Jumaat, 26 September 2025

Turun Anwar – Rakyat Tak Turun Kalau Kerajaan Tak Gagal

HIMPUNAN “Turun Anwar” muncul bukan kerana rakyat suka-suka berdiri di tengah panas dan kesesakan lalu lintas dengan sepanduk. Ia muncul kerana mereka sudah letih menunggu sebuah kerajaan yang kononnya “madani”, tapi hari-hari makin menindih. Kerajaan hari ini, seperti biasa, sibuk menyalahkan “naratif pembangkang” dan “persepsi yang salah”. Kononnya rakyat terpedaya. Sebenarnya, yang tertipu adalah mereka yang percaya kerajaan ini masih ada hala tuju. Kos hidup mencanak, gaji tidak berubah, subsidi dipotong, janji pilihan raya disapu bawah karpet. Tapi yang naik hanyalah retorik – ekonomi baik, pelabur masuk, ringgit kukuh… semuanya indah di kaca TV, tapi huru-hara di pasar malam. Anwar Ibrahim, dulunya ikon jalanan, kini terlalu jauh dari rakyat. Kini jalanan kembali bersuara – bukan untuk menyokong, tapi menolak. Dan kerajaan sepatutnya sedar, himpunan ini bukan didalangi sesiapa. Ia didalangi kekecewaan. Tapi seperti biasa, kerajaan lebih cepat tangkas menyalahkan pembangkang daripada memperbaiki dasar. Yang berhimpun dicop pengacau. Yang bersuara disindir tak tahu bersyukur. Mungkin bagi kerajaan ini, rakyat yang baik ialah rakyat yang diam sambil bayar cukai dan telan derita. Turun Anwar? Itu cuma simbolik. Yang rakyat mahukan bukan sekadar PM turun – tapi seluruh sikap angkuh pemerintah yang turun sama. Sebab yang lebih bahaya dari pembangkang ialah kerajaan yang lupa daratan. Kerajaan perpaduan hari ini terlalu asyik dengan kata-kata. “Madani”, “progresif”, “inklusi”, “tatakelola”. Semuanya cantik di atas kertas, tapi malangnya – rakyat tidak boleh makan slogan. Himpunan “Turun Anwar” bukan sekadar jeritan politik. Ia isyarat bahawa sabar rakyat ada hadnya. Bila setiap minggu diumumkan pelaburan berbillion, tetapi nasi lemak pun sudah tidak mampu dibeli, siapa yang sedang silap membaca realiti? Ironinya, kerajaan yang dahulu melaung “Reformasi!” kini terperangkap dalam birokrasi lama, tabiat lama, dan alasan yang lebih lama. Masih lagi menyalahkan warisan pentadbiran lama, walaupun sudah lebih dua tahun memegang tampuk kuasa. Apakah gunanya berucap di pentas antarabangsa sebagai jaguh demokrasi jika suara rakyat di jalanan dianggap musuh negara? Apakah ertinya madani jika subsidi ditarik tanpa mekanisme yang mampu melindungi yang paling miskin? Apakah ertinya kemajuan jika yang kaya makin licik mengelak cukai, tetapi rakyat biasa terus dihimpit oleh cukai yang diperluas? Himpunan ini tidak akan berlaku jika kerajaan benar-benar mendengar. Malangnya, sejak berkuasa, yang lebih banyak didengari adalah suara penasihat – bukan suara pasar, bukan suara penjaja, bukan suara keluarga muda yang berkira-kira antara susu anak dan bayaran e-hailing ke tempat kerja. Turun Anwar? Itu hanya lambang. Yang rakyat mahu sebenarnya: naik semula harga maruah dasar, naik semula integriti janji, naik semula kepercayaan. Sebelum rakyat turun ke jalan lebih ramai, mungkin kerajaan patut turun ke bumi. Himpunan “Turun Anwar” yang akan berlangsung pada 26 Julai ini, perlu dibaca sebagai satu mesej politik yang jelas, bukan semata-mata sebagai protes jalanan yang bersifat provokatif. Ia mencerminkan keresahan rakyat terhadap hala tuju dasar ekonomi negara yang dilihat semakin menjauh daripada denyut nadi masyarakat terbanyak. Ketika slogan “madani” dilaung saban hari, realitinya ramai yang terus berhadapan dengan tekanan kos sara hidup yang membelit. Sebagai badan masyarakat sivil, kami tidak mengusung mana-mana agenda partisan. Namun, kami tidak boleh menutup mata terhadap kekecewaan rakyat yang merasakan bahawa janji-janji reformasi kini hanya tinggal hiasan pentas politik. Kerajaan perpaduan ini tidak mewarisi kuasa semata-mata – ia mewarisi harapan. Tetapi malangnya, harapan itu kini terasa seperti beban yang tidak diurus dengan penuh tanggungjawab. Apakah ertinya mengumumkan pelaburan luar negeri mencecah berbilion ringgit, jika rakyat terpaksa memotong keperluan asas untuk bertahan? Apakah nilainya retorik kemajuan jika harga barang terus melambung, dan subsidi ditarik tanpa perlindungan menyeluruh? Kami mengingatkan kerajaan bahawa suara rakyat yang berhimpun bukan sesuatu yang wajar disenyapkan. Ia harus diambil sebagai cermin kepada kegagalan pelaksanaan, bukan sekadar disapu sebagai gangguan politik. “Turun Anwar” bukan soal nama semata-mata. Ia adalah tanda rakyat sedang menunggu – bukan untuk melihat siapa yang jatuh, tetapi siapa yang benar-benar bangkit memikul amanah. Jika kerajaan masih enggan mendengar, maka jalanan akan terus menjadi tempat rakyat bersuara. - POJOK ND 16 Julai 2025

Tiada ulasan: