Jumaat, 26 September 2025

Pendekatan Bijaksana Tingkat Kesedaran Pemasangan Bendera

SETIAP kali menjelang Sambutan Bulan Kebangsaan, pemasangan Jalur Gemilang menjadi simbol utama rakyat Malaysia menzahirkan rasa cinta kepada tanah air. Di premis perniagaan, sekolah, pejabat kerajaan mahupun rumah persendirian, bendera negara berkibar megah sebagai lambang perpaduan dan maruah bangsa. Namun, kebelakangan ini timbul kebimbangan apabila segelintir pihak memilih pendekatan keras dalam menegur kesilapan pemasangan bendera, termasuk membuat laporan polis atau berhimpun di hadapan premis. Tindakan sedemikian, walaupun berasaskan niat mempertahankan martabat bendera, telah menimbulkan rasa takut dalam kalangan masyarakat sehingga ada yang memilih untuk tidak memasang langsung Jalur Gemilang kerana bimbang melakukan kesilapan. Kurang Pengetahuan, Bukan Sengaja Hakikatnya, kebanyakan kes bendera terbalik atau dipasang songsang bukan berpunca daripada sikap sengaja tidak menghormati simbol negara. Ia sering berlaku kerana kekurangan pengetahuan, terutama di premis yang mengupah pekerja asing atau akibat kecuaian teknikal ketika pemasangan. Dalam hal ini, teguran keras hanya menjarakkan masyarakat daripada semangat patriotisme yang cuba disemarakkan. Pendidikan Sebagai Kunci Pendekatan pendidikan dan penerangan jauh lebih berkesan dalam meningkatkan kesedaran. Agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkuasa tempatan boleh mengambil inisiatif menyediakan bahan panduan berbentuk infografik, video pendek atau poster yang mudah difahami oleh masyarakat umum. Kempen media sosial juga boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan cara pemasangan bendera yang betul dengan visual jelas dan ringkas. Selain itu, program komuniti seperti gotong-royong memasang bendera di kawasan perumahan atau premis perniagaan boleh dianjurkan. Aktiviti seumpama ini bukan sahaja mendidik secara langsung, malah mengeratkan hubungan sesama penduduk. Teguran Hikmah, Galakan Positif Apabila terdapat premis yang tersilap memasang bendera, teguran seharusnya dibuat secara berhemah. Sikap sopan, ramah dan kesediaan untuk membantu membetulkan kesilapan akan lebih mudah diterima berbanding pendekatan mengugut atau mempermalukan pihak terbabit. Di samping itu, langkah memberi pengiktirafan kepada pihak yang berjaya mempamerkan semangat patriotik secara kreatif juga wajar dipertimbangkan. Pertandingan anjuran pihak berkuasa tempatan seperti “Premis Paling Patriotik” atau sijil penghargaan kepada komuniti yang aktif menghiasi kawasan mereka dengan Jalur Gemilang akan menyemai motivasi secara positif. Peranan Media Media arus perdana turut berperanan besar dalam menyampaikan mesej pendidikan ini. Ruangan khusus yang memaparkan tip pemasangan Jalur Gemilang, liputan kisah kejayaan komuniti serta laporan tentang usaha murni NGO boleh memperluas kesedaran dengan cara yang lebih inklusif. Maruah Jalur Gemilang sememangnya perlu dipertahankan. Namun, pendekatan untuk menegur dan mendidik masyarakat perlu bijaksana. Tindakan keras yang menimbulkan rasa takut hanya akan melemahkan semangat rakyat untuk mengibarkan bendera. Sebaliknya, pendidikan, penerangan, penghargaan dan teguran berhemah mampu mewujudkan suasana patriotik yang harmoni serta mengukuhkan rasa cinta rakyat kepada tanah air. – POJOK ND 24 Ogos 2025

Tiada ulasan: