KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata
beliau akan terus memberi kerjasama kepada parti meskipun tidak menang
pada Pemilihan Umno yang berlangsung semalam.
Mukhriz bagaimanapun berkata meskipun tidak terpilih untuk menyertai senarai barisan tertinggi Umno kali ini, beliau yakin masa depan politiknya akan terus terjamin.
"Saya agak gembira dengan keputusan hari ini yang memberikan saya
keyakinan mengenai masa depan politik saya. Saya juga agak terkejut saya
boleh pergi jauh, saya rasa saya sudah buat yang terbaik dan saya
gembira dengan keputusan tersebut," katanya.
Mukhriz tidak menolak untuk sekali lagi mencuba nasib pada pemilihan
akan datang dan menegaskan, keutamaannya kini adalah memastikan
kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN
Sungai Limau.
"Belum tahu lagi, yang itu perlu tunggu dan lihat lagi, lama lagi itu, sekarang ini saya perlu fikir PRK Sungai Limau.
"Untuk masa depan, saya mahu fikirkan PRK Sungai Limau dulu, kita akan
mula esok, 23 hari bulan ini ada penamaan calon, dan kemudian 10 hari
berkempen, jadi itu fokus saya buat masa ini," katanya.
Menurut Mukhriz perjuangannya untuk mentransformasikan parti akan diteruskan meskipun beliau tewas pada pemilihan kali ini.
"Saya ada perkara yang perlu dibuat untuk mentransformasikan parti,
saya rasa saya boleh buat perkara itu dan saya tidak merasakan dengan
keputusan tersebut, tiba-tiba saya terkeluar dari transformasi tersebut.
"Saya masih Menteri Besar Kedah, jadi saya berharap jawatankuasa yang
ada dapat terus membantu untuk menghadapi PRU14," katanya.
Untuk rekod, Mukhriz semalam gagal merebut kerusi Naib Presiden Umno
setelah tewas kepada trio penyandang kerusi itu iaitu Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri
Hishammuddin Hussein.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali pada
sidang media yang diadakan pada jam 1.30 pagi Ahad mengumumkan Ahmad
Zahid memperoleh 185 undi, Shafie mendapat 160 undi manakala
Hishammuddin menerima 100 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan