Ahad, 20 Oktober 2013

Majlis Tertinggi UMNO 2013-2016

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed diumumkan menduduki tempat pertama dalam persaingan merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno selepas berjaya menerima undi daripada 186 bahagian dan 89,560 perwakilan.
Keputusan penuh bagi Ahli MT UMNO untuk penggal 2013-2016 diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti Tan Sri Tajol Rosli Ghazali pada sidang media di Menara Dato' Onn, PWTC, di sini, Ahad.

Berikut adalah senarai Ahli MT Umno yang baharu:

1. Datuk Seri Mustapa Mohamed : 186 undi (89,560 undi perwakilan)

2. Datuk Seri Jamil Khir Baharom : 186 undi (89,222 undi perwakilan)

3. Datuk Seri Idris Haron : 185 undi (83,378 undi perwakilan)

4. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob : 184 undi (89,519 undi perwakilan)

5. Datuk Seri Idris Jusoh : 184 undi (86,204 undi perwakilan)

6. Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek : 181 undi (85,820 undi perwakilan)

7. Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim : 181 undi (79,798 undi perwakilan)

8. Datuk Abdul Rahman Dahlan : 181 undi (76,031 undi perwakilan)

9. Datuk Hasan Malek : 168 undi (68,601 undi perwakilan)

10. Datuk Seri Shahidan Kassim : 166 undi (76,992 undi perwakilan)

11. Datuk Seri Mohamad Hasan : 165 undi (73,631 undi perwakilan)

12. Datuk Seri Jamaludin Mohd Jarjis : 161 undi (72,326 undi perwakilan)

13. Datuk Razali Ibrahim : 157 undi (73,060 undi perwakilan)

14. Datuk Seri Mahdzir Khalid : 155 undi (68,964 undi perwakilan)

15. Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin : 146 undi (69,802 undi perwakilan)

16. Tan Sri Annuar Musa : 143 undi (69,529 undi perwakilan)

17. Dr Mohd Puad Zarkashi : 127 undi (57,124 undi perwakilan)

18. Datuk Tajuddin Abdul Rahman : 127 undi (56,434 undi perwakilan)

19. Datuk Seri Azalina Othman Said : 119 undi (55,501 undi perwakilan)

20. Datuk Dr Abd Latiff Ahmad : 115 undi (52,225 undi perwakilan)

21. Datuk Shamsul Anuar Nasarah : 111 undi (51,366 undi perwakilan)

22. Datuk Bung Moktar Radin : 104 undi (52,423 undi perwakilan)

23. Datuk Ab Aziz Kaprawi : 101 undi (48,463 undi perwakilan)

24. Datuk Reezal Merican Naina Merican : 97 undi (48,353 undi perwakilan)

25. Datuk Sohaimi Shahadan : 90 undi (47,479 undi perwakilan)

Keputusan Rasmi Jawatan Naib Presiden Umno

KUALA LUMPUR: Berikut keputusan rasmi jumlah undi yang diterima enam calon Naib Presiden Umno yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti Tan Sri Tajol Rosli Ghazali di Menara Dato' Onn, PWTC di sini, Ahad.

1. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi : 188 undi (94,562 undi perwakilan)

2. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal : 177 undi (82,252 undi perwakilan)

3. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein: 101 undi (56,604 undi perwakilan)

4. Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir : 93 undi (57,189 undi perwakilan)

5. Datuk Seri Mohd Ali Rustam : 7 undi (15,294 undi perwakilan)

6. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad : 7 undi (12,783 undi perwakilan) - BERNAMA

Surendran bukan saja pemimpin angkuh dan penakut, tapi bodoh

SHAH ALAM: Kalau tidak berani, tidak perlu cakap besar, demikian sindiran yang diberikan Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk A Kadir Jasin berhubung keengganan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat N Surendran untuk menandatangani borang yang melibatkan syarat indemniti.

Menurut beliau, syarat yang terkandung di dalam surat tersebut merupakan prosedur biasa yang perlu ditandatangani oleh mana-mana pihak yang berkeinginan untuk menyertai operasi pihak berkuasa termasuk tentera.

Kadir yang juga merupakan bekas wartawan tidak menafikan hakikat bahawa beliau sendiri pernah menandatangani borang tersebut bagi membolehkan untuk menyertai operasi mahupun lawatan yang melibatkan pihak berkuasa.

"Kalau tidak berani menyabung nyawa, tak perlulah cakap besar.

"Wartawan pun dikenakan syarat yang sama, misalnya sebelum seorang wartawan menaiki pesawat TUDM atau pesawat milik kerajaan mereka perlu dulu menandatangani surat indemniti itu, jadi ini adalah perkara biasa.

"Sepanjang pengalaman saya, masa saya naik kapal terbang tentera dulu memang begitulah," katanya yang dihubungi Antarapos.

Peguam PKR, R Sivarasa menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menimbang semula keengganan untuk bertanggungjawab ke atas keselamatan Surendran ketika mengikut operasi yang dijalankan polis.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Padang Serai itu dikatakan sudah bersetuju dengan hampir kesemua syarat yang diletakkan pihak polis namun meminta dua syarat yang melibatkan keselamatan itu dipertimbangkan semula.

Namun, keengganan Surendran dan halangan Sivarasa itu dilihat sebagai satu alasan yang dianggap dangkal oleh mereka yang selama ini mempertikaikan operasi polis demi mempertahankan negara daripada ancaman jenayah.

"Orang bodoh ini dia cakap banyak. Tak perlu bagi alasan banyak-banyak, kalau dia tak mahu tanda tangan tak usah ikutlah.

"Orang-orang macam ini jangan layan sangat, dia orang ini bangsa yang suka bercakap.

"Kalau kain panjang sejengkal, lautan dalam jangan diuji, itu sahajalah," tegas Kadir sekali lagi sebagai meminta Surendran mengakui kegusarannya itu untuk menyertai operasi polis.

Terdahulu Surendran mahu menyertai operasi polis ekoran tidak berpuas hati terhadap tindakan mereka yang menembak penjenayah secara melulu.

Beliau juga tidak bersetuju dengan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang diusulkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang menggunakan dasar "tembak dahulu" kepada penjenayah.

Mukhriz akan terus berkhidmat untuk parti walau gagal rebut kerusi Naib Presiden

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau akan terus memberi kerjasama kepada parti meskipun tidak menang pada Pemilihan Umno yang berlangsung semalam.

Mukhriz bagaimanapun berkata meskipun tidak terpilih untuk menyertai senarai barisan tertinggi Umno kali ini, beliau yakin masa depan politiknya akan terus terjamin.
 
"Saya agak gembira dengan keputusan hari ini yang memberikan saya keyakinan mengenai masa depan politik saya. Saya juga agak terkejut saya boleh pergi jauh, saya rasa saya sudah buat yang terbaik dan saya gembira dengan keputusan tersebut," katanya.
 
Mukhriz tidak menolak untuk sekali lagi mencuba nasib pada pemilihan akan datang dan menegaskan, keutamaannya kini adalah memastikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN Sungai Limau.
 
"Belum tahu lagi, yang itu perlu tunggu dan lihat lagi, lama lagi itu, sekarang ini saya perlu fikir PRK Sungai Limau.
 
"Untuk masa depan, saya mahu fikirkan PRK Sungai Limau dulu, kita akan mula esok, 23 hari bulan ini ada penamaan calon, dan kemudian 10 hari berkempen, jadi itu fokus saya buat masa ini," katanya.
 
Menurut Mukhriz perjuangannya untuk mentransformasikan parti akan diteruskan meskipun beliau tewas pada pemilihan kali ini.
 
"Saya ada perkara yang perlu dibuat untuk mentransformasikan parti, saya rasa saya boleh buat perkara itu dan saya tidak merasakan dengan keputusan tersebut, tiba-tiba saya terkeluar dari transformasi tersebut.
 
"Saya masih Menteri Besar Kedah, jadi saya berharap jawatankuasa yang ada dapat terus membantu untuk menghadapi PRU14," katanya.
 
Untuk rekod, Mukhriz semalam gagal merebut kerusi Naib Presiden Umno setelah tewas kepada trio penyandang kerusi itu iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali pada sidang media yang diadakan pada jam 1.30 pagi Ahad mengumumkan Ahmad Zahid memperoleh 185 undi, Shafie mendapat 160 undi manakala Hishammuddin menerima 100 undi.

Mukhriz tunjuk prestasi menggalakkan - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir menunjukkan prestasi yang menggalakkan dalam pemilihan merebut jawatan Naib Presiden UMNO semalam.

"Walaupun dia baharu (dalam kalangan calon Naib Presiden), dan mengumumkan hasrat bertanding agak lewat, tapi beliau menunjukkan yang dia mempunyai sokongan yang baik dalam parti," kata Presiden UMNO itu.

Beliau berkata, persaingan sengit antara Mukhriz dan penyandang Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Menteri Pertahanan, memang sudah dijangka pada pemilihan kali ini kerana pertandingan itu bersifat terbuka.

"Apabila diserah kepada anggota peringkat akar umbi untuk membuat pilihan, sudah pasti ada tokoh yang popular menjadi pilihan mereka dan ia mengundang persaingan sengit," katanya.

Bercakap dalam sidang akhbar di Palm Garden Golf Club di sini, Najib berkata, beliau menganggap ia sebagai satu persaingan yang sihat dalam dalam sebuah keluarga parti UMNO.

Sebanyak 146,500 perwakilan dari sejumlah 191 bahagian UMNO mengundi mengikut sistem 'electoral college' bagi memilih tiga Naib Presiden baharu, iaitu tiap seorang daripada tiga calon yang memperoleh bilangan undi paling banyak dari perwakilan bahagian, dikira meraih satu undi dari bahagian berkenaan.

Keputusan rasmi pemilihan Naib Presiden yang diumumkan awal pagi ini menunjukkan Hishammuddin mendapat saingan sengit daripada Mukhriz apabila masing-masing memperoleh 100 dan 91 undi bahagian.

Semasa ditanya kelebihan Mukhriz dari segi undi popular, Perdana Menteri berkata, sistem yang digunakan UMNO adalah 'electoral college' yang berdasarkan kepada usaha mengimbangi antara bahagian UMNO yang besar kawasannya dengan bahagian yang kecil.

Najib berkata, sistem itu dipilih kerana ia dianggap seadil mungkin, dan semua anggota parti perlu patuh kepada sistem itu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan yang dicapai Mukhriz sebagai 'menang dalam kekalahan' kerana jumlah sokongan yang diperoleh agak besar.

"Jumlah undi yang beliau dapat beza hanya sembilan bahagian sahaja. Jadi bagi saya ini satu kejayaan peribadi.

"Walaupun kalah daripada satu sudut, tapi dia dapat melihat sendiri walaupun buat pertama kali bertanding, tapi dia hampir menang.

"Saya juga waktu pertama kali bertanding Naib Presiden saya kalah juga, jadi ini biasa. Jadi, tidak harus orang kata membantutkan semangat beliau," katanya.

Menurut Muhyiddin, Mukhriz ialah pemimpin yang berkaliber dan beliau yakin keputusan semalam boleh menjadi kayu pengukur bahawa masa depan politik Menteri Besar Kedah itu masih cerah.

"Mukhriz seorang pemimpin yang berkaliber dan juga pelapis bersama Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin. KJ pun pemimpin pelapis," katanya. - BERNAMA

Zahid, Shafie, Hisham kekal utk 2013-2016

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengekalkan kerusi Naib Presiden UMNO dalam pemilihan penuh dramatik khususnya bagi menentukan tempat ketiga.

Ketika Ahmad Zahid dan Shafie secara tidak rasmi diisytiharkan mengekalkan kedudukan mereka lebih awal iaitu kira-kira pukul 7 malam, Hishammuddin pula terpaksa menanti sehingga pukul 1 pagi sebelum keputusan tidak rasmi menunjukkan beliau menang.

Ini berikutan saingan sengit yang diberikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang mengejar rapat Hishammuddin dari segi perolehan undi bahagian.

Biarpun Mukhriz memperolehi 90 undi bahagian tetapi secara tidak rasmi beliau menang dari segi perolehan undi popular.

Ahmad Zahid mendapat 184 undi bahagian, Mohd. Shafie 173 undi manakala Hishammuddin 100 undi.

Kejayaan Ahmad Zahid mengekalkan kedudukan nombor satu di kerusi tersebut sememangnya sudah diduga berikutan populariti beliau sejak memimpin Kementerian Dalam Negeri.

Sebelum ini, populariti beliau juga dikatakan melonjak ketika memimpin Kementerian Pertahanan apabila turut menamatkan konflik pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu.

Bagi Mohd. Shafie pula, beliau berjaya memperbaiki kedudukan dari tempat ketiga ke tempat kedua. Kegigihan beliau menjalankan tugas sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dikatakan banyak membantu beliau untuk mencapai kemenangan.

Sementara itu, dua lagi pencabar iaitu Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB), Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad gagal memberi saingan apabila masing-masing sekadar memperolehi 7 dan 6 undi bahagian.

Sabtu, 19 Oktober 2013

Zahid, Shafie kekal Naib Presiden Umno, Hisham dahului Mukhriz

KUALA LUMPUR: Dua penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal masing-masing berjaya mempertahankan jawatan berdasarkan keputusan tidak rasmi dalam pemilihan parti pada Sabtu.

Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin pula mendahului Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi merebut satu lagi jawatan naib presiden parti.

Kiraan setakat 9 malam menunjukkan Zahid memperoleh 130 undi, diikuti Shafie (119), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (73), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (57), Tan Sri Mohd Ali Rustam (7) dan Tan Sri Isa Samad (8).

Ahmad Zahid berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada anggota parti di peringkat akar umbi dan bahagian Bagan Datoh di atas kepercayaan terhadapnya untuk kembali menjadi Naib Presiden Umno.

"Saya berterima kasih kepada semua jentera, teman-teman saya yang banyak membantu saya dan para perwakilan yang meletakkan saya membarisi kepimpinan Umno," katanya dalam satu kenyataan selepas beliau secara tidak rasmi mempertahankan jawatan naib presiden parti.

Shafie berkata, beliau berasa rendah diri di atas sokongan kuat yang diterima, sambil menambah bahawa Umno perlu maju dalam membantu presiden dan timbalan presiden parti dalam menghadapi cabaran akan datang.

"Ia juga penting bahawa apapun yang dihadapi dalam pemilihan, kita semua bersatu, mengekalkan perpaduan supaya Umno lebih kukuh daripada sebelum ini," katanya.

Beberapa bahagian yang mengundi Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri adalah Gerik, Beruas, Paya Besar, Raub, Padang Rengas, Pagoh, Bentong, Tambun, Kampar, Ipoh Barat, Cheras, Tapah, Batu Gajah dan Bukit Bendera.

Manakala Shafie yang merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperoleh undi dari bahagian Raub, Padang Rengas, Pagoh, Bentong, Tambun, Kampar, Ipoh Barat, Tapah dan Batu Gajah.

Sementara itu, seorang lagi penyandang naib presiden iaitu Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memperoleh 73 undi dengan sebahagian undinya dari bahagian Padang Rengas, Pagoh, Bentong, Tapah, Cheras dan Bukit Bendera.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berada di tempat keempat dengan 57 undi.
Dua lagi calon naib presiden iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad masing-masing berada jauh di belakang dalam merebut jawatan itu.

Dua jawatan tertingi yang dimenangi tanpa bertanding adalah Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengekalkan jawatan sebagai presiden manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatannya sebagai timbalan presiden.

Penyandang jawatan naib presiden ialah Ahmad Zahid, Hishammuddin dan Shafie.