Rabu, 18 September 2013

DAP: Pertembungan keluarga Karpal dan Kit Siang

KUALA LUMPUR: Pemilihan semula Jawatankuasa Pusat DAP akhir bulan ini dijangka menyaksikan 'pertembungan epik' antara dua pengaruh besar dalam parti iaitu Pengerusi DAP, Karpal Singh dan pemimpin veteran parti, Lim Kit Siang.

Kedua-dua pengaruh tersebut bergandingan dengan anak masing-masing iaitu Gobind Singh Deo dan Lim Guan Eng dalam pemilihan kira-kira dua minggu lagi itu.

China Press melaporkan, undi untuk Kit Siang dan Guan Eng mungkin berkurangan berbanding pemilihan tahun lalu berikutan gelombang jatuhkan Lim yang dilaporkan muncul di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Melaka.


Selain kedua-dua Lim (Kit Siang dan Guan Eng), kedudukan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham juga dilaporkan bahaya.

Koo Ham yang terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (CEC) pada tangga ke-20 dalam pemilihan tahun lalu berisiko untuk `jatuh tangga' lagi, sekali gus menyebabkan dia gagal terpilih sebagai CEC.

Dalam pemilihan DAP, hanya 20 calon yang menerima undi terbanyak akan terpilih sebagai CEC.

"Guan Eng menerima undi tinggi dalam pemilihan tahun lalu kerana pada masa itu, pilihan raya umum semakin dekat dan parti memerlukan orang untuk memimpin jentera pilihan raya. Walaupun terdapat suara tidak puas hati, tetapi ia dipendamkan.

"Selepas Guan Eng mengukuhkan kedudukan sebagai Setiausaha Agung, beliau tidak mengubah sikap tamak kuasanya dan ini menyebabkan ahli tidak berpuas hati. Keadaan sama juga kelihatan dalam tindakan Guan Eng memperbetulkan kesilapan keputusan pemilihan tahun lepas yang membolehkan penyokongnya iaitu Zairil Khir Johari terpilih sebagai CEC.

"Guan Eng juga memansuhkan nama golongan yang tidak menyokongnya daripada bertanding dalam pilihan raya umum, walaupun mereka berpotensi untuk menang. Keadaan ini menyebabkan gelombang jatuhkan Lim wujud di peringkat negeri,," lapor akhbar berpengaruh bahasa Cina itu.

Kata sumber itu lagi, Guan Eng mempunyai pandangan yang bercanggah dengan Karpal berhubung tarikh pemilihan semula dan keadaan itu sebenarnya didorong oleh kepentingan politik Guan Eng sendiri yang mahu selesaikan pemilihan secepat mungkin.

Selain 'ancaman' daripada Karpal, Guan Eng juga berdepan cabaran dari para penyokong Chow Kon Yeow (Pengerusi Pulau Pinang) dan Dr. Boo Cheng Hau (Pengerusi DAP Johor).

"Kumpulan pencabar akan cuba menarik sokongan bagi menjatuhkan Lim, tetapi jika usaha itu gagal, maka akan berlaku satu lagi siri 'mencantas' ahli yang tidak sehaluan,'' lapor akhbar itu.

Tiada ulasan: