Jumaat, 26 September 2025

Wajarkah Muhyiddin Letak Jawatan, Serahkan Kepimpinan kepada Hamzah?

PERBINCANGAN mengenai masa depan kepimpinan politik Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali hangat apabila timbul desakan dan spekulasi sama ada beliau perlu berundur daripada tampuk kepimpinan Parti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) serta menyerahkan peranan itu kepada Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Persoalan ini tidak boleh dilihat sekadar isu dalaman parti semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan hala tuju blok pembangkang, kelangsungan politik Melayu-Islam serta keseimbangan kuasa dalam landskap politik Malaysia. Muhyiddin kini berada pada usia melebihi 70 tahun dan pernah berdepan masalah kesihatan yang diketahui umum. Walaupun beliau masih aktif dan lantang mengkritik kerajaan semasa, wajar diakui bahawa stamina politik seorang tokoh veteran tidak sama seperti dekad lalu. Dalam konteks ini, menyerahkan tampuk kepimpinan kepada pelapis dianggap satu langkah berstrategi agar kesinambungan perjuangan PN tidak terhenti kerana faktor usia. Tidak dapat dinafikan Muhyiddin adalah figura utama yang meletakkan PN sebagai satu kuasa politik besar dalam negara. Beliau pernah menjadi Perdana Menteri, walaupun tempoh pentadbirannya singkat kerana pandemik COVID-19 dan dinamika politik yang tidak stabil. Selain itu, beliau juga dilihat berjaya menyatukan Pas, Bersatu dan parti sekutu dalam PN. Namun, legasi ini berisiko tercalar sekiranya beliau enggan berundur dengan terhormat apabila tiba masanya. Berundur dengan rela hati boleh memberi gambaran kepimpinan yang matang serta mengukuhkan imejnya sebagai negarawan. Hamzah kini merupakan Setiausaha Agung PN dan Timbalan Presiden Bersatu. Dari segi pengalaman, beliau pernah memegang jawatan menteri dalam pelbagai kementerian sejak era Barisan Nasional (BN), sebelum menyertai Bersatu dan menjadi orang kanan Muhyiddin. Namun, persoalan besar yang timbul ialah sama ada Hamzah mampu menggalas peranan sebagai ketua pembangkang dan bakal calon Perdana Menteri. Kritikan utama terhadap Hamzah adalah beliau dilihat lebih berfungsi sebagai “strategis dalaman”, bukan tokoh arus perdana yang mampu menarik sokongan meluas daripada rakyat. Beliau juga masih berdepan cabaran untuk menonjolkan karisma kepimpinan yang setanding dengan tokoh seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahupun Tan Sri Abdul Hadi Awang. Bagi rakyat, pengganti Muhyiddin mestilah seseorang yang mampu menampilkan imej bersih, berwibawa dan berkarisma untuk menjadi alternatif kepada kerajaan semasa. Jika peralihan kepada Hamzah gagal meyakinkan rakyat, PN berisiko dilihat hanya menukar “ketua” tanpa menawarkan pembaharuan. Dari sudut kestabilan dalaman PN, langkah menyerahkan kuasa kepada Hamzah boleh mengelakkan perebutan jawatan yang lebih besar. Ini kerana beliau dianggap kompromi antara kelompok dalam Bersatu dan Pas. PN kini berada dalam kedudukan sebagai pembangkang utama. Tugas mereka adalah menonjolkan kepimpinan yang boleh menjadi “Perdana Menteri menunggu” sekiranya kerajaan sedia ada goyah. Persoalannya, adakah Hamzah mampu memberikan keyakinan itu? Atau adakah tokoh lain dalam PN seperti Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man atau Datuk Seri Radzi Jidin lebih sesuai diketengahkan? Jika Muhyiddin terus kekal, PN mungkin dapat mengekalkan imej seorang pemimpin berpengalaman di barisan hadapan, tetapi jika beliau berundur kepada Hamzah, ia mungkin memberi peluang kepada PN untuk melakar naratif kepimpinan baharu dengan syarat Hamzah mampu mengisi kekosongan tersebut. Soal sama ada Muhyiddin perlu berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada Hamzah bukan keputusan yang mudah. Dari sudut strategi jangka panjang, langkah ini wajar dipertimbangkan untuk memberi nafas baharu kepada PN. Namun, ia hanya berkesan jika Hamzah atau sesiapa sahaja pengganti mampu menonjolkan kredibiliti dan karisma yang boleh menyaingi kepimpinan kerajaan semasa. Jika tidak, Muhyiddin masih menjadi pilihan paling selamat buat PN untuk terus kekal relevan dalam arus politik negara. – POJOK ND 9 September 2025

Tiada ulasan: