Jumaat, 26 September 2025
Janji Politik Menjelang PRN Sabah – Antara Strategi Realpolitik dan Harapan Pengundi
MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir, pentas politik negeri itu kembali menyaksikan fenomena yang tidak asing dalam demokrasi pilihan raya, iaitu pesta janji.
Sama ada daripada pihak kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahupun daripada blok pembangkang yang hendak merampas semula tampuk kuasa.
Janji-janji yang ditaburkan membawa pelbagai nada seperti pembangunan, penyatuan kaum, hak autonomi dan keterangkuman.
Di tengah sorotan ini, satu janji yang telah mencuri tumpuan ialah kenyataan Ketua Menteri Hajiji yang berikrar akan melantik seorang wakil rakyat Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri sekiranya parti beliau, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya memperoleh kemenangan majoriti dan membentuk kerajaan negeri yang stabil.
Janji ini, walaupun kelihatan sederhana, sebenarnya sarat dengan makna politik yang lebih besar dan memerlukan pemerhatian lebih kritis daripada rakyat Sabah.
Apakah janji ini benar-benar menggambarkan komitmen terhadap keterangkuman dan penyertaan pelbagai etnik dalam pemerintahan negeri?
Atau adakah ia hanya strategi taktikal untuk meraih sokongan pengundi bandar, khususnya pengundi Cina yang dilihat semakin kritikal dan pragmatik dalam membuat keputusan?
Sabah antara negeri paling majmuk di Malaysia. Komposisi kaum yang rencam termasuk Kadazan-Dusun-Murut (KDM), Bajau, Melayu, Bugis, Cina dan pelbagai lagi kumpulan etnik kecil menjadikan politik negeri itu bersifat unik dan tidak mudah dijangka.
Dalam konteks ini, komuniti Cina walaupun bukan kumpulan majoriti, tetap memainkan peranan signifikan dalam politik Sabah, terutamanya di kerusi-kerusi bandar dan separa bandar seperti di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, dan Penampang.
Oleh itu, janji Hajiji untuk melantik wakil dari kaum Cina bukanlah janji kosong dari segi strategi politik. Ia adalah langkah berkira dan berstrategi, satu pengiktirafan terhadap pengaruh pengundi Cina dan satu isyarat kepada pengundi bahawa GRS bersedia membuka ruang kepada keterwakilan yang lebih seimbang.
Namun, rakyat Sabah tidak seharusnya menerima janji ini tanpa penilaian mendalam. Janji seperti ini telah berkali-kali diulang dalam sejarah politik Malaysia, dan lebih-lebih lagi di Sabah, janji berunsur keterangkuman kaum sering digunakan sebagai modal politik menjelang pilihan raya, namun jarang ditunaikan sepenuhnya selepas menang.
Persoalan paling penting yang wajar diajukan oleh rakyat ialah mengapa janji ini hanya muncul menjelang PRN?
Jika keterangkuman kaum merupakan prinsip yang benar-benar dipegang oleh pimpinan GRS, mengapa tidak dilaksanakan ketika sudah pun memiliki kuasa sejak Pilihan Raya Negeri 2020?
Lebih daripada sekadar satu lantikan simbolik, penyertaan wakil dari mana-mana kaum seharusnya disusuli dengan peranan bermakna dalam proses membuat keputusan.
Apakah peranan yang akan diberi? Adakah suara mereka akan didengar dalam penggubalan dasar? Adakah perwakilan kaum lain dalam pentadbiran negeri akan diperkukuh secara menyeluruh, bukan hanya dalam Kabinet, malah dalam agensi kerajaan negeri, GLC dan institusi-institusi utama lain?
Realiti politik Sabah memerlukan lebih daripada simbolisme. Ia menuntut pelan tindakan menyeluruh untuk memastikan setiap kaum di Sabah bukan sahaja diwakili secara adil, tetapi turut mempunyai ruang membentuk masa depan negeri secara bermakna.
Di pihak pembangkang pula, termasuk Warisan, Pakatan Harapan Sabah dan parti-parti lain, janji yang dibawa juga berkisar kepada pembaharuan, keadilan sosial dan pembangunan yang lebih adil.
Namun, reaksi mereka terhadap janji Hajiji dilihat agak tipikal, menolak mentah-mentah dan mendakwa ia sekadar janji kosong.
Hakikatnya, pembangkang juga perlu tampil dengan komitmen yang jelas, apakah dasar keterangkuman kaum yang mereka tawarkan? Apakah bentuk struktur pentadbiran yang akan mereka laksanakan untuk memastikan kaum minoriti seperti Cina, India dan kumpulan bumiputera kecil lain tidak terpinggir dalam proses kerajaan?
Dalam demokrasi yang matang, perdebatan mengenai keterwakilan kaum bukan hanya berlaku di peringkat retorik, tetapi perlu disusuli dengan cadangan dasar yang praktikal, telus dan boleh diukur.
PRN Sabah bukan sekadar medan untuk menabur janji, tetapi medan untuk rakyat menilai kejujuran dan integriti para pemimpin. Rakyat Sabah sudah lama dihimpit isu-isu besar seperti kemiskinan luar bandar, pembangunan infrastruktur yang tidak sekata, pengangguran belia, masalah dokumentasi penduduk tanpa warganegara serta kelemahan dalam sistem penyampaian kerajaan.
Dalam konteks ini, janji melantik pemimpin Cina ke dalam Kabinet Negeri hanyalah sebahagian kecil daripada persoalan yang lebih besar, adakah kita menuju ke arah pentadbiran negeri yang benar-benar inklusif, berkecekapan tinggi dan menjunjung prinsip keadilan sosial untuk semua kaum?
Janji politik hanyalah kata-kata sehingga dibuktikan dengan tindakan. Dan rakyat Sabah, pengundi yang semakin bijak, celik maklumat dan kritikal harus menuntut bukan sekadar janji, tetapi pelan tindakan, pelaksanaan dan pertanggungjawaban.
Jika politik Sabah ingin berubah daripada permainan kuasa kepada pentadbiran yang benar-benar berfungsi dan inklusif, maka semua pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang mesti mula mengangkat politik nilai, bukan sekadar politik jumlah.
Janji Hajiji untuk melantik pemimpin Cina ke dalam kabinet negeri hanya akan mempunyai makna jika ia dilihat sebagai sebahagian daripada perubahan struktur yang lebih menyeluruh dan berasaskan prinsip keadilan.
Jika tidak, ia akan terus kekal sebagai satu lagi janji bermusim, yang dilupakan sebaik sahaja kotak undi ditutup.
Rakyat Sabah layak mendapat kerajaan yang adil, inklusif dan bertanggungjawab. PRN ini adalah peluang untuk menuntutnya. – POJOK ND 23 September 2025
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan