Selasa, 23 November 2010

Ingat Salahudin Ayob ni cerdik ke? Rupanya...alahai kesiannyaaa

YB Zulkifli Nordin menulis:-

(Solat 'Eidul Adha di Masjidil Haram pada hari Selasa 10 Zulhijjah 1431 manakala, di Malaysia pada Rabu 10 Zulhijjah 1431)

Saya agak terkejut dan dan macam tak percaya pulak bila membaca laporan yang disiar oleh media pro-Anwar Malaysiakini bertarikh 08.11.2010 yang memetik kenyataan YB Salahudin Ayub bertajuk "PAS dakwa tarikh 'Eidul Adha sangat pelik".

Salehudin memilih mengecam pihak berkuasa agama yang didakwa beliau seperti tidak tahu mengurus dan mentadbir perkara sekecil ini! Alasan yang diguna beliau untuk kepelikan itu ialah tarikh Aidiladha di Malaysia yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi? Teman rasa yang kelirunya ialah Salahudin, bukannya pihak berkuasa agama Islam! Yang peliknya perkiraan Salahudin dan bukan pihak berkuasa agama!

Pertama, teman tidak pasti sama ada benar kenyataan laporan tersebut yang mendakwa ianya mewakili PAS. Kadang-kadang ada media yang suka menggunakan tajuk yang mengelirukan. Mungkin kenyataan itu adalah pandangan peribadi Salahudin, bukan PAS.

Tambahan pula bila saya bertanya dengan beberapa rakan-rakan PAS, mereka tidak tahu menahu mengenainya. Malah ada yang kata "takkanlah kami ni kurang cerdik tak tahu nak kira sampai nak buat dakwaan terhadap pihak berkuasa agama macam tu...".

Apa yang peliknya kerana laporan itu mendakwa kepelikan sehingga mengelirukan umat Islam yang berlaku kerana sambutan 'Eidul Adha di Malaysia berbeza dua hari dengan hari wuquf di Saudi!

Oleh itu ada kekeliruan kononnya dengan bila hari taysriq bermula dan berakhir. Teman ingat tak ada siapa yang keliru, apatah lagi ragu kerana ukuran perbezaan sepatutnya dikira antara 'Eidul Adha di Saudi dan di Malaysia, bukan wuquf dengan Eidul Adha! Semua orang tahu ada beza antara wuquf dengan Aidiladha. Wuquf jatuh pada 09 Zulhijjah, bila mana jemaah haji berkumpul di Arafah. Eidul Adha pula atau di Malaysia terkenal dengan panggilan Hari Raya Haji atau Hari Raya Qurban jatuh pada 10 Zulhijjah.

Di Arab Saudi, wuquf tahun ini jatuh pada hari Isnin iaitu 15 November 2010. Maknanya hari Isnin di Arab Saudi ialah 09 Zulhijjah 1431, manakala di Malaysia Isnin 15 Nov 2010 masih 08 Zulhijjah 1431. Manakala Eidul Adha iaitu 10 Zulhijjah 1431 di Arab Saudi jatuh pada hari Selasa 16 Nov 2010. Di Malaysia Eidul Adha iaitu 10 Zulhijjah jatuh pada hari Rabu 18 Nov 2010.

Maknanya perbezaan sambutan Eidul Adha antara Arab Saudi dengan Malaysia hanyalah satu hari, bukan dua hari. Jadi tidak timbullah isu kekeliruan atau kepelikan seperti yang didakwa Salahudin. Yang peliknya ialah perkiraan beliau. Di mana dia dapat fakta perbezaan dua hari itu, melainkan Salahudin menganggap hari wuquf itu sebagai hari raya haji?!

Berdasarkan itu, tiada kekeliruan bagi perkiraan hari tasyriq. Di Saudi ianya dari hari Rabu, Kahmis dan Jumaat. Manakala bagi Malaysia hari tasyriq ialah Khamis, Jumaat dan Sabtu. Kat mana yang pelik dan kelirunya YB? Sehingga meragukan! Teman pula menjadi ragu dengan tahap ilmu dan pengetahuan Salahudin dalam isu perkiraan falaq ini! Dan Salahudin ialah Naib Presiden PAS yop, bukan Ketua Cawangan di Ulu Tembeling nun!

Takkanlah Salahudin tidak tahu beza antara hari wuquf dan Eidul Adha? Dan hari tasyriq adalah tiga hari selepas Eidul Adha iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Di Malaysia ianya jatuh pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, sedangkan di Arab Saudi dari hari Rabu, Khamis dan Jumaat. Dan mengambil kira perbezaan kita dengan Saudi adalah lima jam, maka perbezaan Eidul Adha hakikatnya kurang daripada 24 jam! Jadi kat mana peliknya sambutan Eidul Adha dan hari tasyriq di Malaysia berbanding Saudi? Apatah lagi Indonesia, Singapura dan Brunei juga menyambutnya sama dengan Malaysia. Jadi adakah mereka semua pun pelik atau perkiraan Salahudin yang pelik?

Kata beberapa sahabat teman ulamak muda PAS, laporan kenyataan Salahudin itu memberi gambaran seolah-olah PAS mengira Eidul Adha daripada hari wuquf. Di situlah keluar kenyataan mereka "takkanlah ustaz-ustaz PAS tak cerdik langsung sampai tak tahu nak kira...?" Ringkasannya mereka kata kenyataan itu tidak mungkin pendirian PAS, ianya mungkin perkiraan Salehudin sendiri. Wallahua'lam, teman pun tak pasti. Tapi yang pentingnya PAS mesti menyatakan pendirian adakah kenyataan Salahudin dan tindakan beliau nak membawa usul tergempar di Parlimen mengenai tarikh Eidul Adha itu adalah pendirian PAS atau hanya salah kira Salahudin seorang sahaja.

Ini adalah kerana membawa satu usul khas ke Parlimen untuk mempertikai sesuatu yang jelas akan memberi persepsi negatif kepada PAS sebagai sebuah parti beralaskan Islam. Teman cukup yakin ramai para ulamak dan ustaz dalam PAS yang cukup arif dengan persoalan falak dan perkiraan wuquf dan Eidul Adha itu. Dan sudah pasti mereka akan lihat kesilapan Salahudin dalam perkiraan dan tindakannya membawa usul khas itu. Untuk tujuan pengesahan, teman lampirkan di bawah kenyataan Ketua Pengarah JAKIM Ustaz Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang jelas penerangannya.

Cadangan teman kepada Salahudin supaya menarik balik kenyataan beliau itu dan meminta maaf kepada pihak berkuasa agama atas kecaman yang beliau buat terhadap mereka dan akhirnya menarik balik usul khas yang telah beliau failkan itu. Nasihat teman kepada Salahudin, di masa hadapan kalau ada permasalahan seperti itu eloklah bawa berbincang dengan pihak berkuasa atau mereka yang arif terlebih dahulu kerana bak kata orang lebih baik kita diam daripada bercakap, sebab bila kita buka je mulut orang tahu ketidakcerdikan kita nanti.

Tapi Salahudin jangan risau, sebab kata seorang kawan Salahudin, ketidakcerdikan itu bukan satu jenayah! Cuma orang kapior gelak sakanlah tengok kita yop kerana isu remeh macam ni pun nak dibawa sebagai usul khas ke Parlimen oleh Naib Presiden pulak tu! Takkan soal raya pun jadi bahan politik kepartian yop!

Wallahua'lam & wassalam.


(Petikan lapuran media pro-Anwar MalaysiaKini bertarikh 08.11.2010)

PAS DAKWA TARIKH 'AIDIL ADHA SANGAT PELIK

Ahli parlimen Kubang Kerian mengemukakan usul tergempar bagi menangguhkan sidang Dewan Rakyat yang akan bersambung Isnin depan bagi membincangkan isu tarikh Aidiladha yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi.

Dalam usul kepada Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Salahuddin Ayub berkata, sambutan Aidiladha di negara ini semalam sebagai "sangat pelik, menimbulkan banyak keraguan, kekeliruan dan masalah kepada umat Islam di negara ini".

"Perbezaan dua hari sambutan Aidiladha di negara ini yang diambil kira daripada tarikh dan masa wukuf di Arafah yang jatuh pada hari Isnin, 15 November adalah jelas tidak munasabah walaupun dapat kita fahami perbezaan waktu peredaran matahari yang hanya berbeza lebih kurang lima jam antara Malaysia dan Arab Saudi," katanya.

Naib Presiden PAS itu berpendapat, perbezaan tarikh itu turut mengelirukan penentuan hari Tasyrik - tiga hari selepas Aidiladha yang ditetapkan untuk menyembelih korban -di negara ini.

Salahudin juga mempersoal bagaimana pihak pengurusan agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri mengurus tadbir isu itu.

"Apakah hujah dan alasan yang diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab sebelum pengisytiharan mengenai tarikh hari raya Aidiladha dibuat?

"Adakah tidak ada pengurusan, penyelarasan dan perbincangan dibuat untuk menyelesaikan perkara yang sekecil dan semudah ini?" soalnya.

Beliau berpandangan dalam era kecanggihan teknologi komunikasi kini tiada alasan perkara itu tidak dapat diselesaikan.

"Memandangkan perkara ini adalah satu isu yang serius, saya mengambil tanggungjawab untuk Dewan Yang Mulia ini membincangkan isu dan meminta pihak Jabatan Perdana Menteri memberikan jawapan dan penjelasan agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang," katanya.


(Kenyataan Ketua Pengarah Jakim Ustadz Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz)

Sukacita Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin memberikan maklum balas mengenai kekeliruan tempoh masa menjalankan ibadah korban yang timbul baru-baru ini.

JAKIM ingin memaklumkan bahawa ibadah korban boleh dilaksanakan oleh umat Islam di seluruh Malaysia bermula dari selepas solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah dan pada hari tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Oleh kerana hari raya korban di Malaysia telah jatuh pada hari Rabu yang lalu iaitu 17 November 2010, maka umat Islam di Malaysia disunatkan menunaikan ibadah korban sehingga Sabtu iaitu 20 November 2010 bersamaan 13 Zulhijjah 1431H.

Adapun tempoh bagi menjalankan ibadah korbant itu disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Dari Al Bara' bin 'Azib r.a. Katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang menyembelih sebelum sembahyang (Aidiladha), maka penyembelihan itu untuk dirinya sendiri dan siapa yang menyembelih sesudah sembahyang (Aidiladha), maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan korbannya dan telah mengikut sunnah kaum muslimin".

Dari kitab Rad al-Muhtar 'ala al-Dur al-Mukhtar Sharh Tanwir al-Absar yang ditulis oleh Ibn 'Abidin mengatakan bahawa: "Maka diganjari ibadah korban yang dilaksanakan pada hari yang ketiga belas walaupun di sisi yang lain telah pun memasuki hari yang keempat belas" (Dar al-Kutub al-Ilmiyyah; Beirut, Jilid 3, halaman 364).

Oleh itu, adalah tidak menjadi kesalahan menjalankan ibadah korban itu pada hari 10 Zulhijjah (selepas solat sunat Aidiladha) dan tiga hari berikutnya (11, 12, dan 13 Zulhijjah) sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah 1431H iaitu bersamaan dengan 20 November 2010 bagi tahun ini.

Berdasarkan rekod cerapan anak bulan Zulhijjah 1431H di 30 tempat cerapan rasmi di Malaysia oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri di Malaysia pada 29 Zulkaedah 1431H bersamaan 6 November 2010 (Sabtu) yang lalu, ahli falak telah mendapati anak bulan tidak kelihatan di semua tempat cerapan tersebut dan sekaligus keputusan sebulat suara menetapkan Hari Raya korban pada tahun ini jatuh pada 17 November 2010 (Rabu) yang lalu.

Hasil data cerapan tersebut didapati setelah ahli falak mendapati kedudukan hilal (anak bulan) telah tidak memenuhi kriteria ketetapan Imkanur-Rukyah (kebolehnampakan).

Ini bermakna, hari tasyrik bagi seluruh umat Islam di Malaysia pada tahun ini adalah pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah 1431H.

Untuk makluman masyarakat Malaysia, persetujuan bersama oleh empat negara anggota Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) telah menerima pakai kriteria Imkanur-Rukyah (kebolehnampakan) yang telah diputuskan melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Kali ke-3 di Wilayah Persekutuan Labuan pada 29 Zulkaedah 1412H bersamaan 1 Jun 1992.

Hal ini sekaligus menafikan pandangan dan kekeliruan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa ibadah korban hanya boleh dilakukan sehingga 19 November sebagaimana menurut Arab Saudi.

Sukacita dimaklumkan juga, asas penentuan hari raya korban di Malaysia adalah selaras dengan Singapura dan Republik Indonesia dan berkebetulan pada tahun ini negara Brunei Darussalam bersama-sama merayakan hari raya korban pada 17 November 2010.

Untuk makluman lanjut, orang ramai boleh mengakses dan merujuk info kriteria Imkanur-Rukyah di Malaysia dan data-data berkaitan melalui laman web JAKIM di laman sesawang www.islam.gov.my.

Isnin, 22 November 2010

Gandingan Mantap Anu-Min

Azmin Dipilih Timbalan Presiden PKR

Seperti yang dijangkakan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berjaya menewaskan pencabarnya dalam perebutan jawatan timbalan presiden parti itu dengan majoriti besar selepas proses pengundian rasmi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berakhir semalam (Ahad).

Berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diperoleh, Azmin mendapat 19,212 undi berbanding pencabarnya, Mustaffa Kamil Ayub yang hanya mendapat 4,567 undi.

Keputusan itu berdasarkan 214 daripada 222 cabang PKR yang berjaya mengadakan pemilihan, lapor Malaysiakini.

Begitu juga dalam persaingan nombor tiga parti apabila dimenangi oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Selain anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, turut memenangi jawatan sama ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mansor Othman.

Berikut jumlah undi yang diterima mereka: Nurul Izzah (13,170), Tian Chua (11,460), Fuziah (8,891), Mansor (8,477), Dr. Xavier Jayakumar (6,984), N. Gobalakrishnan (6,721) dan Yahya Sahri (6,436).

Keputusan rasmi akan diumumkan dalam kongres PKR di Petaling Jaya minggu depan

Isnin, 8 November 2010

Zaid oh Zaid






















Zaid tarik diri rebut jawatan Timbalan Presiden PKR
Oleh HAIRULAZIM MAHMUD (MStar)


PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan berkenaan pagi Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan turut membuat pengumuman mengejut dengan meletakkan semua jawatannya dalam parti itu kerana menyedari parti itu penuh dengan kepalsuan.

Dalam nada kecewa beliau mengaku silap menyertai PKR.

"Saya tawar diri menyertai parti ini atas kepercayaan saya boleh membawa politik progresif, memupuk dan memperkembangkan demokrasi dan ketelusan di negara ini.

"Saya sebenarnya silap, " katanya dalam satu kenyataan di blognya, Zaiduntukrakyat.com di sini.

Zaid mendakwa, sepanjang pemilihan PKR, membuktikan bahawa kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

Beliau yakin mana-mana parti politik yang bersikap hipokrit dan nilai-nilai palsu tidak akan mampu menawarkan sebarang pembaharuan yang bermakna kepada rakyat di negara ini.

"Saya mengambil keputusan ini kerana tidak ada usaha oleh kepimpinan parti untuk menangani manipulasi dan amalan tidak adil dalam pemilihan itu meskipun ia telah berulang-kali ditimbulkan," tegasnya.

Ahad, 7 November 2010

Kalah kerana Nik Aziz

Oleh Zulkiflee Bakar
(MINGGUAN MALAYSIA 07HB NOV 2010)


MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seharusnya tidak terus dengan sikap prejudisnya terhadap kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam setiap pilihan raya termasuklah di Galas pada Khamis lalu.

Sebaliknya sebagai Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz yang kenyataannya sering kali dianggap seolah-olah ‘satu perkara’ yang tidak boleh diingkari perlu menyalahkan diri sendiri terhadap apa yang berlaku di Galas.

Ia kerana Nik Abdul Azizlah yang menjadi punca utama Pas tewas di Galas. Sebagai menteri besar, beliau telah gagal memastikan segala janji yang dibuat kepada penduduk di kawasan itu pada tahun 2008 ditunaikan, sebagai mursyidul am, beliau bertanggungjawab memilih calon parti itu, Dr. Zulkefli Mohamed, biarpun ramai ahli Pas dikhabarkan tidak bersetuju dengan pemilihan berkenaan.

Sebagai ahli politik, Nik Abdul Aziz tidak berhati-hati menjaga perilaku dalam pilihan raya apabila memberi sumbangan wang tunai yang ditakrifkan oleh Pas sebagai zakat kepada masyarakat Orang Asli.

Nik Abdul Aziz juga bertanggungjawab menyebabkan Pas kalah kerana tidak memainkan peranan sebagai ulama untuk menasihatkan pemimpin Pas supaya tidak membuat fitnah sepanjang kempen berlangsung.

Oleh itu, apabila Nik Abdul Aziz membuat kenyataan meragui kemenangan BN sebagai menunjukkan sikap sebenar pengundi, ia menunjukkan bahawa mursyidul am Pas tersebut bukan sahaja memperlecehkan kebijaksanaan pengundi tetapi juga seolah-olah tidak mahu menunjukkan peribadi seorang Islam yang reda dengan ketentuan Ilahi dan bermuhasabah bagi mengkaji di manakah silapnya sehingga Pas tewas.

Apa yang menghairankan kenapakah Nik Abdul Aziz bercakap soal dosa yang akan ditanggung oleh BN? Bagaimanakah dengan tindakan kerajaan Pas Kelantan yang memberi sijil pengiktirafan palsu kepada penduduk tertentu di Gua Musang kononnya mereka terpilih sebagai peserta Ladang Rakyat Limau Kasturi?

Dakwaan ini bukanlah satu dakwaan tetapi ia didedahkan sendiri oleh seorang penduduk miskin, Rozali Rosdin seperti mana disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 1 November lalu.

Begitu juga dengan rintihan dan tangisan penduduk masyarakat Orang Asli terutama di sekitar Pos Hendrope yang mendedahkan bagaimana kawasan sekitar dan tanah warisan mereka tergadai akibat kegelojohan kerajaan Pas Kelantan melaksanakan projek Ladang Rakyat.

Tidakkah itu dianggap satu dosa, apabila kerajaan Pas Kelantan berjanji membawa kemakmuran kepada Orang Asli melalui projek berkenaan tetapi hakikatnya hanya seorang dua sahaja daripada mereka menerima dividen RM200 sebulan manakala ratusan lagi terpaksa menderita akibat kemusnahan alam sekitar.

Bagaimana pula dengan fitnah yang dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin dan penyokong Pas sepanjang kempen berlangsung sehingga ia akhirnya menimbulkan perasaan muak kepada pengundi-pengundi Galas.

Dakwaan yang dianggap fitnah paling ketara ialah pada hari mengundi apabila penyokong-penyokong Pas menyebarkan gambar Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed kononnya sedang memberi rasuah kepada pengundi.

Fakta sebenar ialah gambar itu dirakamkan ketika Mustapa menghulurkan wang untuk membeli kacang kepada seorang peniaga yang berasal dari DUN Nenggiri dan dia dikenali oleh ramai penduduk Galas.

Kenapa Nik Abdul Aziz sebagai mursyidul am tidak mahu menganggap itu sebagai dosa besar? Begitu juga dengan tuduhan Penasihat Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang menuduh Tengku Razaleigh Hamzah menghilangkan dokumen penting berkaitan masyarakat Orang Asli Kelantan.

Tuduhan Wan Abdul Rahim itu adalah satu pembohongan semata-mata apabila Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Pilihan Raya BN DUN Galas menegaskan, dakwaan itu adalah satu rekaan.

Dosa

Kalaulah Nik Abdul Aziz mahu bercakap soal dosa, bagaimana pula dengan tuduhan Pengarah Pilihan Raya Pas bagi DUN Galas, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman bahawa dalam tempoh 12 jam terakhir sebelum pengundian dijalankan, BN akan menabur wang kepada pengundi.

Apa yang dibentangkan ini adalah sebahagian daripada perkara-perkara yang menjadi punca Pas tewas akibat daripada sikap Nik Abdul Aziz dan pemimpin-pemimpin parti itu sendiri.

Ia belum lagi termasuk bagaimana pengundi -pengundi melihat sikap kepura-puraan Pas dalam mentadbir Kelantan, apabila mereka hanya kelam-kabut melunaskan janji dibuat apabila pilihan raya hendak diadakan dan bagaimana Pas bersikap apa yang mereka buat ‘halal’ dan apa yang BN buat ‘haram’.

Paling jelas apabila Abdul Halim membuat pengumuman bahawa Pas akan memberi sumbangan RM200 dan RM250 kepada pengundi luar yang pulang mengundi. Biarpun perbuatan itu boleh ditafsirkan melanggar Seksyen 10 Akta Pilihan Raya namun Pas mendakwa ia bukan rasuah tetapi sekadar sumbangan.

Begitu juga apabila Nik Abdul Aziz secara terbuka menyerahkan sumbangan wang tunai kepada beberapa Orang Asli yang baru diIslamkan di Lojing, Gua Musang tiga hari sebelum pengundian dijalankan.

Alasan Pas itu adalah zakat kepada mualaf iaitu salah satu golongan yang berhak menerima zakat. Tetapi apa yang dipersoalkan kenapa ia dilakukan ketika kempen pilihan raya berlangsung? Kenapa majlis itu turut dihadiri oleh Dr. Zulkefli?

Bukankah selepas majlis ramah mesra Nik Abdul Aziz itu, pemimpin Pas mendakwa 60 peratus daripada masyarakat Orang Asli akan mengundi parti tersebut. Biarpun ia tidak diterjemahkan dalam bentuk fakta apabila hampir 90 peratus Orang Asli mengundi BN tetapi kecenderungan Pas melaksanakan pelbagai tindakan termasuk mengurniakan tanah ketika berkempen di kawasan masyarakat berkenaan boleh menyebabkan ada pihak mentafsirkan ia sebagai perbuatan cuba membeli undi.

Terdapat banyak lagi tindakan pemimpin Pas dan Nik Abdul Aziz sendiri yang menjadi faktor parti itu ditolak oleh pengundi Galas. Ia termasuklah memfitnah UMNO melalui risalah ‘Galas Kito’ menggariskan 16 perkara kenapa jangan sokong UMNO.

Antara fitnah itu ialah UMNO tidak menjadi Islam sebagai dasar, Islam hanya menjadi tunggangan UMNO, UMNO tidak membela agama dan ulama UMNO hanya subang tembaga serta UMNO mengkhianati bangsa sendiri.

Ini belum lagi termasuk doa yang dilafazkan oleh seorang pemimpin kanan parti itu selepas penamaan calon yang menggambarkan seolah-olah kalau BN yang diwakili oleh UMNO menang di Galas, Islam akan hancur.

Berdasarkan semua hujah-hujah ini yang menjadi faktor kekalahan Pas, maka tidak perlu Nik Abdul Aziz ‘bersandiwara’ lagi. Cukup-cukuplah menuding jari menyalahkan BN dan UMNO apabila mereka tewas dalam pilihan raya.

Jadilah pemimpin Islam yang baik iaitu sentiasa mahu bermuhasabah terhadap kelemahan diri sendiri. Fahamilah Pas bukanlah parti yang sempurna atau lengkap segalanya. Yang sempurna hanya Allah SWT dan paling lengkap hanyalah al-Quran.

Melalui kenyataan meragui kemenangan UMNO, Nik Abdul Aziz mungkin boleh mengabui mata penyokong-penyokong tegar Pas terhadap kelemahan kepimpinan beliau sebagai mursyidul am dan Menteri Besar tetapi ‘Allah melihat apa yang kamu buat’ – seperti mana tulisan pada poster yang dipasang oleh Pas di kawasan DUN Galas.

Dan sudah tentu Allah SWT juga mahu mengetahui siapa sebenarnya pejuang agama dan bangsa serta siapa pula yang sanggup memperalatkan agama dan menolak salam persaudaraan sesama Islam demi mengejar kuasa politik.

Khamis, 4 November 2010

DUN Galas, Batu sapi milik BN

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah dan DUN Galas di Gua Musang, Kelantan sudah diketahui. Barisan Nasional (BN) memenangi dua-dua kerusi berkenaan apabila Datin Linda Tsen Thaun Lin dan Ab Aziz Yusoff menewaskan lawannya dari Pas, PKR dan SAPP.

Kekalahan pertama calon Pas dalam PRK di Kelantan adalah suatu yang mengejutkan kerana selama ini Pas sentiasa mencatatkan kemenangan dan masih agak sukar bagi BN menembusi kubu Pas di mana-mana kerusi DUN atau Parlimen.

Bagaimanapun, kekalahan calon Pas, Dr Zulkifli Mohammad di DUN Galas bukan suatu yang mengejutkan kerana rekod Dr Zul selama ini pun sudah dua kali kalah dan kali ini adalah kekalahan ketiganya, iaitu dengan kata lain beliau sudah TKO.

Ab Aziz mendapat 5,324 undi, diikuti Dr Zul 4,134 undi dengan majoriti 1,190 iaitu meningkat dua kali ganda berbanding majoriti lebih 600 undi ketika calon BN, Mohamad Saupi Derahman melawan calon Pas, Che Hashim Che Sulaiman pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun, dua tahun kemudian iaitu pada 27 September 2010, Che Hashim meninggal dunia kerana kanser usus, menyebabkan SPR mengumumkan kerusi DUN Galas kosong dan akan diadakan pilihan raya kecil.

Pelbagai spekulasi ditaburkan pembangkang terutama mengenai calon BN. Ada ura-ura mengatakan Tengku Razaleigh Hamzah dan tidak kurang mahukan Mohd Saupi ebagai calon.

Namun Umno Kelantan pimpinan Tok Pa terpaksa mengambil kira pelbagai aspek dan latar belakang termasuk strategi politik dengan melantik Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Galas bagi BN dan menamakan pegawai Risda, Ab Aziz sebagai calon.

Pengumuman Ab Aziz, seorang yang tidak pernah ada nama dalam pentas politik mendorong penganalisis politik membuat andaian awal dengan memberi kemenangan mutlak kepada Pas.

Ini kerana Dr Zul, selain kelebihannya sebagai anak tempatan, beliau juga mempunyai klinik di Gua Musang dan sudah tentu dikenali ramai terutama pengundi dalam DUN Galas.

Namun, kita yang rancang, Tuhan menentukan. Strategi kempen yang dilakukan pemimpin Pas termasuk Nik Abdul Aziz tidak menepati ajaran Islam menjadi faktor pengundi beragama Islam hilang kepercayaan kepadanya sebagai tok guru atau ulama.

Cara beliau menghulurkan duit yang dilipat kepada pengundi Orang Asli jelas menunjukkan itu adalah rasuah. Sedangkan, Nik Aziz selama ini lantang menentang rasuah dan menyamakan orang Islam yang memberi rasuah bagaikan haram.

Tetapi apabila beliau sendiri memberi rasuh kepada Orang Asli atas nama wang zakat, rakyat mula menafikan kealiman Nik Aziz sebagai orang agama yang disegani.

Itulah antara lain punca kekalahan Pas, selain projek Ladang Rakyat yang diperkenalkan kerajaan negeri, kononnya untuk membela dan merubah nasib rakyat bertukar kepada penderitaan.

Setelah tanah rakyat diambil, disodok, diratakan, pokok-pokok buah-buahan yang diusahakan rakyat sejak berpuluh tahun lalu ditebang tebas, akhirnya projek itu menjadi projek gajah putih.

Rakyat yang miskin terus miskin, tanah yang diusahakan rakyat hilang hak, tanaman hilang sekelip mata dan punca pendapatan rakyat hilang begitu sahaja. Inilah bahana kepimpinan Nik Aziz.

Justeru, Allah menurunkan bala kepada Pas dengan mengalahkan calonnya yang turut ada rekod sosial di zaman mudanya.

Tahniah Tahniah Tahniah BN

Tahniah kepada dua calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu Sapi dan DUN Galas kerana memenangi keputusan dalam Pilihan Raya Kecil hari ini. Kemenangan itu memang sudah dijangka berdasarkan sokongan yang ditunjukkan rakyat kepada BN.

Kekalahan calon PKR dan Bebas di Batu Sapi ternyata membuktikan pengundi Parlimen berkenaan menolak kehadiran parti PKR dan Bebas. Rakyat masih memerlukan BN kerana terbukti hanya BN yang dapat membela nasib mereka selama ini.

Begitu juga di DUN Galas, Gua Musang, keputusannya berpihak kepada calon BN. Kemenangan Ab Aziz menunjukkan rakyat Gua Musang menolak Pas bawah pimpinan Nik Aziz yang secara jelas dan terang mengamalkan rasuah.

Duit yang dihulurkan Nik Aziz kepada pengundi Orang Asli membuktikan tok guru yang disanjung oleh penyokong taasub Pas mengamalkan rasuah dan menghalalkan perbuatan haram demi kepentingan politiknya.

Kepada Nik Aziz, lain kali cermin diri dulu.Kata dulang, paku terserpih, kata orang dia yang teramat lebih.

Isnin, 1 November 2010

Kah kah kah memang kelakar















Alahai... terdesak jalan yang masih elok pun diturap

Oleh: LUKMAN ABDULLAH DAN HELME HANAFI (AGENDADAILY)


Kalau selama ini pembangkang selalu perlekeh dan ejek apabila tengok JKR buat jalan masa kempen pilihanraya kecil, di Galas, kerajaan negeri PAS pun rupa-rupanya dua kali lima.

Lebih teruk lagi, apabila yang diturap itu jalan elok, bukan jalan yang rosak.

Ceritanya begini, petang Sabtu, entah dari mana, jentera berat yang buat kerja-kerja turap jalan sampai di Galas.

Yang kelakarnya, kerja turap jalan itu dibuat betul-betul di Bandar Lama Gua Musang depan Markas Besar PAS dan Hotel Usaha yang menempatkan para wartawan dari pelbagai agensi media.

Kehadiran pekerja yang sibuk turap jalan tidak rosak itu menarik minat media.

Mana tidaknya, jalan elok, tiba-tiba diturap, hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang tidak pernah berlaku selama ini.

Lagi lawak, apabila puak-puak wartawan pakat keluar kamera ambil gambar, tiba-tiba projek itu berhenti.

Sedangkan baru turap tak sampai satu kilometer.

Bak kata seorang wartawan, “Kalau nak turap jalan pun, turap lah kat tempat yang rosak, ini jalan elok tengah bandar, dah pulak, separuh saja, apa makna tu?,”

Mungkin sebab terdesak dengan dakwaan bahawa PAS gagal membangunkan Kelantan walaupun dah 20 tahun berkuasa.

Jadi masa pilihanraya ini kena juga tunjuk ada pembangunan tapi nak bangunkan apa?

Paling senang buat jalan, nak bagi orang nampak, pilih jalan tengah bandar. Walaupun terpaksa menurap jalan yang sudah elok.