Jumaat, 18 September 2009

Samy Vellu satu liabiliti pada BN - Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu akan menjadi liabiliti kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang disebabkan kepimpinannya yang gagal, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau bimbang sokongan rakyat terhadap BN akan merosot dan BN akan menjadi mangsa pula kerana Samy Vellu masih lagi memimpin MIC.

Dalam satu temubual dengan Bernama, Dr Mahathir berkata Samy perlu melepaskan jawatan presiden MIC kerana beliau perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan parti itu dalam pilihan raya umum yang lepas malah beliau sendiri juga kalah.

"Kalau kita tengok di negara lain, apabila seseorang pemimpin gagal, dia dengan sendirinya letak jawatan. Kalau di Jepun, dia commit harakiri (bunuh diri). Kita tak suruhlah dia (Samy) commit harakiri.

"You (Samy) gagal pimpin MIC sampai you (Samy) sendiri kalah," katanya.

Mengambil contoh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan ekoran prestasinya tidak begitu baik, Dr Mahathir berkata: "Samy dia punya prestasi jauh lebih buruk daripda Pak Lah tapi dia tak mahu nak lepas pun jawatan dia.

"Sepatutnya sebelum sampai ke tahap itu, dia (Samy) patut letak jawatan," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau berhak menegur sesiapa pun demi kebaikan BN, dan menambah kata: "Pak Lah pun saya tegur, apa Samy Vellu saya tidak boleh tegur?"

Tindakan Dr Mahathir menegur Samy menjelang pemilihan MIC minggu lepas telah dilihat cubaan mencampuri urusan MIC dan ia telah menimbulkan kemarahan seorang anggota perwakilan yang mencadangkan agar gambar bekas Perdana Menteri itu dikalungkan dengan selipar.

Dr Mahathir berkata pemimpin perlu sedar bahawa mereka bukan dapat memegang jawatan secara seumur hidup.

"Ini ditujukan bukan kepada Samy Vellu seorang sahaja kerana ada yang lain pun macam begitu juga," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau sendiri hendak meletak jawatan pada 1998 tetapi disebabkan krisis ekonomi dan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, terpaksa terus memimpin negara sehingga 2003.

"Saya letak jawatan bukan bila orang kecam saya. Saya letak jawatan sebab saya duduk lama sangat.

"Pemimpin Malaysia ini belum faham apabila dia gagal, dia patut dengan sendiri letak jawatan, tak payah orang suruh. Bila you gagal, you punya parti gagal. Dia bertanggungjawab," katanya.

Ditanya apakah yang BN boleh buat memandangkan BN mempunyai prinsip tidak campur tangan dalam urusan parti-parti komponennya, Dr Mahathir berkata apabila ia sudah menjadi masalah kepada BN dan jika BN masih tak campur tangan, BN sendiri yang akan menjadi mangsa.

Dr Mahathir berkata pemimpin BN perlu menegur Samy Vellu kerana sebagai pemimpin BN, mereka bukan bertanggungjawab terhadap prestasi parti sendiri sahaja tetapi prestasi BN keseluruhannya.

"Kalau saya tahu seseorang itu akan menyebabkan kekalahan BN, itu sudah menjadi masalah BN. Bukan masalah MIC lagi. Kita tak boleh kata dok tak interfere (campur tangan) saja. Ini urusan BN. Kerana dia, BN kalah.

"Dulu mana ada Hindraf. La ni (sekarang) dah ada berpuluh (kumpulan pendesak masyarakt India). Kerana dialah pasal orang tak mahu dia tapi dia nak jadi presiden lagi," katanya.

Dr Mahathir berkata pemimpin yang menggunakan duit, tekanan, salah guna kuasa dan mengugut orang boleh kekal menjadi presiden parti tetapi tidak akan menang dalam pilihan raya.

Mengenai pemimpin pilihan Samy Vellu yang memenangi pemilihan MIC minggu lepas, beliau berkata mereka boleh memenangi pemilihan parti tetapi akan kalah dalam pilihan raya kerana orang ramai tidak akan sokong.

Dr Mahathir juga berkata Samy Vellu tidak memainkan peranan untuk melarang pembinaan kuil tanpa kebenaran walaupun pernah berjanji untuk berbuat demikian.

Samy, kata Dr Mahathir, menjadi popular dahulu kerana beliau (Dr Mahathir) menolongnya.

"Dia nak buat universiti, saya pujuk kerajaan bagi peruntukan RM50 juta dan banyak lagi dia punya projek, saya tolong," kata Dr Mahathir.

Mengimbas tugasnya sebagai Perdana Menteri dahulu, Dr Mahathir berkata beliau terpaksa memujuk orang Melayu supaya membenarkan BN meletakkan calon MIC di kawasan majoriti orang Melayu kerana tidak ada satu kawasan pun di negara ini yang mempunyai majoriti orang India.

"Lebih dari itu, saya juga berusaha supaya calon-calon MIC ini disokong oleh orang Melayu. Tanpa sokongan daripada ahli Umno dan orang Melayu lain, MIC tak boleh menang. Jadi ini khidmat saya kepada MIC.

"Tapi apabila MIC membuat sesuatu yang akan menyebabkan dia tak akan disokong oleh orang India, baik orang Cina, baik orng Melayu, saya perlu tegur," kata Dr Mahathir. BERNAMA

Rabu, 16 September 2009

Samy dan MIC lupa diri

Tidak ada yang biadab melainkan tindakan seorang perwakilan MIC yang mahu mengalungkan selipar pada gambar mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak ada yang lebih bodoh, melainkan pemimpin tertinggi parti itu, Samy Vellu yang mengisytiharkan perang terhadap Tun Mahathir.

Ini semua menunjukkan kebiadaban anak buah kepada pemimpin, setelah pemimpin yang menaikkan namanya telah bersara dalam pentadbiran. Inilah yang berlaku kepada Samy Velu, pemimpin yang tidak pernah mengenang budi.

Umpama anjing, lepas sembuh dari luka akibat tersepit, dia tetap menerkam orang yang bertungku lumus menyelamatkannya daripada azab dan kesakitan itu. Itulah Samy Vellu.

Di era Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, Samy Vellu lah antara pemimpin dalam parti komponen BN yang kekal sebagai menteri dan Presiden MIC. Dia banyak mendapat sokongan dari Tun Mahathir.

Dan Tun menyokong beliau bukan kerana beliau seorang yang bijak pandai dan disukai oleh ahli parti, sebaliknya Tun tidak mahu MIC berpecah dan mahu Samy berusaha menyatukannya. Sebab itu Tun Mahathir mengekalkan beliau sebagai Menteri Kerja Raya.

Walaupun banyak suara-suara sinis yang dihamburkan kepada Tun M kerana menjaga, membela dan mempertahankan Samy, namun Tun M tetap tersenyum. Tun M tahu apa yang dia buat dan tidak perlulah orang lain hendak persoalkannya. Itulah Tun M dengan Samy.

Tetapi setelah Tun M bersara daripada pentadbiran, puak-puak yang dulunya makan di tangan Tun M, mula gigit, pijak dan tinggalkan Tun M. Daripada Nazri Aziz sehinggalah kepada Samy Velu. Inilah antara pemimpin yang tidak mengenang budi, malah nampak sangat mereka ini antara pemimpin yang tidak boleh dibuat baik dan sukar untuk kita mempercayai 'kesetiaannya'.

Asal cerita berlaku perbalahan antara Tun M dengan Samy ialah apabila Tun M memberi cadangan kepada Samy supaya meletakkan jawatan sebagai presiden MIC dan berikan kepada orang lain.

Niat Tun M adalah baik, iaitu beliau mahu semua parti komponen dalam BN mempunyai pemimpin baru dengan harapan seolah-olah parti akan mendapat nafas baru, bukan lagi nafas lama yang dah hapak dan berhabuk. Itu sebenar niat Tun M.

Tetapi kerana rasa tercabar dengan kenyataan Tun M, Samy mengeluarkan kenyataan keras dan menuduh Tun M masuk campur urusan MIC. Kata-kata Samy itu menyebabkan ada seorang dua pemimpin akar umbi merangka strategi untuk menyerang Tun M.

Ternyata dalam perhimpunan agung MIC baru-baru ini, muncul seorang perwakilan berucap di pentas dan menyatakan rasa marahnya kepada Tun M kerana menganggu pemimpin 'kesayangannya' Samy Vellu.

Perwakilan itu, sama ada dalam sedar atau tidak (tetapi dipercayai dalam sedar), telah mengeluarkan kenyataan mahu mengalungkan selipar pada gambar Tun M.

Sungguh kurang ajar, biadab dan tidak berperikemanusiaan langsung perwakilan itu. Patut dihumban ke Kem Kamunting bawah ISA. Kata-katanya telah mencetuskan kemarahan ramai pemimpin UMNO. Sebab Tun M tidak wajar diperlakukan sedemikian.

Lupa sungguh perwakilan itu, yang kaum India dapat hidup aman dan maju sehingga kini adalah hasil daripada perhatian Tun M terhadap mereka selama Tun M sebagai Perdana Menteri.

Kenapa mudah lupa diri? Cukuplah dengan pemimpin tertinggi MIC yang lupa diri, anak buah jangan terikut-ikut dengan budaya Samy.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan perwakilan MIC itu dan dia tidak wajar hidup di bumi Tanah Melayu ini. Pergi hantar dia ke negara India, biar dia makan gandum dengan capati sahaja di sana," kata seorang anak muda yang menghubungi penulis kelmarin.

Sajak rakyat kepada pemimpin tak sedar diri

Ketika sedang meninjau-ninjau bahan berita yang dihantar anak buah, tetiba mata tertacap pada satu emel bertajuk: Sajak rakyat kepada pemimpin.

Tanpa berlengah, saya terus buka dan anak saya ada tinggalkan nota pertanyaan: Boss, sajak ni boleh siar tak dalam page saya? Seorang penduduk hantar pada saya dan minta sangat-sangat saya siarkan. Boss tengok dulu dan atas pertimbangan Boss sama ada boleh disiarkan atau tidak. Tq Boss.

Wahh panjang lebar anak buah saya tulis nota untuk perhatian saya. Bagaimanapun, setelah berbincang dengan Boss yang lebih atas lagi, mereka beri jawapan, tak boleh. Maknanya sajak tu tak boleh disiarkan.

Apapun, saya ambil kesempatan ini untuk siarkan dalam blog saya.

Bila Pemimpin Berbalah

Masyarakat habis berpecah belah
Masing-masing salah menyalah
Yang ni tak betoi yang ni salah
Masing-masing tak ngaku kalah

Hari-hari syok (asyik) berbalah
Cari cerita cari salah
Kopi secawan dok bergalah
Terbuang masa apa ke jadah

Bila masyarakat asyik bertikam lidah
Hal keluarga pun endah tak endah
Macam-macam gejala dah jadi dah
Sesat merata tanpa akidah

Anak-anak tak pergi sekolah
Asyik leka pergi berkelah
Kepala pening dok hisap dadah
Bila lentok... macam-macam jadi dah

Ada juga yang main redah
Tua muda sama naik dah
Seluar ketat atas terdedah
Tok Wan tengok, kepala pun pening dah

Bila berbalah tiada faedah
Apa gunanya apa kejadah
Yang rugi kita berwadah
Mengejar mimpi yang tak sudah

Oleh itu, marilah sama-sama bermuhasabah
Cari jalan atasi masalah dan musibah
Semaikan semula semangat muhibah
Belajar-belajar mengimarah rumah ibadah
Tambah ilmu Tambah Faedah
Sebarkan ilmu jadi ibadah
Jadi teman di alam barzakh

Belajar-belajar pergi ke sekolah
Ambil wuduk untuk bersolah
Minta petunjuk serta hidayah Allah
Tunjukkan jalan yang lurus jangan yang salah
Semoga berkat jadi pemimpin bertauliah
Jadi contoh pembangunan ummah semoga berjaya...syukur Alhamdulillah

** Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu cintai (suka). Mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan, begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu. – Hadith Riwayat Muslim.

Nukilan
Generasi Kedua

Jumaat, 11 September 2009

BN lalui zaman malap pembangkang

Barisan Nasional (BN) mahu menang dalam setiap pilihan raya umum dan pilihan raya kecil. Setiap kali ada kekosongan kerusi DUN atau Parlimen kerana wakil rakyatnya meninggal dunia atau sebagainya, BN tetap meletakkan calon.

Dan tentulah apabila meletakkan calon, BN mahu menang. Tetapi BN seolah-olah lupa, satu demi satu kerusi pilihan raya kecil yang ditandinginya kalah. Walaupun dapat mengurangkan majoriti pihak lawan, BN tetap kalah, dan kerusi itu dimenangi oleh pembangkang.

Persoalannya kenapa mutakhir ini BN sering kalah? Kenapa sebelum ini BN tidak pernah tewas? Sehingga ada penganalisis politik membuat andaian, jika BN meletakkan calon songkok sekali pun BN boleh menang.

Kenapa sekarang ini BN meletakkan calon yang berwibawa dan terpelajar pun boleh kalah? Manakala pembangkang meletakkan calon yang langsung tidak ada perwatakan kepimpinan pun boleh menang?

Jawapan yang tersirat ada pada BN. Tetapi jawapan yang ada pada saya ialah kerana BN tidak lagi bersatu sebagaimana sebelum ini.

Dalam siri komen, ulasan, pandangan dan nasihat saya kepada politik BN sebelum ini, saya sering mengatakan pucuk pimpinan BN telah melakukan banyak kesilapan dalam mengurus tadbir dan memilih pemimpin untuk menerajui atau membarisi kepimpinan di peringkat pusat, negeri, bahagian, peti undi dan cawangan.

Berdasarkan pengalaman bekerja sebagai wartawan dan sering kali berhadapan dengan senario politik, saya cuba menyatakan kegusaran, kebimbangan dan ketakutan mengenai masa depan BN.

Saya sedar segala pandangan yang saya lontarkan hanya sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri bagi setiap ahli politik terutama BN. Siapalah saya pada mereka untuk melahirkan kebimbangan masa depan BN.

Tetapi pada masa sama, selepas seminggu analisis saya disiarkan, saya dapati ada sesetengah kenyataan yang dibuat oleh pemimpin menyamai dengan apa yang saya sarankan. Itulah yang berlaku sepanjang 24 tahun saya menghambakan diri dalam dunia kewartawanan. Namun, saya menganggap mungkin itu secara kebetulan.

Krisis demi krisis berlaku dalam BN. UMNO cara UMNO, MCA cara MCA, MIC cara MIC dan PPP cara PPP. Setiap hari, setiap detik rakyat tidak pernah sunyi dengan perbalahan yang berlaku dalam parti-parti komponen BN.

Krisis ini secara tidak langsung membosankan rakyat. Mereka mula hilang keyakinan terhadap kewibawaan BN. Bagi rakyat, walaupun mereka diberi jaminan kapal yang dinaiki adalah selamat, tetapi jika mereka dapat tahu kapal itu mengalami kebocoran, tentulah mereka akan bimbang dan gelabah.

Jalan terbaik untuk selamatkan diri daripada berada di atas kapal yang pada mulanya gah macam Titanic itu ialah meninggalkannya untuk naik atau berada atas kapal yang lebih selamat walaupun kecil.

Inilah hakikat kenapa BN mengalami zaman malap. Biasalah pucuk kepimpinan akan memberi jaminan BN berada di landasan yang betul, tetapi kenyataan itu sekarang ini tidak lagi dapat menyakinkan rakyat. Mereka sudah nampak kapal yang mereka naiki dulu itu hampir tenggelam seinci demi seinci.

Rakyat tahu jaminan itu hanya sekadar untuk menyedapkan hati. Mereka fikirkan untuk apa terus tinggal atas kapal yang hampir tenggelam, tetapi diberi jaminan kapal berada dalam keadaan baik?

Pucuk pimpinan BN harus mencari jalan terbaik untuk menyelamatkan parti itu daripada krisis dalaman. Pergaduhan tidak wajar berlaku. Pemecatan pemimpin juga tidak harus berlaku kerana ia akan menganjurkan kepada perpecahan yang lebih serius.

Sebagai contoh, amatlah tidak wajar Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat memecat Timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek kerana perbuatan itu menyebabkan penyokong Soi Lek akan berpaling tadah.

Di Perak saja lebih 1,000 ahli MCA termasuk penyokongnya bertindak melarikan diri dan menyertai parti pakatan pembangkang. Di negeri-negeri lain seperti di Kelantan, sudah lama MCA hilang pengaruh.

Kini BN sedang mengalami nasib malang sebagaimana yang dialami pembangkang iaitu Pas tidak lama dulu, setiap kali menghadapi pilihan raya umum atau kecil, calon Pas mesti kalah.

Sekarang dunia sudah terbalik. Pas yang selalu berada di bawah, telah mula naik sedikit demi sedikit. Parti itu bukan tak ada krisis, mereka juga tidak sunyi daripada krisis, tetapi pucuk pimpinannya bijak dan bertindak segera mengatasinya. Mereka tahu saja ada kebocoran, sepantas kilat mereka menampalnya atau membaikinya bagi menutup kebocoran itu.

BN tidak begitu. Tahu ada bocor, bocor itu dibiarkan berterusan bocor sampai bocor itu menjadi besar dan hampir-hampir tidak dapat dikawal, barulah tindakan menampal dan membaikinya dilakukan, tetapi sudah terlambat. Nak tak nak pucuk pimpinan terpaksa berbohong untuk meyedapkan hati dengan mengatakan BN stabil dan makin kuat.

Kalau stabil dan makin kuat, kenapa dalam tujuh pilihan raya kecil lalu BN boleh kalah? Adakah kekalahan itu disebabkan teknikal SPR? Atau pengira kertas undi tersilap mengira?

Jangan...jangan salahkan mereka. Kekalahan BN bukan kerana teknikal SPR atau pengira kertas undi bias, tetapi kerana BN sudah hancur. Hilang seri, hilang sokongan dan makin tidak diminati lagi.

Persoalannya, bolehkah BN kembali seperti dulu? Dengan kapal yang lebih baik dan sempurna tanpa sedikit pun kerosakan?

Jawapannya, boleh. Itu pun kalau ada kemahuan untuk berbuat demikian.

Ahad, 6 September 2009

Amat wajar MB Selangor di boo, diejek

Komen tetamu laman ini:
Saya hanya nak katakan, padan muka kepada Abdul Khalid Ibrahim apabila dia di 'boo' oleh penduduk Seksyen 23 Shah Alam. Kalau saya ada pada majlis itu, sayalah orang pertama yang akan lempar kasut ke arah mukanya. Saya meluat tengok muka dia, muka Ahli Parlimen Shah Alam dan ADUN Batu Tiga.

Mereka bertiga ini selayaknya diejek kerana mereka jenis wakil rakyat yang lebih utamakan orang bukan Islam daripada umat Islam. Kerana merekalah, arak boleh dijual di kawasan majoriti Islam dan kerana mereka juga, banyak kuil dibenarkan dibina dalam penempatan majoriti orang Islam.



Dari Berita Harian:
Pemindahan kuil Seksyen 19 dibeku sehingga lokasi baru ditemui

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di'boo' lebih 200 penduduk Seksyen 23 yang menyertai sesi dialog di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, di sini, semalam ketika menjelaskan isu pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Selain beliau, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Rodziah Ismail turut di'boo' lebih 10 kali oleh penduduk terbabit yang mendakwa kerajaan negeri lambat bertindak dan hanya mahu berdialog selepas ia menjadi isu nasional.

Ahli Parlimen Shah Alam yang bangun mahu memberi penjelasan berhubung perkara sama tidak diberi langsung peluang bercakap, sebaliknya disuruh duduk oleh penduduk kerana tiada ruang disediakan untuk beliau berucap.

Malah, ada penduduk yang mengacah untuk membaling kasut sebagai tanda protes kepada ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat itu.

Ketika majlis dibuka kepada penduduk untuk bertanyakan soalan, seorang demi seorang tampil melepaskan geram kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang didakwa lambat memberikan reaksi untuk berbincang.

Menteri Besar terpaksa memberhentikan majlis berkenaan apabila seorang penduduk yang menyokong kuil berkenaan dipindahkan ke Seksyen 23 membangkitkan soal azan lima kali sehari yang membangkitkan kemarahan penduduk.

Pada sidang akhbar khas di kediaman rasminya selepas itu, Abdul Khalid mengumumkan cadangan pemindahan kuil itu dibekukan sehingga satu lokasi baru lebih sesuai ditemui.

Katanya, cadangan itu terpaksa dikaji semula selepas mendengar rintihan dan protes penduduk Seksyen 23 dalam dialog berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mahu masyarakat di situ tidak lagi membangkitkan isu berkenaan sehingga kerajaan negeri mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasinya.

"Kita mendengar pandangan bukan saja daripada masyarakat Islam, tetapi juga Hindu yang bermastautin di Seksyen 23. Kita prihatin keinginan mereka untuk mendapat sebuah kuil di kawasan itu tetapi ini bukan mudah diselesaikan.

"Bagi langkah seterusnya, kita akan berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk mengenal pasti satu lagi tempat yang sesuai dan boleh diterima Jawatankuasa Kuil Seksyen 19 dan diterima penduduk di sekitar seksyen itu.

"Ia akan dilakukan seberapa segera sebab kita rasa masalah pemindahan kuil ini mesti diselesaikan. Kalau tidak ia akan berpanjangan," katanya.

Sejam sebelum itu, pergaduhan hampir tercetus di dalam dewan di antara lebih 200 penduduk Seksyen 23 dengan wakil kerajaan negeri dan sekumpulan wakil komuniti India yang menyokong pemindahan kuil ke kawasan itu.

Sesi dialog bermula kira-kira jam 10.10 pagi dengan perang mulut antara penduduk dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) apabila anggota terbabit tidak membenarkan dua warga emas dari kawasan itu memasuki dewan.

Kekecohan kedua timbul apabila beberapa penduduk menghalau keluar empat anggota unit amal Pas yang berada di dalam dewan kerana mereka bukan penduduk Seksyen 23.

Sebaik Abdul Khalid, Khalid dan Rodziah memasuki dewan, mereka di'boo', selain penduduk enggan mendengar taklimat yang mahu disampaikan Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md Noor mengenai pembangunan Shah Alam dengan membuat bising dan berkeras mahu mendengar keputusan Menteri Besar mengenai isu pemindahan kuil.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Kuil Seksyen 23, Mahayuddin Manaf, ketika ditemui, berkata tujuan penduduk menghadiri dialog untuk mencari jalan penyelesaian, selain menyuarakan bantahan terhadap pembinaan kuil di kawasan perumahan mereka.

"Hari ini penduduk hadir dan menyuarakan kemarahan mereka. Sejak Mei lalu hingga sekarang, baru kerajaan negeri panggil ke sini untuk berdialog, itu pun selepas masalah ini menjadi isu nasional," katanya sambil menambah kerajaan negeri sengaja mencetuskan kemarahan penduduk.

Ditanya keputusan yang dibuat Menteri Besar, Mahyudddin berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri bersungguh-sungguh untuk mencari tapak lain lebih sesuai untuk kuil berkenaan, bukan di Seksyen 23.


Laporan Utusan Malaysia:

SHAH ALAM 5 Sept. – Majlis Dialog Bersama Penduduk Seksyen 23 berhubung cadangan pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke kawasan perumahan mereka di Dewan Bankuet, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pagi ini berlangsung dalam suasana kecoh.

Ini kerana hampir sepanjang sesi dialog dari pukul 10 pagi itu berlaku perang mulut antara penduduk yang membantah cadangan pembinaan kuil dengan para pemimpin yang hadir termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri.

Mereka turut menghamburkan kata-kata kesat dan menjerit perkataan penipu kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail setiap kali kedua-duanya memberi penjelasan terhadap soalan yang diajukan.

Keadaan menjadi lebih tegang dan hampir mencetuskan pergaduhan apabila seorang penduduk yang mewakili masyarakat India, R. Gunaretinam, 27, bangun dan menegaskan persetujuan 48 keluarga India di situ berhubung pembinaan kuil tersebut.

Ini kerana, katanya, kebanyakan rumah di bandar raya itu mempunyai surau dan masjid.

Dia kemudian mendakwa orang Melayu di Seksyen 23 tidak peka dengan sensitiviti masyarakat India di situ yang didakwanya bertoleransi dengan orang Islam berhubung isu azan lima kali sehari.

Dakwaan Gunaretinam itu telah mencetuskan kemarahan penduduk beragama Islam sehingga ada yang dilihat bertindak mengangkat kerusi yang akhirnya menyebabkan Abdul Khalid terpaksa bangun dan menghentikan perbincangan sambil meminta penduduk bertenang.

“Hentikan perbincangan cadangan pembinaan kuil Seksyen 23, kita akan cari jalan yang sesuai dan saya akan cuba selesaikan hari ini.

“Kalau kita perlu selesaikan, kita cari penyelesaian dengan baik bukan dengan cara memecah-belahkan masyarakat.

“Kerajaan negeri akan cari jalan penyelesaian, tiada perbincangan lagi, saya akan jumpa masyarakat Hindu dan lihat bagaimana nak selesai masalah kuil dan saya juga berharap mereka dapat sabarkan diri,” ujar beliau.

Namun, sekumpulan penduduk dilihat terus mengerumuni tempat duduk komuniti India di dalam dewan tetapi keadaan berjaya dikawal anggota penguat kuasa MBSA dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23, Ahmad Mahyuddin Manaf ketika ditemui berkata, apa juga keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri, penduduk di situ sebulat suara tetap membantah cadangan pembinaan kuil tersebut.

“Tujuan kami adalah untuk menyuarakan pendapat serta pandangan dan pada hari ini, kita lihat macam mana penduduk menyuarakan hati mereka.

“Saya tidak bercakap tadi sebab selama ini kita lakukan dengan cara yang betul, buat surat, serah memorandum dan kita tidak dapat layanan dan kenapa sejak Mei baru kini September mereka nak buat perbincangan.

“Kalau masalah ini diatasi dan dikaji lebih awal, perkara ini tidak akan berlaku dan sebelum ini pun keharmonian kami di Seksyen 23 tidak pernah tergugat,” ujarnya.

Sementara itu, seorang guru India yang tinggal di fasa kedua Seksyen 23, M. Sekar ketika ditemui selepas sesi dialog memberitahu, walaupun penduduk India di situ menyokong pembinaan kuil di kawasan itu, namun mereka akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan negeri.

“Kami mahu kuil itu dibina dan ia adalah hak kami untuk menyokong pembinaan kuil itu tetapi kami akur dengan keputusan kerajaan negeri,” katanya.

Khamis, 3 September 2009

Rakyat Dibebankan, Pemimpin Senang-Lenang

Gagasan Rakyat Didahulukan sudah tercapai, Pencapaian Diutamakan pun sudah menjadi kenyataan. Begitulah yang mungkin dimaksudkan dengan gagasan Perdana Menteri yang mahukan rakyat didahulukan dalam apa saja cabaran, dugaan dan rintangan, sebelum pencapaian para menteri dan pemimpin diutamakan.

Kenaikan harga barang sejak setahun lalu yang belum turun-turun sehingga kini dan proses pertukaran spesies petrol di pasaran iaitu daripada harga mudah pakai kepada harga sukar pakai membuktikan rakyat telah didahulukan.

Begitu juga dengan kenaikan harga tambang pengangkutan awam seperti bas ekspres, bas henti-henti dan teksi juga antara gagasan yang berjaya dicapai menerusi Pencapaian Diutamakan.

Kadang-kadang saya berasa malu apabila pemimpin bercakap mengenai gagasan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Di mana-mana mereka pergi, ayat itulah yang mereka sebut dalam khalayak, tanpa sedikit pun rasa malu hadir dalam diri mereka.

Apa makna Rakyat Didahulukan? Dan apa pula makna Pencapaian Diutamakan? Itulah yang saya cuba cari jawapannya, tetapi tidak jumpa.

Yang saya jumpa ialah Rakyat Dibebankan, Pemimpin Senang-Lenang. Sama-samalah kita mencai jawapannya.

DAP pegang alat kawalan di Perak

Saya tidak setuju dengan tindakan 27 wakil rakyat pakatan pembangkang Perak mengadakan 'sidang DUN' hari ini (02hb Sept 2009).

Ini kerana secara prinsip dan mengikut undang-undang mereka bukan lagi sebuah kerajaan, sebaliknya bertindak sebagai pembangkang kerana tiga wakil rakyat mereka sebelum ini bertindak keluar parti itu dan menyertai Bebas.

Pada masa sama, tiga ADUN Bebas itu telah menyatakan untuk memberi sokongan kepada Barisan Nasional yang sekali gus menjadi BN sebagai kerajaan kerana melebihi tiga DUN berbanding sebelum ini BN hanya ada 28 kerusi dan pakatan pembangkang 31 kerusi.

Tetapi mengikut perkiraan matematik, apabila tiga daripada 31 kerusi pakatan pembangkang telah keluar parti, menjadikan pakatan pembangkang tinggal 28 kerusi dan BN yang ada 28 kerusi dicamur tiga menjadikan 31.

Secara logiknya, BN adalah kerajaan yang sah di Perak, bukan lagi pakatan pembangkang yang diketuai Nizar Jamaluddin.

Namun, pakatan pembangkang Perak yang majoritinya adalah wakil rakyat DAP iaitu golongan yang sukar menerima kenyataan kekalahan telah menyebabkan imej pakatan pembangkang tercemar.

Pas Kelantan misalnya, dengan sabar menunggu dua penggal pilihan raya umum sebelum mereka beroleh kemenangan pada tahun 1990 untuk membentuk kerajaan sehingga kini. Dan Pas juga sabar menunggu selama 50 tahun sebelum dapat bersama pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Kenapa pakatan pembangkang di Perak tidak boleh menunggu dua atau tiga tahun akan datang untuk mereka menentukan nasib pada pilihan raya umum ke-13? Kenapa harus bertindak seperti kebudak-budakan dengan menganggap mereka masih kerajaan, sedangkan mereka sekarang adalah pembangkang?

Pemimpin yang sukar menerima kenyataan mereka kalah secara tidak langsung boleh menyebabkan negara diancam huru hara. Mereka akan melakukan apa saja untuk menafikan kedudukan mereka.

Contohnya sudah nampak dengan jelas ketika ini apabila pakatan pembangkang Perak masih tetap mengadakan sidang DUN, sedangkan mereka bukan lagi berkuasa di negeri itu dan tidak lagi mendapat perkenan Sultan Perak, Tuanku Sultan Azlan Shah?

Dalam hal ini siapa yang patut dipersalahkan? V Sivakumar yang masih menganggap dirinya sebagai Speaker DUN? atau Mohamad Nizar yang masih lagi menyifatkan dirinya sebagai menteri besar?

Pada saya, Sivakumar dan Mohamad Nizar menyedari mereka bukan lagi Speaker atau menteri besar. Sebaliknya ada unsur luar yang menghasut dan mempergunakan mereka supaya tetap mendakwa diri mereka sebagai orang yang berkuasa dalam kerajaan negeri Perak.

Siapakah yang memegang alat kawalan yang mengawal Siva dan Nizar? Tidak lain ialah rakan kongsi mereka dari DAP. Di sini, jelas DAP sebenarnya yang memainkan peranan menghuru harakan perpaduan di Perak.

Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya menjadi pak turut. Fikir-fikirkanlah.