Berikutan itu, banyak kesalahan mudah dikesan dalam berita-berita yang dilaporkan daripada kesalahan ejaan sehingga kesilapan maklumat berita.
"Masalah ini bukan berlaku di negara ini, tetapi jika diteliti berita-berita Reuters, AFP dan AP juga ada kesalahan," kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin.
Bercakap di hadapan penuntut Ijazah Sarjana Pengurusan Komunikasi di Universiti Utara Malaysia, beliau berkata,wartawan dahulu sukar melakukan kesalahan walaupun kesilapan kecil kerana minat dan keghairahan untuk melaporkan berita begitu tinggi.
Ceritanya, 40 tahun dahulu akhbar yang menjadi instrumen penting bagi golongan elit - dalam erti kata lain pembaca akhbar adalah dalam kelompok elit.
Para wartawan juga menikmati erti demokrasi sebenar kerana akhbar bukan sahaja memainkan peranan sebagai saluran maklumat, tetapi mendidik, menganalisis dan mengkritik.
Tegas Kadir, akhbar pada zaman itu memberi gambaran dan mewakili masyarakat.
''Akhbar dulu memberi maklumat kepada golongan elit, bukan terpelajar, oleh sebab itu wartawan dahulu tidak boleh buat silap," katanya yang juga seorang blogger.
Menjawab satu soalan, Kadir yang sudah mengabdikan diri selama 44 tahun dalam bidang kewartawanan tidak menafikan salah satu punca standard dan kualiti wartawan dahulu lebih tinggi kerana ketika itu dunia kewartawanan mempunyai banyak nama gergasi.
Katanya, nama-nama A. Samad Ismail, Pak Sako, Pak Melan, Usman Awang bukan sahaja memiliki daya imiginasi yang tinggi dalam bidang penulisan termasuk bahasa, puisi dan sajak, sebaliknya mereka adalah wartawan yang hebat.
Berbeza sekarang, kebanyakan wartawan sekarang merasakan diri mereka hebat dan memiliki nama besar, katanya dengan penuh sinikal.
Katanya, dunia kewartawanan sungguh unik dan hanya orang 'gila' sahaja boleh mengabdikan diri dalam dunia yang tidak kurang 'gila' ini. - By Ainul Asniera Ahsan MalaysiaGazette.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan