Rabu, 18 September 2013

Shafee Abdullah kekal ketuai pasukan pendakwaraya rayuan kes liwat

PUTRAJAYA: Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya sebentar tadi, memutuskan pelantikan peguam kanan, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah  mewakili pasukan pendakwaraya dalam perbicaraan rayuan kes liwat dua adalah sah di sisi undang-undang.

Mahkamah yang bersidang sejak pagi Rabu memutuskan perkara tersebut petang ini, selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Dengan keputusan tersebut, Shafee kekal mengetuai pasukan pendakwaan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ramly Ali yang bersidang bersama Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan perkara itu sebentar tadi.

Ramly ketika membacakan penghakimannya berkata, pelantikan Shafee sebagai pendakwaraya oleh Peguam Negara bagi kes rayuan itu adalah sah di sisi undang-undang.


Menurut hakim, pelantikan itu benar mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Acara Jenayah.

Hakim juga menyatakan bahawa Shafee bukan saksi material dalam kes liwat itu, iaitu alasan yang dikemukakan pasukan pembelaan Anwar bagi tidak membenarkan Shafee mengetuai pasukan pendakwaan.

Sebelum ini, Anwar memfailkan permohonan untuk menggugurkan Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berkenaan.

Anwar ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu pihaknya akan merayu ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan hari ini.

Berita Sebelum ini
Kes liwat: Mahkamah dengar permohonan Anwar gugur Shafee Abdullah Rabu

Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya akan mendengar esok Rabu permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah hilang kelayakan daripada menjadi pendakwa raya bagi mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuannya terhadap pembebasan dalam kes liwat Saiful Bukhari Azlan.

Muhammad Shafee dilantik sebagai pendakwa raya oleh Peguam Negara secara "fiat" bagi mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuannya ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Jan tahun lalu yang melepas dan membebaskan Anwar, 64, daripada pertuduhan kes berkenaan.

Anwar dituduh melakukan kesalahan itu di unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Sementara itu Selasa, ekoran permohonan peguam Anwar salah seorang dari tiga hakim penal rayuan kes itu  Datuk Tengku Maimun Tuan Mat telah menarik diri.

Datuk Ramly Ali, yang mempengerusikan panel itu, berkata mahkamah akan melantik hakim lain bagi menggantikan Tengku Maimun.

Panel itu, yang termasuk Datuk Mohd Zawawi Salleh, juga membenarkan bantahan awal Anwar atas alasan beliau mendengar saman fitnah Anwar terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed pada 2007.

"Kami telah membincangkan isu ini. Kami membenarkan bantahan awal. Tengku Maimun, atas kerelaannya, akan menarik diri," kata Ramly.

Beliau juga memberitahu  rayuan pihak pendakwaan yang sepatutnya ke atas pembebasan Anwar tidak akan didengar Rabu tetapi pada masa akan datang oleh panel yang sama.

Dalam prosiding Selasa peguam Anwar, Karpal Singh memohon penarikan diri Tengku Maimun kerana menurutnya dalam penghakimannya dalam saman fitnah itu, menerimapakai dapatan fakta yang dibuat Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat yang pertama di mana Anwar dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dituduh meliwat pemandu keluarganya (Anwar) Azizan Abu Bakar.

Dalam kes liwat pertama itu, Mahkamah Persekutuan pada 2 Sept, 2004, dalam keputusan majoriti dua-satu, membebaskan Anwar dan Sukma Darmawan.

Bagaimanapun, terdapat dapatan khusus oleh hakim-hakim dalam penghakiman majoriti yang menyatakan bahawa mahkamah mendapati keterangan bagi mengesahkan perayu (Anwar dan Sukma Darmawan) terbabit dalam kegiatan homoseksual dan bahawa mahkamah lebih cenderung untuk mempercayai bahawa insiden yang dikatakan di Tivoli Villa itu berlaku.

Karpal berhujah kemungkinan berlaku berat sebelah jika Tengku Maimun bersidang dalam panel itu bagi mendengar rayuan pendakwaan kerana beliau berpegang kepada pandangan Mahkamah Persekutuan.

Muhammad Shafee berhujah bahawa Tengku Maimun sepatutnya tidak menarik diri daripada bersidang dalam panel itu.

Katanya kes berkenaan berlaku enam tahun lalu dan membabitkan menolak permohonan itu yang menyebabkan prosiding perkara itu tidak melalui perbicaraan penuh.

Katanya beliau tidak membuat dapatan fakta tetapi hanya menerimapakai dapatan fakta Mahkamah Persekutuan.

Pada 9 Jan tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, dalam membebaskan Anwar, memutuskan berlaku penetrasi zakar tetapi tidak disokong bukti lain.

Beliau berkata mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti mengenai kewibawaan sampel diambil untuk ujian DNA daripada Mohd Saiful kerana sampel itu mungkin telah diganggu sebelum sampai ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran