Selasa, 17 Mac 2009

Ali kena, Khairy amaran


























Tiada siapa pun jangka Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam antara pemimpin tertinggi yang dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dalam politik wang.

Sebelum ini sudah gege gegok atau gege riuh seantero Malaysia mengenai isu itu, tetapi masing-masing cuba menyembunyikan mereka yang mengamalkan politik wang. Malah, bagi mengelak dihidu daripada pengetahuan rakyat, mereka tampil dan lantang membuat kenyataan media menentang politik wang.

Rupa-rupanya... kesian Mohd Ali. Belum masuk gelanggang sudah terkena pukulan TKO daripada pengadil yang berjaya menghidu beliau terlibat dalam politik wang.

Berikutan itu, Mohd Ali yang memegang jawatan Naib Presiden dan antara tiga pemimpin yang berjaya melepasi kuota untuk merebut jawatan Timbalan Presiden dilarang bertanding pada pemilihan parti minggu hadapan kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang.

Lembaga Disiplin UMNO mendapati beliau melakukan kesalahan itu mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO, demikian diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

"Kesalahannya disebabkan ada sabit atau kaitan iaitu pekerja dia ke, apa saja yang buat salah, dia yang dianggap sebagai prinsipal (ketua), juga dianggap buat salah.

"Tetapi kesalahan dia tidak begitu seperti yang dilakukan oleh ejennya. Maka dia boleh diambil tindakan di bawah Perkara 10.1," katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO di Menara Onn di Kuala Lumpur.

Menurut Lembaga Disiplin, calon Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga didapati bersalah kerana melanggar perkara yang sama, tetapi hanya diberi amaran dan layak bertanding jawatan berkenaan pada 25 Mac ini.

“Seorang lagi calon Ketua Pemuda UMNO, yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo turut disiasat atas perkara yang sama dan didapati tidak bersalah melanggar tataetika," katanya.

Ahmad Ritahaudden berkata, Setiausaha Politik, Ketua Menteri Melaka iaitu, Saadun Basirun turut didapati bersalah termasuk ahli jawatankuasa Bahagian UMNO Bukit Katil, Rosli Hasan dan Naib Ketua Puteri UMNO Bukit Katil, Zalina Ismail.

“Saadun yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil, digantung keahlian selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan berkuatkuasa 12 Mac lalu," katanya.

Keahlian Mohd Ali bagaimanapun tidak digantung dan beliau masih menjadi anggota perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO pada 24 hingga 28 Mac ini.

Khamis, 12 Mac 2009

Persoalan

Assalamualaikum...
Dah lama tak jengok laman ni...kesibukan menghambat diri.

Hari ni MZ nak bangkitkan beberapa persoalan hangat dan panas mengenai politik tanah air yang MZ nampak makin gila. Nampak lebih teruk dari Iraq, dari Thailand dan dari mana-mana negara yang bergolak.

Politik Malaysia agak aneh. Lebih aneh dari wajah-wajah hantu dan setan dalam filem-filem Melayu dan barat masa kini. Betul tak tetamu dihormati?

Apahalnya dengan Karpal Singh yang begitu celupar melemparkan kata-kata yang telah menguris hati anak Melayu dengan perkataan 'CELAKA' kepada Pemuda UMNO.

Apahalnya dengan Barisan Nasional (BN) Perak mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri bukan melalui pilihan raya? Selama ini mereka melaungkan demokrasi. Mereka memperjuangkan demokrasi, tetapi demokrasikah mereka apabila dengan mengambil alih kerajaan negeri secara yang berlaku itu?

Apahalnya pula dengan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak pimpinan Muhammad Nizar Jamaluddin yang dijatuhkan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar di bawah pokok sena sehingga pokok itu dijadikan tempat memuja oleh kaum-kaum tertentu termasuk orang Islam. Tidakkah kaedah yang dilakukan oleh PR itu menyebabkan berlaku keruntuhan akidah dan khurafat?

Apahalnya pula tok guru Nik Aziz berdiam diri apabila ditanya pendapatnya mengenai pembinaan tugu di bawah pokok demokrasi di Perak? Sebelum ini beliau lantang membidas kerajaan membina Tugu Negara. Katanya, berdosa menyembah Tugu Negara yang disifatkan sebagai berhala. Tetapi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dengan perbuatan kerajaan PR membina tugu di bawah pokok demokrasi.

Di mana sifat-sifat kepimpinan Islam yang ada pada diri tok guru? Adakah kerana ia dilakukan oleh orang yang sebulu dengannya, walaupun salah, dikatakan betul atau sekurang-kurangnya mengambil sikap berdiam diri? Kata orang tua-tua, kalau diam, maknanya bersetuju.

Apahalnya dengan Husam Musa mempersoalkan dari mana kerajaan pusat dapat wang RM60 bilion untuk menyuntik modal bagi menangani krisis ekonomi? Di mana sikap dan semangat Islam yang ada dalam jiwa Husam? Tidak adakah semangat hendak membantu kerajaan menangani masalah ekonomi supaya rakyat tidak merana? Jangan hanya tahu mengkritik sahaja.

Inilah sifat ayam. Berkokok serata kampung, ekor terpalit taik. Menuding satu jari ke arah orang, empat jari lagi ke arah diri sendiri. Sepatutnya sebagai pemimpin besar dalam Pas, beliau harus tunjuk sikap kepimpinan, bukan sikap kebudak-budakan.

Apahalnya dengan kepimpinan tertinggi UMNO tidak mengambil sebarang tindakan ke atas pemimpin-pemimpinnya yang didapati dengan sah dan jelas terlibat dalam politik wang. Mustahil daripada 1,000 laporan yang dihantar kepada Lembaga Disiplin, satu kes pun tidak ada? Apa sudah jadi?

Kenapa kes yang boleh menyebabkan parti, maruah, agama dan negara tergadai itu dibuang begitu sahaja? Kenapa tidak ada usaha untuk mengheret mereka ke muka pengadilan agar dapat memberi pengajaran kepada malaun yang lain? Adakah UMNO lebih suka partinya dipenuhi dengan malaun-malaun ini?

Apahalnya apahalnya apahalnya...bersambung...

Khamis, 5 Mac 2009

Yeop

YEOP beristighfar melihat ramai manusia tidak beristiqamah. Tidak menghargai keamanan, keharmonian dan kesejahteraan yang dilimpahkan Allah kepada kita. Agaknya manusia hari ini sudah puas barang kali hidup kalau tak berpecah belah. Sedihnya Yeop tengok keadaan hari ni. Lebih sedih apabila Yeop terpaksa kurung anak-anak Yeop dalam bilik.

Yeop tak benarkan mereka tengok televisyen. Yeop tak benarkan mereka baca surat khabar. Yeop tak benarkan mereka jumpa kawan-kawan. Bukan Yeop nak dera anak Yeop, tapi Yeop tak mau fikiran anak-anak Yeop yang masih bersih dicemari oleh kekalutan politik yang berlaku.

Yeop tak rela anak Yeop mengambil tahu hal politik sekarang. Yeop lebih rela anak Yeop tengok dinding dan siling kosong dalam biliknya daripada tengok situasi politik kotor lagi menjijikkan di luar sana.

Kepada Yong, Yeop mintak sangat-sangat. Tolonglah nasihatkan pada kaum kerabat Yong tu. Hentikanlah kemelut politik tak cerdik tu. Tamatkanlah segala sandiwara tu.

Tolonglah... Yong. ‘Please lah’ Yong. Kalau Yong mintak Yeop melutut pun, Yeop rela. Janji, Perak kembali aman. Kembali pulih. Yeop mahu tengok anak-anak Yeop hidup bebas. Berlari, keluar berjalan-jalan dan mindanya tidak dicemari unsur politik kotor.

Kadang-kadang Yeop terfikir. Kenapalah mak ayah Yeop lahirkan Yeop di Perak. Kan baik kalau Yeop lahir di bumi Palestin. Ada faedahnya juga. Negara itu tak aman bukan kerana pemimpinnya berpecah belah macam di Perak, tapi kerana gangguan musuh tradisinya Israel laknatullah yang sering buat kacau.

Sekurang-kurangnya kalau Yeop mati di sana pun, Yeop mati syahid. Nama Yeop akan dijulang. Kedudukan Yeop mulia di sisi Allah. Tak macam di sini, kalau sakit atau cedera pun, malu nak cakap. Kenapa? Sebab kena pijak oleh kawan-kawan tika sertai tunjuk perasaan kat depan bangunan SUK semalam.

YEOP - Terserempak Yong bawah pokok beringin.
(Siaran 5hb Mac 2009/Khamis)

Isnin, 2 Mac 2009

Yeop 3

Ketiga, siaran 3hb Feb 09)
MULANYA Yeop rancang nak pergi tengok sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ni. Dalam merancang tu tiba-tiba Yeop terima panggilan daripada Yong. Katanya, sidang DUN tu tak jadi. Yeop tanya Yong, kenapa tak jadi? Yong pulak tak bagitau. Dia putuskan perbualan begitu saja. Sakitnya hati Yeop.

Lain kali kalau nak bagitau, biarlah sampai ke penamat. Jangan sekerat jalan saja. Buat sakit hati Yeop saja. Apapun, sebagai lelaki mulia, Yeop tetap ucap terima kasih kepada Yong sebab maklumkan perkara tu. Kalau tidak penat sajalah Yeop ke sana.

Ketika Yeop belek-belek akhbar, Yeop ada terbaca kenyataan Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah nasihatkan orang ramai jangan berada di sekitar bangunan SUK sebab DUN tak jadi bersidang. Katanya, mereka yang berada di situ akan dianggap berhimpun secara haram. Dan akan ditangkap kalau ingkar.

Bagi Yeop, buat apa susah-susah berhimpun kalau pihak berkuasa tak beri izin. Baik duduk kat rumah dengan anak isteri. Kalau tak ada kerja sangat, ambillah cangkul, sodok tanah belakang rumah tu dan letakkan benih jagung atau kacang, ada juga hasilnya daripada melalak tak tentu pasal di tempat yang orang larang.

Yeop sedihlah dengan keadaan di negeri Yeop sekarang ni. Kerana nafsu besar dan sikap pentingkan diri seseorang pemimpin, rakyat macam Yeop yang jadi mangsa. Kadang-kadang ketika termenung seorang diri, Yeop terfikir-fikir juga, apakah nasib Yeop dan kaum kerabat Yeop. Dahulu bolehlah Yeop bangga jadi rakyat Malaysia sebab aman, damai dan harmoni.

Sekarang, tiba-tiba saja timbul rasa malu jadi rakyat Malaysia. Sebabnya, negara Yeop tidak lagi macam dulu. Huru hara. Kaum kerabat gaduh sama sendiri. Pemimpin sudah lupa pada tanggungjawab dan amanah mereka. Menitis air mata Yeop kenangkan nasib diri. Tapi pemimpin tak pernah fikir atau risau sebagaimana yang Yeop fikir dan risau.

Yeop: teringat lagu Bahtera Merdeka

YEOP

(Kedua, siaran 2hb Feb)
MULANYA memang Yeop terasa hati dengan Yong. Mana tidaknya, elok-elok janji nak jumpa kedai kopi Abe Ipin, tiba-tiba Yong tak datang. Jenuh Yeop menunggu. Dari jam 10 malam sampai 12.30 tengah malam. Yong tak datang-datang juga. Telefon pun tidak, hantar mesej pun tidak. Berat sangat ke tangan dan jari Yong nak bagitau Yeop yang dia tak boleh datang?

Yeop bukannya nak dating dengan Yong. Jauh sama sekali nak pikat Yong yang dah tua tu. Yeop panggil Yong nak jumpa kerana nak bincang masalah negara. Yeop nak ceritakan pada Yong mengenai isu-isu semasa yang berlaku di negeri Yeop dan Yong ni.

Perbincangan ni penting sebab Yeop tengok Yong taksub sangat pada kerajaan lama.
Macam-macam Yong tuduh pada kerajaan baru. Tak demokrasi la, tak demokratik la.
Rampas kuasa la. Kerajaan tak sah la.

Jadi, Yeop ajak Yong jumpa sebab Yeop nak tunjuk perlembagaan negeri pada Yong. Yeop nak bentangkan satu persatu peraturan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri kepada Yong supaya Yong faham dan tidak cepat melatah.

Tapi Yong dari awal lagi takut nak jumpa dengan Yeop. Beginilah perangai Yong. Suka sangat tuduh orang tanpa usul periksa. Nampak sangat Yong ni tak tahu undang-undang. Lain kali Yeop nak ingatkan Yong, kalau tak tahu peraturan, jangan cakap yang bukan-bukan. Buat malu kaum kerabat Yong saja.

Ni pun tak tau Yong hilang ke mana. Entah-entah dah lari daerah. Atau sengaja nak sembunyikan diri atau sedang cari ideal macam mana nak bedal Yeop dalam ruangannya ni. Pukullah, Yeop tak takut. Kaum kerabat Yeop adalah dari pihak yang benar. Kenapa Yeop perlu takut. Kaum kerabat Yeop jadi kerajaan pun dengan perkenan Sultan. Bukan saja-saja nak ambil alih kuasa.

Yeop: Tak suka menegak benang basah
Mulai hari ini juga saya akan paparkan tulisan pojok saya yang disiarkan dalam kolum YEOP untuk Sinar Harian Edisi Perak. Kolum ini ada dua watak iaitu YEOP dan YONG. Konon-kononnya YEOP ni tak sehaluan dengan YONG. Jadi mereka sering kata mengata (perkara sihat) yang berkaitan dengan dua kerajaan di Perak. Cuma tulisan YONG tak dapatlah YEOP siarkan sebab tertakluk pada hak cipta terpelihara. YEOP hanya akan siarkan apa yang YEOP tulis sahaja:-

(Pertama 28hb Feb)
Dah lama Yeop keseorangan. Hari ni Yeop dapat pasangan. Yong namanya. Yong mulut becok. Cakap tak berlapik. Pakai hentam kromo jer. Mentang-mentang Yeop beri peluang, habis dibedalnya.

Macam-macam Yong lemparkan tuduhan pada Yeop. Inilah perempuan. Tapi Yeop buat tak tau jer. Orang perempuan, mulutnya memang macam tu. Makin dilayan makin menjadi-jadi. Sebenarnya, Yong tak ada topik nak dibincangkan. Sampaikan Yeop dijadikan sasarannya.

Apapun, selamat datang dan salam perkenalan pada Yong. Seronok jugak dapat pasangan jenis mulut becok macam ni. Ada juga manfaatnya. Kalau tidak, sunyi dan sepi aje. Filem pun begitu jugak, kalau tak ada slot lawak, tak cerialahkan.

Pada Yong, Yeop harap Yong gunakan mulut becok Yong tu untuk beri pandangan, ulasan, kritikan, ideal dan cadangan yang baik untuk rakyat kita dan Malaysia amnya.

Memang betul Yeop bercuti dua hari. Bosan duduk kat rumah, Yeop ikut YB-YB turun padang. Sekali turun, baru Yeop tau apa yang berlaku di bawah sana. Rupanya apa yang wakil rakyat janji tika kempen pilihan raya tahun lalu hanya kosong semata-mata.

Bila menang, bila dah ada mandat, mereka lupa nak tunai. Sedihlah Yeop macam ni.
Sekarang, mereka terima balasannya. Tika mula-mula bergelar YB dulu, bukan main manis dan lembut lagi bercakap.

Selalu masuk kampung jumpa penduduk. Mengalahkan Yong yang mulut becok tu. Tapi bila dah lama pegang, mereka dah mula bosan. Mulalah lupakan tanggungjawab. Jadi tak sedar diri. Sekarang bila sudah terantuk, baru nak tengadah.
Yong patut bisik-bisik kat telinga YB-YB yang tak lagi jadi MB dan Exco tu. Bisik macam Yeop laungkan azan kat telinga anak Yeop.

Yeop: Selalu cermin diri.

7 minit

Kuatkuasa 15hb Februari lalu, ruangan Sekilas Pandang dalam akhbar Sinar Harian telah ditukar kepada 7 Minit. Berikut adalah pandangan saya dalam 7 Minit siaran 27hb Feb 2009.

Apa cerita Man?
SAYA dihubungi ramai sahabat. Majoriti daripadanya mahu tahu perkembangan semasa. Mereka kata, mereka keliru. Mereka kata, mereka tak tahu yang mana satu betul. Pakatan Rakyat (PR) atau Barisan Nasional (BN).

Saya beritahu mereka, sebenarnya saya dah bosan dan muak dengan politik sekarang. Saya juga beritahu mereka, saya dah tak ambil tahu lagi pasal isu-isu politik. Bagi saya, lagi kita ikuti, lagi bertambah-tambah sakit hati. Saya kata begitu kerana semuanya sama, baik UMNO, PKR, Pas, DAP, MCA mahupun MIC. Mereka ni dilahirkan dalam acuan sama, cuma adunannya lain.

Soal pentingkan diri? Semuanya ada. Itu yang bersarang dalam diri mereka. Tidak seperti dulu lagi. Bertelagah, bertelingkah sama sendiri, masing-masing nak tunjuk jaguh, cari kesalahan orang lain, menerima dan memberi perasuah, membeli dan menjual diri dan macam-macam lagi yang ada kaitan dengan keruntuhan moral.

Inilah senario politik abad ke-21. Wakil rakyat tidak lagi menghiraukan masalah rakyat. Mereka jarang turun padang. Rakyat terkapai-kapai tanpa pemimpin. Jalan rosak tidak dibaiki. Longkang tersumbat tidak diselenggara. Jambatan runtuh tidak diganti baru. Malah, keluarga yang tak ada lampu pun masih banyak.

Macam mana nak tumpu kepada rakyat, diri sendiri pun tidak terjaga. Tidur sekarang pun dah tak lena, makan lagilah tak kenyang, mandi pula tak pernah basah. Sibuk memikirkan... "apakah aku pernah ada skandal dengan teman lelaki atau teman wanita seperti kes Elizabeth Wong atau Chua Soi Lek."

Mahu tak takut. Sekali terbongkar kisah-kisah lama, besar malunya. Kalau muka tembok macam bekas presiden Amerika Syarikat, George Bush yang kena baling kasut tu, tak mengapalah. Ni muka Malaysian. Pergi ke mana-mana, orang kenal. Orang menyebut-nyebut dan berbicara pasal kita.

Itu yang saya kata, saya sudah bosan sebenarnya dengan dunia politik hari ini. Malah, kadang-kadang terfikir juga setiap kali beli surat khabar. Adakah aku beli ni kerana nak baca berita politik yang membosankan itu atau kerana nak baca ruangan lain yang lebih menarik seperti hiburan, sukan dan rencana agama.

Tetapi, kalau tak baca, terasa pula ruginya. Sebab berita politik ni ada kelebihan tersendiri. Setiap daripada kita, termasuk saya, perlu juga tahu sedikit sebanyak hal ehwal politik ni. Tak baca dua hari, nanti jauh ketinggalan.

Saya tak mahulah berlaku dengan segelintir warga kota, apabila pengacara rancangan Wakenabeb bertanyakan siapa nama Ketua Polis Negara, ramai yang jawab tak tahu.

Ada yang jawab, Datuk Rahim Noor kot. Dan tidak sedikit mengatakan Datuk Bakri. Kesian Datuk Hassan Musa. Penat-penat pegang jawatan itu, seorang rakyat pun tak tahu beliau adalah Ketua Polis Negara. Dalam bab ini kita nak salah siapa?

Salah wakil rakyat dan pemimpinlah kerana asyik bertelagah sampai lupa nak terapkan semangat cintakan tanah air dalam diri masyarakat atau pengundi di kawasan masing-masing. Tak mustahil satu hari nanti, rakyat sendiri lupa nama wakil rakyat mereka.

Itulah cerita saya hari ini.