Jumaat, 26 September 2025

Sokong Titah Agong, Keperluan Semak Semula Perolehan Black Hawk

SEMALAM, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar Kementerian Pertahanan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk terpakai berusia lebih 30 tahun. Titah baginda itu wajar dipandang serius oleh kerajaan, khususnya kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan. Baginda juga mengingatkan kementerian itu agar tidak mengulangi kesilapan sebelum ini. Dalam keadaan ekonomi negara masih berdepan cabaran, keputusan untuk memperoleh aset ketenteraan bernilai tinggi, tetapi sudah hilang kualiti itu wajar diteliti dari segi keperluan strategik. Bahkan, titah baginda bukan sekadar saranan, tetapi peringatan tegas bahawa sebarang keputusan kementerian, lebih lagi dalam sektor pertahanan mesti berlandaskan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kepentingan rakyat. Dalam sejarah negara, tidak banyak titah Yang di-Pertuan Agong menyentuh secara spesifik soal perolehan ketenteraan. Justeru, titah kali ini mencerminkan kebimbangan yang mendalam terhadap potensi risiko, pembaziran atau wujudnya unsur kepentingan tertentu dalam proses berkenaan. Seri Paduka Baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertitah mengingatkan kementerian berkenaan supaya tidak mengulangi kesilapan dahulu. “Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri,” titah baginda. Perolehan pertahanan sering dikaitkan dengan persoalan ketelusan, malah dalam banyak kes terdahulu, rakyat menuntut jawapan mengapa aset yang dibeli tidak menepati keperluan sebenar tentera atau gagal berfungsi dengan baik selepas hanya beberapa tahun digunakan. Jika pembelian Black Hawk terpakai itu diteruskan tanpa justifikasi jelas, ia hanya mengulangi kesilapan lama yang menjejaskan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tambahan pula, ekonomi negara kini sedang berdepan dengan tekanan inflasi, kos sara hidup yang meningkat dan keperluan mendesak dalam sektor pendidikan, kesihatan serta pembangunan sosial. Walaupun pertahanan negara adalah perkara penting, namun perbelanjaan besar untuk aset ketenteraan mesti diseimbangkan dengan keperluan rakyat. Titah Tuanku itu seakan menyuarakan hasrat majoriti rakyat agar setiap sen duit negara dibelanjakan secara berhemat dan berfaedah. Selain faktor kos, persoalan keberkesanan aset juga wajar diteliti, sama ada Black Hawk benar-benar memenuhi keperluan operasi ATM atau sekadar pilihan mudah kerana tekanan masa serta tawaran luar? Sejarah telah membuktikan pembelian aset tanpa kajian mendalam akan menjerat negara dengan masalah penyelenggaraan, kos operasi tinggi dan kebergantungan pada pengeluar asing. Justeru, kerajaan tidak boleh memandang ringan titah Tuanku Sultan Ibrahim dan wajar dijadikan asas untuk melakukan reformasi dasar perolehan pertahanan secara menyeluruh dengan memastikan proses tender telus, mengutamakan teknologi tempatan serta membina keupayaan industri pertahanan negara sendiri. Titah Yang di-Pertuan Agong itu jangan dilihat sebagai halangan, sebaliknya peluang untuk memperbaiki sistem perolehan pertahanan, peluang untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi keselamatan negara, dan peluang untuk menunjukkan kerajaan benar-benar mendahulukan kepentingan rakyat dalam setiap keputusan. Sekiranya Kementerian Pertahanan bertegas meneruskan pembelian Black Hawk terpakai itu tanpa mengendahkan titah baginda, ia bukan sahaja akan menimbulkan persoalan mengenai integriti, malah berisiko mengundang krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan. – POJOK ND 17 Ogos 2025

Zara Qairina: Gadis Kecil yang Tidak Kembali

PADA pagi 16 Julai lalu, suasana hening di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah tiba-tiba bertukar cemas. Seorang pelajar perempuan ditemui terbaring kaku dalam longkang konkrit di luar bangunan asrama, dipercayai jatuh dari tingkat tiga. Gadis itu ialah Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu, yang baharu berusia 13 tahun. Ketika itu, tiada siapa menyangka kejadian berkenaan bakal menjadi tumpuan nasional. Dalam beberapa hari, nama Zara bukan sahaja menghiasi muka depan media, malah menjadi laungan keadilan oleh ribuan rakyat Malaysia di media sosial. Tetapi di sebalik semua itu, terletak satu persoalan yang belum terjawab: Apa sebenarnya yang berlaku kepada Zara? Kronologi Peristiwa: Dari Asrama ke Liang Lahad 16 Julai 2025 – Zara ditemui dalam keadaan parah, cedera serius di kepala dan badan. – Tiada saksi kejadian, tiada CCTV di lokasi, menyebabkan persoalan mula timbul. – Dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. 17 Julai 2025 – Doktor mengesahkan Zara mengalami brain death (tiada fungsi otak). – Keluarga reda dan bersetuju menghentikan alat sokongan hayat. – Jenazah dikebumikan di kampung halaman di Sipitang, Sabah. Akhir Julai 2025 – Ibu Zara memfailkan laporan polis tambahan selepas melihat kesan lebam pada badan anaknya. – Siasatan awal didakwa tidak lengkap, tiada bedah siasat dilakukan sebelum pengebumian. – Tular pula rakaman audio suara mirip Zara meluahkan ketakutan terhadap seorang pelajar senior, digelar “Kak M”. Awal Ogos 2025 – Peguam Negara arahkan kubur Allahyarham Zara digali semula untuk tujuan bedah siasat. – Polis diminta melengkapkan semula siasatan, termasuk pemeriksaan terhadap barangan peribadi dan pakaian Zara. – Tekanan awam memuncak. Peguam keluarga dan NGO desak inkues bebas. Di Mana Keadilan? 1. Prosedur Siasatan Dipertikai Tiada autopsi dilakukan sebelum jenazah dikebumikan, iaitu satu kelemahan kritikal dalam siasatan. Pakaian Zara yang dipakai ketika kejadian tidak dirampas untuk ujian forensik. Barang peribadi lain seperti telefon bimbit juga tidak diperiksa awal. 2. Ketiadaan CCTV & SOP Keselamatan Bangunan asrama tiada kamera pengawasan. SOP penjagaan asrama waktu malam longgar. Keadaan itu membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan seperti terjatuh sendiri, didorong atau unsur jenayah lain. 3. Dakwaan Buli Yang Belum Terbukti Rakaman suara yang dikatakan milik Zara menyebut ketakutannya terhadap “Kak M”, pelajar senior yang dipercayai sering membuli pelajar junior. Namun, siasatan rasmi belum mengesahkan kaitan mana-mana individu secara terbuka. 4. Tekanan Emosi dan Spekulasi “Bunuh Diri” Sesetengah pihak menyebarkan teori bahawa Zara mungkin mengalami tekanan emosi dan mengambil nyawanya sendiri. Keluarga menolak teori ini sepenuhnya. Ibu Zara menegaskan anaknya seorang yang ceria, bersemangat belajar dan tidak menunjukkan sebarang tanda kemurungan. Luka Sistem yang Dalam Kematian Zara membuka semula perdebatan lama mengenai: Kebajikan pelajar asrama. Kes buli yang disenyapkan oleh budaya takut dan diam. Ketelusan sistem siasatan apabila ia melibatkan institusi kerajaan. Ia juga mengungkapkan betapa rapuhnya perlindungan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan sekolah. Kes Zara menyerlahkan jurang antara dasar atas kertas dan realiti di lapangan, di mana pelajar dibiarkan tanpa perlindungan fizikal dan emosi. Maklum balas pihak berkuasa Polis Sabah: Siasatan masih berlangsung. Kertas siasatan telah dihantar dan dikembalikan oleh Peguam Negara untuk pelengkap lanjut. Kementerian Pendidikan: Membuat lebih 10 laporan polis terhadap penyebar maklumat palsu. Menegaskan siasatan akan telus dan adil. Peguam Negara: Mengarahkan eksumasi dan bedah siasat baharu untuk memastikan keadilan. Ahli Parlimen & NGO: Mendesak reformasi SOP keselamatan dan pemantauan sekolah berasrama. Zara Mesti Dikenang, Bukan Dilupakan Zara Qairina hanyalah seorang anak gadis berusia 13 tahun. Dia ke sekolah dengan harapan untuk belajar dan membina masa depan. Namun, pulangnya dalam kain putih, membawa bersamanya persoalan yang belum dijawab. Kisah Zara bukan hanya mengenai kematian, ia berhubung sistem. Sistem yang gagal melindungi. Sistem yang lambat bertindak. Sistem yang hanya berubah selepas kehilangan. Hari ini kita sebut nama Zara Qairina. Esok mungkin anak jiran kita atau anak kita sendiri. Sebagai masyarakat, kita berhak menuntut kebenaran, tetapi perlu melalui saluran sah. Kita berhak marah, tetapi jangan sebar spekulasi. Kita wajib pastikan kematian ini membawa perubahan, bukan sekadar trending di media sosial. Zara Qairina mungkin telah pergi, tetapi suaranya dalam bentuk keadilan, mesti terus hidup. - POJOK ND 11 Ogos 2025

Isu kematian Zara: Rakyat marah, hilang kepercayaan

SHAH ALAM – Isu kematian adik Zara Qairina Mahathir masuk hari ke 25, dan kemuncaknya malam tadi, apabila puluhan ribu rakyat Sabah dari seluruh negeri itu turun ke jalan raya menuntut keadilan. Pada hari pertama kejadian, 16 Julai hingga ke hari ini, rakyat Sabah dan seluruh Semenanjung amnya masih dalam keadaan tertanya-tanya, jika adik Zara meninggal dunia kerana buli, kenapa pembuli tidak diheret ke mahkamah. Sepatutnya, dalam jangkamasa 25 hari kejadian ini, suspek dan pihak yang terlibat sudah dikenakan pertuduhan di mahkamah, tetapi tidak kedengaran pun mereka ditahan, direman atau didakwa. Maknanya, pembuli masih bebas. Ini yang mendorong rakyat Sabah dan Semenanjung bangkit menuntut keadilan. Ditambah pula dengan laporan siasatan awal telah diteliti oleh Jabatan Peguam Negara dan dikembalikan kepada polis dengan arahan lanjut. Lagi rakyat hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa dan kerajaan khususnya. Dalam jawapan Jabatan Peguam Negara kepada polis ialah pemeriksaan lanjut termasuk bedah siasat dan gali semula kubur perlu dilakukan. Bahan bukti penting seperti rakaman perbualan telah diserahkan oleh keluarga kepada pihak berkuasa, manakala Kementerian Pendidikan pula memberi jaminan siasatan dijalankan secara adil, dengan tumpuan juga kepada sokongan emosi. Jawapan pemimpin negara pula lagi standard, menyeru masyarakat menghindari spekulasi dan menunggu keputusan rasmi. Disebabkan timbul keraguan yang munasabah inilah, mendorong rakyat Sabah dan Malaysia amnya membuat andaian sendiri, berdasarkan sumber dari mulut ke mulut sehingga kes yang boleh diselesaikan dalam seminggu, berlarutan sehingga hampir satu bulan. Kerana inilah timbulnya spekulasi dan naratif yang dianggap oleh pihak berkuasa dan kerajaan sebagai tanpa disokong bukti dan fakta. Padahal, ini semua pihak kerajaan yang mulakan. Maka tersebarlah pelbagai teori yang sukar disekat atau dihalang, termasuk kononnya arwah terbabit dengan diari yang menandakan tekanan emosi atau dakwaan bujukan bunuh diri. Naratif sebegini dianggap sangat tidak wajar oleh peguam keluarga dan pengamal undang-undang kerana mencemarkan reputasi keluarga serta menambahkan beban mental kepada mereka. Ditambah pula dengan perkongsian gambar, video palsu dan tekaan liar mengenai punca kematian (contohnya, teori mesin basuh) menyebabkan kekeliruan dan mengganggu siasatan. Keluarga Zara turut mempersoalkan kekurangan SOP di asrama sekolah, seperti ketiadaan pemantauan warden waktu malam, ketiadaan CCTV dan kawasan yang membolehkan pelajar bebas keluar masuk. Justeru, mereka menuntut penjelasan penuh atas apa yang sebenarnya berlaku pada malam adik Zara ditemui dalam keadaan menyayat hati. Aktivis mahasiswa dan pelbagai organisasi mengadakan vigil dan kempen solidariti (termasuk di Gaya Street, Kota Kinabalu) untuk menuntut siasatan menyeluruh, telus dan adil terhadap kes ini. Rakaman audio perbualan adik Zara dan ibunya turut diperdengarkan sebagai simbol keperitan yang dilalui arwah. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula tampil menyeru orang ramai agar tidak menambah “asam garam” (mengarang cerita tanpa asas) dalam kes tersebut. KPM turut mengambil tindakan melalui lebih 10 laporan polis bagi menangani penyebaran fitnah dan berita palsu yang boleh mencetuskan kemarahan serta ancaman terhadap pelajar dan guru. Kes ini bukan sahaja menyentuh isu kehilangan seorang remaja malang, tetapi juga mencetuskan kebimbangan terhadap pengurusan keselamatan pelajar di sekolah, tanggungjawab pihak berkuasa dalam mengawal penyebaran maklumat serta etika masyarakat dalam menghadapi tragedi sambil menuntut keadilan secara bertanggungjawab. - POJOK ND 9 Ogos 2025

Perbuatan sesetengah pemimpin Pas makin dibenci rakyat

ND yakin dan percaya, Pas mahupun mana-mana parti pembangkang mahu menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. Mereka melakukan apa saja untuk menarik minat dan sokongan rakyat, dengan menanam bibit kebencian kepada kerajaan perpaduan sekarang yang dipimpin oleh PKR, Amanah, DAP, UMNO dan parti-parti gabungan dari Sabah dan Sarawak. Namun, pemerhatian ND terhadap pemimpin Pas mahupun Parti Bersatu kebelakangan ini, seolah bukan untuk menang, tetapi membuatkan rakyat semakin jauh dari mereka. ND beri contoh, Ahli Parlimen Pasir Mas, saudara Fadhli Shaari, posting beliau dalam media sosial terutama Facebook, majoriti menimbulkan kemarahan netizen. Siapa netizen? Mereka adalah rakyat Malaysia yang layak mengundi. Apabila mereka tidak suka dengan postingan itu, makanya secara automatik mereka tidak akan memberi undi kepada calon Pas mahupun Bersatu. Sepatutnya, kalau rakyat sudah marah dengan kerajaan perpaduan sekarang, Pas dan Bersatu sebagai pembangkang menunjukkan sikap terpuji. Sikap yang berkenan di hati rakyat, bukan menjauhkan diri rakyat kepada mereka. Sungguhpun tarikh tamat PRU15 berbaki hampir dua tahun lagi, tetapi tempoh itu sebenarnya amat singkat bagi parti yang bekerja untuk mendapatkan sokongan pengundi dan menang dalam PRU. Pucuk pimpinan Pas mahupun Bersatu sepatutnya memantau pemimpin mereka, terutama yang bakal dipiliha sebagai calon pilihan raya. Beri teguran dan peringatan kepada semua mereka agar tidak menimbulkan bibit kebencian rakyat. Rakyat kini sudah tidak boleh menerima cara pentadbiran kerajaan perpaduan, tetapi pada masa sama, mereka tidak ada pilihan untuk memilih parti pembangkang kerana sikap dan perangai lebih teruk dari pemimpin kerajaan perpaduan. Jadi, apa keputusan mereka? Mereka tidak ada pilihan lain, melainkan terpaksa mengekalkan atau memberi kemenangan kepada calon-calon pakatan harapan pada PRU16. Jika rakyat benar-benar membuat keputusan itu, amat rugilah Pas dan Bersatu bergabung untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan nanti, sebab mereka sendiri tidak menunjukkan sikap yang boleh bergantung harap oleh rakyat. Kadang-kadang ND rasa pelik dengan perangai pembangkang. Perjuangan mereka sejak dulu dan kini adalah untuk mengalahkan parti musuh, tetapi, kalau begini sikapnya, usaha mereka tidak akan ke mana. Ini samalah mereka selalu mengatakan tatakelola kerajaan madani, ke laut. Akhirnya, mereka sendiri di humban ke laut oleh rakyat. Sepatutnya, kalau pihak lawan sudah tidak elok, kita yang perlu menunjukkan perangai terpuji. Ini tidak berlaku, pihak lawan buruk, kita lagi buruk. Sedih dengan Pas dan Bersatu. Tidak tidak ada kesedaran mengenai hal ini. – POJOK ND 29 Julai 2025

Himpunan ‘Turun Anwar’: Isyarat Kekecewaan Rakyat

HIMPUNAN aman ‘Turun Anwar’ yang berakhir kira-kira jam 6 petang tadi mengundang kehadiran lebih 100,000 orang. Rata-rata mereka datang dari seluruh negara dan ada antaranya sampai lebih awal di ibu kota untuk mengelakkan daripada kesesakan jalan raya. Himpunan itu sebenarnya sebagai reaksi berhubung kekecewaan rakyat dan kelompok tertentu terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Puncanya disebabkan beberapa isu yang menghimpit kehidupan rakyat seperti kos sara hidup yang terus meningkat, ketidakpuasan terhadap dasar ekonomi semasa, persepsi bahawa janji reformasi belum ditunaikan, isu kebebasan bersuara, pengendalian institusi dan integriti kepimpinan. Walaupun pihak penganjur menggunakan nama ‘aman’, namun ia membawa mesej yang tegas dan simbolik, iaitu “Rakyat sedang hilang sabar”. Siapakah di sebaliknya himpunan ‘Turun Anwar’? Tidak lain, mereka adalah daripada gabungan aktivis reformis yang pernah menyokong Anwar, NGO pro-rakyat dan hak asasi serta elemen pembangkang yang melihat ruang melemahkan kredibiliti Anwar selaku Perdana Menteri. Ia juga turut melibatkan penyertaan golongan anak muda dan pengundi atas pagar yang kecewa dengan janji-janji manis Anwar ketika pembangkang, tetapi apabila menjadi kerajaan, satu janji tidak ditunaikan, apatah lagi hendak dikotakan. Lebih dua setengah tahun sejak kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) memerintah, bermacam alasan diberikan oleh Perdana Menteri, menyebabkan pihak-pihak berkenaan, terutama rakyat terasa hati dan berasakan mereka telah ditipu. Untuk makluman, himpunan tadi bukan sahaja dimonopoli oleh parti politik, tetapi turut disambut kelompok yang mencari perubahan atau ingin menghantar isyarat politik kepada Anwar dan pimpinan parti-parti gabungan PH. Kelebihan kepada pihak penganjur ialah mereka dapat memberi tekanan moral dan psikologi kepada kerajaan, di samping menjadikan media sosial sebagai medan utama memperluas naratif “PM gagal”. Ia juga secara tidak langsung membangkitkan semula semangat gerakan rakyat pasca PRU15 untuk bersiap sedia pada PRU16, bahawa mereka tidak akan memberi undi kemenangan lagi kepada gabungan PH. Kerajaan tidak boleh memandang rendah dengan kehadiran melebihi 100,000 orang itu, kerana himpunan tadi secara tersirat memberi risiko besar kepada kerajaan, iaitu mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap kemampuan Anwar dan Kabinetnya mengurus ekonomi negara. Himpunan itu juga sedikit sebanyak membuka ruang kepada musuh politik menunggang isu rakyat dan memberi persepsi bahawa kerajaan sudah “hilang sentuhan” dengan denyut nadi rakyat. Walaupun kebanyakan media melaporkan kehadiran peserta sekitar 18,000 – merujuk kepada jumlah yang dinyatakan oleh PDRM, memperlihatkan mainan pihak tertentu dalam mempertahankan moral kerajaan Madani. Bayangkan, setiap tahun sambutan Hari Kemerdekaan yang diadakan di Dataran Merdeka, kehadiran pengunjung yang tidak sepadat himpunan ‘Turun Anwar’ pun mencecah lebih 50,000 – 25,000 peserta sambutan dan 25,000 lagi pengunjung. Tetapi, jika dilihat pada rakaman dari udara akan kehadiran peserta himpunan itu, ia kelihatan lebih padat dan memenuhi setiap ruang di persekitaran Dataran Merdeka – komplek beli belah Sogo – Masjid India – Masjid Negara – Padang Merbok. Bagaimanapun, tak apalah. Itu hak PDRM untuk menyedapkan hati kerajaan, tetapi bagi wartawan, yang membuat laporan berdasarkan pandangannya sendiri, tanpa terikat dengan kenyataan PDRM, kehadiran keseluruhannya lebih 100,000 orang. Sambutan yang dikatakan agak besar ini, boleh dianggap sebagai referendum tidak rasmi terhadap prestasi Anwar dan akan memberi implikasi jangka pendek serta panjang kepada keutuhan kerajaan Madani. Mungkin juga akan membawa kepada rombakan dasar atau gaya komunikasi kerajaan jika tidak ditangani dengan baik, yang boleh mencetus gelombang hilang kepercayaan menjelang PRU16 akan datang. Justeru, himpunan aman ‘Turun Anwar’ ini bukan sekadar perhimpunan jalanan, ia adalah manifestasi rasa kecewa yang semakin menebal. Walaupun belum mencapai tahap kritikal untuk menggugat kestabilan, namun ia memberi amaran awal kepada kerajaan bahawa naratif ‘Malaysia Madani’ perlu diterjemah dalam bentuk tindakan nyata, bukan sekadar slogan semata-mata. Sekian lama rakyat disuap dengan janji reformasi, digula-gulakan dengan slogan Madani dan dijanjikan keadilan seolah ia boleh ditebar seperti roti canai pagi minggu. Kini, rakyat yang pernah mengangkat seorang tokoh reformasi ke puncak Putrajaya, mula turun ke jalan, bukan kerana mereka suka protes, tetapi kerana mereka sudah penat menunggu. Tentu ada yang akan kata ini kerja pembangkang, tentu akan ada yang melaung “fitnah!” atau “politik sempit!”, tetapi adakah segalanya boleh disapu bawah karpet dengan alasan “ini kerja musuh”? Apakah kerajaan mahu hidup di dalam sangkar ilusi, dihiburkan oleh pujian konvoi menteri dan analisis ejen propaganda? Realitinya mudah, rakyat mahu hidup yang lebih baik, bukan retorik. Bila ekonomi tenat, bila gaji tidak cukup, bila anak todak dapat biasiswa, rakyat tidak peduli siapa Menteri Ekonomi atau siapa pencipta istilah Madani. Mereka cuma mahu hidup. Himpunan ini mungkin kecil pada sesetengah orang, tapi nada dan nadinya besar. Ia menampar muka kuasa yang lupa dari mana ia datang. - POJOK ND 26 Julai 2025

Turun Anwar – Rakyat Tak Turun Kalau Kerajaan Tak Gagal

HIMPUNAN “Turun Anwar” muncul bukan kerana rakyat suka-suka berdiri di tengah panas dan kesesakan lalu lintas dengan sepanduk. Ia muncul kerana mereka sudah letih menunggu sebuah kerajaan yang kononnya “madani”, tapi hari-hari makin menindih. Kerajaan hari ini, seperti biasa, sibuk menyalahkan “naratif pembangkang” dan “persepsi yang salah”. Kononnya rakyat terpedaya. Sebenarnya, yang tertipu adalah mereka yang percaya kerajaan ini masih ada hala tuju. Kos hidup mencanak, gaji tidak berubah, subsidi dipotong, janji pilihan raya disapu bawah karpet. Tapi yang naik hanyalah retorik – ekonomi baik, pelabur masuk, ringgit kukuh… semuanya indah di kaca TV, tapi huru-hara di pasar malam. Anwar Ibrahim, dulunya ikon jalanan, kini terlalu jauh dari rakyat. Kini jalanan kembali bersuara – bukan untuk menyokong, tapi menolak. Dan kerajaan sepatutnya sedar, himpunan ini bukan didalangi sesiapa. Ia didalangi kekecewaan. Tapi seperti biasa, kerajaan lebih cepat tangkas menyalahkan pembangkang daripada memperbaiki dasar. Yang berhimpun dicop pengacau. Yang bersuara disindir tak tahu bersyukur. Mungkin bagi kerajaan ini, rakyat yang baik ialah rakyat yang diam sambil bayar cukai dan telan derita. Turun Anwar? Itu cuma simbolik. Yang rakyat mahukan bukan sekadar PM turun – tapi seluruh sikap angkuh pemerintah yang turun sama. Sebab yang lebih bahaya dari pembangkang ialah kerajaan yang lupa daratan. Kerajaan perpaduan hari ini terlalu asyik dengan kata-kata. “Madani”, “progresif”, “inklusi”, “tatakelola”. Semuanya cantik di atas kertas, tapi malangnya – rakyat tidak boleh makan slogan. Himpunan “Turun Anwar” bukan sekadar jeritan politik. Ia isyarat bahawa sabar rakyat ada hadnya. Bila setiap minggu diumumkan pelaburan berbillion, tetapi nasi lemak pun sudah tidak mampu dibeli, siapa yang sedang silap membaca realiti? Ironinya, kerajaan yang dahulu melaung “Reformasi!” kini terperangkap dalam birokrasi lama, tabiat lama, dan alasan yang lebih lama. Masih lagi menyalahkan warisan pentadbiran lama, walaupun sudah lebih dua tahun memegang tampuk kuasa. Apakah gunanya berucap di pentas antarabangsa sebagai jaguh demokrasi jika suara rakyat di jalanan dianggap musuh negara? Apakah ertinya madani jika subsidi ditarik tanpa mekanisme yang mampu melindungi yang paling miskin? Apakah ertinya kemajuan jika yang kaya makin licik mengelak cukai, tetapi rakyat biasa terus dihimpit oleh cukai yang diperluas? Himpunan ini tidak akan berlaku jika kerajaan benar-benar mendengar. Malangnya, sejak berkuasa, yang lebih banyak didengari adalah suara penasihat – bukan suara pasar, bukan suara penjaja, bukan suara keluarga muda yang berkira-kira antara susu anak dan bayaran e-hailing ke tempat kerja. Turun Anwar? Itu hanya lambang. Yang rakyat mahu sebenarnya: naik semula harga maruah dasar, naik semula integriti janji, naik semula kepercayaan. Sebelum rakyat turun ke jalan lebih ramai, mungkin kerajaan patut turun ke bumi. Himpunan “Turun Anwar” yang akan berlangsung pada 26 Julai ini, perlu dibaca sebagai satu mesej politik yang jelas, bukan semata-mata sebagai protes jalanan yang bersifat provokatif. Ia mencerminkan keresahan rakyat terhadap hala tuju dasar ekonomi negara yang dilihat semakin menjauh daripada denyut nadi masyarakat terbanyak. Ketika slogan “madani” dilaung saban hari, realitinya ramai yang terus berhadapan dengan tekanan kos sara hidup yang membelit. Sebagai badan masyarakat sivil, kami tidak mengusung mana-mana agenda partisan. Namun, kami tidak boleh menutup mata terhadap kekecewaan rakyat yang merasakan bahawa janji-janji reformasi kini hanya tinggal hiasan pentas politik. Kerajaan perpaduan ini tidak mewarisi kuasa semata-mata – ia mewarisi harapan. Tetapi malangnya, harapan itu kini terasa seperti beban yang tidak diurus dengan penuh tanggungjawab. Apakah ertinya mengumumkan pelaburan luar negeri mencecah berbilion ringgit, jika rakyat terpaksa memotong keperluan asas untuk bertahan? Apakah nilainya retorik kemajuan jika harga barang terus melambung, dan subsidi ditarik tanpa perlindungan menyeluruh? Kami mengingatkan kerajaan bahawa suara rakyat yang berhimpun bukan sesuatu yang wajar disenyapkan. Ia harus diambil sebagai cermin kepada kegagalan pelaksanaan, bukan sekadar disapu sebagai gangguan politik. “Turun Anwar” bukan soal nama semata-mata. Ia adalah tanda rakyat sedang menunggu – bukan untuk melihat siapa yang jatuh, tetapi siapa yang benar-benar bangkit memikul amanah. Jika kerajaan masih enggan mendengar, maka jalanan akan terus menjadi tempat rakyat bersuara. - POJOK ND 16 Julai 2025

Sabtu, 7 Jun 2025

Selamat Hari Raya Aidiladha - NasionalDaily

Hari Raya Haji atau Eid al-Adha, memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim a.s. untuk mengorbankan anaknya sebagai ujian keimanan daripada Allah. Namun, pada akhirnya, pengorbanan itu telah digantikan dengan seekor kibas dan peristiwa ini menjadi asas kepada amalan ibadah korban yang dilakukan sehingga hari ini. Perayaan ini disambut pada 10 Zulhijjah, iaitu hari ke-10 dalam bulan terakhir kalendar Islam.