Jumaat, 26 September 2025

Tangani Krisis Rusuhan di Indonesia: Cadangan Jalan Keluar

GELOMBANG rusuhan yang sedang melanda negara jiran, Indonesia kini bukan sekadar letusan spontan emosi rakyat, tetapi cerminan mendalam terhadap jurang sosial, politik dan ekonomi yang semakin melebar. Kebangkitan ini berpunca daripada isu elaun besar wakil rakyat, kematian tragis seorang penghantar makanan, Affan Kurniawan yang dilanggar kenderaan polis serta tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit. Api kemarahan rakyat akhirnya menyala menjadi rusuhan besar, mengorbankan nyawa dan merosakkan harta awam. Namun, di sebalik kegelisahan dan kekerasan yang berlaku, peluang untuk membina kembali kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sebenarnya masih terbuka luas. Apa yang diperlukan ialah keberanian politik, kesediaan mendengar suara rakyat dan pelan penyelesaian yang menyeluruh. Berikut adalah cadangan langkah-langkah utama bagi meredakan keadaan serta membuka jalan ke arah pemulihan negara. Dialog Terbuka dan Semakan Semula Polisi Elaun Ketidakpuasan hati rakyat memuncak apabila mereka melihat jurang ketara antara kehidupan mewah ahli politik dan derita rakyat biasa. Elaun besar yang diberikan kepada anggota DPR ketika rakyat sedang bergelut dengan inflasi dan pengangguran adalah percikan api kepada rusuhan. Pemerintah perlu segera mengumumkan dialog terbuka bersama wakil rakyat, mahasiswa, kesatuan pekerja dan NGO untuk membincangkan isu ini. Langkah segera seperti penangguhan atau pemotongan elaun wajar dilaksanakan sehingga keadaan reda. Keputusan ini bukan sahaja bersifat simbolik, tetapi menjadi bukti bahawa kerajaan sanggup mendengar dan berkompromi demi kesejahteraan rakyat. Reformasi Institusi dan Ketelusan Kematian Affan Kurniawan akibat tindakan kasar pasukan keselamatan menjadi simbol ketidakadilan institusi negara. Untuk memulihkan keyakinan rakyat, siasatan bebas perlu dilaksanakan segera dengan hasilnya diumumkan kepada umum. Selain itu, reformasi terhadap institusi kepolisian dan perundangan adalah keperluan mendesak, iaitu rakyat mahu melihat budaya kekebalan kuasa dihapuskan. Pelaksanaan undang-undang rampasan harta hasil korupsi, penambahbaikan sistem kehakiman serta mekanisme pemantauan polis yang lebih telus mesti diperkenalkan. Hanya dengan itu rakyat akan percaya bahawa pemerintah serius melawan penyelewengan. Dasar Sosial-Ekonomi yang Lebih Pro-Rakyat Kemarahan rakyat tidak dapat dipisahkan daripada tekanan ekonomi. Harga barang yang tinggi, cukai hartanah yang membebankan serta gaji minimum yang tidak seiring inflasi membuat rakyat semakin terhimpit. Kerajaan perlu menukar haluan dasar dengan memberi tumpuan kepada: Peningkatan gaji minimum sejajar inflasi, iaitu pemansuhan kontrak kerja tidak adil yang memeras tenaga pekerja, semakan cukai hartanah agar tidak menjadi beban kepada kelas menengah dan bawahan, program bantuan sosial yang lebih inklusif untuk golongan terpinggir. Tumpuan utama harus diberikan kepada kesejahteraan rakyat, bukan hanya pertumbuhan ekonomi di atas kertas. Kepimpinan dan Komunikasi yang Ikhlas Dalam suasana krisis, rakyat mendambakan seorang pemimpin yang berani dan ikhlas. Presiden serta Kabinet mesti turun padang, bukan hanya berucap dari podium. Ucapan langsung melalui televisyen dan media sosial, yang disertakan dengan komitmen jelas terhadap reformasi akan mampu meredakan emosi rakyat. Komunikasi perlu disertai dengan tindakan nyata – misalnya mengumumkan audit terbuka terhadap elaun Parlimen atau memecat anggota keselamatan yang terbukti menyalahgunakan kuasa. Ketelusan dan keikhlasan komunikasi inilah yang akan menjadi ubat penenang kepada keresahan rakyat. Mengawal Aksi dan Menjamin Hak Rakyat Pihak keselamatan harus mengubah pendekatan mereka, yang mana kekerasan berlebihan terhadap penunjuk perasaan hanya akan menambah luka. Tugas polis dan tentera ialah melindungi hak rakyat untuk berhimpun secara aman, bukan menghukum mereka. Kerajaan wajar mengeluarkan arahan jelas supaya penggunaan kekerasan diminimakan, sebaliknya pendekatan pencegahan konflik, perundingan di lapangan serta pemisahan perusuh daripada penunjuk perasaan aman lebih berkesan untuk meredakan situasi. Meredakan Api, Membina Semula Kepercayaan Rusuhan rakyat yang berlaku hari ini adalah peringatan keras rakyat tidak lagi mahu ditindas oleh ketidakadilan dan jurang sosial yang melebar. Namun, krisis ini juga membuka peluang untuk pemerintah membuktikan mereka masih boleh mendengar, memahami dan bertindak. Jika langkah-langkah cadangan seperti dialog terbuka, reformasi institusi, dasar ekonomi pro-rakyat, komunikasi ikhlas serta kawalan aksi yang berperikemanusiaan dilaksanakan, Indonesia bukan sahaja akan berjaya keluar daripada krisis, malah mampu membina semula kepercayaan rakyat terhadap negara. Kerajaan harus sedar, rakyat bukan menuntut kemewahan, mereka hanya mahukan keadilan, ketelusan dan kehidupan yang bermaruah. – POJOK ND 31 Ogos 2025

Tiada ulasan: