Ahad, 1 September 2013

Ahmad Nisfu: Nasib seniman Malaysia

Oleh Melati Pusaka

Sebut sahaja Ahmad Nisfu, semua orang kenalinya kerana dia sering muncul dalam filem-filem arahan P. Ramlee. Tetapi di akhir hayat, beliau meninggal dunia tanpa isteri dan keluarga.

Itulah nasib seniman Malaysia. Kalau di Hollywood, Tan Sri P. Ramlee sudah jadi jutawan, tetapi di Malaysia, P. Ramlee sebagai pengarah, pelakon, penyanyi dan pencipta lagu hidup miskin. Kalau pelakon watak utama seperti P. Ramlee hidup miskin, apatah lagi pelakon pembantu seperti Ahmad Nisfu.

Ahmad Nisfu berasal dari Tanjong Tokong, Pulau Pinang. Pada awalnya ialah seorang pelakon bangsawan dan telah dilamar oleh Shaw Brothers untuk terlibat sama dalam produksi sebagai pelakon filem.

Di sinilah bermulanya kerjaya Ahmad Nisfu sebagai pelakon filem. Walaupun memegang watak-watak yang kecil, Ahmad Nisfu dikatakan seorang yang sentiasa bersyukur walaupun upah yang diterimanya adalah terlalu kecil.

Hakikatnya, wang saku yang diperoleh digunakan untuk menyara dirinya sahaja kerana Ahmad Nisfu adalah seorang yang sebatang kara, tiada saudara mara, keluarga dan juga isteri.

“Walaupun rupa mu tidak ku kenal, tetapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hati ku.” Itu adalah petikan dialog Aziz Sattar dalam filem Seniman Bujang Lapok yang ditujukan kepada tuan direktor lakonan Ahmad Nisfu.

Tagline ini yang membuatkan Ahmad Nisfu terkenal. Malah P. Ramlee memanggilnya Paq Besaq (Pak Besar) kerana lubang hidungnya yang besar.

Teman rapat

Menurut arwah Norizan, bekas isteri P. Ramlee (dalam satu rancangan tv), Ahmad Nisfu merupakan antara teman rapat kepada P. Ramlee.

Buktinya cukup nyata apabila sewaktu kemeriahan studio Jalan Ampas dahulu, setiap filem arahan P. Ramlee, Ahmad Nisfu boleh dikatakan kerap terlibat sama dan memegang watak agak besar. Gelaran Paq Besaq (Pak Besar) juga telah diberikan kepada Ahmad Nisfu oleh P. Ramlee kerana lubang hidung Ahmad Nisfu yang besar.

Pada tahun 1959, Ahmad Nisfu muncul dalam filem Nujum Pak Belalang sebagai Raja. Dalam filem ini P. Ramlee menyindir raja yang zalim kerana sanggup menghukum Pak Belalang jika dia gagal membawa pulang mahkotanya yang hilang.

Pak Belalang berkata, kalau mahu ambil mahkotanya di dalam gua, maka Raja kena masuk merangkak ke dalam gua. Itulah sindiran P. Ramlee kepada raja.

Pada tahun yang sama, Ahmad Nisfu berlakon sebagai raja juga dalam filem Musang Berjanggut. Dalam Pendekar Bujang Lapok, (1959), Ahmad Nisfu jadi ketua samseng.

Beliau bukan sahaja boleh berlakon dalam filem komedi, malah beliau juga muncul dalam filem serius seperti Antara Dua Darjat (1960) sebagai bapa Saadiah yang tidak mahu Saadiah berkahwin dengan bukan keturunan Tengku.

Dalam filem Seniman Bujang Lapok (1961), Ahmad Nisfu berlakon sebagai pengarah filem yang pengsan gara-gara P. Ramlee, Aziz Sattar dan S. Shamsuddin yang menjadi pelakon.

Ahmad Nisfu memegang watak kecil dalam Ibu Mertuaku (1962) yang menjadi promoter kepada Kassim Selamat mengelilingi Malaya.

Pada tahun 1964, beliau muncul dalam filem Tiga Abdul sebagai bapa mertua yang mahu membolot harta P. Ramlee tiga beradik. Manakala dalam filem Madu Tiga, beliau menjadi bapa mertua kepada P. Ramlee yang menyokong tindakan menantunya berpoligami.

Kombinasi Ahmad Nisfu dengan P. Ramlee dalam filem-filem lakonannya menjadi. Jika watak itu diserahkan kepada orang lain, mungkin Madu Tiga, Tiga Abdul, Nujum Pak Belalang tidak sehebat mana.

Lakonannya berkesan

Selepas Studio Jalan Ampas tutup, Ahmad Nisfu muncul dalam filem-filem terbitan Cathay Keris iaitu Dua Kali Lima (1966), Bunga Tanjung (1966), A Go Go 67 (1967), Filem Puaka (1970) dan Mat Karung Guni (1971). Tetapi ternyata lakonannya paling berkesan dalam filem-filem arahan P. Ramlee.

Selepas penutupan Studio Jalan Ampas, Ahmad Nisfu menghabiskan masa dengan beramal di masjid di kawasan beliau tinggal dan juga di sekitar studio Jalan Ampas.

Ahmad Nisfu dikhabarkan seorang yang pandai mengaji Al-Quran. Beliau juga merupakan seorang bilal di masjid di tempat beliau menetap dahulu.

Penutupan Studio Jalan Ampas, menyebabkan beliau tiada punca rezeki, Ahmad Nisfu hidup dengan bantuan ehsan dari orang ramai. Kerana tiada punca rezeki, Ahmad Nisfu hanyalah menetap di Kubu Jepun (pillbox) di Jalan Labu, Singapura.

Di situlah juga tempat Ahmad Nisfu menghembuskan nafas terakhirnya dan dalam keadaan yang sungguh daif tanpa saudara mara, ahli keluarga dan isteri.

Ahmad Nisfu juga pernah menjadi imam di Masjid Onan Road (sudah tiada lagi – tapaknya diambil oleh Muslim Convert Association).

Mungkin kerana keuzuran dia tidak lama menjadi imam di situ. Seperti sudah berputus asa, dia hidup berteduh di kubu Jepun di Jalan Labu tidak jauh dari Masjid Aminah di Jalan Nanas off Geylang Serai.

Lama juga dia tinggal bersendirian disitu di bawah ikhsan orang kampung sekeliling. Tidak lama kemudian dia meninggal, setelah beberapa lama hidup sebatang kara dalam penuh kedaifan.
Alfatihah buat Ahmad Nisfu.

3 ulasan:

ezza berkata...

AL FATIHAH buat Allahyarham Ahmad Nisfu

Unknown berkata...

Alfatehah..semoga Allah curahkan rahmat dan berkati arwah tuan direktur Ahmad Nisfu. Lapangkanlah kuburnya ya Allah.

Kai Ismail berkata...

Alfatehah..semoga Allah curahkan rahmat dan berkati arwah tuan direktur Ahmad Nisfu. Lapangkanlah kuburnya ya Allah.