Selasa, 3 September 2013

Yeayyy...minyak naik... 20 sen seliter beb...

Harga petrol RON95 dan diesel akan dinaikkan 20 sen seliter berkuatkuasa 12.01malam ini 3 September.

Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbar khas di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya petang Isnin.

Katanya, bagi mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah, kadar BRIM akan dinaikkan. Jumlahnya akan diumumkan dalam Bajet 2014 nanti.

Beliau menjelaskan, kerajaan akan terus bagi subsidi sebanyak 63 sen seliter untuk RON95 dan 80sen untuk diesel.

Perdana Menteri berkata, melalui dasar rasionalisasi subsidi bahan api ini yang akan bermula esok, kerajaan akan menjimatkan sejumlah RM1.1 bilion pada tahun ini.

"Bagi tahun sepenuhnya, kita menjangka kira-kira RM3.3 bilion, tetapi tahun ini kerana kita akan bermula esok pagi, jumlah itu kira-kira RM1.1 bilion," kata beliau.

Jawab soalan wartawan mengenai kemungkinan pihak pembangkang akan bikin riuh pada kenaikan harga petrol ini, Najib kata, "apapun kita buat pembangkang akan politikkan, tapi ini merupakan proses pengukuhan ekonomi dalam jangka panjang yang akhirnya bertujuan memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, sekiranya ekonomi negara terjejas, ia akan mendatangkan kesan buruk kepada rakyat sepertimana keadaan di sesetengah negara luar yang menerima kesan amat berat apabila mereka gagal menangani ekonomi mereka dengan baik.

"Komitmen kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal akan diteruskan bagi mencapai sasaran defisit fiskal dalam lingkungan tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan belanjawan berimbang menjelang 2020," kata beliau.

"Kita mesti faham ini bukan soal politik, tapi soal masa depan negara, kalau ekonomi terjejas ia akan datangkan kesan buruk kepada rakyat," ujar beliau.

Najib berkata, proses rasionalisasi subsidi sememangnya merupakan sebahagian daripada dasar kerajaan yang dimuktamadkan, namun kerajaan bertekad untuk melaksanakan secara berperingkat-peringkat bagi memastikan kesannya tidak membebankan.

"Kita nak tentukan bahawa kesan yang merupakan bebanan kepada rakyat ini, kita pastikan ditahap paling minimum dan kita akan besarkan lagi jaringan keselamatan sosial seperti yang saya katakan tadi, termasuk kenaikan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia BR1M," kata Najib.

Beliau berkata, kerajaan berusaha agar kesan kenaikan itu tidak membebankan rakyat dan menurutnya, jumlah kenaikan kadar BR1M akan diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2014 nanti.

Najib berkata, kenaikan harga bahan api itu akan memberi kesan minimum dan seterusnya beliau berharap agar para peniaga tidak mengambil peluang ini untuk menaikkan harga barang tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.

Menjawab mengenai kemungkinan kenaikan inflasi selepas kenaikan harga bahan api tersebut, Najib berkata, inflasi pada masa ini masih rendah dan dijangkakan kesan itu tidak akan memudaratkan rakyat.

"Mungkin peningkatannya tidak begitu tinggi," kata beliau.

Semasa ditanya mengenai cukai barangan dan perkhidmatan, beliau berkata: "Apa sahaja berkaitan GST akan diumumkan dalam ucapan belanjawan."

Menyentuh mengenai ringgit, beliau berkata, ringgit mendapat kesan ekonomi luar dan di luar kawalan negara.

"Bank Negara menyedari akan hal ini dan tidak memberi kita tekanan yang tidak wajar pada masa ini, tetapi kita percaya apa yang penting ialah untuk mengukuhkan asas ekonomi," kata beliau.

Beliau juga memberitahu, kerajaan akan mengkaji semula beberapa projek awam yang sebelum ini sudah diumum hendak dilaksanakan.

"Projek-projek yang mempunyai kandungan import yang rendah akan diberi keutamaan dan kesan pengganda yang tinggi akan diberi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terjejas.

"Manakala, pelaksanaan projek yang mempunyai kandungan import yang tinggi akan disusun mengikut jadual yang sewajarnya supaya tidak mendatangkan kesan negatif kepada imbangan pembayaran," kata beliau.

Bagaimanapun, jelas Najib, projek Mass Rapid Transit Jajaran 1, 2 dan 3 akan diteruskan seperti dirancang dan Projek Rel Kelajuan Tingi Koridor Selatan pula masih dalam proses rundingan.

"Kita akan meneliti mana satu projek yang akan dijadualkan semula dan mana projek yang akan diteruskan," tambahnya.

Menurut Perdana Menteri, dalam jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan mengkaji kaedah untuk meningkatkan daya saing ekonomi dan mempelbagaikan lagi pasaran eksport negara.

"Pelancongan, sumber terimaan luar yang besar akan diberi tumpuan selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2014," kata beliau.– OLEH HELME HANAFI - Agendadaily

Tiada ulasan: