Jumaat, 26 September 2025
Sokong Titah Agong, Keperluan Semak Semula Perolehan Black Hawk
SEMALAM, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar Kementerian Pertahanan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk terpakai berusia lebih 30 tahun.
Titah baginda itu wajar dipandang serius oleh kerajaan, khususnya kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan.
Baginda juga mengingatkan kementerian itu agar tidak mengulangi kesilapan sebelum ini.
Dalam keadaan ekonomi negara masih berdepan cabaran, keputusan untuk memperoleh aset ketenteraan bernilai tinggi, tetapi sudah hilang kualiti itu wajar diteliti dari segi keperluan strategik.
Bahkan, titah baginda bukan sekadar saranan, tetapi peringatan tegas bahawa sebarang keputusan kementerian, lebih lagi dalam sektor pertahanan mesti berlandaskan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kepentingan rakyat.
Dalam sejarah negara, tidak banyak titah Yang di-Pertuan Agong menyentuh secara spesifik soal perolehan ketenteraan.
Justeru, titah kali ini mencerminkan kebimbangan yang mendalam terhadap potensi risiko, pembaziran atau wujudnya unsur kepentingan tertentu dalam proses berkenaan.
Seri Paduka Baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertitah mengingatkan kementerian berkenaan supaya tidak mengulangi kesilapan dahulu.
“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri,” titah baginda.
Perolehan pertahanan sering dikaitkan dengan persoalan ketelusan, malah dalam banyak kes terdahulu, rakyat menuntut jawapan mengapa aset yang dibeli tidak menepati keperluan sebenar tentera atau gagal berfungsi dengan baik selepas hanya beberapa tahun digunakan.
Jika pembelian Black Hawk terpakai itu diteruskan tanpa justifikasi jelas, ia hanya mengulangi kesilapan lama yang menjejaskan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tambahan pula, ekonomi negara kini sedang berdepan dengan tekanan inflasi, kos sara hidup yang meningkat dan keperluan mendesak dalam sektor pendidikan, kesihatan serta pembangunan sosial.
Walaupun pertahanan negara adalah perkara penting, namun perbelanjaan besar untuk aset ketenteraan mesti diseimbangkan dengan keperluan rakyat.
Titah Tuanku itu seakan menyuarakan hasrat majoriti rakyat agar setiap sen duit negara dibelanjakan secara berhemat dan berfaedah.
Selain faktor kos, persoalan keberkesanan aset juga wajar diteliti, sama ada Black Hawk benar-benar memenuhi keperluan operasi ATM atau sekadar pilihan mudah kerana tekanan masa serta tawaran luar?
Sejarah telah membuktikan pembelian aset tanpa kajian mendalam akan menjerat negara dengan masalah penyelenggaraan, kos operasi tinggi dan kebergantungan pada pengeluar asing.
Justeru, kerajaan tidak boleh memandang ringan titah Tuanku Sultan Ibrahim dan wajar dijadikan asas untuk melakukan reformasi dasar perolehan pertahanan secara menyeluruh dengan memastikan proses tender telus, mengutamakan teknologi tempatan serta membina keupayaan industri pertahanan negara sendiri.
Titah Yang di-Pertuan Agong itu jangan dilihat sebagai halangan, sebaliknya peluang untuk memperbaiki sistem perolehan pertahanan, peluang untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi keselamatan negara, dan peluang untuk menunjukkan kerajaan benar-benar mendahulukan kepentingan rakyat dalam setiap keputusan.
Sekiranya Kementerian Pertahanan bertegas meneruskan pembelian Black Hawk terpakai itu tanpa mengendahkan titah baginda, ia bukan sahaja akan menimbulkan persoalan mengenai integriti, malah berisiko mengundang krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan. – POJOK ND 17 Ogos 2025
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan