Ahad, 10 Mei 2015

Cerita duta terselamat nahas helikopter di Pakistan

10 MEI: Tiga duta yang terselamat dalam nahas helikopter di Pakistan, kelmarin menceritakan saat menakutkan sebelum helikopter itu hilang kawalan dan terhempas menyebabkan tujuh penumpang lain, terkorban.

hasrulsani
HASRUL SANI

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar, yang mengalami kecederaan dalam nahas itu, menceritakan perjalanan pada awalnya lancar dan rombongan itu dijangka mendarat di destinasi mereka di rantau utara Gilgit-Baltistan.

“Hanya lagi beberapa minit untuk tiba, helikopter secara tiba-tiba berpusing laju dan kemudian dengan pantas terhempas ke tanah.

“Saya melihat juruterbang terbunuh, sesetengah yang lain maut serta-merta dan saya berada di tengah. Tidak lama kemudian beberapa penumpang juga berjaya menyelamatkan diri, namun kebakaran amat marak dan asap dengan cepat memenuhi bahagian dalam helikopter,” katanya.

Helikopter itu adalah satu daripada tiga yang membawa delegasi diplomat untuk memeriksa projek pelancongan dalam lawatan tiga hari ke rantau itu.

Mereka juga dijadualkan bertemu Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif.

Tragedi itu turut mengorbankan isteri Hasrul Sani, Datin Habibah Mahmud.

Taliban Pakistan sebelum ini mendakwa menembak helikopter berkenaan dengan peluru berpandu darat ke udara dengan harapan membunuh Sharif.

Tentera Udara Pakistan (PAF) menolak dakwaan itu dan menyatakan nahas itu adalah satu kemalangan dan bukan akibat tindakan keganasan.

Duta Argentina, Rodolfo Martin Saravia, yang turut terselamat dalam kemalangan itu berkata, beliau yakin dakwaan Taliban Pakistan itu tidak benar sebaliknya nahas itu berlaku akibat kegagalan teknikal helikopter.

Duta Belanda, Marcel de Vink yang mengalami lecur di kaki dan muka berkata, beliau berasa “amat bertuah” masih hidup selepas apa yang disaksikannya.

“Saya teringat kami berpusing banyak kali dan perlu bersiap sedia untuk berhadapan sebarang kemungkinan. Selepas itu, saya membuka mata dan melihat asap serta letupan. Kejadian berlaku amat pantas, saya berasa amat bertuah kerana terselamat,” katanya seperti yang dimaklumkan kepada Kementerian Luar Pakistan.

Kemalangan itu adalah nahas udara terburuk Pakistan sejak tahun 2012, apabila sebuah pesawat penumpang Boeing 737 terhempas di Islamabad mengorbankan 130 penumpang.

Pada tahun 1988, satu nahas udara mengorbankan pemerintah tentera Pakistan ketika itu, Jeneral Zia-ul-Haq selain duta Amerika Syarikat, Arnold Raphel. – AFP

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran