Jumaat, 26 September 2025

Apakah wajar Khir Toyo sertai Parti Bersatu?

SELAIN negara dikejutkan kes jenayah melibatkan mangsa kanak-kanak, politik tanah air juga tidak sunyi dari kejutan dengan langkah diambil beberapa pemimpin dan bekas pemimpin sesebuah parti. Terkini, dalam kekalutan orang ramai berhimpun menunjukkan solidariti bagi menuntut keadilan kematian Allahyarham adik Zara Qairina Mahathir, tiba-tiba muncul berita mengenai bekas Menteri Besar Selangor di era Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Khir Toyo mengumumkan menyertai parti Bersatu. Topik ini membuka pelbagai sudut pandang politik, moral dan strategik, terutama persoalan yang berlegar dalam kalangan ahli politik dan parti, “Kenapa Khir Toyo sertai Bersatu, bukan UMNO atau PKR?” Secara umumnya, bekas Ketua Pembangkang BN bagi DUN Selangor itu menyertai Bersatu sejak 1 Julai 2025, tetapi mengumumkan secara rasmi menerusi platform media pada 6 Ogos 2025. Alasan konkrit beliau mahu bersama parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin, kerana melihat UMNO bukan lagi sebuah parti dominan, sebaliknya kini berperanan sebagai parti “pelengkap” kepada Pakatan Harapan (PH). Tidak menanam cita-cita tinggi untuk memegang jawatan besar, matlamat utama beliau hanya satu, iaitu menyumbang kepada perjuangan membentuk kepimpinan Melayu yang adil dan kuat. Menurut Khir, Bersatu kini memiliki jumlah kerusi Parlimen yang jauh lebih banyak berbanding UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 lalu, yang menunjukkan kekuatan politik lebih terserlah. Sama ada wajar atau tidak tindakannya itu, kita lihat dari perspektif logik politik; jika seseorang itu melihat peluang lebih cerah untuk menyumbang di dalam parti yang lebih dominan, berpindah parti adalah tindakan rasional dalam konteks politik pragmatik. Kenapa beliau ingin kembali aktif dalam politik? Dengan tulus Khir menyatakan, dalam usia sekitar 60-an, beliau tidak mengejar apa-apa jawatan, sebaliknya ingin membantu memastikan negara dipimpin oleh pemimpin Melayu yang adil. Namun, melihat menerusi mata kasar, penyertaan Khir mencerminkan peralihan realiti politik iaitu UMNO semakin terhakis, manakala Bersatu semakin menguasai ruang politik Melayu. Dari segi strategi agenda Melayu, tindakan itu dilihat sebagai wajar, iaitu menunjukkan realiti sebenar politik Melayu, di samping pilihan dalam menyokong kepimpinan yang mereka anggap lebih efektif. Sebahagian pihak mungkin memandang keputusan ini sebagai realistik dan berani, khasnya dalam misi memastikan kepimpinan Melayu yang adil dan efektif. Namun, bagi penyokong tegar UMNO atau mereka yang menilai berdasarkan loyalti parti, tindakan itu mungkin disifatkan sebagai opportunistik dan tidak berpegang pada prinsip. Secara keseluruhan, keputusan Khir Toyo boleh dianggap wajar jika dilihat dari sudut perubahan strategi dan realiti politik nasional, tetapi wajar diragui dari sudut kesetiaan ideologi dan konsistensi politik. Mengenai kedudukan jangka masa panjang Khir Toyo dalam politik, khususnya selepas menyertai Bersatu ialah pengalamannya mentadbir Selangor selama enam tahun tujuh bulan dari Ogos 2000 hingga Mac 2008 dan masih mempunyai rangkaian politik lama. Jika beliau diberi peranan strategik seperti merangka tenaga kerja atau menghadapi cabaran baru di Selangor, ia boleh memanfaatkan keupayaannya. – POJOK ND 18 Ogos 2025

Tiada ulasan: