Rabu, 6 Mei 2015

Hasan Janji Tidak Hampakan Pengundi Rompin

5 Mei - Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin yang berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin berjanji

terus membela nasib penduduk kawasan Parlimen itu, terutama mempertingkatkan ekonomi generasi muda.

Beliau, yang turut berjanji tidak akan menghampakan harapan pengundi Parlimen Rompin, akan melaksanakan janji pilihan raya yang telah dibuatnya memandangkan kawasan Parlimen yang mempunyai keluasan melebihi kawasan Negeri Sembilan dan Melaka mempunyai banyak potensi ekonomi yang boleh dimajukan terutama dalam bidang pertanian dan pelancongan.

"Kita tahu sumber ekonomi utama Rompin adalah dalam bidang pertanian, namun sebenarnya masih banyak sumber ekonomi yang berpotensi besar untuk dimajukan," katanya kepada pemberita selepas diumumkan menang dalam PRK Rompin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin.

Hasan menewaskan calon PAS Nazri Ahmad dengan undi majoriti sebanyak 8,895 undi setelah mendapat 23,796 undi atau 61 peratus berbanding Nazri yang mendapat 14,901 undi atau 39 peratus.
"Saya nampak bidang pelancongan mempunyai potensi besar yang boleh dimajukan untuk diceburi oleh golongan muda kerana kita mempunyai salah satu keistimewaan iaitu Pulau Tioman," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan BN mengekalkan kemenangan dalam PRK kali ini, Hasan berkata ia adalah hasil usaha keras jentera BN serta usaha beliau sendiri turun padang untuk berjumpa dengan setiap lapisan pengundi bagi menyelami permasalahan mereka.

"Saya turun di setiap pusat mengundi, berjumpa dengan pemimpin badan bukan kerajaan, kelab belia serta penjaja kecil untuk menyelami permasalahan mereka.

"Malah, pengundi Orang Asli juga tidak kita ketepikan kerana mereka merupakan antara jumlah pengundi terbesar di Rompin dengan seramai lebih 5,000 pengundi," katanya.

Antara masalah utama Orang Asli yang dikenal pasti termasuk soal bekalan air bersih, kedudukan ekonomi, isu pemilikan tanah, dan perkara-perkara itu telah dikemukakan kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob untuk tindakan lanjut, katanya.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan jumlah majoriti undi yang diterimanya, Hasan berkata jumlah itu amat baik dengan mengambil kira pelbagai isu semasa kini termasuk soal Felda Global Ventures (FGV) Berhad dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

"Kemenangan ini menunjukkan satu petanda keyakinan rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO," katanya. -BERNAMA

Tiada ulasan: