Jumaat, 26 September 2025

Perpecahan dan “Payung Besar”: Mengapa Tun Mahathir Benar dalam Membaca Politik Melayu

DALAM satu kenyataan baru-baru ini, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangan mengenai kewujudan terlalu banyak “payung besar” dalam politik Melayu. Beliau menyifatkan fenomena ini sebagai satu masalah besar yang menghalang penyatuan dan kekuatan sebenar orang Melayu dalam arena politik tanah air. Bagaimanapun, pandangan ini ditolak oleh seorang penganalisis politik, Felo Majlis Profesor Negara, Dr. Azmi Hassan, yang berhujah bahawa bukan jumlah “payung besar” menjadi punca sebenar perpecahan, tetapi pendekatan berbeza yang diambil oleh pelbagai entiti politik Melayu yang kononnya berkongsi objektif sama. Namun demikian, jika kita menilai secara jujur dan menyeluruh landskap politik semasa, dapat kita simpulkan bahawa kenyataan Tun Dr. Mahathir lebih tepat dan realistik dalam membaca situasi sebenar. Kewujudan terlalu banyak “payung besar” atau lebih tepatnya parti politik Melayu, bukan sekadar kesan daripada perpecahan, tetapi ia adalah perpecahan itu sendiri dalam bentuk yang paling nyata. Salah satu hujah utama Dr. Azmi ialah bahawa parti-parti Melayu hari ini masih memperjuangkan matlamat yang sama, iaitu mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu, cuma mereka berbeza dari segi pendekatan. Ini adalah satu pandangan yang nampak ideal, tetapi amat bercanggah dengan realiti politik semasa. Sekiranya benar mereka berkongsi matlamat yang sama, mengapa perlu tubuh parti baharu setiap kali berlaku pertikaian dalaman? Dalam politik Malaysia, terutamanya politik Melayu, kita telah menyaksikan siri perpecahan yang membawa kepada penubuhan pelbagai parti baharu. Lihat sahaja bagaimana UMNO yang merupakan tulang belakang politik Melayu selama berdekad-dekad akhirnya dipecahkan kepada serpihan-serpihan kecil seperti Parti Semangat 46, Parti Keadilan Nasional (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pejuang dan terkini, parti kecil seperti Putra dan MUDA. Semua ini ditubuhkan bukan kerana perbezaan dasar atau ideologi yang ketara, tetapi lebih kepada ketidakpuasan terhadap kepimpinan, isu integriti dalaman dan pertembungan kuasa peribadi. Oleh itu, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa jumlah “payung besar” yang banyak bukan satu masalah. Kewujudan terlalu banyak parti Melayu itu sendiri adalah bukti bahawa perpecahan sudah menjadi budaya dalam politik Melayu, bukan sekadar perbezaan pendekatan yang boleh disatukan semula. Kita tidak boleh menilai isu ini secara teori semata-mata. Kita perlu melihat kesan langsung kepada pola pengundian dan pembentukan kerajaan. Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), undi Melayu berpecah kepada pelbagai arah. UMNO, PAS, Bersatu, Pejuang, PKR (sayap Melayu) dan lain-lain semuanya bersaing di kerusi majoriti Melayu. Akibatnya, tiada satu parti Melayu yang benar-benar dominan. Lebih buruk, perpecahan ini membuka ruang kepada parti bukan Melayu untuk memainkan peranan sebagai “kingmaker”, dengan memegang jumlah kerusi yang konsisten dalam keadaan parti Melayu bertelagah sesama sendiri. Maka persoalan besar timbul, jika semua parti Melayu memperjuangkan matlamat sama, mengapa mereka tidak boleh bersatu di bawah satu platform demi survival politik bangsa? Inilah yang dimaksudkan oleh Tun Dr. Mahathir, terlalu banyak payung besar menyebabkan tiada siapa dapat berteduh dengan benar-benar selamat. Setiap payung kecil cuba menarik perhatian pengundi, tetapi akhirnya tiada satu pun yang mampu memberikan perlindungan menyeluruh. Yang untung adalah lawan politik mereka, bukan orang Melayu itu sendiri. Satu lagi kekeliruan dalam hujah penganalisis tersebut ialah anggapan bahawa pendekatan berbeza boleh membawa kepada matlamat sama tanpa perlu bersatu dalam struktur organisasi yang padu. Dalam teori, ini mungkin logik. Tetapi dalam realiti politik, kekuatan bukan hanya datang dari niat, tetapi daripada struktur organisasi yang mampu menyalurkan kuasa secara berkesan. Contohnya, Pas dan UMNO pernah cuba bersatu dalam Muafakat Nasional (MN). Namun, disebabkan kegagalan membina struktur penyatuan yang stabil, gabungan itu berakhir dengan kekecewaan. Begitu juga dengan Pakatan Harapan (PH) yang sering menghadapi cabaran dalaman walaupun berkongsi matlamat besar. Perjuangan politik tidak cukup dengan retorik “kita sama-sama mahu bantu Melayu”. Ia memerlukan kompromi, disiplin politik dan kesediaan untuk mengorbankan sedikit kuasa peribadi demi agenda lebih besar. Apabila tiada elemen ini, maka lahirlah parti-parti baharu setiap kali berlaku konflik dan payung-payung besar yang baru ditegakkan, walaupun sebenarnya sudah tiada siapa mahu berteduh di bawahnya. Hakikatnya, bangsa Melayu kini berhadapan dengan satu cabaran besar dalam mengekalkan kuasa politik mereka, bukan kerana mereka kehilangan sokongan rakyat, tetapi kerana mereka terlalu berpecah-belah. Politik Melayu yang terlalu terpecah ini akhirnya menjadikan suara mereka lemah, terutamanya dalam perbincangan dasar di peringkat nasional. Kita perlu sedar, perpecahan bukan hanya melemahkan kekuatan pilihan raya, tetapi juga menjejaskan kepercayaan rakyat kepada sistem politik itu sendiri. Pengundi Melayu semakin muak dengan pertelingkahan antara parti-parti Melayu yang nampaknya lebih mementingkan kepentingan peribadi dan puak, berbanding kepentingan bangsa secara kolektif. Tidak dinafikan, Tun Dr. Mahathir bukan tokoh yang bebas daripada kontroversi atau kesilapan dalam perjalanan politiknya. Namun, dalam isu ini, beliau menunjukkan ketelusan dan ketajaman dalam membaca realiti politik Melayu yang semakin lemah akibat terlalu banyak parti dan terlalu banyak ego. Penganalisis boleh mengatakan bahawa ini semua hanyalah perbezaan pendekatan, tetapi rakyat melihat dengan mata mereka sendiri bagaimana perpecahan ini menghasilkan lebih banyak perbalahan, bukannya penyelesaian. Maka, jalan ke hadapan bukan dengan merelakan kewujudan terlalu banyak “payung besar”, tetapi dengan mencari mekanisme penyatuan yang mampu membina kembali kekuatan Melayu dalam politik negara. Jika tidak, kita akan terus melihat bangsa yang ramai, tetapi berpecah, kuat di suara tetapi lemah dalam tindakan, dan akhirnya, semua akan terpinggir di tanah air sendiri. Nota Penulis: Artikel ini bertujuan membangkitkan kesedaran mengenai realiti politik Melayu hari ini dan perlunya satu penyatuan struktur yang benar, bukan hanya penyatuan retorik. Tanpa keikhlasan politik dan kesediaan untuk berkompromi, “payung besar” akan terus bertambah, dan Melayu akan terus kehujanan dalam negara mereka sendiri. – ND

Tiada ulasan: