Ahad, 20 Oktober 2013

Mukhriz tunjuk prestasi menggalakkan - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir menunjukkan prestasi yang menggalakkan dalam pemilihan merebut jawatan Naib Presiden UMNO semalam.

"Walaupun dia baharu (dalam kalangan calon Naib Presiden), dan mengumumkan hasrat bertanding agak lewat, tapi beliau menunjukkan yang dia mempunyai sokongan yang baik dalam parti," kata Presiden UMNO itu.

Beliau berkata, persaingan sengit antara Mukhriz dan penyandang Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Menteri Pertahanan, memang sudah dijangka pada pemilihan kali ini kerana pertandingan itu bersifat terbuka.

"Apabila diserah kepada anggota peringkat akar umbi untuk membuat pilihan, sudah pasti ada tokoh yang popular menjadi pilihan mereka dan ia mengundang persaingan sengit," katanya.

Bercakap dalam sidang akhbar di Palm Garden Golf Club di sini, Najib berkata, beliau menganggap ia sebagai satu persaingan yang sihat dalam dalam sebuah keluarga parti UMNO.

Sebanyak 146,500 perwakilan dari sejumlah 191 bahagian UMNO mengundi mengikut sistem 'electoral college' bagi memilih tiga Naib Presiden baharu, iaitu tiap seorang daripada tiga calon yang memperoleh bilangan undi paling banyak dari perwakilan bahagian, dikira meraih satu undi dari bahagian berkenaan.

Keputusan rasmi pemilihan Naib Presiden yang diumumkan awal pagi ini menunjukkan Hishammuddin mendapat saingan sengit daripada Mukhriz apabila masing-masing memperoleh 100 dan 91 undi bahagian.

Semasa ditanya kelebihan Mukhriz dari segi undi popular, Perdana Menteri berkata, sistem yang digunakan UMNO adalah 'electoral college' yang berdasarkan kepada usaha mengimbangi antara bahagian UMNO yang besar kawasannya dengan bahagian yang kecil.

Najib berkata, sistem itu dipilih kerana ia dianggap seadil mungkin, dan semua anggota parti perlu patuh kepada sistem itu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan yang dicapai Mukhriz sebagai 'menang dalam kekalahan' kerana jumlah sokongan yang diperoleh agak besar.

"Jumlah undi yang beliau dapat beza hanya sembilan bahagian sahaja. Jadi bagi saya ini satu kejayaan peribadi.

"Walaupun kalah daripada satu sudut, tapi dia dapat melihat sendiri walaupun buat pertama kali bertanding, tapi dia hampir menang.

"Saya juga waktu pertama kali bertanding Naib Presiden saya kalah juga, jadi ini biasa. Jadi, tidak harus orang kata membantutkan semangat beliau," katanya.

Menurut Muhyiddin, Mukhriz ialah pemimpin yang berkaliber dan beliau yakin keputusan semalam boleh menjadi kayu pengukur bahawa masa depan politik Menteri Besar Kedah itu masih cerah.

"Mukhriz seorang pemimpin yang berkaliber dan juga pelapis bersama Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin. KJ pun pemimpin pelapis," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: