Jumaat, 26 September 2025

Himpunan ‘Turun Anwar’: Isyarat Kekecewaan Rakyat

HIMPUNAN aman ‘Turun Anwar’ yang berakhir kira-kira jam 6 petang tadi mengundang kehadiran lebih 100,000 orang. Rata-rata mereka datang dari seluruh negara dan ada antaranya sampai lebih awal di ibu kota untuk mengelakkan daripada kesesakan jalan raya. Himpunan itu sebenarnya sebagai reaksi berhubung kekecewaan rakyat dan kelompok tertentu terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Puncanya disebabkan beberapa isu yang menghimpit kehidupan rakyat seperti kos sara hidup yang terus meningkat, ketidakpuasan terhadap dasar ekonomi semasa, persepsi bahawa janji reformasi belum ditunaikan, isu kebebasan bersuara, pengendalian institusi dan integriti kepimpinan. Walaupun pihak penganjur menggunakan nama ‘aman’, namun ia membawa mesej yang tegas dan simbolik, iaitu “Rakyat sedang hilang sabar”. Siapakah di sebaliknya himpunan ‘Turun Anwar’? Tidak lain, mereka adalah daripada gabungan aktivis reformis yang pernah menyokong Anwar, NGO pro-rakyat dan hak asasi serta elemen pembangkang yang melihat ruang melemahkan kredibiliti Anwar selaku Perdana Menteri. Ia juga turut melibatkan penyertaan golongan anak muda dan pengundi atas pagar yang kecewa dengan janji-janji manis Anwar ketika pembangkang, tetapi apabila menjadi kerajaan, satu janji tidak ditunaikan, apatah lagi hendak dikotakan. Lebih dua setengah tahun sejak kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) memerintah, bermacam alasan diberikan oleh Perdana Menteri, menyebabkan pihak-pihak berkenaan, terutama rakyat terasa hati dan berasakan mereka telah ditipu. Untuk makluman, himpunan tadi bukan sahaja dimonopoli oleh parti politik, tetapi turut disambut kelompok yang mencari perubahan atau ingin menghantar isyarat politik kepada Anwar dan pimpinan parti-parti gabungan PH. Kelebihan kepada pihak penganjur ialah mereka dapat memberi tekanan moral dan psikologi kepada kerajaan, di samping menjadikan media sosial sebagai medan utama memperluas naratif “PM gagal”. Ia juga secara tidak langsung membangkitkan semula semangat gerakan rakyat pasca PRU15 untuk bersiap sedia pada PRU16, bahawa mereka tidak akan memberi undi kemenangan lagi kepada gabungan PH. Kerajaan tidak boleh memandang rendah dengan kehadiran melebihi 100,000 orang itu, kerana himpunan tadi secara tersirat memberi risiko besar kepada kerajaan, iaitu mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap kemampuan Anwar dan Kabinetnya mengurus ekonomi negara. Himpunan itu juga sedikit sebanyak membuka ruang kepada musuh politik menunggang isu rakyat dan memberi persepsi bahawa kerajaan sudah “hilang sentuhan” dengan denyut nadi rakyat. Walaupun kebanyakan media melaporkan kehadiran peserta sekitar 18,000 – merujuk kepada jumlah yang dinyatakan oleh PDRM, memperlihatkan mainan pihak tertentu dalam mempertahankan moral kerajaan Madani. Bayangkan, setiap tahun sambutan Hari Kemerdekaan yang diadakan di Dataran Merdeka, kehadiran pengunjung yang tidak sepadat himpunan ‘Turun Anwar’ pun mencecah lebih 50,000 – 25,000 peserta sambutan dan 25,000 lagi pengunjung. Tetapi, jika dilihat pada rakaman dari udara akan kehadiran peserta himpunan itu, ia kelihatan lebih padat dan memenuhi setiap ruang di persekitaran Dataran Merdeka – komplek beli belah Sogo – Masjid India – Masjid Negara – Padang Merbok. Bagaimanapun, tak apalah. Itu hak PDRM untuk menyedapkan hati kerajaan, tetapi bagi wartawan, yang membuat laporan berdasarkan pandangannya sendiri, tanpa terikat dengan kenyataan PDRM, kehadiran keseluruhannya lebih 100,000 orang. Sambutan yang dikatakan agak besar ini, boleh dianggap sebagai referendum tidak rasmi terhadap prestasi Anwar dan akan memberi implikasi jangka pendek serta panjang kepada keutuhan kerajaan Madani. Mungkin juga akan membawa kepada rombakan dasar atau gaya komunikasi kerajaan jika tidak ditangani dengan baik, yang boleh mencetus gelombang hilang kepercayaan menjelang PRU16 akan datang. Justeru, himpunan aman ‘Turun Anwar’ ini bukan sekadar perhimpunan jalanan, ia adalah manifestasi rasa kecewa yang semakin menebal. Walaupun belum mencapai tahap kritikal untuk menggugat kestabilan, namun ia memberi amaran awal kepada kerajaan bahawa naratif ‘Malaysia Madani’ perlu diterjemah dalam bentuk tindakan nyata, bukan sekadar slogan semata-mata. Sekian lama rakyat disuap dengan janji reformasi, digula-gulakan dengan slogan Madani dan dijanjikan keadilan seolah ia boleh ditebar seperti roti canai pagi minggu. Kini, rakyat yang pernah mengangkat seorang tokoh reformasi ke puncak Putrajaya, mula turun ke jalan, bukan kerana mereka suka protes, tetapi kerana mereka sudah penat menunggu. Tentu ada yang akan kata ini kerja pembangkang, tentu akan ada yang melaung “fitnah!” atau “politik sempit!”, tetapi adakah segalanya boleh disapu bawah karpet dengan alasan “ini kerja musuh”? Apakah kerajaan mahu hidup di dalam sangkar ilusi, dihiburkan oleh pujian konvoi menteri dan analisis ejen propaganda? Realitinya mudah, rakyat mahu hidup yang lebih baik, bukan retorik. Bila ekonomi tenat, bila gaji tidak cukup, bila anak todak dapat biasiswa, rakyat tidak peduli siapa Menteri Ekonomi atau siapa pencipta istilah Madani. Mereka cuma mahu hidup. Himpunan ini mungkin kecil pada sesetengah orang, tapi nada dan nadinya besar. Ia menampar muka kuasa yang lupa dari mana ia datang. - POJOK ND 26 Julai 2025

Tiada ulasan: