PUTRAJAYA: PKR hari ini menyokong pendirian PAS berhubung Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diperkenalkan kerajaan.
Menurut Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail, PKR senada
dengan PAS kerana berpandangan setiap kaum wajar mendapat hak yang sama
rata tanpa sebarang diskriminasi.
"PKR menghormati dan menyokong pandangan itu kerana di pihak PKR
sendiri, ianya sangat selari," katanya kepada pemberita yang ditemui di
luar perkarangan kamar mahkamah di sini hari ini.
Terdahulu, PAS menolak program pemerkasaan yang diumumkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak Sabtu lalu atas alasan ia hanya fokus
kepada satu kaum sahaja.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sebagai sebuah parti
yang menggunakan slogan kerajaan kebajikan, PAS tidak mendokong program
yang meminggirkan kaum minoriti di negara ini.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata PKR juga sebelum ini telah
mengeluarkan satu dokumen 'Agenda Ekonomi Malaysia' pada 2007 yang
menolak pemberian bantuan berdasarkan kaum.
Justeru katanya program yang diperkenalkan kerajaan itu tidak dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat yang memerlukan.
"Itu juga tidak jauh berbeza dengan pendirian PKR yang pernah diungkap
dalam satu dokumen, yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar pada 2007.
"Dokumen yang dinamakan Agenda Ekonomi Malaysia itu menegaskan tentang
keperluan Malaysia berganjak daripada pemilihan berasaskan warna kulit,
kaum kepada tindakan berdasarkan keperluan," ujarnya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan langkah dan strategi baharu bagi
memperkasakan ekonomi Bumiputera, berpayungkan MEB, yang akan ditubuhkan
tidak lama lagi dan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri dalam
melaksanakan lima strategi utama sebagai kelangsungan implementasi
agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.
Lima strategi utama itu adalah meliputi modal insan, pemilikan ekuiti,
aset bukan kewangan, keusahawanan dan penyampaian perkhidmatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan