Jumaat, 26 September 2025

Isu Gali Semula Kubur Mangsa Dera: Salah Siapa?

ISU penderaan kanak-kanak yang membawa kepada kematian bukanlah perkara baharu di negara kita. Setiap kali tragedi berlaku, masyarakat kembali dikejutkan dengan siri persoalan yang sama: siapa sebenarnya yang harus dipertanggungjawabkan? Kes terbaru mengenai arahan gali semula kubur mangsa dera sekali lagi membuka luka lama, memperlihatkan betapa sistem perlindungan terhadap kanak-kanak masih rapuh. Kanak-kanak sepatutnya membesar dalam suasana penuh kasih sayang, bukannya menjadi tempat lepas geram orang dewasa. Dalam kes terbaru ini, mangsa disyaki didera sehingga meninggal dunia, namun siasatan awal menimbulkan keraguan, sama ada kematian itu benar-benar akibat penderaan atau ada unsur lain yang disembunyikan. Justeru, kubur mangsa terpaksa digali semula bagi mendapatkan bukti forensik tambahan. Ironinya, jasad seorang anak kecil yang sepatutnya “tidur tenang” terpaksa diganggu lagi hanya kerana ada pihak gagal melaksanakan tanggungjawab sewajarnya sejak awal. Tidak dapat dinafikan, keluarga atau penjaga adalah pelindung utama. Jika benar penderaan berlaku dalam rumah sendiri, maka persoalan paling besar: di mana sifat keinsanan seorang ibu bapa atau ahli keluarga? Mengapa ada yang sanggup menjadikan anak kecil sebagai mangsa kemarahan dan tekanan hidup? Lebih malang, ada kes di mana jiran, saudara atau orang sekeliling tahu mengenai penderaan, tetapi memilih untuk berdiam diri. “Tidak mahu masuk campur urusan rumah tangga orang,” menjadi alasan klasik yang akhirnya meragut nyawa. Apabila kes seperti ini meletup, masyarakat mula mempersoalkan pihak berkuasa. Mengapa laporan awal tidak menyeluruh? Kenapa siasatan pertama seakan longgar sehingga memaksa kubur digali semula? Adakah kerana sikap sambil lewa, kekurangan pegawai pakar atau campur tangan pihak tertentu? Sekiranya benar terdapat kecuaian dalam proses bedah siasat atau siasatan polis, ia memberi tamparan hebat kepada sistem keadilan negara. Keadilan untuk mangsa kecil ini tidak boleh diselesaikan dengan sambil lewa, kerana setiap kelemahan bermakna peluang untuk pelaku terlepas hukuman. Dalam banyak kes penderaan, faktor sosial seperti kemiskinan, tekanan hidup, masalah ketagihan, atau keruntuhan institusi keluarga sering menjadi punca utama. Sistem perlindungan kanak-kanak negara juga sering dilihat hanya reaktif, bukan proaktif. Kita hanya bertindak selepas ada nyawa melayang, sedangkan ribuan kanak-kanak lain mungkin masih menderita dalam diam. Jawapan yang paling jujur, salah semua pihak yang gagal menjalankan amanah. Salah keluarga yang tidak menjaga anak kecil dengan kasih sayang. Salah jiran dan masyarakat yang menutup mata. Salah pihak berkuasa jika gagal menyiasat dengan teliti dan salah sistem sosial yang tidak menyediakan sokongan awal untuk keluarga bermasalah. Menggali semula kubur mangsa dera bukan sekadar proses undang-undang, ia adalah simbol kegagalan kita sebagai masyarakat dalam melindungi golongan paling lemah. Setiap kali kes sebegini berlaku, kita marah, kita bersedih, kita menuding jari. Namun selepas beberapa minggu, semuanya senyap, sehingga tragedi baru muncul lagi. Persoalannya, adakah kita mahu terus menggali kubur demi mencari kebenaran, atau mula menggali hati dan jiwa kita untuk menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab? – POJOK ND 29 Ogos 2025

Tiada ulasan: