Oleh Melati Pusaka
Sebut sahaja Ahmad Nisfu, semua orang kenalinya kerana dia sering
muncul dalam filem-filem arahan P. Ramlee. Tetapi di akhir hayat, beliau
meninggal dunia tanpa isteri dan keluarga.
Itulah nasib seniman Malaysia. Kalau di Hollywood, Tan Sri P. Ramlee
sudah jadi jutawan, tetapi di Malaysia, P. Ramlee sebagai pengarah,
pelakon, penyanyi dan pencipta lagu hidup miskin. Kalau pelakon watak
utama seperti P. Ramlee hidup miskin, apatah lagi pelakon pembantu
seperti Ahmad Nisfu.
Ahmad Nisfu berasal dari Tanjong Tokong, Pulau Pinang. Pada awalnya
ialah seorang pelakon bangsawan dan telah dilamar oleh Shaw Brothers
untuk terlibat sama dalam produksi sebagai pelakon filem.
Di sinilah bermulanya kerjaya Ahmad Nisfu sebagai pelakon filem.
Walaupun memegang watak-watak yang kecil, Ahmad Nisfu dikatakan seorang yang sentiasa bersyukur walaupun upah yang diterimanya adalah
terlalu kecil.
Hakikatnya, wang saku yang diperoleh digunakan untuk menyara dirinya
sahaja kerana Ahmad Nisfu adalah seorang yang sebatang kara, tiada
saudara mara, keluarga dan juga isteri.
“Walaupun rupa mu tidak ku kenal, tetapi lubang hidungmu tetap
menjadi pujaan hati ku.” Itu adalah petikan dialog Aziz Sattar dalam
filem Seniman Bujang Lapok yang ditujukan kepada tuan direktor lakonan
Ahmad Nisfu.
Tagline ini yang membuatkan Ahmad Nisfu terkenal. Malah P. Ramlee
memanggilnya Paq Besaq (Pak Besar) kerana lubang hidungnya yang besar.
Teman rapat
Menurut arwah Norizan, bekas isteri P. Ramlee (dalam satu rancangan
tv), Ahmad Nisfu merupakan antara teman rapat kepada P. Ramlee.
Buktinya cukup nyata apabila sewaktu kemeriahan studio Jalan Ampas
dahulu, setiap filem arahan P. Ramlee, Ahmad Nisfu boleh dikatakan kerap
terlibat sama dan memegang watak agak besar. Gelaran Paq Besaq (Pak
Besar) juga telah diberikan kepada Ahmad Nisfu oleh P. Ramlee kerana
lubang hidung Ahmad Nisfu yang besar.
Pada tahun 1959, Ahmad Nisfu muncul dalam filem Nujum Pak Belalang
sebagai Raja. Dalam filem ini P. Ramlee menyindir raja yang zalim
kerana sanggup menghukum Pak Belalang jika dia gagal membawa pulang
mahkotanya yang hilang.
Pak Belalang berkata, kalau mahu ambil mahkotanya
di dalam gua, maka Raja kena masuk merangkak ke dalam gua. Itulah
sindiran P. Ramlee kepada raja.
Pada tahun yang sama, Ahmad Nisfu berlakon sebagai raja juga dalam
filem Musang Berjanggut. Dalam Pendekar Bujang Lapok, (1959), Ahmad
Nisfu jadi ketua samseng.
Beliau bukan sahaja boleh berlakon dalam filem komedi, malah beliau
juga muncul dalam filem serius seperti Antara Dua Darjat (1960) sebagai
bapa Saadiah yang tidak mahu Saadiah berkahwin dengan bukan keturunan
Tengku.
Dalam filem Seniman Bujang Lapok (1961), Ahmad Nisfu berlakon sebagai
pengarah filem yang pengsan gara-gara P. Ramlee, Aziz Sattar dan S.
Shamsuddin yang menjadi pelakon.
Ahmad Nisfu memegang watak kecil dalam Ibu Mertuaku (1962) yang menjadi promoter kepada Kassim Selamat mengelilingi Malaya.
Pada tahun 1964, beliau muncul dalam filem Tiga Abdul sebagai bapa
mertua yang mahu membolot harta P. Ramlee tiga beradik. Manakala dalam
filem Madu Tiga, beliau menjadi bapa mertua kepada P. Ramlee yang
menyokong tindakan menantunya berpoligami.
Kombinasi Ahmad Nisfu dengan P. Ramlee dalam filem-filem lakonannya
menjadi. Jika watak itu diserahkan kepada orang lain, mungkin Madu Tiga,
Tiga Abdul, Nujum Pak Belalang tidak sehebat mana.
Lakonannya berkesan
Selepas Studio Jalan Ampas tutup, Ahmad Nisfu muncul dalam
filem-filem terbitan Cathay Keris iaitu Dua Kali Lima (1966), Bunga
Tanjung (1966), A Go Go 67 (1967), Filem Puaka (1970) dan Mat Karung
Guni (1971). Tetapi ternyata lakonannya paling berkesan dalam
filem-filem arahan P. Ramlee.
Selepas penutupan Studio Jalan Ampas, Ahmad Nisfu menghabiskan masa
dengan beramal di masjid di kawasan beliau tinggal dan juga di sekitar
studio Jalan Ampas.
Ahmad Nisfu dikhabarkan seorang yang pandai mengaji Al-Quran. Beliau
juga merupakan seorang bilal di masjid di tempat beliau menetap dahulu.
Penutupan Studio Jalan Ampas, menyebabkan beliau tiada punca rezeki,
Ahmad Nisfu hidup dengan bantuan ehsan dari orang ramai. Kerana tiada
punca rezeki, Ahmad Nisfu hanyalah menetap di Kubu Jepun (pillbox) di
Jalan Labu, Singapura.
Di situlah juga tempat Ahmad Nisfu menghembuskan nafas terakhirnya
dan dalam keadaan yang sungguh daif tanpa saudara mara, ahli keluarga
dan isteri.
Ahmad Nisfu juga pernah menjadi imam di Masjid Onan Road (sudah tiada lagi – tapaknya diambil oleh Muslim Convert Association).
Mungkin kerana keuzuran dia tidak lama menjadi imam di situ. Seperti
sudah berputus asa, dia hidup berteduh di kubu Jepun di Jalan Labu tidak
jauh dari Masjid Aminah di Jalan Nanas off Geylang Serai.
Lama juga dia tinggal bersendirian disitu di bawah ikhsan orang
kampung sekeliling. Tidak lama kemudian dia meninggal, setelah beberapa
lama hidup sebatang kara dalam penuh kedaifan.
Alfatihah buat Ahmad Nisfu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
3 ulasan:
AL FATIHAH buat Allahyarham Ahmad Nisfu
Alfatehah..semoga Allah curahkan rahmat dan berkati arwah tuan direktur Ahmad Nisfu. Lapangkanlah kuburnya ya Allah.
Alfatehah..semoga Allah curahkan rahmat dan berkati arwah tuan direktur Ahmad Nisfu. Lapangkanlah kuburnya ya Allah.
Catat Ulasan