Rabu, 29 Julai 2015

Selepas TPM, AG dipecat, Gabenor Bank pula jadi sasaran

Kenyataan Media - 29 Jul 2015

1. Sehari selepas pemecatan Timbalan Perdana Menteri dan Peguam Negara, telah sampai ke pengetahuan saya bahawa sasaran seterusnya untuk dimangsakan dan dianiaya ialah mereka yang dikatakan terlibat di dalam Pasukan Petugas Khas menyiasat Skandal 1MDB dan kes penyaluran wang RM2.67 bilion ke dalam akaun peribadi yang dikatakan milik Perdana Menteri. Teratas di dalam senarai sasaran tersebut ialah Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Shukri Abdul dan beberapa orang lagi Pegawai-Pegawai Kanan Bank Negara dan SPRM.

2. Saya juga mendapat maklumat, pelantikan Ketua Cawangan Khas (SB) PDRM yang baru yang diumumkan kelmarin adalah juga berkaitan dengan perkembangan terbaru ini. Kesemua Pegawai Bank Negara dan SPRM yang dijadikan sasaran ini dipercayai terlibat secara langsung di dalam proses penyiasatan Pasukan Petugas Khas tersebut.

Dipercayai dapatan hasil penyiasatan yang dijalankan mereka tersebut amat menakutkan pihak-pihak tertentu hingga menyebabkan berlaku pemecatan ke atas Peguam Negara dan sekarang ini giliran Pegawai-Pegawai Bank Negara dan SPRM pula untuk diganggu, dipaksa, diugut dan ditakut-takutkan terutamanya dengan pendakwaan jenayah seperti di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

3. Tidak semena-mena, dalam tempoh 24 jam ini muncul beberapa blog misteri yang menamakan Pegawai-Pegawai ini sebagai konspirator menjatuhkan Perdana Meteri dan Kerajaan yang dipilih secara demokratik di mana saya percaya ini adalah sebahagian daripada taktik licik untuk mengolah persepsi umum bahawa Pasukan Petugas Khas ini mempunyai niat yang buruk untuk memfitnah dan menjatuhkan Perdana Menteri dan Kerajaan menggunakan isu 1MDB dan juga penyaluran wang RM2.6 bilion tersebut. Ianya juga jelas bertujuan untuk menakut-nakutkan Pegawai-Pegawai tersebut daripada menjalankan siasatan secara telus, adil dan objektif.

4. Dalam hal ini, saya memberi amaran kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, PDRM dan Peguam Negara yang baru supaya mengambil tanggungjawab segera untuk menghentikan serta merta segala bentuk serangan, gangguan dan ugutan yang dilakukan pihak-pihak tertentu ke atas mana-mana pihak terutamanya Pegawai-Pegawai Kerajaan dan agensi penguatkuasaan  yang terlibat di dalam penyiasatan kes-kes berkaitan skandal 1MDB.

"Selamatkan Rakyat Dan Malaysia Tercinta!"

DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

29 July 2015/ 13 Syawal 1436H

Himpunan anak muda selamatkan Malaysia

Kenyataan Media-29 Julai 2015

Ketidaktentuan negara rentetan jenayah kewangan paling dahsyat sejak kemerdekaan negara, skandal 1MDB yang kekal tidak terjawab serta tindakan balas Perdana Menteri memecat YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Peguam Negara serta beberapa anggota kabinet yang kritikal terhadap isu 1MDB telah meletakkan negara dalam keadaan bermasalah dan berisiko besar untuk hilang kepercayaan warga dunia.

Situasi ini tidak hanya akan memberikan impak yang buruk kepada ekonomi, malah turut menjejaskan prioriti bernegara memandangkan perseteruan antara kedua-dua kem tertinggi parti pemerintah dilihat akan berlarutan dan meletakkan rakyat sebagai taruhan yang akan tersepit di tengah-tengah kemelut ini.

Anak Muda Harapan Baru melihat bahawa pihak yang paling banyak terkesan daripada kemelut ini ialah anak muda.

Dalam keadaan ekonomi yang sedia 'sakit' lama sebelum krisis politik ini yang telah pun menjerut leher anak-anak muda untuk survive dalam kehidupan seharian, ianya bertambah perit apabila negara dirundung malapetaka konflik yang pastinya melebarkan lagi kesusahan dan keperitan anak-anak muda akibat prioriti pemimpin-pemimpin politik yang pastinya dihalakan untuk 'membunuh' seteru masing-masing.

Konflik pertembungan politik ini seakan-akan melengkapkan kitaran pembulian kepada rakyat setelah kerajaan dengan penuh zalim memaksa rakyat terbanyak membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah semua sedia maklum menjadi punca segala kenaikan kos kehidupan yang telah menyempitkan hela nafas anak-anak muda khususnya di kawasan-kawasan bandar.

Hal itu belum termasuk ura-ura kenaikan harga minyak yang diramalkan berlaku sekitar Ogos dan September ini.

Jalan yang terbaik untuk menamatkan kemelut ini dan memangkin keyakinan warga dunia kepada Malaysia ialah Peguam Negara yang baru perlu meneruskan pendakwaan ke atas Perdana Menteri.

Beliau perlu membuktikan kewibawaan beliau sungguhpun kita akui amat mustahil Peguam Negara yang 'direstui' Perdana Menteri ini untuk mengheret Dato' Sri Najib Tun Razak ke muka pengadilan.

Kegilaan melantik anggota PAC sebagai Menteri bagi mengendurkan siasatan ke atas 1MDB, pemecatan tiba-tiba Peguam Negara yang membelakangkan Perkara 145 (6) Perlembagaan Persekutuan, memecat Timbalan Perdana Menteri yang bersuara atas jenayah yang berlaku merupakan tindakan-tindakan yang cenderung mewujudkan culture of fear kepada rakyat.

Seolah-olah kedudukan Perdana Menteri sentiasa betul, tidak pernah salah dan sentiasa perlu dituruti sekalipun curang dalam menggalas amanah.

Anak Muda Harapan Baru merasakan bahawa keadaan negara tidak boleh berterusan begini lagi. Satu tindakan tuntas perlu dilakukan. Lantas pada 8 Ogos 2015, Anak Muda Harapan Baru akan menggerakkan 'Himpunan Anak Muda Selamatkan Malaysia'.

Himpunan ini bertujuan mengumpulkan suara ramai generasi muda dalam memulihkan kembali keadaan negara yang telah rosak akibat tangan-tangan kotor orang politik.

Justeru satu jelajah akan diadakan ke negeri-negeri dalam usaha meningkatkan penglibatan segenap segmen anak muda untuk hadir dalam himpunan tersebut. Jelajah yang dijadualkan bermula di Pantai Timur itu nanti diharapkan bakal memuncak dengan kehadiran seramai mungkin anak muda untuk bersuara dalam himpunan 8 Ogos itu nanti.

SANY HAMZAN
Penyelaras Anak Muda
Gerakan Harapan Baru

Selasa, 28 Julai 2015

Saya redha - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap mempertahankan prinsip dan pendiriannya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), justeru beliau redha jika alasan digugurkan dari Kabinet kerana membangkitkan perkara tersebut secara terbuka.

"Selama saya berkhidmat saya sentiasa menyokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan YAB Perdana Menteri.

"Kecuali dalam isu 1MDB saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara.

"Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada Kabinet maka saya redha," katanya dalam kenyataan di sini.

Perdana Menteri yang melakukan rombakan Kabinet hari ini menggugurkan nama Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jawatan itu akan dipegang oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Muhyiddin berkata, beliau menerima keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan hati terbuka dan menghormati kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota Kabinet.

"Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah.

"Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri kecuali dalam isu 1MDB," ujarnya.

Beliau berikrar akan terus setia kepada perjuangan UMNO dan sebagai Timbalan Presiden UMNO akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dan mencurahkan khidmat bakti demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO.

Dalam kenyataan itu, Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberikan peluang untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri bermula 10 April 2009.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri," kata Muhyiddin. - MalaysiaGazette

Kenyataan media Tan Sri Muhyiddin Yassin

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri bermula 10 April 2009.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Saya menerima keputusan YAB Perdana Menteri untuk menggugurkan saya daripada kabinet dengan hati yang terbuka. Saya menghormati kuasa prerogatif YAB Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota kabinet.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah. Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan YAB Perdana Menteri.

Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha.

Saya akan sentiasa setia kepada perjuangan UMNO. Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
27 Julai 2015

Imej UMNO merudum dengan pemecatan Muhyiddin - Sanusi Junid

Pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri jelas menunjukkan kepimpinan kerajaan cepat melatah apabila ditegur.

Veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid berkata, penguguran Muhyiddin akan memecahbelah dan menyebabkan imej UMNO merudum kerana Ahli Parlimen Pagoh itu juga mempunyai sokongan dan pengaruh di peringkat akar umbi.

Lebih-lebih lagi nama beliau digugurkan selepas membuat teguran terbuka kepada kerajaan atas rasa tanggungjawab dan kasih sayang kepada UMNO.

Sanusi menyifatkan apa yang berlaku kepada Muhyiddin tidak pernah dipraktikkan sebelum ini, meskipun pernah berlaku individu nombor dua tidak senada dengan perdana menteri.

"Tengku Razaleigh Hamzah tidak pernah senada dengan Tun Dr. Mahathir, tetapi beliau tidak digugur dalam Kabinet. Jangan sama kes Tun Musa Hitam, itu berbeza," katanya kepada MalaysiaGazette.

Sanusi mendedahkan Muhyiddin memang selama ini menjadi pilihan pemimpin UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana nilai-nilai teguh Islam dan Melayu, sesuai dengan kedudukannya sebagai anak seorang ulama.

"Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menolak Najib sebagai timbalannya kerana mahu Muhyiddin. Tengku Razaleigh juga akan memilih Muhyiddin jika menjadi perdana menteri.

"Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut pernah menyatakan akan memilih Muhyiddin kalau impiannya menjadi perdana menteri," tambahnya.

Tegasnya, Najib sebenarnya tidak perlu bimbang dengan Muhyiddin sebagai timbalannya kerana lebih berusia, sepatutnya dijadikan untuk mengimbangi keadaan dalam banyak situasi.

"Kalau dia (Muhyiddin) dibuang, entah siapalah yang menjadi penasihat Najib supaya berbuat demikian," ujarnya. - MalaysiaGazette

Apa tindakan Muhyiddin seterusnya

Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri sudah diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan beliau.
 
Namun kini apa yang penting kepada UMNO bagaimana Muhyiddin bertindak balas terhadap apa yang telah dilakukan oleh Najib terhadapnya.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berpendapat, Muhyiddin boleh memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa UMNO atau menunggu persidangan Parlimen selepas ini untuk melaksanakan undi tidak percaya kepada Najib.
 
"Apa yang bakal berlaku kepada UMNO sekarang adalah bergantung kepada reaksi Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atas pemecatan beliau. Sekiranya Muhyiddin memulakan langkah untuk memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa UMNO bagi melaksanakan undi tidak percaya kepada Najib, kita memang menjangkakan perang besar akan berlaku di dalam parti.
 
"Namun begitu, sekiranya beliau memilih untuk menantikan persidangan Parlimen seterusnya bagi memulakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen, ini juga pastinya akan mencetuskan krisis yang besar di dalam negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
 
Wan Saiful yang menyifatkan pemecatan Muhyiddin sebagai langkah terdesak telah memberi impak buruk kepada kerajaan.
 
Selain ia akan menimbulkan lebih banyak persoalan, tindakan ini juga dibimbangi bakal memberi impak kepada situasi ekonomi dan sosio-politik negara.
 
Tambahnya, rombakan Kabinet bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana tiada perdana menteri yang mampu memiliki ahli jemaah kabinet yang mengkritik beliau secara umum.
 
Bagaimanpun, masa dan cara rombakan dilakukan telah mengundang persoalan baharu di mana Perdana Menteri bukan sahaja tidak memberi jawapan yang baik kepada kritikan yang dilemparkan kepada beliau, sebaliknya memilih untuk memecat para pengkritiknya.
 
"Setiap persoalan dan kritikan masih belum terjawab. Apa yang lebih buruk, rombakan kabinet dilakukan serentak dengan penamatan perkhidmatan seorang indvidu yang mempunyai kuasa untuk mendakwa atau tidak mendakwa sesiapa yang bersalah dalam skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB)
 
"Masa dan cara rombakan ini dibuat memberi gambaran seolah-olah Perdana Menteri hanya mahu mendiamkan para pengkritiknya dan menghentikan sebarang pendakwaan atas kesalahan jenayah sekiranya ada," dakwanya.-MalaysiaGazette

Ahmad Zahid dilantik Timbalan Perdana Menteri

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan dari Kabinet bersama empat menteri yang lain dan seorang timbalan menteri termasuk Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Hasan Malek dan Datuk Seri G. Palanivel.

Senarai Kabinet baharu menyaksikan Najib terus memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tujuh menteri baharu dilantik dan sementara sembilan muka baru menjawat jawatan timbalan menteri.

Najib dalam sidang media mengumumkan rombakan itu berkata, keputusan yang dibuat bertujuan memperkukuhkan lagi barisan Jemaah Menteri dalam menghadapi cabaran menguruskan negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

"Keputusan saya menggantikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggugurkan empat orang menteri dan seorang timbalan menteri, serta perubahan portfolio dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran.

"Ini bagi memastikan pentadbiran di bawah saya terus komited, sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat pada pilihan raya umum yang ke-13," katanya.

Menurut Perdana Menteri, Jemaah Menteri perlu bertindak sebagai satu pasukan yang jitu dalam apa juga keaaan, melangsungkan agenda pembangunan negara serta menguruskan isu-isu negara yang berbangkit agar dapat bertindak dengan berkesan.