Adakah polis sudah hilang kuasa selepas Ordinan Darurat (EO)
dimansuhkan? Itulah yang menjadi bualan masyarakat hari ini selepas kerajaan
membuat keputusan mengejutkan itu beberapa tahun lalu.
Sebelum ini, dengan adanya EO, Malaysia telah dimasukkan
dalam carta tangga ke-20 sebagai negara paling selamat diduduki dan dilawati,
tempat keempat di Asia Pasifik selepas Australia dan New Zealan, manaka di
tangga teratas di Asia.
Namun, sejak EO dimansuhkan, negara telah menyaksikan
kejutan yang bukan kepalang apabila dalam tempoh empat bulan dari April hingga
Julai lalu, perangkaan polis menunjukkan sebanyak 42 kes tembak menembak dan
kematian berlaku. Keadaan ini menyebabkan masyarakat berada dalam kebimbangan
dengan keselamatan mereka.
Justeru, bermula awal bulan ini, kita dapati polis telah
‘mengamuk’ dan menangani kegiatan jenayah sebaik mungkin sehingga beratus-ratus
penjenayah ditangkap dan berpuluh-puluh senjata api dirampas. Malah, kerajaan
melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyiarkan nama-nama kumpulan
kongsi gelap dan gangster.
Bagi mengupas keadaan ini dan kejadian jenayah kongsi gelap
yang semakin berleluasa selepas EO dihapuskan, dua bekas Ketua Polis Negara,
Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Zaman Khan serta Ketua Pengarang Kumpulan The
New Street Times Press (NSTP), Datuk Kadir Jasin mempunyai pandangan
masing-masing. Ikuti bual bicara mereka.
MUSA HASSAN: Kerana
tidak ada undang-undang pencegahanlah (Ordinan Darurat atau EO) kita (polis)
tidak dapat mengambil tindakan dengan lebih berkesan terhadap kegiatan jenayah
seperti kongsi gelap dan gangster. Ini kerana pihak tertentu telah melihat
dengan pandangan negatif terhadap EO, kononnya orang yang ditangkap di bawah
undang-undang ini tidak dituduh atau dibicarakan di mahkamah menyebabkan masyarakat
menganggapnya sebagai zalim.
Saya melihat dari segi trend penjenayahan itu sendiri... EO
diwujudkan untuk menangani jenayah-jenayah sindiket kerana jenayah ini mempunyai
kumpulan penjenayah. Mereka ada ketua, ada orang tengah, ada sumber kewangan
dan macam-macam lagi.
Tetapi dengan menggunakan undang-undang yang konvensional, apabila
polis menangkap orang yang melakukan kesalahan, selalunya yang ditangkap ini
adalah orang bawahan, manakala orang atasan termasuk ketua tidak akan ditangkap
kerana dilindungi. Polis pula menghadapi masalah untuk mendapatkan maklumat
kerana orang bawahan yang ditangkap ini takut hendak memberitahu kepada polis
siapa ketua mereka dan selalunya, orang peringkat bawahan ini tidak tahu siapa
ketua mereka.
Oleh sebab itu, sekiranya penjenayah di peringkat bawahan
ini boleh dituduh di mahkamah, pihak polis yang menggunakan undang-undang
pencegahan (EO) ini dapat mengumpulkan maklumat daripada siasatan dan risikan
untuk membolehkan polis menyiasat lebih lanjut bagi mengetahui siapakah ketua berkenaan.
Sebab itu, kadang-kadang apabila tidak ada saksi yang hendak memberi keterangan
di mahkamah, maka undang-undang EO ini digunakan.
Selalunya dalam kes begini, ia melibatkan jenayah keganasan
dan dengan wujudnya jenayah keganasan ini, mana-mana saksi yang dipanggil oleh
pihak polis untuk memberi keterangan, mereka takut untuk berbuat demikian di
mahkamah. Ini yang kita memerlukan EO.
Ada pihak tertentu mendakwa, penggunaan EO ini langsung tidak
memberi peluang kepada yang ditahan untuk membela diri dan kenapa tidak ada
siasatan dilakukan bagi membuktikan penglibatan mereka dalam satu-satu kegiatan
jenayah itu.
Tetapi kita harus ingat, polis tidak sewenang-wenangnya menggunakan
EO ini dengan menangkap orang tertentu sesuka hati. Di bawah undang-undang EO
ini, kita ada Jawatankuasa Penasihat. Setiap tindakan polis itu akan dikaji
oleh jawatankuasa ini dan sekiranya didapati ada kesilapan yang dilakukan oleh
pihak polis dalam siasatan itu, maka jawatankuasa ini boleh membebaskan orang berkenaan.
Begitu juga sekiranya didapati ada salah guna kuasa, orang berkenaan ataupun
saudara mara orang yang ditahan itu boleh membuat ‘Kaveas Corpus’ di mahkamah
untuk membebaskannya.
Sebenarnya, orang yang ditahan di bawah EO itu mempunyai ‘safety
major’ atau keselamatan yang diutamakan. Dengan ‘safety major’ ini orang yang
ditahan itu boleh membuat rayuan. Jadi, tidak bolehlah kita menganggap undang-undang
pencegahan jenayah ini sebagai undang-undang yang zalim. Ini persepsi yang
perlu diperbetulkan.
Kalau undang-undang pencegahan ini tidak ada dan dimansuhkan,
apabila mereka yang telah ditahan di pusat-pusat tahanan dibebaskan, mereka ini
kembali berleluasa di khalayak ramai dan berbalik kepada aktiviti lama mereka.
Sebab itu, kebelakangan ini kita melihat jenayah meningkat sehinggakan tidak
pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, iaitu dari April sehingga September dilaporkan
sebanyak 36 kes tembakan, iaitu membunuh orang di jalan raya dengan menggunakan
pistol.
Pada saya, ini adalah satu trend yang membimbangkan rakyat
dan masyarakat kerana walaupun kita mengatakan bahawa ini pergaduhan antara
kongsi gelap, tetapi kadang kala ia melibatkan juga masyarakat yang tidak
bersalah. Sebab itu, saya mengatakan penting untuk pihak polis diberikan
undang-undang untuk menangani masalah ini supaya undang-undang yang berkesan
dapat kita menentukan siapa ketua-ketua sindiket ini yang melakukan perkara
menggugat keselamatan masyarakat. Ini penting.
Apa yang perlu kita lakukan sekarang ini? Saya melihat
dengan tidak adanya EO, dan baru-baru ini kerajaan telah mengura-urakan akan
mewujudkan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 yang memang sudah pun ada
undang-undangnya untuk digunakan. Tetapi undang-undang ini hanya membenarkan polis
untuk menahan seseorang itu selama 78 hari iaitu setelah mendapat permohonan
daripada mahkamah. Ketika orang berkenaan ditahan dan selepas itu dalam
siasatan mendapati mempunyai keterangan bahawa dia telah melakukan kesalahan,
mereka bukan ditahan, tetapi dikenakan tahanan sekatan. Jadi, tidak ada tahanan
langsung oleh pihak eksekutif, hanya mereka diberikan sekatan. Itu sahaja yang
kita wujudkan sekarang ini.
Adakah undang-undang ini memadai untuk membantu
polis dalam menangani masalah ini? Pada saya belum memadai lagi kerana
undang-undang ini apabila orang berkenaan dibebaskan dengan sekatan di beberapa
tempat mereka masih boleh berhubung dengan kumpulan atau rakan kongsi gelap
mereka dan jenayah itu masih boleh dilakukan mengikut arahan melalui telefon. Sebab
itu, saya mengatakan bahawa, kita perlu satu undang-undang yang boleh
memberikan kuasa kepada pihak polis yang lebih sengatannya untuk bertindak
terhadap ketua-ketua sindiket.
Sepertimana sedia maklum, sindiket ini bukan sahaja
mempunyai orang atau kongsi gelap ataupun samseng untuk menjaga kegiatan
mereka, tetapi mereka juga terlibat dalam kegiatan haram sebagai punca
pendapatan. Kegiatan haram yang selalu dijalankan oleh mereka ialah judi haram,
pelacuran, dadah dan along. Inilah kegiatan haram yang dijalankan oleh sindiket
ini dan untuk menjaga kegiatan ini, mereka akan mewujudkan kongsi gelap atau
kumpuan samseng supaya kegiatan dan tindakan mereka ini dikawal.
Mana-mana
pihak yang hendak masuk ke kawasan ini akan wujudlah pergaduhan antara mereka.
Ini perkara yang perlu kita tangani dengan betul kerana saya melihat bahawa
kalau kita hanya menggunakan undang-undang konvensional, ianya susah bagi pihak
polis untuk mengenal pasti siapa ketua-ketua ini kerana dalam kes-kes tertentu
pihak polis perlu menyiasat dengan cara menaiki tangga iaitu dengan mengambi
tindakan yang bawah dahulu, kemudian selepas kita mendapat maklumat tertentu
untuk mengetahui siapa ketua di atasnya untuk kita menumpaskan keseluruhan
sindiket itu.
Saya rasa penting dan patut ada undang-undang yang lebih
tegas untuk diberikan kepada pihak polis supaya polis dapat menjaga keamanan
dan keselamatan masyarakat. Saya merasakan bahawa kita perlu ada undang-undang
baru.
KADIR JASIN: Saya
fahamlah Tan Sri Musa ini walaupun beliau bukan lagi Ketua Polis Negara, beliau
tidak boleh bercakap di luar daripada kesopanan sebagai seorang bekas Ketua
Polis Negara. Saya ini orang yang tidak ada undang-undang, tidak makan gaji
dengan kerajaan, bolehlah saya dengan izin dua orang bekas pegawai polis ini
untuk bercakap mengenai kuasa polis.
Mula-mula sekali saya hendak ulas sedikit mengenai tajuk
ini. Tajuk ini memang manis, tepat, walaupun isunya pahit. Tajuknya mengatakan
bahawa akibat daripada pemansuhan Ordinan Darurat, maka polis hilang sengat.
Saya ibaratkan polis ini macam lebah. Bila kena sengat oleh seekor
lebah, dia bising satu negara. Dia tidak ingat bahawa berpuluh-puluh ribu lagi
lebah yang membuat manisan. Begitu juga polis. Satu dua polis terjatuh ke bumi
kerana hasutan, desakan dan rasuah, kita salahkan semua polis. Seekor dua lebah
jatuh kerana sengat kaki kita, kita kata semua lebah tidak bagus.
Saya tahu sangat pasal lebah ini sebab di rumah saya ada dua
sarang lebah. Dah 15 tahun berada di situ, kadang-kadang pada waktu malam kalau
cuaca panas, lebah akan masuk ke rumah kerana terpengaruh dengan cahaya lampu.
Macam polis jugalah bila tergoda dengan lampu, kadang-kadang dia jatuh.
Lebah dengan polis sama saja. Polis yang jatuh kerana
tergoda dengan rasuah, dia tidak akan naik lagi. Dia kena buang atau masuk penjaral.
Lebah pun kalau jatuh, tidak akan terbang lagi. Oleh itu, kita jangan marah
sangat kepada polis kerana seorang dua yang membawa lumpur, kita ibaratkan
semua polis ini tidak elok. Tetapi inilah gambaran dakyah yang dibawa oleh
kelompok tertentu dalam masyarakat kita untuk memburuk-burukkan polis kerana
majoriti polis adalah Melayu. Hari ini apa saja yang menyentuh Melayu, semuanya
buruk dan tidak lagi hendak dipertahankan.
Saya kata penting polis ada kuasa bukan sahaja EO sebab saya
juga memikirkan pentingnya Akta Keseamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Buang
Negeri, Akta Sekatan Terhad. Saya rasa ini semua perlu. Jadi, masalah kita,
kita ini adalah manusia yang tidak suka sejarah, buta sejarah dan benggong
sejarah.
Kalau kita tengok, Allahyarham Tun Razak ketika menjadi
Perdana Menteri di tahun 1960-an secara khusus mengatakan ISA adalah untuk
menjamin demokrasi yang selamat. Hari ini pun demokrasi kita lebih hebat
daripada zaman Tun Razak, tetapi adakah kita selamat?
Tidak tahulah kalau tuan-tuan dan puan-puan yang ada empat lima
orang pengawal peribadi, tentulah rasa selamat. Kalau yang tidak ada pengawal
peribadi, yang duduk di rumah biasa, yang pergi membeli belah di tempat biasa,
yang letak kereta di tempat biasa saya rasa mereka berasa tidak selamat.
Jadi, demokrasi kita sudah tidak selamat. Tengoklah betapa
hebatnya pemikiran dan wawasan generasi awal kepemimpinan negara dahulu.
Kita diberitahu bahawa kita terpaksa menghapuskan ISA kerana
ISA ini kejam, tidak adil, jahat, semua orang masuk penjara. Tetapi kita juga
tahu dalam pembangkang, ada sebuah parti pembangkang kalau pemimpinnya tidak
pernah ditahan di bawah ISA , dia tidak dianggap hero.
Kita lihat Singapura, dan kita juga diberitahu kalau kita
tidak menghapuskan dan memansuhkan ISA, pelabur tidak akan datang ke negara
kita. Adakah pelabur sudah lari, cabut tunggang langgang dari Singapura yang
tidak memansuhkan ISA?
Adakah pelabur sudah lari dari Amerika kerana memperkenalkan
ISA dan kita lihat hari ini demokarsi yang selamat. Arab sekarang tengah gila hendakkan
demokrasi, tetapi demokrasi Arab tidak selamat. Jadi, kita kena fikir. Hari ini
demokrasi kita tidak selamat kerana kita termakan dengan dakyah barat yang
berkata, bahawa Malaysia adalah negara yang tidak demokratik, tidak menghormati
hak asasi manusia.
Saya hendak petik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak yang berkata, “Sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada
tahun 2009, saya sangat jelas dengan wawasan Malaysia sebagai sebuah negara
moden, progresif dan sentiasa memandang ke hadapan dalam mengamalkan demokrasi
yang mengandungi hak serta kebebasan rakyat. Berubah daripada demokrasi yang
selamat kepada demokrasi yang melindungi hak serta kebebasan rakyat. Untuk itu,
saya telah melaksanakan beberapa pakej tranformasi politik paling bersejarah
sejak Malaysia mengecapi kemerdekaan.”
Ordinan Darurat telah berakhir. Undang-undang era penjajah
iaitu iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri silap fakta. Bapanya yang membentangkan
akta tersebut, ia bukan undang-undang era penjajah seperti yang disebutkan. Yang
membenarkan tahanan tanpa bicara dimansuhkan, lesen kawalan penerbitan akhbar
telah dihapuskan, larangan kepada pelajar menyertai parti politik telah ditarik
balik dan saya juga berjanji untuk mengkaji semula Akta Hasutan.
Ini bukan tulisan saya, bukan saya bermimpi di siang hari,
ini boleh dibaca dalam laman web rasmi Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Kita perlu melihat, apakah perlu meminda undang-undang ini
sekaligus dan serentak? Tanpa memikirkan terlebih dahulu buruk baiknya dan
tanpa kita mengadakan, satu, dua, tiga, empa, lima undang-undang yang
menggantikannya.
Saya duduk dalam Suruhanjaya Diraja Menambahbaik Operasi dan
Pentadbiran Polis, ketika itu di tahun 2004 – 2005. Kita banyak berbincang, kita
panggil Tan Sri Musa dua tiga kali, kita soal dia, kita tanya dia, kita tekan dia
dan kita mengemukakan beberapa cadangan yang baik, tetapi cadangan-cadangan itu
tidak dilaksanakan, sebaliknya dihapuskan.
Berkenaan dengan ISA ini, walaupun pada awalnya beberapa
orang ahli suruhanjaya itu mahu akta tersebut dihapuskan langsung, setelah kita
berbincang dengan polis, ramai juga ahli suruhanjaya itu berasakan bahawa ISA
adalah baik dan perlu dikekalkan, cuma dengan beberapa pindaan. Musa pun tahu,
antaranya mencadangkan agar ISA berasaskan penyiasatan dahulu, siasat dahulu kemudian
tahan. Kemudian kita bercadang mengurangkan tempoh tahanan daripada 60 hari
kepada 30 hari.
Sudah elok, dan siapakah yang mencadagkan pindaan ini? Mereka
ialah dua Ketua Hakim Negara, Tun Mzaidin Abdullah dan Tun Salleh Abas, bekas
KPN, Tun Hanif Omar, beberapa hakim, presiden, Bar Counsil, pemikir-pemikir
masyarakat, bekas menteri, bekas wakil rakyat dan seorang pemberita cabut macam
saya.
Kita mencadangkan supaya ISA dipinda. Kalau rumah condong
kita tegakkan mengapa hendak kita runtuhkan langsung dan kalau pun kita
runtuhkan, mengapa kita tidak membina khemah mengisi orang yany kehilangan
rumah. Ini yang saya tidak boleh terima yang menyebabkan saya menjadi pengkritik
terhadap apa yang berlaku hari ini.
Saya rasa, sangat perlu bahawa kita semua mendesak kerajaan
dan kebetulan sudah hampir dengan pemilihan UMNO, mudah kita mendesak sebab
mereka akan berasa terdesak. Kita semua desak supaya kerajaan janganlah terlalu
tunduk kepada bahasa-bahasa berkod gaya barat. Saya tidak fikir barat sukakan
Malaysia. Mereka berkata, mereka suka Malaysia, tetapi sebenarnya saya rasa
mereka tidak suka Malaysia sebab Malaysia adalah negara yang majoritinya Islam
yang boleh memerintah dengan baik. Mereka tidak suka Islam berjaya. Kita di
Malaysia berjaya. Jadi, mereka menekan pemimpin-pemimpin kita yang kurang iman
ini untuk menerima bahasa-bahasa berkod seperti hak asasi manusia, liberalisme,
modenisme dan sebagainya. Kita telah termakan dengan dakyah itu.
Kalau kita berminat mempertahankan dan mengembalikan
demokrasi yang selamat seperti yang Tun Razak kata tadi, berbanding dengan
demokrasi yang kurang selamat ini, kita perlu mendesak kerajaan dan parti pembangkang
juga bahawa kita memerlukan akta perlindungan yang besar, yang kukuh dan yang
kuat.
Sebabnya, dahulu kita melawat Simpang Renggam, sebenarnya
mereka terlindung ketika berada dalam tahanan itu. Bila keluar, mereka sudah
tidak rasa selamat lagi. Jadi, akta perlindungan ini bukan sebenarnya
melindungi kita yang tidak terlibat dalam jenayah, ia juga melindung penjenayah.
Itu (EO) sudah bagus iaitu akta yang
cukup bagus.
ZAMAN KHAN: Saya
sudah berkata kepada kawan-kawan, khususnya yang bukan Melayu dalam satu
kumpulan. Kumpulan kami ini ialah tidak lain tidak bukan murid-murid tua
sekolah dahulu. Mereka ini sangat terkenal mengkritik negara kita dengan
mengatakan mengenai ISA.
Saya mengatakan tanpa ISA, saya rasa kita tidak dapat berada
di sini hari ini, kita tidak boleh mengecapi kemajuan seperti hari ini dan kita
tidak mungkin hidup selesa, dengan jalan raya yang baik dan sebagainya. Tetapi
oleh sebab ISA yang mencegah manusia daripada melakukan apa yang mereka suka
lakukan, maka kita hidup dengan selamat.
Kita harus ingat, kita satu negara dan rakyat yang majmuk, bukan
senang hendak melawan 60 peratus Melayu, 30 peratus Cina dan India serta lain-lain
bangsa. Bukan senang. Kerana itu orang-orang tua kita dahulu (pemimpin
terdahulu) membuat Kontrak Sosial. Saya seru kepada anak-anak muda, baca dan
hayatilah makna Kontrak Sosial ini.
Pernah pemimpin Melayu terdahulu berkata, kita orang Melayu
ini bernasib baik tidak begitu ganas. Orang kata itu, kata ini pun kita sabar
dan buat tidak tahu.
Sebelum ISA dimansuhkan, adakah orang berani buat kartun
buka puasa makan daging babi? Macam-macam sekarang Islam diperhinakan. Adakah
Islam mengganggu agama mereka? Tidak. Kalau orang dia masuk Islam kerana dia
tengok Islam itu bagus. Tetapi orang kita diajak masuk agama lain kerana
dipujuk dan diberi habuan dan sebagainya. Sebab itu, kalau ada orang lain kata
ISA telah disalahguna kuasa dan sebagainya, terpulang kepada kita untuk
memperbetulkan.
Saya berbalik kepada tajuk perbincangan iaitu polis hilang
sengat. Saya ini nasib baik ataupun nasib tidak baik tidak tahulah.. daripada
polis (KPN) dihantar ke penjara (Ketua Penjara Malaysia). Tetapi Allah sahaja
yang tahu, mula-mula memang saya marah kepada Tun Mahathir Mohamad kerana dia
kata, “kamu pergilah Zaman (jadi KP Penjara). Sekarang saya puji dia kerana wawasan
dia itu saya dapat berkhidmat selama empat tahun dalam penjara dan saya lebih
peka kepada kemanusiaan. Oleh sebab itu saya terlibat dengan aktiviti NGO
khususnya dari sudut kebajikan dan sebagainya.
Sebelum EO ini dimansuhkan adakah kongsi gelap berani tampil
ke hadapan buat perarakan dan menaikkan bendera mereka dan sebagainya? (Tapi)
Sekarang ini seolah-olah negara ini tidak ada undang-undang lagi dah. Macam
raja pula mereka hendak menunjukkan kuasa mereka itu. Ini bukan suatu yang baik.
Kita bercakap mengenai Kontrak Sosial dan sebagainya. Betul, saya pun sebagai
bekas pegawai polis nasib baik di hantar ke universiti luar negara sekitar
tahun 1983 untuk mengikuti kursus selama tiga bulan lebih, dalam bulan puasa
pula tu di musim panas. Ketika berbuka puasa, matahari masih panas lagi.
Tetapi kena ingat, bercakap mengenai Kontrak Sosial ini
bagus, ia memberi perlindungan kepada kita, bukan sahaja untuk individu tapi
untuk semua. Kalau kita kata hak asasi orang yang kena tahan itu kerana
perbuatannya, tetapi bagaimana pula dengan asasi saya yang tidak berdosa ini. Mahukah
saya diganggu oleh ganster-ganster ini. Tidak, saya tidak mahu.
Jadi, seperti Tan Sri Musa kata, EO ini sangat perlu kerana
kalau benci sangat kepada ‘emergency’ itu tukarlah ataupun pindalah
undang-undang yang ada supaya memberi kuasa kepada polis. Mengenai salah guna
kuasa, mana ada salah guna kuasa. Kalau ada pun, kita perbetulkan dengan betul
undang-undang itu. Orang kata kerana salah gunakan kuasa , tetapi tengoklah
sebelum undang-undang ini dibuat, adakah orang berani menyentuh hak sesama
lain? Kita pula, orang Melayu dan orang Islam menjadi sasaran kepada orang yang
kurang taat setia kepada negara kita ini. Mereka lupa Tanah Melayu ini sekarang
seolah-olah madu, berjuta-juta pendatang datang datang ke sini untuk bekerja
dan sebagainya. Mereka lupa semuanya ini.
Pada saya, yang telah berkhidmat begitu lama dalam polis dan
boleh dikatakan pernah terlibat dalam jenayah dan sebagainya, kita perlukan
undang undang ini. Bukan untuk menganiayai kepada manusia lain, tetapi untuk
menentukan kita boleh hidup bebas.
Kita harus ambil iktibar apa yang berlaku tiga bulan yang
lalu itu, apabila kita membebaskan mereka banyak serangan senjata api, ada yang
diupah, yang tembak orang kaya dan sebagainya. Banyak sangat berlaku. Banyak
orang kata polis tidak ada sengat. Betul polis tidak ada sengat, tetapi saya
rasa berilah peluang dan masa kepada polis dua atau tiga minggu, mereka akan
mendapat maklumat dan mereka terus bertindak.
Betul dalam tempoh itu polis belum dapat menyelesaikan kes
itu, tetapi polis ini bergantung kepada maklumat. Itu makanan polis. Kalau
orang ramai tidak tampil ke hadapan dan tidak memberi maklumat kepada polis,
macam mana kita hendak menangkap penjenayah itu. Dalam kes kongsi gelap, yang
penting sekali ialah orang yang tidak menyertainya takut untuk melaporkan
kepada polis. Takut hendak lapor dan memberi keterangan di mahkamah dan
sebagainya. Tetapi kalau kita berjanji dengan mereka tidak perlu pergi ke
mahkamah, namanya tidak akan dibongkar atau sebagainya, mereka akan datang.
Bukan kita cari mereka suruh buat aniayai kepada rakan
mereka, tidak. Mereka datang untuk memberi maklumat dan saya beritahu di sini, kalau kes yang saya
siasat mungkin, Tan Sri Musa tidak tahu siapa saksi saya. Nama tidak ada dalam
fail ini. Tidak ada langsung. Semuanya sulit. Tetapi perangai manusia, kalau
seorang boleh tutup mulut, kalau berdua kena jaga sedikit, kalau bertiga kena
berhati-hati, tetapi kalau kita boleh simpan rahsia, orang akan setuju.
Dalam pengalaman saya, dalam kes ini saya pun tidak setuju.
Apabila saya diberi kuasa, saya tidak setuju orang ini dibuang daerah di Pulau Jerjak.
Kesalahan macam ini harus diberi keterangan di mahkamah, nama dia tidak ada
dalam mahkamah, bahkan dia sendiri tidak ada di mahkamah. Begitu halus kita
buat.
Kalau ada perbuatan aniaya dan sebagainya, itu boleh disiasat,
tetapi tidak pernah berlaku. Kementerian Dalam Negeri dulu ada kumpulan untuk membuat
siasatan khas dan kita pula hari ini takut, kalau-kalau orang ini akan buat
aniaya kepada kita pula. Saya rasa undang-undang yang patut dipinda ini akan
diberi semula kuasa kepada polis dan juga ada sebagaimana dalam kes dadah dan
rampasan harta haram sebagaimana kita lakukan dalam kes dadah. Kita mesti ambil
teladan dari barat. Tengok di Amerika, presidennya selalu kata negara mereka selamat.
Mana selamatnya, apa yang berlaku di Amerika sekarang? Pergi
berjalan-jalan tidak tentu arah akan kena samun oleh gangster, depan polis pula
tu. Di England, ramai rakyat kita pergi belajar di sana dahulu, bebas. Sekarang
cubalah pergi, malam-malam hendak naik teksi pun takut. Kenapa? Sebab hak asasi
kononnya. Jadi, kembalikan semula undang-undang sedia ada ini. Janganlah buang
dalam parit sehingga polis hilang sengat.
MUSA HASSAN: Pada saya trend ini serius
kerana melibatkan kegiatan haram. Kalau ada kongsi gelap sudah tentu ada tujuannya
seperti mengapa diwujudkan kongsi gelap? Kerana hendak melindungi kegiatan
haram mereka. Ini adalah satu sindiket yang mempunyai eraki tertentu yang ada
ketuanya. Jadi, kita perlu membanterasnya dengan betul.
Kalau kita hanya pergi ke peringkat bawahan dan ketuanya
masih wujud, saya rasa kita akan gagal dalam peperangan ini. Yang penting ialah
ambil ketuanya. Tapi kadang kala, apabila kita melihat wujudnya sindiket ini,
selalunya keadaan itu kita boleh kawal, tetapi paling penting ialah integriti
pegawai awam itu sendiri. Kerana kalau integriti pegawai awam itu tidak kukuh,
dia dengan senang boleh rasuah.
Kalau ada undang-undang yang kukuh, kalau masih ada rasuah
yang masih berleluasa, saya merasakan mereka tidak akan tumpas sindiket ini.
Ini yang berlaku di Amerika ketika mafia wujud di negara itu, di Jepun dengan
yakuzanya dan macam-macam lagi sehingga mereka boleh kontrol orang-orang
politik. Ini masalahnya.
Ini yang saya cukup takut kerana saya merasakan bahawa kalau
kita tidak mengubah perkara ini dan tidak membanterasnya dengan betul, negara
kita juga akan menjadi negara yang sama seperti negara ketiga lain yang banyak
kumpulan kongsi gelapnya sendiri. Saya hairan dan ingin menyentuh sedikit
mengenai ‘human right’ ini. Di Malaysia, memang pihak polis dan kerajaan pun
iktiraf hak assi kebebasan dan hak manusia, tetapi mereka berkehendakkan hak
asasi yang mutlak. Mutlak, apa yang mereka buat tidak boleh ada undang-undang
yang menyekat.
Kalau hak asasi mutlak, rosaklah negara kita. Di negara
barat tidak mengapa kerana mereka mempunyai budaya yang berlain, tetapi kita
mempunyai budaya orang beragama Islam, tidak ada hak asasi mutlak. Hak asasi
mesti terbatas.
Dengan hak asasi mutlak ini pula mereka membuatkan
penjenayah itu penting daripada orang awam. Kalau penjenayah kena tembak,
mereka mengatakan hak asasi mereka kena jaga, kenapa mereka kena tembak. Ini polis
pula yang jadi penjenayah. Kalau soal penjenayah yang mempunyai senjata api, maknanya
dia telah menampah maut. Polis tidak akan suruh dia menyerah diri kerana polis
pun takut akan keselamatannya.Kalau seseorang itu bersenjata kemudian polis
bagi amaran, tiba-tiba pistol polis tidak boleh digunakan, polis yang mati dahulu.
Jadi, polis menjaga keselamatan dirinya dan keselamatan
orang ramai. Pada saya, mana-mana penjenayah yang bersenjata api, dia sendiri
menampah maut. Jangan salahkan polis kerana tugas polis untuk menjaga
keselamatannya sendiri dan untuk keselamatan orang ramai kerana penjenayah yang
bersenjata api ini juga boleh mengakibatkan keselamatan orang ramai tergugat
kerana mereka boleh menembak sesiapa sahaja.
Perkara ini yang saya rasa penting untuk orang ramai faham,
jangan tuduh polis tidak beri amaran. Ketika kes tembak di Pulau Pinang tempoh
hari, ia berlaku dalam bangunan, hendak beri amaran macam mana, kena tembak ke
udara dulu, sudah tentu peluru terkena siling dan kalau peluru itu terpelanting
tentu terkena diri polis, polis itu yang mati. Ini masalahnya.
Kalau orang tidak tahu cara prosiding dijalankan, mereka
tuduh polis mengarut, tembak membabi buta. Pada saya, kita perlu tentukan polis
ini ditugaskan untuk menjaga keselamatan masyarakat. Ini penting. Penjenayah,
kalau mereka perlu untuk balik ke landasan yang betul (menyerah diri), Alhamdulillah,
kita pun menghormati mereka. Tetapi yang tegar ini tadi kena jaga, kerana
mereka tidak takut kepada sesiapa.
Integriti itu penting untuk kita menangani masalah begini.
Kalau kita menubuhkan skuad khas untuk mengambil tindakan daripada polis tempatan
di kawasan itu, ini saya rasa silap sediklt. Sebagai ketua, kita kena arah
polis tempatan itu yang buat, kalau OCPD
tidak buat, OCPD kena diambil tindakan kerana dia tahu kawasan itu kawasannya. Sebab
itu saya kata, kita boleh ada pemantau, tetapi kita sendiri kena tentukan polis
yang ditempatkan itu menjalankan tugas mereka.
Kalau dia duduk diam-diam saja, polis dari Bukit Aman akan turun
buat kerja. Ini tidak betul juga. Jadi kita kena tegas sebagai ketua untuk
menentukan orang bawahan buat kerja. Tapi kalau mereka tidak buat kerja perlu
diambil tindakan tatatertib. Ini penting.
KADIR JASIN: Saya
rasa eloklah masyarakat membantu polis dan satu sama lain, tetapi saya rasa agak
bahaya kalau masyarakat hendak menjadi penguatkuasa. Kadang kadang ada kes yang
berlaku di Malaysia, masyarakat menangkap penjenayah dan memukul orang yang
disyaki sebagai peragut sampai mati. Saya rasa itu tidak mahulah berlaku, sebab
itu melanggar undang-undang. Dia pukul peragut, orang itu mati, dia pula masuk
penjara. Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan masyarakat kerana banyak sangat berlaku
benda begini sehingga masyarakat rasa marah.
Saya rasa saya berbeza sedikit dengan pendapat Tan Sri Musa.
Saya rasa unit khas ini mungkin perlu kerana kita tengok di Amerika pun kalau
polis tempatan tidak dapat melakukan sesuatu tugas, mereka menghantar FBI. Saya
rasa ini gabungan yang baik kerana kadang-kadang kita tidak mahu polis tempatan
itu terdedah atau mendedahkan indentiti mereka dan mungkin mereka boleh memberi
maklumat kepada pihak ibu pejabat.
Cuma yang saya takutnya begini, hari ini bekas-bekas tahanan EO tembak menembak
antara satu sama lain berebut kawasan. Yang dulu dia dihantar ke Simpang Renggam,
bila balik kawasannya sudah diambil oleh orang lain. Kalau yang mengambil alih hendak
mempertahankan kedudukannya, yang keluar dari Simpang Renggam pula hendak mengambil
semula kawasannya, tapi katakan selepas mereka bunuh membunuh senjata itu pergi
ke mana? Mereka akan bunuh kita pula. Jadi, sebelum mereka habis bunuh membunuh
antara satu sama lain, yang Alhamdulillah saya sokong, kita takut apa yang akan
berlaku selepas itu.
ZAMAN KHAN: Kalau
arwah ayah saya tidak hantar saya ke rumah datuk di Pasir Mas, mungkin saya
sudah pun arwah. Kawan-kawan saya yang sebaya dengan saya semuanya sudah
ditembak mati dan sepupu saya pun ditembak mati. Jadi kalau ditanya mana
selamat antara Selatan Thailand dengan Malaysia, sudah tentulah Malaysia. Tapi
di Thailand itu bukan selatan sahaja tidak selamat, di utara Thailand pun
begitu juga .
Apa yang dikatakan mengenai skuad khas ini, saya lama dalam
skuad khas. Tetapi katalah saya OCPD Johor, bawa polis Kuala Lumpur pergi serbu
tanpa pengetahuan saya, ini suatu tindakan yang meruntuhkan imej saya dan
kewibawaan saya sebagai ketua. Selalunya kalau ada orangnya terlibat, OCPD akan diberitahu bahawa skuad khas akan datang
untuk membantu. Ini kena berhati-hati dalam pasukan beruniform kerana ketua di
sesebuah negeri adalah besar.
Keduanya pula, apa pandangan orang tempatan terhadap OCPD
dan anggota polis tempatan itu? Tentu mereka mempersoalkan apa yang OCPD itu buat
sehingga polis dari Kuala Lumpur datang? Tetapi ini memang berlaku. Saya
menjadi mangsa pun pernah, saya terlibat dengan skuad khas pun pernah. Ketika
dalam UTK (Unit Tindakan Khas) dulu saya pernah buat perkara ini, tetapi kita
kena berhat-hati, jaga imej OCPD kerana masayarakat akan kata yang bukan-bukan
kepada OCPD itu.
Pada saya, masalah pendatang asing tanpa izin (Pati) ini
satu punca rasuah yang sangat besar. Kenapa kita tidak hentam betul-betul yang
ini? Ada masa terima arahan ambil tindakan, ada masa relaks. Bukan saja polis,
semua terlibat. Jadi, kalau polis tahan, mereka tuduh polis makan duit. Saya
rasa ini perkara yang perlu dibanteras sebab masalah Pati ini adalah punca
rasuah yang merosakkan. Saya kata dengan ikhlas dan semangat poatriotik.
1 ulasan:
setuju dengan mereka ni...harap nnti ada keputusan yang adil nanti
Catat Ulasan