14 September 2013. Berikut adalah teks
ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis
Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti
Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor:
Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam
Sejahtera.
1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala
kerana dengan izin-Nya jua kita dapat berkumpul pada pagi ini, di Dewan Agong
Tuanku Canselor, Kampus Induk Universiti Teknologi MARA, sebuah institusi
simbol serta perlambangan kepada perjuangan Melayu dan Bumiputera yang tiada
pernah hentinya.
2. Terlebih dahulu, saya, bagi pihak Kerajaan, merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat
Melayu dan Bumiputera yang telah menunjang, mandat serta kepercayaan kepada
Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13... untuk terus menerajui kepimpinan
negara. Apa yang lebih mengharukan adalah, UMNO sebagai parti tonggak kepada
Barisan Nasional, telah berjaya menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada
88.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
3. Ini membuktikan, walau apapun rintangan, sekali apapun
tohmahan, Kepimpinan Transformatif UMNO, bersama parti-parti komponen Barisan
Nasional yang lain terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai
parti pilihan rakyat, bagi tempoh 5 tahun akan datang,.... demi meneruskan
agenda Melayu dan Bumiputera di tanah air tercinta ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
4. Setelah selesai Pilihanraya Umum yang lalu, kita
mendengar pelbagai rungutan, pelbagai keluh-kesah serta ketidakpuasan hati,
yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera, tentang nasib, masa depan dan halatuju,
bersama anak-anak cucu mereka, di bumi tanah tumpah darah kita.
5. Sememangnya, kita mendengar rintihan tuan-tuan dan
puan-puan. Kita juga, menyelami denyut nadi serta resah gulana tuan-tuan dan
puan-puan......, Yes... indeed!!!... we hear you... we hear you loud and clear.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
6. Sejak negara mencapai kemerdekaan, tanggal 31 haribulan
Ogos tahun 1957, rakyat telah hidup dalam keharmonian, bersatu padu, membina negara.
Pada 16 haribulan September 1963, Sabah dan Sarawak pula bergabung bagi
membentuk Malaysia. Alhamdulillah, penyatuan ini, membawa sejuta rahmat kepada
kita. Lusa, dengan izin Tuhan jua, kita akan menyambut genapnya lima puluh
tahun, perayaan jubli emas Malaysia, yang InsyaAllah akan saya hadiri di
Bandaraya Kuching dan Kota Kinabalu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
7. Menyonsong populasi negara, pada tahun 1970, Bumiputera
berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus penduduk. Orang Melayu terdiri daripada
sembilan suku kaum utama, orang asli pula terbahagi kepada 18 kategori,
Bumiputera Sabah sebanyak 40 suku, manakala di Sarawak terdapat sejumlah 60
etnik.
8. Semasa Perhimpunan Agong UMNO Tahun 2010, saya sebut
bahawa Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu, Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu, keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli
adalah Melayu, Arab dan Pakistani semua juga kira Melayu, malah muallaf
bertakrif Melayu, waima.... Mamak dan Malabari pun....... dah serap ke Melayu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
9. Banci Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang
Melayu dan Bumiputera Islam berjumlah 59.7 peratus. Manakala Bumiputera Bukan
Islam pula, 7.6 peratus bilangan daripada rakyat keseluruhannya.Unjuran terkini,
setakat 2012, menganggarkan warganegara Malaysia, adalah seramai 27.4 juta
orang, yang mana Bumiputera adalah 18.6 juta atau 67.9 peratus.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
10.
Sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh pihak Kerajaan telah digubal berasaskan
perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut. Secara prinsipnya, perkara dan
amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama
oleh seluruh rakyat Malaysia, seperti mana dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas
negara kita
terdahulu, dilindungi, dan dimaktubkan dalam Perlembagaan
Persekutuan melalui Perkara 153, Perkara 160 (2), Perkara 161A (6)
(a). Juga Perkara 161A (6) (b).
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
12.
Perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan baik-baik oleh semua pihak bahawa kita sentiasa menginsafi dan beringat-ingat
tentang Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional. Ini kerana, jika
sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau
dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita
tidak mungkin
mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan
sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020.
13.
Hatta, sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan
sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat,
meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara.
Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak
sesiapa, tetapi
sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baru dan penjanaan
pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
14.
Tawarikh dunia juga telah menunjukkan bagaimana jika sesebuah Kerajaan itu gagal memainkan peranan pro-aktif sebagai pengimbang
sosioekonomi secara adil dan saksama, antara mereka yang memiliki dan tidak
memiliki, antara pemodal dan pekerja, antara tuan punya tanah dan penyewa, antara
pekerja kolar putih dan kolar biru, telah dan sedang membawa malapetaka.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
15.
Jika
dihimbau kembali, Dasar Ekonomi Baru yakni DEB telah diperkenalkan pada
tahun 1971, oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Ayahanda
saya, untuk menangani isu ketidakseimbangan sosioekonomi antara etnik
dan pembasmian kemiskinan berikutan tragedi 13 Mei 1969.
16.
Begitulah
Dasar Ekonomi Baru telah berlangsung di antara tahun-tahun 1971 hingga
1990. Semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2010 pula,
sebanyak 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang telah
dilaksanakan.
17.
Dasar
Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga
tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi
tahun 2001 sehingga 2010. Dalam pada itu, saya juga telah melancarkan
Dasar
Transformasi Nasional, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, sebagai
paksi
pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020 kelak.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
18.
Sejak
merdeka, Kerajaan telah mewujudkan pelbagai instrumen dan institusi
demi Melayu dan Bumiputera, antaranya, Bank Bumiputera,
Lembaga Urusan Tabung Haji, MARA, FELDA, RISDA, FELCRA, UDA, PERNAS,
DARA, JENGKA,
KETENGAH dan KESEDAR. Perdana Menteri Ketiga yakni, Tun Hussein Onn pula
telah menubuhkan Permodalan Nasional Berhad dan melancarkan Skim Amanah
Saham
Nasional.
19.
Seperti yang kita maklumi juga, kepentingan Bumiputera telah diperkukuhkan lagi oleh Perdana Menteri Keempat, yakni Tun
Dr. Mahathir melalui Dasar Penswastaan dan Wawasan 2020, yang menjadi landasan
perjalanan negara kini. Perdana Menteri Kelima pula, Tun Abdullah telah
mewujudkan Koridor-Koridor untuk merancakkan pembangunan ekonomi wilayah.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
20.
Sejak saya mengambil alih pentadbiran negara, Kerajaan telah melancarkan Model Baru Ekonomi, yang bermatlamat untuk menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, dengan pertumbuhan yang
saksama, menyaksikan masyarakat Melayu dan Bumiputera setanding dengan masyarakat
lain pabila fajar negara maju menyinsing kira-kira tujuh tahun lagi.
21.
Selain itu, secara dasarnya, Model Baru Ekonomi memperkenalkan pendekatan pembangunan secara inklusif berasaskan prinsip
pertumbuhan dengan kesaksamaan atau growth with equity, bagi mempastikan semua
masyarakat di Malaysia memperoleh manfaat daripada pembangunan ekonomi dan
kekayaan negara.
22.
Manakala,
Rancangan Malaysia Kesepuluh, bermula pada tahun 2011 yang lalu hingga
2015 nanti, bertujuan untuk menyediakan peluang yang
adil kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik mahupun latar
kedudukan
geografi, untuk terlibat sama dalam semua aktiviti ekonomi. Ini, adalah
berasaskan kepada prinsip mesra pasaran, berasaskan keperluan, telus dan
meritokrasi. Akan tetapi meritokrasi yang kita maksudkan di sini adalah
persaingan
dalam kalangan Bumiputera.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
23. Kerajaan
juga telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi bagi membentuk satu ekosistem
pembangunan ekonomi negara yang teguh dan berdaya tahan. Hasil pelaksanaan
program transformasi, pertumbuhan ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang
kukuh dalam situasi ekonomi global tidak menentu. Pada tahun 2011 dan 2012,
kadar pertumbuhan ekonomi negara berkembang masing-masing sebanyak 5.1 dan 5.6
peratus.
24. Apa
yang ingin saya tegaskan di sini, pertumbuhan secara berterusan begini, adalah amat penting, kerana, pertama, dengan adanya
pertumbuhan, barulah kita dapat mengagihkan kekayaan negara kepada seluruh rakyat
Malaysia.
Tuan-tuan
dan Puan-Puan,
25.
Melalui perancangan ekonomi yang rapi dan bijaksana, taraf hidup Bumiputera telah meningkat. Misalnya, pendapatan purata
bulanan isirumah Bumiputera telah naik daripada 172 ringgit pada tahun 1970an
kepada 4,457 ringgit pada tahun 2012 atau hampir 2,500 peratus dalam
jangkamasa 42 tahun.
26.
Kadar kemiskinan Bumiputera pula, telah berkurangan daripada 64.8 peratus dalam tahun 1970an kepada 2.2 peratus pada tahun 2012.
Pemilikan ekuiti syarikat korporat Bumiputera juga telah meningkat daripada hanya 2.4 peratus
dalam tahun 1970an kepada 23.5 peratus pada tahun 2011.
27.
Selain itu, kecuali dalam beberapa sektor guna tenaga tertentu, bilangan tenaga kerja Bumiputera dalam kategori profesional,
terutamanya golongan bertauliah seperti doktor-doktor perubatan, para jurutera
dan para peguam sudah menghampiri peratusan komposisi kaum.
28. Ini
membuktikan, Dasar Ekonomi Baru, sebagai langkah awal telah berjaya menangani jurang antara kaum dalam usaha membangunkan
sosioekonomi masyarakat Bumiputera. Jelasnya, sepanjang lebih 4 dekad, masyarakat
Bumiputera telah melalui Fasa Pertama Transformasi.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
29.
Namun begitu, Kerajaan sedia maklum bahawa masih wujudnya jurang ketaksamaan pendapatan antara etnik. Sebagai contoh, pada
tahun 2012, pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih tinggi berbanding
Bumiputera pada nisbah 1 kepada 1.43 kali ganda.
30.
Dalam
konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat pula, kita masih belum
mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus. Effective
control kita ke atas syarikat korporat terkini hanyalah pada sekitar 10
peratus.
Kerajaan juga faham bahawa penglibatan masyarakat Bumiputera dalam
aktiviti
keusahawanan masih tidak signifikan dan majoritinya hanya berada pada
tahap usahawan
kecil dan mikro.
31.
Lantaran yang demikian, Tuan-Tuan dan Puan-Puan.. atas sokongan dan dokongan yang diberikan oleh orang-orang Melayu dan
Bumiputera, pada Pilihanraya Umum Ke-13 baru-baru ini...., maka, .... pada hari
ini........, Kerajaan memutuskan untuk membuat satu anjakan besar bagi
melaksanakan strategi-strategi serta pendekatan-pendekatan yang konkrit lagi tuntas.
32.
Perjumpaan penuh bermakna dan bersejarah ini, kita namakan sebagai Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Segalanya ini, kita
perbuat, demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan Masyarakat Bumiputera,
dari dulu, kini dan selama-lamanya........
Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini memberi fokus kepada lima strategi utama.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
Fokus
Pemerkasaan Pertama : MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA
33.
Seperti kita maklumi, modal insan merupakan aspek terpenting dalam membangunkan sesebuah masyarakat. Kerajaan sebenarnya telah
berjaya menempatkan secara signifikan pelajar Bumiputera di institusi pengajian
tinggi awam dalam negeri dan luar negara. Oleh itu, fasa seterusnya adalah
pemerkasaan modal insan Bumiputera yang menjurus kepada pemadanan kelayakan dan
kemahiran tenaga kerja dengan keperluan pasaran.
34.
Untuk
tujuan itu, pertamanya, bagi golongan remaja yang rendah pencapaian
akademik dan tahap kemahiran, Kerajaan akan memperbanyakkan
program peningkatan kemahiran bagi menyediakan peluang kedua supaya
mereka
memperoleh lebih banyak ruang untuk mendapat pekerjaan.
35.
Dalam
aspek ini juga, program re-skilling akan dipergiatkan. Untuk tujuan
itu, peruntukan tambahan akan diberikan kepada GiatMARA bagi
memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program
latihan. Manakala bilangan program latihan yang dikendalikan oleh
Institut
Kemahiran Belia Negara juga akan ditambah dengan mengamalkan pendekatan
latihan dua
syif.
36.
Kedua,
kepada golongan graduan Bumiputera yang mengganggur pula, Kerajaan akan
menggiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah
kebolehpasaran, agar bersesuaian dengan keperluan industri. Untuk tujuan
tersebut, program-program seperti Skim Latihan 1Malaysia, Graduate
Employability Management Scheme dan Program Peneraju Skil akan
diperluaskan untuk menambah bilangan penerima faedah.
37.
Ketiganya,
bagi menambah bilangan Bumiputera berkelulusan tinggi, agensi berkaitan
seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA akan
memperluaskan Program Pendidikan Lepasan Ijazah bagi memenuhi keperluan
pasaran
terutamanya dalam bidang-bidang kritikal dan berteknologi tinggi.
38.
Keempat, dalam melahirkan lebih ramai golongan profesional Bumiputera, Program Peneraju Profesional di bawah Yayasan Peneraju
Pendidikan Bumiputera serta program-program seumpamanya akan diperluaskan. Ini
akan membantu mereka memperoleh pengiktirafan sebagai tenaga kerja profesional
dan bertauliah, terutamanya dalam bidang-bidang kritikal seperti akauntan,
doktor pakar, arkitek, jurutera dan ahli sains aktuari.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
Fokus
Pemerkasaan Kedua : MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT
39.
Sehingga
kini, had maksimum bagi setiap individu dalam pelaburan Amanah Saham
Bumiputera adalah sebanyak 200 ribu ringgit. Justeru,
bagi menggalakkan penyertaan, terutamanya golongan menengah Bumiputera
dalam
pemilikan saham, sukacita saya mengumumkan Skim Amanah Saham Bumiputera 2
atau ASB2 akan dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad, dengan
suntikan
sebanyak 10 bilion unit saham.
40.
Ekuinas pula akan diberi tanggungjawab untuk mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya Bumiputera. Program
tersebut akan ditransformasikan melalui ekuiti dan kepakaran pengurusan,
bagi membimbing syarikat-syarikat Bumiputera supaya dapat disenaraikan di
Bursa Malaysia.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
Fokus
Pemerkasaan Ketiga : MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA
41.
Bumiputera masih lagi ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan seperti rumah kediaman, premis industri dan kompleks
komersial. Sebagai contoh, dalam tahun 2012, transaksi rumah kediaman yang direkodkan
oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, menunjukkan hanya 36.3 peratus transaksi
rumah kediaman melibatkan Bumiputera dengan nilainya hampir 18 bilion
ringgit atau 26 peratus.
42.
Pada
sudut lain pula, banyak aset bukan kewangan seperti hartanah dalam
kalangan masyarakat Bumiputera Islam, yang tidak diuruskan
secara teratur atau terbiar menyebabkan nilai aset berkenaan menjadi
rendah.
Justeru, bagi mengoptimakan nilai dan manfaat aset berkenaan, sebagai
permulaan, Yayasan Wakaf Malaysia akan diperkemaskan, untuk ditukar
taraf menjadi
entiti Wakaf korporat.
43.
Peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Berhad, Majlis Amanah Rakyat dan Perbadanan Usahawan Nasional
Berhad akan diperkukuhkan bagi membangun atau memperoleh hartanah komersil dan
industri, terutamanya di lokasi strategik di seluruh negara.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
44.
Di
samping itu, kerajaan menyedari tahap kemampuan masyarakat Bumiputera
untuk memiliki rumah adalah rendah dan ditambah lagi dengan
harga pasaran rumah yang semakin meningkat. Ke arah memperkasakan
pemilikan aset
hartanah, bagi menjana kekayaan Bumiputera, kerajaan melalui Syarikat
Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA serta Syarikat Perumahan Negara
Berhad
dan dengan kerjasama Kerajaan-Kerajaan Negeri, akan memperbanyakkan
pembinaan
rumah mampu milik kepada Bumiputera di seluruh negara, termasuk Sabah
dan
Sarawak.
45.
Manakala menurut perangkaan, 58 peratus daripada 72 peratus penduduk Malaysia yang menetap di bandar adalah Bumiputera. Namun,
Kerajaan tahu, peratusan pemilikan hartanah Bumiputera di kawasan bandar
adalah kecil. Maka, tanpa intervensi Kerajaan, bagi membetulkan keadaan ini,
kedudukan pemilikan hartanah Bumiputera semakin meruncing.
46.
Lantaran itu, peranan UDA Corporation akan diperkukuhkan untuk membantu membangun hartanah termasuk rumah kediaman, kompleks dan
ruang perniagaan, bangunan industri dan perdagangan di kawasan bandar.
47.
Bersabit hal ini juga, saya akan mengarahkan GLC dan GLIC yang terlibat dalam perniagaan hartanah untuk memberi penekanan kepada
pembangunan hartanah Bumiputera terutamanya perumahan, rumah kedai dan premis
komersial.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
Fokus
Pemerkasaan Keempat : MEMPERHEBAT KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA
48.
Sebagaimana kita maklum, perniagaan dan keusahawanan merupakan aktiviti ekonomi terpenting bagi menjana pendapatan dan kekayaan.
Walau bagaimanapun, penglibatan Bumiputera dalam kegiatan tersebut masih rendah
disebabkan terdapat beberapa kekangan yang dihadapi termasuk teknologi
pengeluaran yang lapuk, kekurangan akses kepada dana dan modal serta pasaran produk
yang terhad.
49.
Dalam mengatasi isu akses kepada dana pembiayaan bagi usahawan kecil dan sederhana pula, peranan agensi pembangunan usahawan
Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan PUNB akan
diperkuatkan supaya bilangan usahawan Bumiputera yang menerima akan bertambah,
termasuk di Sabah dan Sarawak.
50.
Sehubungan itu, sukacita saya umumkan, tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak 300 juta ringgit untuk
tempoh lima tahun. Bilangan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, yang majoritinya
wanita, disasarkan meningkat daripada 350 ribu kepada 500 ribu orang pada tahun
2015 kelak.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
51.
Pada
kesempatan ini juga, saya mengumumkan, dana tambahan sejumlah 700 juta
ringgit kepada TEKUN Nasional. Bilangan usahawan TEKUN
Nasional juga dijangka akan meningkat daripada 270 ribu pada tahun 2013,
kepada 370 ribu pada tahun 2015.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
52.
Bagi
menyahut keluhan usahawan yang mengalami kesukaran mendapatkan akses ke
pasaran, maka, saya akan mengarahkan semua Kementerian
dan GLC mengukuhkan sistem pembangunan vendor Bumiputera. Pemilihan
vendor
mestilah berasaskan meritokrasi di kalangan Bumiputera. Barulah usahawan
Bumiputera dapat dipupuk menjadi berdaya maju dan mampan.
53.
Seiring
dengan itu, saya juga mahukan jangka masa kontrak dan konsesi vendor
disesuaikan dengan tempoh bayaran balik pinjaman bank
agar projek mereka dapat dijalankan dengan lancar.
54.
Berkait dengan pemerkasaan Program Pembangunan Vendor atau VDP, PETRONAS hendaklah melonjakkan program VDP-nya, bagi mengukuh
rantaian bekalan sektor minyak dan gas. Tenaga Nasional pula dalam sektor tenaga,
manakala Telekom Malaysia dan AXIATA dalam sektor komunikasi, UEM dalam
sektor pembinaan serta Sime Darby dan Felda Global Ventures untuk sektor
perladangan.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
55.
Dengan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini juga, saya mahukan semua Ketua Pegawai Eksekutif di GLC menetapkan sasaran ke atas
penyertaan Bumiputera termasuk perolehan yang dianugerahkan kepada vendor. Ini
wajiblah dimasukkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama atau KPI kepada CEO atau
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat masing-masing.
56.
Sehubungan itu, suka saya kongsikan dalam sektor minyak dan gas antara sekarang sehingga tahun 2017, PETRONAS sedang dan akan
menjalankan beberapa projek utama dalam sektor upstream dan downstream. Melalui
projek-projek tersebut, kita merangkakan supaya syarikat-syarikat
Bumiputera mendapat manfaat daripada kontrak yang bernilai 20 bilion ringgit setiap
tahun untuk kerja-kerja perkhidmatan di sektor upstream dan downstream.
57.
Jangka hayat kemudahan-kemudahan ini selalunya mengambil masa selama 25 tahun atau lebih. Dianggarkan sekurang-kurangnya 22 skop
kerja kritikal bakal diwujudkan dan dapat memberi manfaat kepada
syarikat-syarikat Bumiputera.
Tuan-tuan
dan Puan-puan,
58.
Bagi
menangani isu rantaian perbekalan pula, Kerajaan melalui GLC dan GLIC,
akan membangunkan sekumpulan usahawan Bumiputera yang
akan melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan pembuatan dan
perindustrian yang
berpotensi dan mempunyai nilai tambah tinggi. Dalam konteks ini, GLC dan GLIC akan
menerajui usaha untuk mewujudkan beberapa konsortium syarikat
Bumiputera dalam sektor-sektor yang terlibat.
Tuan-Tuan
dan Puan-puan,
59.
Program
Penswastaan, secara umumnya, telah berjaya menjadi pemangkin bagi
mewujudkan individu dan syarikat Bumiputera yang berjaya.
Oleh itu, untuk merancakkan lagi program berkenaan, Unit Kerjasama Awam
Swasta atau UKAS akan mengambil inisiatif untuk mengenalpasti secara
terpilih
mana-mana perkhidmatan Kerajaan yang berdaya maju untuk diswastakan
kepada
Bumiputera.
60.
Sebagai langkah untuk mempastikan peluang syarikat Bumiputera untuk memperoleh kontrak serta sebagai persediaan untuk bersaing
pada masa hadapan pula, dasar Carve-out akan diperluaskan kepada projek-projek
besar lain di bawah kementerian serta GLC dan GLIC. Dasar ini telah berjaya
dilakukan di dalam projek MRT di mana sebanyak 47 peratus atau 9 bilion ringgit
telah dianugerahkan kepada syarikat Bumiputera terpilih secara meritokrasi.
61.
Sebagai contoh, empat projek tambahan yang telah dikenalpasti untuk menyertai program ini ialah Projek Menara Warisan Merdeka,
Bukit Bintang City Centre, MATRADE Exhibition Centre dan Program Pembangunan
Institut Penyelidikan Getah Sungai Buloh.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
62.
Demi kelangsungan agenda, kita wajar membina satu Komuniti Baru Entrepreneur Bumiputera yang mempunyai daya tahan, daya
saing, daya juang, inovatif dan berani mengambil risiko. Mereka juga perlu
mempunyai minat yang tinggi serta passionate dalam menyertai bidang-bidang baru
berasaskan pengetahuan atau knowledge based economy seperti teknologi
maklumat,
bioteknologi dan teknologi hijau.
63.
Untuk
tujuan ini, satu skim pembiayaan baru lagi unik dinamakan sebagai Skim
Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau ringkasnya
SUPERB akan diperkenalkan. Skim ini bertujuan untuk membantu syarikat
start-up. Bagi tujuan itu, dana sebanyak 100 juta ringit akan
diperuntukkan dalam
tempoh tiga tahun.
64.
SUPERB ini akan menyediakan kemudahan geran sehingga 500 ribu ringgit kepada entrepreneur baru yang kreatif dan inovatif dalam
bidang-bidang strategik yang mempunyai potensi masa hadapan yang besar.
65.
Pemilihan
entrepreneur-entrepreneur Bumiputera ini adalah berdasarkan merit dan
akan dibuat oleh sekumpulan panel entrepreneur di
kalangan mereka yang telah berjaya. Di samping itu, entrepreneur baru
yang
terpilih akan turut mendapat perkhidmatan mentoring daripada
entrepreneur yang
sudah berjaya tersebut.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
Fokus
Pemerkasaan Kelima : MEMANTAPKAN EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
66.
Sebagaimana yang saya sebutkan, Kerajaan mendengar luahan rasa yang dilontarkan oleh masyarakat Bumiputera berhubung tahap
penyertaan dalam program pembangunan sosioekonomi. Oleh itu, bagi mempastikan agenda
pembangunan sosioekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan secara efektif,
sistem penyampaian akan diperkemas dan diperkejap untuk mewujudkan ekosistem
yang cekap, komprehensif dan konstruktif.
67.
Untuk itu, Unit-Unit Pembangunan Bumiputera atau UPB akan diwujudkan di semua kementerian. Unit Pembangunan Bumiputera ini
bertanggungjawab bagi merangka cadangan dan melaksana inisiatif Agenda Bumiputera.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
68.
Menjiwai kepentingan dan perjuangan Bumiputera, saya ingin memetik Tujuh Wasiat, oleh Sembilan Raja-Raja Melayu, semasa
memperkenankan perjanjian kemerdekaan untuk menubuhkan sebuah Persekutuan.
Bahawasanya: “Kami
isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar
dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik
dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya
kamu rebutlah bersama-sama kaum lain”.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
69.
Wasiat
ini sangat terang lagi bersuluh. Ia telah menyatakan tentang ekuiti dan
pemilikan orang Melayu dan kemudiannya diperluaskan
kepada Bumiputera, melalui kebersatuan Sabah dan Sarawak pabila Malaysia
dibentuk 50 tahun yang lalu.
70.
Kendatipun begitu, bagi pihak Kerajaan, secara tulus ikhlas saya meminta kepada semua pihak, agar jangan bersalah sangka atau
sesekali bersalah faham, tentang pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini. Sesungguhnya,
inisiatif dan haluan besar ini, kita lakukan bukan dengan jalan memintas, tidak
dengan cara mengambil hak orang lain, mahupun menafikan kepentingan sesiapa.
Ladies
and Gentlemen,
71.
Certainly!... We are doing what is fair,... we are doing what is right..., and we are doing what is equitable. Maknanya, kita
tidak mempunyai apa-apa nawaitu, atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap
bangsa-bangsa lain.
72. Sayugia,
yang tertanam di benak sanubari saya dan kerajaan, adalah hasrat murni untuk terus gigih mencipta serta menjana kekayaan
baru. Semoga nikmat dan kemakmurannya, dapat diraih serta dirasai oleh semua
golongan sebagai rakyat Malaysia secara adil dan saksama.
73.
Bahkan,
kerukunan kita telah diiktiraf pada tangga ke-20 sebagai negara paling
stabil dan aman di dunia..............., Begitulah
istimewa dan uniknya Malaysia.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
74.
Pucuk
pangkalnya, hendak saya pertegaskan bahawa kita adalah kerajaan yang
berhemah lagi bertanggungjawab, ke atas seluruh lapisan
rakyat, tanpa mengira apa jua latar belakang samada Bumiputera atau
bukan
Bumiputera, Islam mahupun bukan Islam.
75.
Kita
juga tidak seperti sesetengah pelaku politik, yang tidak sudah-sudah
menyalakan api perkauman sehingga menggerun dan memesongkan
pemikiran rakyat.
76.
Suka tidak suka, seandainya tidak berhati-hati dan terpengaruh dengansentimen pihak luar, melalui dalang dan petualang dalaman
ini, maka, tempiasnya akan terpercik kepada kita. Sekiranya dibiar dan tidak
dibendung, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi merdeka
pada akhirnya akan musnah dan membungkam.... Barang dijauhkan oleh Allah
jua.....
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
77.
Sebagai
mana di awal ucapan tadi, saya menyatakan kita berhimpun di sini bukan
untuk saja-saja, kita berkumpul di sini bukan untuk
suka-suka......... Seperti slogan yang popular, UiTM Dihatiku....
makanya, Universiti
Teknologi MARA ini sangat dekat di hati kita, sebagai sebuah institusi
Bumiputera yang cukup membanggakan.
78.
Bahkan....., masih segar lagi dalam ingatan, sewaktu berucap sebagai Timbalan Presiden UMNO, pada Perhimpunan Agung tahun
2005........., saya telah mengumumkan supaya enrolmen pelajar UiTM ditingkatkan
daripada 100,000 kepada 200,000 menjelang
tahun 2015. Kini,...... Alhamdulillah, bilangannya sudah pun mencecah 180,000 orang.
79.
Pagi ini pula........., saya ingin mengumumkan hasrat peningkatan enrolmen pelajar Universiti Teknologi MARA ini kepada
250,000 menjelang tahun 2020. Penambahan ini juga termasuk penubuhan beberapa lagi
kampus baru di seluruh negara.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
80.
Demi Melayu......, Demi Bumiputera........, Saya ingin mengumumkan penubuhan Dana Pendidikan MARA yang berjumlah 1 bilion
ringgit bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan,
penyelidikan dan pembangunan serta inovasi. Dana ini berbentuk Matching
Fund nisbah satu kepada satu antara MARA dan Kerajaan yang disalurkan secara
berperingkat.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
81.
Kita
juga sedar, masyarakat Bumiputera meletakkan harapan yang tinggi kepada
TERAJU bagi menakhoda agenda pembangunan Bumiputera.
Kini, untuk membestarikan lagi TERAJU, sebagai sebuah badan yang unggul,
ia akan diletakkan langsung di bawah saya sendiri sebagai Perdana
Menteri,
dengan diketuai oleh seorang Menteri atau Pegawai Eksekutif bertaraf
Menteri.
82.
Sebagai memenuhi hasrat kita untuk mewujudkan Komuniti Entrepreneur Bumiputera, sukacita saya umumkan bahawa Institut
Keusahawanan Negara atau INSKEN kini, akan diletakkan di bawah seliaan TERAJU.
Begitulah juga Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau SUPERB yang baru
saya wujudkan tadi.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
83.
Sebagai payung dan kemuncak strategi pemerkasaan ini, sebuah council yang dipanggil Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB akan
ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera. Majlis
Ekonomi Bumiputera ini akan dipengerusikan sendiri oleh saya dan Timbalan
Pengerusinya adalah YAB Timbalan Perdana Menteri dengan keanggotaan beberapa menteri
berkenaan. Keahliannya pula bersifat kompak, di mana pelbagai badan bukan
kerajaan dan
pihak-pihak yang releven akan diundang. Majlis yang penting
ini, akan bersidang sekurang-kurangnya sekali sebulan dan jika perlu lebih dari
itu.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
84.
Maka, berpasak dan bertunjang dengan Majlis Ekonomi Bumiputera ini....., kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera, usahlah
berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah, kerana,...... selagi ada bulan dan
bintang,.......... selagi hayat dikandung badan,............. survival Melayu dan
Bumiputera tetap menjadi keutamaan dan pelita perjuangan kita sampai bila-bila.
85.
Akhir kalam, saya berikrar akan terus beristiqamah memperkasakan ekonomi Melayu dan Bumiputera. Mudah-mudahan dengan izin dan
ketentuan Allah jua, semuanya akan tercapai.
HIDUP
MELAYU........ HIDUP BUMIPUTERA........ HIDUP MALAYSIA.......
Wabillahitaufik
Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima
kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan