Khamis, 3 Oktober 2013

23 Okt Penamaan Calon, 4 Nov Hari Mengundi DUN Sungai Limau

Tanda tanya mengenai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah terjawab pagi ini dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Aziz Yusof mengumumkan tarikh penamaan calon pada Rabu 23 Oktober, manakala hari mengundi Isnin 4 November.

Dalam sidang akhbar di pejabat SPR di Putrajaya, beliau memberitahu, daftar pemilih mutakhir untuk pilihanraya kecil itu seramai 27,222 orang.

Dari jumlah itu, 27,220 ialah pengundi biasa, manakala dua orang pengundi tidak hadir. Tiada pengundi awal dalam pilihanraya kecil ini.

Mengikut pecahan, 25,300 adalah pengundi Melayu, Cina 1,842, India 15, Bumiputra Sabah  2, Bumiputra Sarawak 7 dan lain-lain 33 orang.

Menurut Aziz, sebanyak 17 pusat mengundi akan dibuka dengan seramai 492 petugas SPR akan mengendalikan pilihanraya kecil itu.

Beliau memberitahu, sejumlah RM1.3 juta diperlukan untuk mengendalikan pilihanraya kecil kali ini.

_________________________________________________________________________________

Bajet 2014 tidak pengaruhi tarikh PRK Sungai Limau
 
PUTRAJAYA: Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini menegaskan pembentangan Bajet 2014 bukan faktor yang menjadi pertimbangan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau November nanti. 
 
Jelasnya, SPR tidak mempunyai alasan untuk cuba mengaitkan tempoh Bajet 2014 dengan PRK ini yang sepatutnya dibuat 60 hari selepas hari kekosongan kerusi yang tersebut. 
 
Katanya, apa yang mustahak bagi SPR adalah tidak mengganggu mana-mana sekolah yang mengadakan peperiksaan besar khususnya sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada 6 November nanti. 
 
"Dari segi SPR, bajet langsung tidak ada dalam pertimbangan kita. Paling penting PRK ini dibuat sebelum Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) kerana tidak mahu ganggu sekolah-sekolah jika SPR guna pusat mengundi pada masa itu. 
 
"Selain daripada itu, pertimbangan kita adalah (cuti umum) Hari Deepavali (2 November) dan Awal Muharam (5 November)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas SPR di sini hari ini
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan pembangkang supaya PRK Sungai Limau diadakan sebelum pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober bagi mengelakkan pengumuman dari segi pemberian wang tunai (BR1M) akan mempengaruhi pengundi.
 
Turut memberi reaksi sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, Pembentangan Bajet 2014 bukan penentu keputusan PRK itu,sebaliknya ia adalah peruntukan menyeluruh kepada rakyat.
 
SPR menetapkan tarikh PRK bagi DUN Sungai Limau pada 4 November manakala hari penamaan calon 23 Oktober.
_______________________________________________________________________________
 
Calon BN diumum 21 Okt
 
ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) Kedah kini bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dan akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding bagi kerusi DUN itu, pada 21 Oktober.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, pihaknya sememangnya telah mula membuat persiapan sejak dari awal dan jentera parti juga sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Untuk tujuan itu (PRK) Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turun ke Kedah dan melawat DUN Sungai Limau pada 8 Okt ini, antara lain bertujuan untuk berbincang dengan pihak kami (BN negeri) mengenai persiapaan menghadapi PRK ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Jabatan-jabatan Agama Islam Kedah di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya masih belum memutuskan dan sedang berusaha untuk menyenarai pendekkan nama calon yang akan bertanding.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof hari ini mengumumkan tarikh PRK DUN Sungai Limau pada 4 November manakala hari penamaan calon ditetapkan 23 Oktober ini.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Mengenai tarikh penamaan calon yang hampir dengan pemilihan UMNO, Mukhriz berkata, perkara itu harus diterima kerana ia telah ditetapkan SPR.

"Kalau dah diputuskan, kita terpaksa menerimanya walaupun dari segi masa contohnya untuk saya sendiri, berkempen pun akan jadi sedikit tersekat.

"Tetapi tak apa, tugas dan tanggungjawab lebih kepada PRK ini... bila-bila kita bersedia, ia tak dianggap sebagai merugikan," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: