian Terbesar

SUASANA politik Malaysia kini berada diambang perubahan besar apabila Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semakin diasak tekanan, bukan sahaja dari dalam dewan, malah dari luar – dalam bentuk keresahan rakyat, kemerosotan keyakinan dan pertumbuhan sokongan kepada pembangkang, terutama PAS. Setelah hampir tiga tahun mentadbir Putrajaya di bawah panji Kerajaan Madani, tanda-tanda ketidakpuasan terhadap gabungan pemerintah kini semakin jelas. Janji-janji reformasi yang pernah menjadi sandaran sokongan rakyat pada PRU15, seperti pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penghapusan rasuah dan pengukuhan institusi, belum membuahkan hasil yang diyakini oleh masyarakat umum. Lebih meresahkan, masalah kos sara hidup yang terus membebani rakyat marhaen iaitu dari harga beras, ayam dan sayur sehinggalah kepada keperluan asas lain, yang dilihat tidak ditangani dengan pendekatan tegas dan berkesan. Kenyataan bahawa kerajaan ini dibentuk hasil kompromi politik pasca PRU15, setelah tiada parti mendapat majoriti, menjadi titik kelemahan struktur pemerintahannya. Gabungan pelbagai parti dengan ideologi berbeza, termasuk UMNO yang sebelum ini menjadi musuh ketat PH, menimbulkan tanda tanya terhadap prinsip perjuangan yang asal. Rakyat melihat bagaimana pemimpin UMNO yang berdepan kes mahkamah masih diberi jawatan tinggi dalam kerajaan, termasuk sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ini menjejaskan imej reformis yang dicanang oleh pemimpin utama kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah, terdapat dalam kalangan penyokong PH sendiri yang sudah secara terbuka menyuarakan ketidakpuasan dan kekecewaan mereka terhadap hala tuju kerajaan kini. Di tengah kekeliruan dan kekecewaan ini, PAS tampil sebagai satu-satunya parti yang kelihatan stabil, teratur dan konsisten dalam pendekatan politiknya. Parti yang dahulunya dilihat hanya kuat di kawasan pantai timur dan utara Semenanjung, kini dilihat semakin mengembangkan pengaruhnya secara strategik. PAS yang merupakan tunjang kepada Perikatan Nasional (PN) telah berjaya mencipta momentum besar sejak PRU15 dan beberapa pilihan raya negeri (PRN) yang menyusul. Parti itu kini menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah, malah menunjukkan prestasi kukuh di negeri seperti Perlis serta Pahang. Lebih menarik, dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar, PAS berjaya menonjolkan diri sebagai parti yang bersih daripada skandal, sederhana dari segi gaya hidup dan dekat dengan denyut nadi rakyat. PAS bukan sahaja dilihat sebagai parti agama, tetapi kini sebagai parti yang berprinsip, teratur dan bebas daripada kepentingan elit. Sementara itu, rakan sekutu PAS dalam PN iaitu BERSATU, kini dilihat semakin lemah dari segi struktur dalaman. Kepimpinan parti yang tidak stabil, pertikaian dalaman antara kem Muhyiddin dan beberapa tokoh lain serta skandal berkaitan pengurusan dana kerajaan seperti Jana Wibawa, menjejaskan imej dan kepercayaan awam terhadap parti itu. Akibatnya, PAS kini memikul peranan utama dalam PN, bukan sahaja sebagai “mesin undi”, tetapi sebagai wajah utama alternatif kepada Kerajaan Madani. Terdapat sumber menyatakan bahawa PAS kini bersiap sedia untuk meletakkan lebih daripada 112 calon Parlimen, iaitu jumlah minimum kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan secara sendiri. Jika ini menjadi kenyataan dan PAS berjaya memperoleh sokongan besar, ia bakal mencipta sejarah sebagai parti tunggal Melayu-Islam pertama yang mengemudi kerajaan pusat tanpa bergantung kepada gabungan pelbagai kaum seperti PH atau BN. Pertembungan pada PRU16 dijangka membentuk dua naratif besar yang saling bertentangan: Kerajaan Madani (PH-BN-GPS-GRS) akan menekankan kestabilan politik, perpaduan kaum, dasar ekonomi inklusif dan keterbukaan kepada pelaburan asing. PAS dan PN pula bakal menekankan nilai integriti, kepimpinan berlandaskan agama, kecekapan pentadbiran negeri serta ketegasan terhadap gejala sosial dan moral. Kedua-dua pendekatan ini punya kekuatan tersendiri, namun dalam konteks Malaysia yang kini berdepan krisis kos sara hidup dan kelesuan ekonomi rakyat, naratif moral dan sederhana seperti yang dibawa PAS semakin menarik perhatian golongan bawah dan pertengahan. Walaupun gelombang sokongan kepada PAS dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar amat jelas, parti ini masih perlu memecah tembok persepsi di kalangan pengundi bandar, kelas menengah dan bukan Melayu. Kebimbangan terhadap kecenderungan ekstremisme agama, ketidakupayaan mentadbir ekonomi makro serta pengurusan negeri seperti Kelantan, yang masih dibelenggu isu air dan infrastruktur, menjadi titik kelemahan yang perlu dijawab secara tuntas oleh PAS jika mahu diterima sebagai kerajaan pusat. Namun begitu, trend semasa menunjukkan sentimen “protes senyap” rakyat terhadap kerajaan sedia ada kini kian merebak dan ini membuka ruang yang luas kepada PAS untuk memperluas pengaruhnya. Justeru, PRU16 dijangka menjadi referendum rakyat terhadap tiga tahun pemerintahan Kerajaan Madani. Ia bukan sekadar pertandingan antara dua blok politik, tetapi perlawanan antara keyakinan dan kekecewaan, antara janji dan bukti serta antara harapan dan realiti. Jika trend semasa berterusan, dan PAS terus bergerak secara teratur, berstrategi serta inklusif dalam pendekatannya, tidak mustahil PAS bakal menjadi kuasa politik dominan pada PRU16, bahkan peneraju Putrajaya. Rakyat kini menilai lebih daripada sekadar manifesto. Mereka menilai siapa yang paling boleh dipercayai untuk membela nasib mereka dalam dunia yang semakin mencabar. Pilihan rakyat pada PRU16 bukan sekadar tentang siapa yang memerintah, tetapi siapa yang benar-benar memahami apa erti memimpin. – POJOK ND 1 Okt 2025

Mengapa Perlu Sumud Flotilla? Menjawab Persoalan Laluan Laut ke Gaza

KONFLIK Palestin-Israel telah berlarutan lebih tujuh dekad, namun penderitaan rakyat Gaza semakin meruncing, terutama selepas pengepungan ketat yang dikenakan Israel sejak tahun 2007. Dalam usaha untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan dan menzahirkan solidariti global, pelbagai cara telah digunakan, laluan darat, penghantaran udara dan juga misi kemanusiaan laut seperti Freedom Flotilla dan terkini, Sumud Flotilla. Persoalannya, mengapa masih perlu menghantar bantuan melalui laut, sedangkan laluan darat dan udara juga pernah digunakan? Jawapannya, bukan sekadar logistik, tetapi juga bersifat moral, politik dan kemanusiaan. Artikel ini menghuraikan keperluan mendesak bagi Sumud Flotilla dan mengapa ia tetap relevan serta penting walaupun terdapat alternatif lain. Secara teknikal, Gaza mempunyai dua pintu utama untuk keluar masuk iaitu Pintu Rafah (sempadan Mesir-Gaza) dan Pintu Erez (sempadan Israel-Gaza). Namun, kedua-dua pintu ini tidak beroperasi secara bebas. Israel mengawal Erez dan juga mengawal secara tidak langsung operasi Rafah melalui tekanan diplomatik dan sekatan teknikal. Mesir pula, meskipun sesama negara Arab, sering menutup Rafah atas alasan keselamatan dalam negerinya (terutama di Semenanjung Sinai) atau akibat tekanan politik antarabangsa. Walaupun konvoi darat pernah berjaya menembusi sempadan, contohnya, Viva Palestina yang diketuai George Galloway, banyak barangan tidak dibenarkan masuk oleh Israel. Barangan yang sering ditahan termasuk simen, alat ganti, mesin perubatan, dan peralatan komunikasi, semuanya atas alasan “boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan”, walaupun ia jelas bersifat kemanusiaan. Dengan bergantung kepada laluan darat yang dikawal penuh oleh pihak yang mengepung, ini memberi mesej bahawa Israel berhak menentukan siapa yang layak mendapat bantuan, suatu hak yang tidak sepatutnya diberikan kepada pihak yang sedang menindas. Israel mengawal sepenuhnya ruang udara Gaza. Tiada pesawat boleh terbang ke atau dari Gaza tanpa kebenaran Israel. Bahkan pesawat komersial atau bantuan yang cuba menghampiri akan dianggap ancaman keselamatan dan mungkin ditembak jatuh seperti amaran yang diberi kepada pesawat Turki dalam insiden Mavi Marmara 2010. Kadangkala bantuan udara digunakan, seperti yang dilakukan Jordan atau AS melalui dron atau penerbangan menjatuhkan bekalan, tetapi kapasiti penghantaran terlalu kecil dan tidak mencukupi untuk berjuta rakyat Gaza. Malah, banyak bantuan yang dijatuhkan tersasar ke laut atau kawasan yang tidak selamat. Ia tidak praktikal sebagai satu-satunya saluran bantuan. Menurut undang-undang antarabangsa, perairan Gaza ialah sebahagian daripada zon ekonomi rakyat Palestin. Namun, Israel telah mengenakan sekatan laut sejauh enam hingga 12 batu nautika, menghalang nelayan dan kapal bantuan daripada masuk. Sekatan ini tidak diiktiraf oleh banyak badan antarabangsa dan dianggap melanggar Konvensyen Geneva serta Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS). Dengan itu, pelayaran ke Gaza adalah usaha untuk menegaskan hak kedaulatan Palestin dan menolak normalisasi sekatan haram ini. Sumud Flotilla bukan sekadar membawa bekalan, ia membawa mesej. Ia menyatukan rakyat dari pelbagai negara, agama dan latar belakang yang sanggup mengambil risiko demi menegakkan hak asasi manusia. Misi ini menunjukkan kepada dunia bahawa penderitaan Gaza bukan isu politik semata-mata, tetapi isu kemanusiaan global. Dalam sejarah, pelayaran seperti ini telah membangkitkan kesedaran dunia, contohnya Mavi Marmara (2010). Serangan Israel terhadap kapal ini menyebabkan 10 aktivis Turki terbunuh, mencetuskan kecaman antarabangsa dan menekan Israel secara diplomatik. Jika kapal berjaya menembusi sekatan, ia boleh menjadi permulaan kepada pembukaan laluan laut yang sah dan bebas ke Gaza, satu-satunya laluan yang tidak dikawal sepenuhnya oleh pihak pengepung. Ini penting demi menjamin kebebasan logistik rakyat Gaza dalam jangka panjang. Berbeza dengan pendekatan ketenteraan atau diplomasi elit, Sumud Flotilla menggabungkan pendekatan aman (non-violence), kesukarelawanan dan aktivisme antarabangsa. Ia memberi tekanan moral kepada negara pengepung dan membuka ruang solidariti sesama masyarakat sivil global. Setiap misi laut menarik perhatian media antarabangsa. Ini memberi tekanan kepada kerajaan yang menyokong sekatan dan mempermalukan mereka di mata rakyat. Ia juga memaksa agensi antarabangsa seperti PBB, OIC dan Kesatuan Eropah menyatakan pendirian. Rakyat Gaza sudah lama terputus hubungan fizikal dan psikologi dengan dunia luar. Kedatangan flotilla membawa bukan sahaja makanan dan ubat, tetapi juga harapan, bahawa dunia masih peduli, bahawa ada suara yang sanggup berlayar ribuan batu untuk mereka. Sumud Flotilla bukanlah satu pilihan mudah. Ia berisiko. Ia mungkin disekat, ditahan atau diserang. Tetapi ia adalah satu-satunya usaha yang dapat menggabungkan bantuan praktikal, solidariti moral dan tekanan politik dalam satu tindakan kolektif yang berprinsip. Laluan darat dan udara, walaupun berguna dalam konteks tertentu, tetap bergantung kepada pihak pengepung, dan itu bertentangan dengan semangat pembebasan Palestin. Sumud Flotilla adalah manifestasi keberanian dan penegasan bahawa sekatan haram tidak boleh diterima, dan bahawa kemanusiaan tidak boleh disekat oleh sempadan ciptaan penjajah. – POJOK ND 30 Sept 2025

Pendedahan Maklumat Forensik: Tindakan Berani atau Pelanggaran Etika?

TINDAKAN Datuk Wan Saiful Wan Jan yang didakwa mendedahkan maklumat berkaitan siasatan forensik melibatkan kes video kontroversi yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mencetuskan perbahasan hangat di peringkat nasional. Perbahasan lebih kepada topik, sama ada pendedahan itu wajar disambut sebagai usaha ketelusan atau perlu dikenakan tindakan tatatertib atas pelanggaran undang-undang dan etika. Pendedahan tersebut dikatakan melibatkan butiran sulit siasatan, termasuk hasil analisis digital forensik. Isu ini bukan sahaja melibatkan reputasi individu, tetapi juga prinsip keadilan, integriti institusi penyiasatan dan hak untuk bersuara dalam kerangka demokrasi. Mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), sebarang pendedahan terhadap maklumat yang diklasifikasikan sebagai sulit tanpa kebenaran pihak berkuasa boleh dianggap sebagai jenayah, dan membawa hukuman penjara atau denda yang berat. Sekiranya maklumat yang didedahkan oleh Wan Saiful tergolong dalam kategori ini, tindakan undang-undang tidak dapat dielakkan. Selain itu, jika beliau mendedahkan maklumat tersebut ketika masih memegang jawatan rasmi, beliau juga tertakluk kepada kod etika penjawat awam atau Ahli Parlimen, yang mana pelanggarannya boleh menyebabkan tindakan tatatertib, termasuk penggantungan atau pemecatan. Pendedahan kepada umum berkaitan kes yang belum dibicarakan boleh melanggar prinsip sub judice, iaitu larangan untuk membincangkan perkara yang boleh mempengaruhi hasil siasatan atau perbicaraan mahkamah. Ini sejajar dengan prinsip asas perundangan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Di samping itu, meskipun ahli politik mempunyai hak bersuara, kebebasan bersuara bukanlah hak mutlak. Tindakan mendedahkan maklumat tanpa memastikan kesahihannya atau tanpa melalui saluran yang betul boleh memberi kesan negatif kepada individu yang terlibat serta institusi keadilan negara. Jika benar pendedahan dibuat atas dasar kepentingan awam, misalnya untuk mendedahkan manipulasi siasatan atau penyalahgunaan kuasa, tindakan itu boleh dianggap sebagai bentuk “whistleblowing”. Namun begitu, dalam konteks Malaysia, perlindungan terhadap pemberi maklumat masih terhad. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 mempunyai pelbagai kekangan, termasuk keperluan agar laporan dibuat melalui saluran dalaman yang ditetapkan. Ini menjadikan tindakan Wan Saiful berisiko, meskipun niatnya mungkin murni. Lebih membimbangkan, jika maklumat siasatan mula digunakan sebagai senjata politik, ia boleh mencipta preseden berbahaya, merosakkan kepercayaan awam terhadap institusi kehakiman dan penyiasatan seperti SPRM dan polis. Niat dan konteks pendedahan adalah penting. Sekiranya Wan Saiful bertindak atas prinsip kebertanggungjawaban untuk mendedahkan ketidakadilan, tindakannya mungkin dapat dipertahankan secara moral dan etika. Namun, sekiranya ia dilihat sebagai usaha untuk menjatuhkan lawan politik, mengalihkan perhatian daripada isu peribadi, atau meraih sokongan awam, maka ia boleh dianggap sebagai satu tindakan yang tidak beretika, dan harus ditangani secara serius. Politik Malaysia tidak asing dengan budaya pendedahan video, rakaman audio, dan dokumen bocor. Fenomena ini, jika tidak dikawal, boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan keluhuran undang-undang. Lebih membimbangkan, jika tiada tindakan tegas diambil terhadap penyalahgunaan maklumat sulit, budaya impunitas akan berakar, menjadikan maklumat sulit sebagai alat politik yang boleh dimanipulasi tanpa rasa tanggungjawab. Justeru, tindakan tatatertib wajar dipertimbangkan sekiranya, maklumat yang didedahkan adalah sulit dan diperoleh secara tidak sah; pendedahan melanggar undang-undang atau kod etika jawatan; tindakan itu dilakukan secara tidak bertanggungjawab dan merosakkan reputasi orang lain tanpa asas kukuh. Namun, sekiranya Wan Saiful bertindak sebagai “pemberi maklumat yang sah” (whistleblower) demi kebenaran, tindakan tatatertib harus dipertimbangkan secara berhati-hati agar tidak menjejaskan semangat integriti dan kebebasan bersuara dalam demokrasi. Oleh itu, siasatan dalaman bebas harus dijalankan segera terhadap kandungan dan niat pendedahan, proses keadilan (due process) mesti ditegakkan dengan Wan Saiful berhak membela diri dan mengemukakan bukti serta reformasi undang-undang perlindungan pemberi maklumat perlu dipercepat, agar individu yang bertindak atas niat baik tidak dihukum secara tidak adil. – POJOK ND 30 Sept 2025

Krisis Dalaman Bersatu: Perebutan Kuasa atau Perbezaan Strategi?

KEMELUT yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kebelakangan ini memperlihatkan betapa rapuhnya struktur dalaman parti yang pernah menjadi antara teras utama kerajaan Perikatan Nasional (PN). Dakwaan terbaharu oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Datuk Wan Saiful Wan Jan terhadap Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mendedahkan satu krisis yang lebih dalam daripada sekadar pertikaian dokumen atau usul perhimpunan. Ia merupakan cerminan kepada perebutan kuasa dan ketidaksefahaman strategik dalam kalangan elit kepimpinan parti. Wan Saiful mendakwa, Azmin dikatakan individu pertama yang mencetuskan naratif kononnya wujud usaha menjatuhkan Presiden parti melalui satu dokumen Statutory Declaration (SD) yang ditandatangani oleh beberapa pemimpin bahagian. Beliau menegaskan, kandungan sebenar dokumen itu langsung tidak menolak Presiden, malah secara jelas menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tujuan dokumen tersebut, katanya, hanyalah untuk menegaskan pendirian supaya usul sensitif, khususnya berkaitan calon Perdana Menteri, tidak dibawa ke Perhimpunan Agung Tahunan (PAT). Dalam konteks ini, apa yang sedang berlaku sebenarnya ialah pembentukan satu naratif songsang dalam kalangan dalaman parti, satu taktik politik yang tidak asing dalam sejarah politik Malaysia. Apabila dokumen yang bersifat penegasan prinsip dijadikan bukti kononnya wujud komplot menjatuhkan Presiden, maka ini bukan lagi soal kandungan, tetapi soal persepsi yang dibentuk untuk mencapai matlamat tertentu. Ia menunjukkan bagaimana manipulasi naratif boleh digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat dan pada masa yang sama mengukuhkan kedudukan pihak tertentu dalam parti. Lebih membimbangkan ialah dakwaan beberapa pemimpin bahagian telah diugut supaya menarik balik sokongan terhadap dokumen tersebut, dengan amaran mereka tidak akan dicalonkan dalam pilihan raya umum akan datang. Malah, Wan Saiful turut mendakwa Azmin memberi gambaran seolah kuasa menentukan calon parti berada di tangannya, bukan pada Presiden. Jika dakwaan ini benar, maka ia membayangkan satu bentuk politik ugutan dan manipulasi yang boleh merosakkan asas demokrasi dalam sesebuah parti. Ia mencerminkan budaya politik tidak sihat yang bertentangan dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban, nilai yang sepatutnya menjadi teras kepada parti yang mahu memulihkan kepercayaan rakyat. Pada masa sama, kenyataan ini juga memberi gambaran mengenai struktur kuasa yang kabur dalam Bersatu. Siapa sebenarnya berkuasa penuh dalam menentukan calon? Apakah keputusan tersebut bersifat kolektif atau terletak di tangan individu tertentu? Kekaburan ini menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan struktur organisasi parti dalam mengurus konflik dalaman secara berhemah dan demokratik. Polemik ini berpunca daripada isu usul berkaitan calon Perdana Menteri, yang menurut Wan Saiful boleh membawa mudarat kepada parti jika dibahaskan secara terbuka dalam PAT. Usul ini, pada asasnya, mungkin bertujuan memperkukuh kedudukan politik parti menjelang pilihan raya. Namun, jika tidak ditangani dengan cermat, ia boleh mencetuskan perpecahan yang serius. Sebahagian ahli mungkin berpendapat, membahaskan calon Perdana Menteri terlalu awal atau secara terbuka akan membuka ruang kepada pertembungan dalaman, terutama jika wujud lebih daripada satu tokoh yang dianggap layak. Dalam keadaan ini, suara akar umbi yang menuntut supaya usul tersebut diketepikan bukanlah bentuk penentangan terhadap Presiden, sebaliknya suatu amaran awal terhadap potensi retak dalam perpaduan parti. Krisis dalaman ini memberikan gambaran jelas bahawa Bersatu sedang berdepan cabaran besar dalam memastikan kesatuan dan keutuhan dalaman, lebih lagi menjelang pilihan raya umum akan datang. Perbalahan antara tokoh utama seperti Azmin dan Wan Saiful serta tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin, bukan sahaja melemahkan jentera parti, malah menjejaskan persepsi rakyat terhadap kebolehan parti untuk mentadbir dengan stabil dan berwibawa. Dalam politik Malaysia yang sarat dengan perubahan landskap dan koalisi yang sentiasa bergolak, kestabilan dalaman sesebuah parti adalah kunci kepada daya tahan dan kebolehpercayaan. Jika Bersatu gagal menyelesaikan kemelut ini dengan segera dan secara inklusif, ia mungkin bakal menghadapi penghakisan sokongan, bukan sahaja dari ahli akar umbi, tetapi juga pengundi atas pagar yang semakin sinis terhadap politik berorientasikan kuasa. POJOK ND 30 Sept 2025

Wajarkah FIFA Mengenakan Tindakan ke Atas Pasukan Bola Sepak Malaysia?

DUNIA bola sepak negara dikejutkan dengan pengumuman rasmi oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang memaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain untuk skuad kebangsaan. Dakwaan serius ini membabitkan tujuh pemain yang telah beraksi dalam dua perlawanan rasmi Kelayakan Piala Asia 2027. Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, semuanya pemain naturalisasi yang telah diberi peluang menyarung jersi Harimau Malaya. FIFA dalam kenyataannya menyatakan, siasatan dalaman mendapati wujud pemalsuan dokumen dalam proses pendaftaran dan pengesahan status kewarganegaraan bagi tujuan kelayakan mewakili Malaysia di pentas antarabangsa. Ini bukan sahaja satu pelanggaran terhadap Artikel 5 dan 7 Statut FIFA berkaitan kelayakan pemain, malah juga mencemarkan integriti pertandingan antarabangsa. Menurut FIFA, kesalahan utama adalah pemalsuan dokumen dikemukakan FAM kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA sendiri. Dokumen tersebut termasuk surat pengesahan kewarganegaraan dan bukti hubungan keturunan yang diperlukan untuk memenuhi syarat kelayakan di bawah Artikel 7, “Acquisition of a new nationality”. Siasatan awal menunjukkan, beberapa dokumen dikemukakan untuk menyokong tuntutan pemain sebagai warganegara Malaysia atau berketurunan Malaysia adalah tidak sah, tidak sahih dan dalam beberapa kes, palsu sepenuhnya. Tindakan FIFA ini bukan sekadar memberi tamparan hebat kepada FAM, malah boleh memberi kesan besar kepada prestasi skuad negara dan reputasi bola sepak Malaysia secara keseluruhan. Antara tindakan yang berkemungkinan diambil termasuk pembatalan keputusan perlawanan melibatkan pemain tidak layak, denda kewangan yang tinggi terhadap FAM, penggantungan penyertaan Malaysia dalam kejohanan antarabangsa untuk tempoh tertentu dan individu dalam FAM yang terlibat boleh dikenakan tindakan peribadi, termasuk larangan aktif dalam bola sepak. Sekiranya, keputusan perlawanan melibatkan pemain yang tidak layak dibatalkan, ia akan menjejaskan kedudukan Malaysia dalam kumpulan Kelayakan Piala Asia 2027, sekali gus menjejaskan peluang ke kejohanan tersebut. Persoalan utama yang berlegar kini adakah tindakan FIFA ini wajar atau terlalu keras terhadap FAM? Dari sudut peraturan, FIFA berhak penuh untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan kelayakan pemain. Isu pemain naturalisasi bukan sesuatu yang baru dan FIFA telah lama memperketatkan syarat kelayakan susulan banyak negara cuba “memanipulasi” sistem dengan mengambil pemain luar yang tiada pertalian sebenar dengan negara mereka. Dalam kes Malaysia, jika benar berlaku pemalsuan dokumen, maka tindakan FIFA adalah sah di sisi peraturan dan selari dengan komitmen mereka untuk menjaga integriti bola sepak antarabangsa. Namun, terdapat juga suara menyatakan, FAM mungkin menjadi mangsa kelemahan sistem semakan dokumentasi dalam negara, bukan dengan sengaja melakukan pemalsuan. Sekiranya ini terbukti, maka pendekatan lebih inklusif dan bimbingan dari FIFA mungkin lebih sesuai daripada hukuman terlalu keras. FAM setakat ini belum memberikan penjelasan penuh kepada media berhubung dakwaan FIFA. Namun, satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan menyatakan, badan induk bola sepak negara akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan dan sedang menjalankan audit dalaman ke atas proses naturalisasi dan pendaftaran pemain import. Menurut sumber dalaman, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi meneliti semua rekod dan dokumen berkaitan pemain import dalam skuad kebangsaan. FAM juga dijangka menghantar rayuan kepada FIFA serta mengemukakan dokumen tambahan bagi mempertahankan kesahihan proses naturalisasi tersebut. Berita ini menerima pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia. Di media sosial, ramai peminat meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap FAM atas kecuaian yang boleh menggagalkan usaha membawa Harimau Malaya ke pentas lebih tinggi. Ada juga yang mempersoalkan keperluan terus bergantung kepada pemain naturalisasi dan menggesa supaya pembangunan bakat tempatan diberi keutamaan. Apa jua hasil siasatan nanti, satu perkara jelas, iaitu isu ini perlu dijadikan pengajaran besar buat FAM dan seluruh ekosistem bola sepak negara. Sistem pengesahan dokumentasi, proses naturalisasi dan integriti pentadbiran perlu dikaji semula secara menyeluruh. Tidak ada jalan pintas dalam membina pasukan kebangsaan yang berjaya. Pemalsuan atau kelemahan sistem hanya akan membawa padah lebih besar di pentas dunia. FIFA telah bertindak berdasarkan bukti yang dikumpul. Kini giliran Malaysia pula membuktikan bahawa kita masih berpegang kepada prinsip integriti dalam sukan, dan bersedia berubah ke arah yang lebih profesional dan telus. – POJOK ND 28 Sept 2025

Hipokrasi Israel: Siapa Sebenarnya Penindas dan Siapa yang Ditindas?

SETIAP kali dunia menyaksikan peningkatan serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin, kita melihat reaksi tipikal daripada kepimpinan negara haram tersebut. Tidak kira siapa pun memegang jawatan Perdana Menteri Israel, sama ada Benjamin Netanyahu atau yang lain, retorik yang sama akan diulang, iaitu serangan dan pembunuhan ke atas rakyat Palestin kononnya adalah demi “keselamatan negara Yahudi” daripada ancaman umat Islam. Namun, persoalan paling asas yang perlu ditanyakan semula dan direnung oleh dunia ialah siapa sebenarnya yang menjadi mangsa? Dan siapa pula yang menjadi penindas? Sejak dekad 1940-an, naratif keselamatan bagi kaum Yahudi sering menjadi alasan utama bagi Israel untuk menjustifikasi tindakan ketenteraan mereka. Apa sahaja bentuk penentangan, walaupun sekadar protes aman atau seruan boikot, akan dilabel sebagai “antisemitik” atau “ancaman keganasan Islam”. Namun, fakta sejarah dan statistik yang telah didokumentasikan oleh pelbagai badan hak asasi manusia jelas menunjukkan ketidakseimbangan kekuatan dan korban antara kedua-dua pihak. Israel, yang didukung oleh keupayaan ketenteraan tercanggih dan sokongan tanpa syarat dari negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, sentiasa memegang kawalan mutlak dalam konflik ini, bukan sahaja dari segi ketenteraan, malah dari segi media dan pengaruh politik global. Menurut laporan yang disahkan oleh organisasi antarabangsa seperti Human Rights Watch (HRW) dan Amnesty International, angka korban rakyat Palestin jauh lebih tinggi berbanding rakyat Israel, malah jurangnya terlalu besar untuk dimaafkan. Sejak tahun 2008 hingga 2023, lebih 35,000 rakyat Palestin telah terbunuh, sebahagian besar daripadanya adalah kanak-kanak, wanita dan warga tua. Jumlah rakyat Israel yang terbunuh sepanjang tempoh sama pula dianggarkan kurang dari 1,500 orang, termasuk tentera dan orang awam. Statistik ini jelas menunjukkan konflik ini bukanlah “perang dua hala” yang seimbang, tetapi lebih kepada penjajahan sepihak yang sistematik dan kejam. Serangan udara yang menyasarkan hospital, sekolah, kem pelarian dan masjid di Gaza bukanlah perkara baharu. Setiap kali dunia menoleh ke arah lain, Israel memperhebatkan serangan. Ketika artikel ini ditulis, laporan daripada Gaza menunjukkan bahawa hampir 500 hingga 800 rakyat Palestin terbunuh setiap minggu, kebanyakannya akibat pengeboman dan sekatan kemanusiaan. Malangnya, dunia masih gagal untuk menamakan pembunuhan beramai-ramai ini sebagai apa yang sebenarnya berlaku, sebuah genosid moden. Israel sering menggambarkan umat Islam, terutama rakyat Palestin sebagai ekstremis atau pengganas. Namun, sejarah membuktikan umat Islam telah berabad lamanya menjadi pelindung kepada kaum Yahudi, terutama ketika mereka ditindas di Eropah. Dalam zaman empayar Islam di Andalusia, kaum Yahudi hidup dalam harmoni dan keamanan, jauh lebih aman berbanding kehidupan mereka di bawah pemerintahan Kristian ketika itu. Jadi, jika umat Islam benar-benar “pembunuh kaum Yahudi” seperti yang digambarkan oleh propaganda zionis, mengapa sejarah menunjukkan sebaliknya? Negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom sering melaungkan prinsip hak asasi manusia dan keadilan. Namun, apabila melibatkan Israel, prinsip ini tiba-tiba dibakul sampahkan. Di PBB, hampir setiap resolusi yang mengkritik kekejaman Israel akan diveto oleh Amerika. Apakah nyawa umat Islam, khususnya rakyat Palestin tidak mempunyai nilai dalam kaca mata Barat? Konflik Palestin-Israel bukan lagi sekadar isu politik atau sempadan wilayah. Ia kini menjadi simbol kepada kegagalan masyarakat antarabangsa dalam mempertahankan kemanusiaan dan bukti nyata bagaimana sistem dunia masih berat sebelah terhadap kuasa dan pengaruh. Selagi dunia terus membenarkan Israel menggunakan alasan keselamatan untuk membunuh dan menindas, maka selagi itulah penderitaan rakyat Palestin akan berterusan. Dunia perlu berhenti menerima naratif palsu ini dan mula menilai fakta sebenar berdasarkan prinsip keadilan, bukan berdasarkan kepentingan geopolitik. “Kita tidak akan aman selagi ada kezaliman yang dianggap sah. Dan tiada erti keamanan, jika ia dibina atas darah orang yang ditindas. – POJOK ND 27 Sept 2025

Subsidi RON95: Isu Penggunaan Lesen Memandu, Digital atau Fizikal?

ORANG ramai akan menggunakan MyKad dan Lesen Memandu yang sah sebagai dokumen pengesahan identiti dan kelayakan ketika pembelian petrol bersubsidi RON95 di stesen minyak seluruh negara. Namun, timbul persoalan besar dalam kalangan orang awam, bagaimana penggunaan lesen memandu akan dilaksanakan, sedangkan lesen kini telah beralih kepada sistem digital sepenuhnya? Sejak Ogos 2023, Kementerian Pengangkutan telah memansuhkan keperluan mencetak tarikh tamat tempoh pada kad fizikal lesen memandu Malaysia. Pengguna kini hanya perlu memperbaharui lesen secara dalam talian dan semua maklumat berkaitan, termasuk status sah atau tamat tempoh boleh diakses melalui aplikasi mudah alih seperti MyJPJ atau sistem dalam talian rasmi. Walaupun langkah ini memudahkan pengguna dan menyokong pendigitalan perkhidmatan kerajaan, ia secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan dalam konteks penggunaannya bagi program subsidi petrol bersasar. Ini kerana, secara fizikal, lesen yang dipegang tidak lagi memaparkan sebarang maklumat terkini, khususnya tarikh sah laku. Maka, persoalan utama adalah: Bagaimana dan dalam bentuk apa lesen memandu perlu ditunjukkan untuk menikmati subsidi petrol RON95? Beberapa isu utama yang akan timbul, antaranya tiada bukti fizikal kelayakan semasa pembelian, dalam senario biasa di stesen minyak, pengguna tidak akan mempunyai akses kepada sistem digital di kaunter untuk membuktikan bahawa lesen memandu mereka masih sah. Jika hanya MyKad digunakan untuk mengesan kelayakan, maka mengapa lesen memandu masih diperlukan? Kesukaran akses digital bagi sesetengah golongan seperti warga emas, penduduk luar bandar atau individu tanpa telefon pintar mungkin menghadapi kesulitan untuk menunjukkan lesen digital melalui aplikasi. Ini boleh menghalang mereka daripada menikmati subsidi walaupun mereka sebenarnya layak. Kekaburan Prosedur Operasi Standard (SOP), yang mana setakat ini kerajaan belum memperincikan mekanisme sebenar yang akan digunakan di stesen minyak bagi tujuan pengesahan identiti dan kelayakan subsidi. Adakah pengguna perlu mengimbas MyKad sahaja? Atau juga menunjukkan bukti lesen sah menerusi aplikasi MyJPJ? Siapa yang akan mengesahkan? Risiko penyalahgunaan atau ketirisan. Jika pengesahan hanya berdasarkan kad fizikal tanpa integrasi sistem masa nyata, maka wujud ruang untuk manipulasi atau penggunaan dokumen orang lain. Cadangan penyelesaian ialah pendekatan teknologi dan inklusif. Bagi memastikan pelaksanaan subsidi petrol bersasar ini berjalan lancar dan adil, kerajaan disarankan mempertimbangkan beberapa langkah strategik, iaitu: Integrasi Pangkalan Data MyKad dan Lesen Memandu – Sistem subsidi perlu disambungkan secara langsung dengan pangkalan data JPJ dan JPN. Pengesahan boleh dibuat dengan hanya mengimbas MyKad dan sistem secara automatik menyemak status lesen memandu pengguna. Penyediaan Akses Aplikasi di Pam atau Kaunter Stesen Minyak – Pihak stesen minyak boleh dibekalkan dengan peranti khas yang membolehkan pengguna mengimbas MyKad serta mengakses status lesen secara digital melalui capaian sistem kerajaan. Kempen Pendidikan dan Kesedaran Digital – Kerajaan perlu melaksanakan kempen berskala besar untuk mendidik rakyat mengenai penggunaan aplikasi MyJPJ dan cara membuktikan kelayakan secara digital. Pilihan Lesen Digital dan Cetakan – Sebagai alternatif, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan pilihan kepada pengguna untuk mencetak sendiri dokumen lesen memandu digital (sebagai PDF sah) yang boleh ditunjukkan jika perlu, khusus bagi tujuan subsidi ini. Langkah kerajaan untuk mendigitalisasikan perkhidmatan merupakan langkah positif ke arah Malaysia yang lebih moden dan efisien. Namun, dalam konteks pelaksanaan subsidi petrol RON95 bersasar ini, wujud keperluan mendesak untuk penyesuaian sistem dan komunikasi yang jelas kepada rakyat. Jika tidak ditangani dengan tuntas, isu kecil seperti ketiadaan bukti tarikh tamat tempoh pada lesen fizikal boleh menjadi penghalang besar kepada rakyat, terutama golongan B40 yang menjadi sasaran utama inisiatif ini. Oleh itu, kerajaan perlu tampil segera dengan penjelasan rasmi mengenai mekanisme pengesahan kelayakan subsidi petrol ini, termasuk bagaimana lesen memandu (digital) akan digunakan secara praktikal di stesen minyak. – POJOK ND 27 Sept 2025