Ahad, 10 Mei 2015

Kontroversi, Mungkin Kepada Bukan Islam

th

Mendakwa mendapat nasihat daripada Perdana Menteri, Lembaga Tabung Haji akan menjual tanah yang dibelinya secara kontroversi daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Kata Pengerusi Tabung Haji itu, Ahli Lembaga Pengarah agensi itu bersetuju dengan penjualan berkenaan sebagai menghormati sentimen serta sensitiviti pendeposit dan mengekalkan keyakinan orang ramai.

Bagaimanapun, Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling tetap menafikan Tabung Haji melakukan sebarang salah laku dalam transaksi berkenaan.

"Perdana Menteri menghubungi saya pagi ini dan memberikan nasihat supaya kami menjual tanah berkenaan.

"Ketika ini sudah ada tiga tawaran dan kami akan menyelesaikannya minggu depan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Azeez juga mendakwa, selain akan mendapatkan keseluruhan wang yang dibelanjakan untuk membeli tanah itu, Tabung Haji juga dapat membuat keuntungan daripada transaksi tersebut.

Azeez mendedahkan sehingga semalam, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji tidak bersetuju menjual tanah berkenaan untuk membuktikan tiada salah laku terjadi sepanjang proses ia dilakukan.

Ketegasan itu juga, kata Abdul Azeez, dibuat untuk menunjukkan pembelian berkenaan adalah pelaburan biasa untuk Tabung Haji.

"Mula-mula Tabung Haji ditawarkan membeli tanah itu pada April 2013 dan dipersetujui panel pentadbiran dan pelaburannya sebelum ia dibawa kepada Lembaga Pengarah," katanya.

Abdul Azeez turut berkali-kali menegaskan pembelian tanah itu bukan dibuat untuk menyelamatkan (bailout) 1MDB yang kini didakwa mengalami kerugian besar.

Katanya, persetujuan mesti diperoleh secara mutlak kerana jika ada seorang saja Ahli Lembaga Pengarah tidak bersetuju, transaksi berkenaan tidak boleh diteruskan.

"Isu ini adalah polemik politik yang cuba mengheret Tabung Haji.

"Langkah terbaik untuk saya dan Tabung Haji adalah mengelak daripada terseret di dalamnya," katanya.

Tabung Haji tidak mendedahkan butiran mengenai pihak yang didakwa berminat membeli tanah yang dibeli secara kontroversi daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Namun, berdasarkan kenyataan dibuat hari ini, ada kemungkinan tanah berkenaan akan djual kepada pembeli bukan Islam.

Bercakap kepada media di Kuala Lumpur hari ini, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, agensi itu “menghormati kerisauan makcik-makcik dan pakcik-pakcik (pendeposit)”.

Kata Ahli Parlimen Baling itu, Tabung Haji bersetuju untuk mencari tanah lain.

“Saya nak bagitahu, lepas ini jangan kata mengapa Tabung Haji jual kepada orang bukan Islam,” katanya.

Menurut Abdul Azeez, Tabung Haji sedang menilai tawaran yang diterima sebelum membuat keputusan mengenainya minggu depan.

Abdul Azeez juga berkata, keputusan Tabung Haji melepaskan tanah yang dibeli itu membuktikan ia tidak sukar untuk dijual.

Namun, katanya, Tabung Haji akan mencari pihak atau syarikat yang mampu memberi keuntungan terbaik untuk tanah berkenaan.

“Selepas jual kita akan minta Ketua Pegawai Kewangan Tabung Haji buat sidang media,” katanya.

Berdasarkan kenyataan Tabung Haji, tanah seluas setengah hektar itu dibeli pada harga diskaun RM188.5 juta atau kira-kira RM2,779 setiap kaki persegi.

1MDB pula membeli tanah di kawasan sama daripada kerajaan pada harga RM74.20 sekaki persegi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Habis TH beli tanah tu nak buat kondo mewah? Siapa yang akan beli? Bumiputra Islamkah? atau cina singapura, Malaysia, hongkong, taiwan atau omputih?? Kesudahannya akan terlepas juga ke tangan bukan Islam...Tanah pusaka yang asalnya milik rakyat/negara yang di'songlap' oleh 1MDB..