Ahad, 15 September 2013

Hapus EO, apa kata Musa Hassan, Zaman Khan dan Kadir Jasin


Adakah polis sudah hilang kuasa selepas Ordinan Darurat (EO) dimansuhkan? Itulah yang menjadi bualan masyarakat hari ini selepas kerajaan membuat keputusan mengejutkan itu beberapa tahun lalu.
Sebelum ini, dengan adanya EO, Malaysia telah dimasukkan dalam carta tangga ke-20 sebagai negara paling selamat diduduki dan dilawati, tempat keempat di Asia Pasifik selepas Australia dan New Zealan, manaka di tangga teratas di Asia.

Namun, sejak EO dimansuhkan, negara telah menyaksikan kejutan yang bukan kepalang apabila dalam tempoh empat bulan dari April hingga Julai lalu, perangkaan polis menunjukkan sebanyak 42 kes tembak menembak dan kematian berlaku. Keadaan ini menyebabkan masyarakat berada dalam kebimbangan dengan keselamatan mereka.

Justeru, bermula awal bulan ini, kita dapati polis telah ‘mengamuk’ dan menangani kegiatan jenayah sebaik mungkin sehingga beratus-ratus penjenayah ditangkap dan berpuluh-puluh senjata api dirampas. Malah, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyiarkan nama-nama kumpulan kongsi gelap dan gangster.

Bagi mengupas keadaan ini dan kejadian jenayah kongsi gelap yang semakin berleluasa selepas EO dihapuskan, dua bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Zaman Khan serta Ketua Pengarang Kumpulan The New Street Times Press (NSTP), Datuk Kadir Jasin mempunyai pandangan masing-masing. Ikuti bual bicara mereka.

MUSA HASSAN: Kerana tidak ada undang-undang pencegahanlah (Ordinan Darurat atau EO) kita (polis) tidak dapat mengambil tindakan dengan lebih berkesan terhadap kegiatan jenayah seperti kongsi gelap dan gangster. Ini kerana pihak tertentu telah melihat dengan pandangan negatif terhadap EO, kononnya orang yang ditangkap di bawah undang-undang ini tidak dituduh atau dibicarakan di mahkamah menyebabkan masyarakat menganggapnya sebagai zalim.

Saya melihat dari segi trend penjenayahan itu sendiri... EO diwujudkan untuk menangani jenayah-jenayah sindiket kerana jenayah ini mempunyai kumpulan penjenayah. Mereka ada ketua, ada orang tengah, ada sumber kewangan dan macam-macam lagi.

Tetapi dengan menggunakan undang-undang yang konvensional, apabila polis menangkap orang yang melakukan kesalahan, selalunya yang ditangkap ini adalah orang bawahan, manakala orang atasan termasuk ketua tidak akan ditangkap kerana dilindungi. Polis pula menghadapi masalah untuk mendapatkan maklumat kerana orang bawahan yang ditangkap ini takut hendak memberitahu kepada polis siapa ketua mereka dan selalunya, orang peringkat bawahan ini tidak tahu siapa ketua mereka.

Oleh sebab itu, sekiranya penjenayah di peringkat bawahan ini boleh dituduh di mahkamah, pihak polis yang menggunakan undang-undang pencegahan (EO) ini dapat mengumpulkan maklumat daripada siasatan dan risikan untuk membolehkan polis menyiasat lebih lanjut bagi mengetahui siapakah ketua berkenaan. Sebab itu, kadang-kadang apabila tidak ada saksi yang hendak memberi keterangan di mahkamah, maka undang-undang EO ini digunakan.

Selalunya dalam kes begini, ia melibatkan jenayah keganasan dan dengan wujudnya jenayah keganasan ini, mana-mana saksi yang dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan, mereka takut untuk berbuat demikian di mahkamah. Ini yang kita memerlukan EO.

Ada pihak tertentu mendakwa, penggunaan EO ini langsung tidak memberi peluang kepada yang ditahan untuk membela diri dan kenapa tidak ada siasatan dilakukan bagi membuktikan penglibatan mereka dalam satu-satu kegiatan jenayah itu.

Tetapi kita harus ingat, polis tidak sewenang-wenangnya menggunakan EO ini dengan menangkap orang tertentu sesuka hati. Di bawah undang-undang EO ini, kita ada Jawatankuasa Penasihat. Setiap tindakan polis itu akan dikaji oleh jawatankuasa ini dan sekiranya didapati ada kesilapan yang dilakukan oleh pihak polis dalam siasatan itu, maka jawatankuasa ini boleh membebaskan orang berkenaan. Begitu juga sekiranya didapati ada salah guna kuasa, orang berkenaan ataupun saudara mara orang yang ditahan itu boleh membuat ‘Kaveas Corpus’ di mahkamah untuk membebaskannya.
Sebenarnya, orang yang ditahan di bawah EO itu mempunyai ‘safety major’ atau keselamatan yang diutamakan. Dengan ‘safety major’ ini orang yang ditahan itu boleh membuat rayuan. Jadi, tidak bolehlah kita menganggap undang-undang pencegahan jenayah ini sebagai undang-undang yang zalim. Ini persepsi yang perlu diperbetulkan.

Kalau undang-undang pencegahan ini tidak ada dan dimansuhkan, apabila mereka yang telah ditahan di pusat-pusat tahanan dibebaskan, mereka ini kembali berleluasa di khalayak ramai dan berbalik kepada aktiviti lama mereka. Sebab itu, kebelakangan ini kita melihat jenayah meningkat sehinggakan tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, iaitu dari April sehingga September dilaporkan sebanyak 36 kes tembakan, iaitu membunuh orang di jalan raya dengan menggunakan pistol.

Pada saya, ini adalah satu trend yang membimbangkan rakyat dan masyarakat kerana walaupun kita mengatakan bahawa ini pergaduhan antara kongsi gelap, tetapi kadang kala ia melibatkan juga masyarakat yang tidak bersalah. Sebab itu, saya mengatakan penting untuk pihak polis diberikan undang-undang untuk menangani masalah ini supaya undang-undang yang berkesan dapat kita menentukan siapa ketua-ketua sindiket ini yang melakukan perkara menggugat keselamatan masyarakat. Ini penting.

Apa yang perlu kita lakukan sekarang ini? Saya melihat dengan tidak adanya EO, dan baru-baru ini kerajaan telah mengura-urakan akan mewujudkan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 yang memang sudah pun ada undang-undangnya untuk digunakan. Tetapi undang-undang ini hanya membenarkan polis untuk menahan seseorang itu selama 78 hari iaitu setelah mendapat permohonan daripada mahkamah. Ketika orang berkenaan ditahan dan selepas itu dalam siasatan mendapati mempunyai keterangan bahawa dia telah melakukan kesalahan, mereka bukan ditahan, tetapi dikenakan tahanan sekatan. Jadi, tidak ada tahanan langsung oleh pihak eksekutif, hanya mereka diberikan sekatan. Itu sahaja yang kita wujudkan sekarang ini. 

Adakah undang-undang ini memadai untuk membantu polis dalam menangani masalah ini? Pada saya belum memadai lagi kerana undang-undang ini apabila orang berkenaan dibebaskan dengan sekatan di beberapa tempat mereka masih boleh berhubung dengan kumpulan atau rakan kongsi gelap mereka dan jenayah itu masih boleh dilakukan mengikut arahan melalui telefon. Sebab itu, saya mengatakan bahawa, kita perlu satu undang-undang yang boleh memberikan kuasa kepada pihak polis yang lebih sengatannya untuk bertindak terhadap ketua-ketua sindiket.

Sepertimana sedia maklum, sindiket ini bukan sahaja mempunyai orang atau kongsi gelap ataupun samseng untuk menjaga kegiatan mereka, tetapi mereka juga terlibat dalam kegiatan haram sebagai punca pendapatan. Kegiatan haram yang selalu dijalankan oleh mereka ialah judi haram, pelacuran, dadah dan along. Inilah kegiatan haram yang dijalankan oleh sindiket ini dan untuk menjaga kegiatan ini, mereka akan mewujudkan kongsi gelap atau kumpuan samseng supaya kegiatan dan tindakan mereka ini dikawal. 

Mana-mana pihak yang hendak masuk ke kawasan ini akan wujudlah pergaduhan antara mereka. Ini perkara yang perlu kita tangani dengan betul kerana saya melihat bahawa kalau kita hanya menggunakan undang-undang konvensional, ianya susah bagi pihak polis untuk mengenal pasti siapa ketua-ketua ini kerana dalam kes-kes tertentu pihak polis perlu menyiasat dengan cara menaiki tangga iaitu dengan mengambi tindakan yang bawah dahulu, kemudian selepas kita mendapat maklumat tertentu untuk mengetahui siapa ketua di atasnya untuk kita menumpaskan keseluruhan sindiket itu.

Saya rasa penting dan patut ada undang-undang yang lebih tegas untuk diberikan kepada pihak polis supaya polis dapat menjaga keamanan dan keselamatan masyarakat. Saya merasakan bahawa kita perlu ada undang-undang baru.

KADIR JASIN: Saya fahamlah Tan Sri Musa ini walaupun beliau bukan lagi Ketua Polis Negara, beliau tidak boleh bercakap di luar daripada kesopanan sebagai seorang bekas Ketua Polis Negara. Saya ini orang yang tidak ada undang-undang, tidak makan gaji dengan kerajaan, bolehlah saya dengan izin dua orang bekas pegawai polis ini untuk bercakap mengenai kuasa polis.

Mula-mula sekali saya hendak ulas sedikit mengenai tajuk ini. Tajuk ini memang manis, tepat, walaupun isunya pahit. Tajuknya mengatakan bahawa akibat daripada pemansuhan Ordinan Darurat, maka polis hilang sengat.

Saya ibaratkan polis ini macam lebah. Bila kena sengat oleh seekor lebah, dia bising satu negara. Dia tidak ingat bahawa berpuluh-puluh ribu lagi lebah yang membuat manisan. Begitu juga polis. Satu dua polis terjatuh ke bumi kerana hasutan, desakan dan rasuah, kita salahkan semua polis. Seekor dua lebah jatuh kerana sengat kaki kita, kita kata semua lebah tidak bagus.

Saya tahu sangat pasal lebah ini sebab di rumah saya ada dua sarang lebah. Dah 15 tahun berada di situ, kadang-kadang pada waktu malam kalau cuaca panas, lebah akan masuk ke rumah kerana terpengaruh dengan cahaya lampu. Macam polis jugalah bila tergoda dengan lampu, kadang-kadang dia jatuh.

Lebah dengan polis sama saja. Polis yang jatuh kerana tergoda dengan rasuah, dia tidak akan naik lagi. Dia kena buang atau masuk penjaral. Lebah pun kalau jatuh, tidak akan terbang lagi. Oleh itu, kita jangan marah sangat kepada polis kerana seorang dua yang membawa lumpur, kita ibaratkan semua polis ini tidak elok. Tetapi inilah gambaran dakyah yang dibawa oleh kelompok tertentu dalam masyarakat kita untuk memburuk-burukkan polis kerana majoriti polis adalah Melayu. Hari ini apa saja yang menyentuh Melayu, semuanya buruk dan tidak lagi hendak dipertahankan.

Saya kata penting polis ada kuasa bukan sahaja EO sebab saya juga memikirkan pentingnya Akta Keseamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Buang Negeri, Akta Sekatan Terhad. Saya rasa ini semua perlu. Jadi, masalah kita, kita ini adalah manusia yang tidak suka sejarah, buta sejarah dan benggong sejarah.

Kalau kita tengok, Allahyarham Tun Razak ketika menjadi Perdana Menteri di tahun 1960-an secara khusus mengatakan ISA adalah untuk menjamin demokrasi yang selamat. Hari ini pun demokrasi kita lebih hebat daripada zaman Tun Razak, tetapi adakah kita selamat?

Tidak tahulah kalau tuan-tuan dan puan-puan yang ada empat lima orang pengawal peribadi, tentulah rasa selamat. Kalau yang tidak ada pengawal peribadi, yang duduk di rumah biasa, yang pergi membeli belah di tempat biasa, yang letak kereta di tempat biasa saya rasa mereka berasa tidak selamat.

Jadi, demokrasi kita sudah tidak selamat. Tengoklah betapa hebatnya pemikiran dan wawasan generasi awal kepemimpinan negara dahulu.

Kita diberitahu bahawa kita terpaksa menghapuskan ISA kerana ISA ini kejam, tidak adil, jahat, semua orang masuk penjara. Tetapi kita juga tahu dalam pembangkang, ada sebuah parti pembangkang kalau pemimpinnya tidak pernah ditahan di bawah ISA , dia tidak dianggap hero.
Kita lihat Singapura, dan kita juga diberitahu kalau kita tidak menghapuskan dan memansuhkan ISA, pelabur tidak akan datang ke negara kita. Adakah pelabur sudah lari, cabut tunggang langgang dari Singapura yang tidak memansuhkan ISA?

Adakah pelabur sudah lari dari Amerika kerana memperkenalkan ISA dan kita lihat hari ini demokarsi yang selamat. Arab sekarang tengah gila hendakkan demokrasi, tetapi demokrasi Arab tidak selamat. Jadi, kita kena fikir. Hari ini demokrasi kita tidak selamat kerana kita termakan dengan dakyah barat yang berkata, bahawa Malaysia adalah negara yang tidak demokratik, tidak menghormati hak asasi manusia.

Saya hendak petik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata, “Sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada tahun 2009, saya sangat jelas dengan wawasan Malaysia sebagai sebuah negara moden, progresif dan sentiasa memandang ke hadapan dalam mengamalkan demokrasi yang mengandungi hak serta kebebasan rakyat. Berubah daripada demokrasi yang selamat kepada demokrasi yang melindungi hak serta kebebasan rakyat. Untuk itu, saya telah melaksanakan beberapa pakej tranformasi politik paling bersejarah sejak Malaysia mengecapi kemerdekaan.”

Ordinan Darurat telah berakhir. Undang-undang era penjajah iaitu iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri silap fakta. Bapanya yang membentangkan akta tersebut, ia bukan undang-undang era penjajah seperti yang disebutkan. Yang membenarkan tahanan tanpa bicara dimansuhkan, lesen kawalan penerbitan akhbar telah dihapuskan, larangan kepada pelajar menyertai parti politik telah ditarik balik dan saya juga berjanji untuk mengkaji semula Akta Hasutan.

Ini bukan tulisan saya, bukan saya bermimpi di siang hari, ini boleh dibaca dalam laman web rasmi Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Kita perlu melihat, apakah perlu meminda undang-undang ini sekaligus dan serentak? Tanpa memikirkan terlebih dahulu buruk baiknya dan tanpa kita mengadakan, satu, dua, tiga, empa, lima undang-undang yang menggantikannya.

Saya duduk dalam Suruhanjaya Diraja Menambahbaik Operasi dan Pentadbiran Polis, ketika itu di tahun 2004 – 2005. Kita banyak berbincang, kita panggil Tan Sri Musa dua tiga kali, kita soal dia, kita tanya dia, kita tekan dia dan kita mengemukakan beberapa cadangan yang baik, tetapi cadangan-cadangan itu tidak dilaksanakan, sebaliknya dihapuskan.

Berkenaan dengan ISA ini, walaupun pada awalnya beberapa orang ahli suruhanjaya itu mahu akta tersebut dihapuskan langsung, setelah kita berbincang dengan polis, ramai juga ahli suruhanjaya itu berasakan bahawa ISA adalah baik dan perlu dikekalkan, cuma dengan beberapa pindaan. Musa pun tahu, antaranya mencadangkan agar ISA berasaskan penyiasatan dahulu, siasat dahulu kemudian tahan. Kemudian kita bercadang mengurangkan tempoh tahanan daripada 60 hari kepada 30 hari.
Sudah elok, dan siapakah yang mencadagkan pindaan ini? Mereka ialah dua Ketua Hakim Negara, Tun Mzaidin Abdullah dan Tun Salleh Abas, bekas KPN, Tun Hanif Omar, beberapa hakim, presiden, Bar Counsil, pemikir-pemikir masyarakat, bekas menteri, bekas wakil rakyat dan seorang pemberita cabut macam saya.

Kita mencadangkan supaya ISA dipinda. Kalau rumah condong kita tegakkan mengapa hendak kita runtuhkan langsung dan kalau pun kita runtuhkan, mengapa kita tidak membina khemah mengisi orang yany kehilangan rumah. Ini yang saya tidak boleh terima yang menyebabkan saya menjadi pengkritik terhadap apa yang berlaku hari ini.

Saya rasa, sangat perlu bahawa kita semua mendesak kerajaan dan kebetulan sudah hampir dengan pemilihan UMNO, mudah kita mendesak sebab mereka akan berasa terdesak. Kita semua desak supaya kerajaan janganlah terlalu tunduk kepada bahasa-bahasa berkod gaya barat. Saya tidak fikir barat sukakan Malaysia. Mereka berkata, mereka suka Malaysia, tetapi sebenarnya saya rasa mereka tidak suka Malaysia sebab Malaysia adalah negara yang majoritinya Islam yang boleh memerintah dengan baik. Mereka tidak suka Islam berjaya. Kita di Malaysia berjaya. Jadi, mereka menekan pemimpin-pemimpin kita yang kurang iman ini untuk menerima bahasa-bahasa berkod seperti hak asasi manusia, liberalisme, modenisme dan sebagainya. Kita telah termakan dengan dakyah itu.
Kalau kita berminat mempertahankan dan mengembalikan demokrasi yang selamat seperti yang Tun Razak kata tadi, berbanding dengan demokrasi yang kurang selamat ini, kita perlu mendesak kerajaan dan parti pembangkang juga bahawa kita memerlukan akta perlindungan yang besar, yang kukuh dan yang kuat.

Sebabnya, dahulu kita melawat Simpang Renggam, sebenarnya mereka terlindung ketika berada dalam tahanan itu. Bila keluar, mereka sudah tidak rasa selamat lagi. Jadi, akta perlindungan ini bukan sebenarnya melindungi kita yang tidak terlibat dalam jenayah, ia juga melindung penjenayah. Itu (EO) sudah bagus  iaitu akta yang cukup bagus.

ZAMAN KHAN: Saya sudah berkata kepada kawan-kawan, khususnya yang bukan Melayu dalam satu kumpulan. Kumpulan kami ini ialah tidak lain tidak bukan murid-murid tua sekolah dahulu. Mereka ini sangat terkenal mengkritik negara kita dengan mengatakan mengenai ISA.

Saya mengatakan tanpa ISA, saya rasa kita tidak dapat berada di sini hari ini, kita tidak boleh mengecapi kemajuan seperti hari ini dan kita tidak mungkin hidup selesa, dengan jalan raya yang baik dan sebagainya. Tetapi oleh sebab ISA yang mencegah manusia daripada melakukan apa yang mereka suka lakukan, maka kita hidup dengan selamat.

Kita harus ingat, kita satu negara dan rakyat yang majmuk, bukan senang hendak melawan 60 peratus Melayu, 30 peratus Cina dan India serta lain-lain bangsa. Bukan senang. Kerana itu orang-orang tua kita dahulu (pemimpin terdahulu) membuat Kontrak Sosial. Saya seru kepada anak-anak muda, baca dan hayatilah makna Kontrak Sosial ini.

Pernah pemimpin Melayu terdahulu berkata, kita orang Melayu ini bernasib baik tidak begitu ganas. Orang kata itu, kata ini pun kita sabar dan buat tidak tahu.

Sebelum ISA dimansuhkan, adakah orang berani buat kartun buka puasa makan daging babi? Macam-macam sekarang Islam diperhinakan. Adakah Islam mengganggu agama mereka? Tidak. Kalau orang dia masuk Islam kerana dia tengok Islam itu bagus. Tetapi orang kita diajak masuk agama lain kerana dipujuk dan diberi habuan dan sebagainya. Sebab itu, kalau ada orang lain kata ISA telah disalahguna kuasa dan sebagainya, terpulang kepada kita untuk memperbetulkan.

Saya berbalik kepada tajuk perbincangan iaitu polis hilang sengat. Saya ini nasib baik ataupun nasib tidak baik tidak tahulah.. daripada polis (KPN) dihantar ke penjara (Ketua Penjara Malaysia). Tetapi Allah sahaja yang tahu, mula-mula memang saya marah kepada Tun Mahathir Mohamad kerana dia kata, “kamu pergilah Zaman (jadi KP Penjara). Sekarang saya puji dia kerana wawasan dia itu saya dapat berkhidmat selama empat tahun dalam penjara dan saya lebih peka kepada kemanusiaan. Oleh sebab itu saya terlibat dengan aktiviti NGO khususnya dari sudut kebajikan dan sebagainya.

Sebelum EO ini dimansuhkan adakah kongsi gelap berani tampil ke hadapan buat perarakan dan menaikkan bendera mereka dan sebagainya? (Tapi) Sekarang ini seolah-olah negara ini tidak ada undang-undang lagi dah. Macam raja pula mereka hendak menunjukkan kuasa mereka itu. Ini bukan suatu yang baik. Kita bercakap mengenai Kontrak Sosial dan sebagainya. Betul, saya pun sebagai bekas pegawai polis nasib baik di hantar ke universiti luar negara sekitar tahun 1983 untuk mengikuti kursus selama tiga bulan lebih, dalam bulan puasa pula tu di musim panas. Ketika berbuka puasa, matahari masih panas lagi.

Tetapi kena ingat, bercakap mengenai Kontrak Sosial ini bagus, ia memberi perlindungan kepada kita, bukan sahaja untuk individu tapi untuk semua. Kalau kita kata hak asasi orang yang kena tahan itu kerana perbuatannya, tetapi bagaimana pula dengan asasi saya yang tidak berdosa ini. Mahukah saya diganggu oleh ganster-ganster ini. Tidak, saya tidak mahu.

Jadi, seperti Tan Sri Musa kata, EO ini sangat perlu kerana kalau benci sangat kepada ‘emergency’ itu tukarlah ataupun pindalah undang-undang yang ada supaya memberi kuasa kepada polis. Mengenai salah guna kuasa, mana ada salah guna kuasa. Kalau ada pun, kita perbetulkan dengan betul undang-undang itu. Orang kata kerana salah gunakan kuasa , tetapi tengoklah sebelum undang-undang ini dibuat, adakah orang berani menyentuh hak sesama lain? Kita pula, orang Melayu dan orang Islam menjadi sasaran kepada orang yang kurang taat setia kepada negara kita ini. Mereka lupa Tanah Melayu ini sekarang seolah-olah madu, berjuta-juta pendatang datang datang ke sini untuk bekerja dan sebagainya. Mereka lupa semuanya ini.

Pada saya, yang telah berkhidmat begitu lama dalam polis dan boleh dikatakan pernah terlibat dalam jenayah dan sebagainya, kita perlukan undang undang ini. Bukan untuk menganiayai kepada manusia lain, tetapi untuk menentukan kita boleh hidup bebas.

Kita harus ambil iktibar apa yang berlaku tiga bulan yang lalu itu, apabila kita membebaskan mereka banyak serangan senjata api, ada yang diupah, yang tembak orang kaya dan sebagainya. Banyak sangat berlaku. Banyak orang kata polis tidak ada sengat. Betul polis tidak ada sengat, tetapi saya rasa berilah peluang dan masa kepada polis dua atau tiga minggu, mereka akan mendapat maklumat dan mereka terus bertindak.

Betul dalam tempoh itu polis belum dapat menyelesaikan kes itu, tetapi polis ini bergantung kepada maklumat. Itu makanan polis. Kalau orang ramai tidak tampil ke hadapan dan tidak memberi maklumat kepada polis, macam mana kita hendak menangkap penjenayah itu. Dalam kes kongsi gelap, yang penting sekali ialah orang yang tidak menyertainya takut untuk melaporkan kepada polis. Takut hendak lapor dan memberi keterangan di mahkamah dan sebagainya. Tetapi kalau kita berjanji dengan mereka tidak perlu pergi ke mahkamah, namanya tidak akan dibongkar atau sebagainya, mereka akan datang.

Bukan kita cari mereka suruh buat aniayai kepada rakan mereka, tidak. Mereka datang untuk memberi maklumat  dan saya beritahu di sini, kalau kes yang saya siasat mungkin, Tan Sri Musa tidak tahu siapa saksi saya. Nama tidak ada dalam fail ini. Tidak ada langsung. Semuanya sulit. Tetapi perangai manusia, kalau seorang boleh tutup mulut, kalau berdua kena jaga sedikit, kalau bertiga kena berhati-hati, tetapi kalau kita boleh simpan rahsia, orang akan setuju.

Dalam pengalaman saya, dalam kes ini saya pun tidak setuju. Apabila saya diberi kuasa, saya tidak setuju orang ini dibuang daerah di Pulau Jerjak. Kesalahan macam ini harus diberi keterangan di mahkamah, nama dia tidak ada dalam mahkamah, bahkan dia sendiri tidak ada di mahkamah. Begitu halus kita buat.

Kalau ada perbuatan aniaya dan sebagainya, itu boleh disiasat, tetapi tidak pernah berlaku. Kementerian Dalam Negeri dulu ada kumpulan untuk membuat siasatan khas dan kita pula hari ini takut, kalau-kalau orang ini akan buat aniaya kepada kita pula. Saya rasa undang-undang yang patut dipinda ini akan diberi semula kuasa kepada polis dan juga ada sebagaimana dalam kes dadah dan rampasan harta haram sebagaimana kita lakukan dalam kes dadah. Kita mesti ambil teladan dari barat. Tengok di Amerika, presidennya selalu kata negara mereka selamat.

Mana selamatnya, apa yang berlaku di Amerika sekarang? Pergi berjalan-jalan tidak tentu arah akan kena samun oleh gangster, depan polis pula tu. Di England, ramai rakyat kita pergi belajar di sana dahulu, bebas. Sekarang cubalah pergi, malam-malam hendak naik teksi pun takut. Kenapa? Sebab hak asasi kononnya. Jadi, kembalikan semula undang-undang sedia ada ini. Janganlah buang dalam parit sehingga polis hilang sengat.

MUSA HASSAN: Pada saya trend ini serius kerana melibatkan kegiatan haram. Kalau ada kongsi gelap sudah tentu ada tujuannya seperti mengapa diwujudkan kongsi gelap? Kerana hendak melindungi kegiatan haram mereka. Ini adalah satu sindiket yang mempunyai eraki tertentu yang ada ketuanya. Jadi, kita perlu membanterasnya dengan betul.

Kalau kita hanya pergi ke peringkat bawahan dan ketuanya masih wujud, saya rasa kita akan gagal dalam peperangan ini. Yang penting ialah ambil ketuanya. Tapi kadang kala, apabila kita melihat wujudnya sindiket ini, selalunya keadaan itu kita boleh kawal, tetapi paling penting ialah integriti pegawai awam itu sendiri. Kerana kalau integriti pegawai awam itu tidak kukuh, dia dengan senang boleh rasuah.

Kalau ada undang-undang yang kukuh, kalau masih ada rasuah yang masih berleluasa, saya merasakan mereka tidak akan tumpas sindiket ini. Ini yang berlaku di Amerika ketika mafia wujud di negara itu, di Jepun dengan yakuzanya dan macam-macam lagi sehingga mereka boleh kontrol orang-orang politik. Ini masalahnya.

Ini yang saya cukup takut kerana saya merasakan bahawa kalau kita tidak mengubah perkara ini dan tidak membanterasnya dengan betul, negara kita juga akan menjadi negara yang sama seperti negara ketiga lain yang banyak kumpulan kongsi gelapnya sendiri. Saya hairan dan ingin menyentuh sedikit mengenai ‘human right’ ini. Di Malaysia, memang pihak polis dan kerajaan pun iktiraf hak assi kebebasan dan hak manusia, tetapi mereka berkehendakkan hak asasi yang mutlak. Mutlak, apa yang mereka buat tidak boleh ada undang-undang yang menyekat.

Kalau hak asasi mutlak, rosaklah negara kita. Di negara barat tidak mengapa kerana mereka mempunyai budaya yang berlain, tetapi kita mempunyai budaya orang beragama Islam, tidak ada hak asasi mutlak. Hak asasi mesti terbatas.

Dengan hak asasi mutlak ini pula mereka membuatkan penjenayah itu penting daripada orang awam. Kalau penjenayah kena tembak, mereka mengatakan hak asasi mereka kena jaga, kenapa mereka kena tembak. Ini polis pula yang jadi penjenayah. Kalau soal penjenayah yang mempunyai senjata api, maknanya dia telah menampah maut. Polis tidak akan suruh dia menyerah diri kerana polis pun takut akan keselamatannya.Kalau seseorang itu bersenjata kemudian polis bagi amaran, tiba-tiba pistol polis tidak boleh digunakan, polis yang mati dahulu.

Jadi, polis menjaga keselamatan dirinya dan keselamatan orang ramai. Pada saya, mana-mana penjenayah yang bersenjata api, dia sendiri menampah maut. Jangan salahkan polis kerana tugas polis untuk menjaga keselamatannya sendiri dan untuk keselamatan orang ramai kerana penjenayah yang bersenjata api ini juga boleh mengakibatkan keselamatan orang ramai tergugat kerana mereka boleh menembak sesiapa sahaja.

Perkara ini yang saya rasa penting untuk orang ramai faham, jangan tuduh polis tidak beri amaran. Ketika kes tembak di Pulau Pinang tempoh hari, ia berlaku dalam bangunan, hendak beri amaran macam mana, kena tembak ke udara dulu, sudah tentu peluru terkena siling dan kalau peluru itu terpelanting tentu terkena diri polis, polis itu yang mati. Ini masalahnya.

Kalau orang tidak tahu cara prosiding dijalankan, mereka tuduh polis mengarut, tembak membabi buta. Pada saya, kita perlu tentukan polis ini ditugaskan untuk menjaga keselamatan masyarakat. Ini penting. Penjenayah, kalau mereka perlu untuk balik ke landasan yang betul (menyerah diri), Alhamdulillah, kita pun menghormati mereka. Tetapi yang tegar ini tadi kena jaga, kerana mereka tidak takut kepada sesiapa.

Integriti itu penting untuk kita menangani masalah begini. Kalau kita menubuhkan skuad khas untuk mengambil tindakan daripada polis tempatan di kawasan itu, ini saya rasa silap sediklt. Sebagai ketua, kita kena arah polis tempatan itu yang buat, kalau  OCPD tidak buat, OCPD kena diambil tindakan kerana dia tahu kawasan itu kawasannya. Sebab itu saya kata, kita boleh ada pemantau, tetapi kita sendiri kena tentukan polis yang ditempatkan itu menjalankan tugas mereka.

Kalau dia duduk diam-diam saja, polis dari Bukit Aman akan turun buat kerja. Ini tidak betul juga. Jadi kita kena tegas sebagai ketua untuk menentukan orang bawahan buat kerja. Tapi kalau mereka tidak buat kerja perlu diambil tindakan tatatertib. Ini penting.

KADIR JASIN: Saya rasa eloklah masyarakat membantu polis dan satu sama lain, tetapi saya rasa agak bahaya kalau masyarakat hendak menjadi penguatkuasa. Kadang kadang ada kes yang berlaku di Malaysia, masyarakat menangkap penjenayah dan memukul orang yang disyaki sebagai peragut sampai mati. Saya rasa itu tidak mahulah berlaku, sebab itu melanggar undang-undang. Dia pukul peragut, orang itu mati, dia pula masuk penjara. Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan masyarakat kerana banyak sangat berlaku benda begini sehingga masyarakat rasa marah.

Saya rasa saya berbeza sedikit dengan pendapat Tan Sri Musa. Saya rasa unit khas ini mungkin perlu kerana kita tengok di Amerika pun kalau polis tempatan tidak dapat melakukan sesuatu tugas, mereka menghantar FBI. Saya rasa ini gabungan yang baik kerana kadang-kadang kita tidak mahu polis tempatan itu terdedah atau mendedahkan indentiti mereka dan mungkin mereka boleh memberi maklumat kepada pihak ibu pejabat.

Cuma yang saya takutnya begini,  hari ini bekas-bekas tahanan EO tembak menembak antara satu sama lain berebut kawasan. Yang dulu dia dihantar ke Simpang Renggam, bila balik kawasannya sudah diambil oleh orang lain. Kalau yang mengambil alih hendak mempertahankan kedudukannya, yang keluar dari Simpang Renggam pula hendak mengambil semula kawasannya, tapi katakan selepas mereka bunuh membunuh senjata itu pergi ke mana? Mereka akan bunuh kita pula. Jadi, sebelum mereka habis bunuh membunuh antara satu sama lain, yang Alhamdulillah saya sokong, kita takut apa yang akan berlaku selepas itu.

ZAMAN KHAN: Kalau arwah ayah saya tidak hantar saya ke rumah datuk di Pasir Mas, mungkin saya sudah pun arwah. Kawan-kawan saya yang sebaya dengan saya semuanya sudah ditembak mati dan sepupu saya pun ditembak mati. Jadi kalau ditanya mana selamat antara Selatan Thailand dengan Malaysia, sudah tentulah Malaysia. Tapi di Thailand itu bukan selatan sahaja tidak selamat, di utara Thailand pun begitu juga .

Apa yang dikatakan mengenai skuad khas ini, saya lama dalam skuad khas. Tetapi katalah saya OCPD Johor, bawa polis Kuala Lumpur pergi serbu tanpa pengetahuan saya, ini suatu tindakan yang meruntuhkan imej saya dan kewibawaan saya sebagai ketua. Selalunya kalau ada orangnya terlibat, OCPD  akan diberitahu bahawa skuad khas akan datang untuk membantu. Ini kena berhati-hati dalam pasukan beruniform kerana ketua di sesebuah negeri adalah besar.

Keduanya pula, apa pandangan orang tempatan terhadap OCPD dan anggota polis tempatan itu? Tentu mereka mempersoalkan apa yang OCPD itu buat sehingga polis dari Kuala Lumpur datang? Tetapi ini memang berlaku. Saya menjadi mangsa pun pernah, saya terlibat dengan skuad khas pun pernah. Ketika dalam UTK (Unit Tindakan Khas) dulu saya pernah buat perkara ini, tetapi kita kena berhat-hati, jaga imej OCPD kerana masayarakat akan kata yang bukan-bukan kepada OCPD itu.

Pada saya, masalah pendatang asing tanpa izin (Pati) ini satu punca rasuah yang sangat besar. Kenapa kita tidak hentam betul-betul yang ini? Ada masa terima arahan ambil tindakan, ada masa relaks. Bukan saja polis, semua terlibat. Jadi, kalau polis tahan, mereka tuduh polis makan duit. Saya rasa ini perkara yang perlu dibanteras sebab masalah Pati ini adalah punca rasuah yang merosakkan. Saya kata dengan ikhlas dan semangat poatriotik.

1 ulasan:

Unknown berkata...

setuju dengan mereka ni...harap nnti ada keputusan yang adil nanti