Jumaat, 26 September 2025

Pengusiran Kg. Sungai Baru: Salah Siapa?

ISU Isu pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di Kuala Lumpur semalam (11 September 2025), mencetuskan perdebatan hangat. Persoalan utama yang berlegar ialah siapakah sebenarnya yang harus dipersalahkan. Penduduk, pemaju atau kerajaan? Kampung Sungai Baru adalah satu kawasan penempatan Melayu tradisi yang menjadi sasaran pembangunan semula selepas kerajaan meluluskan projek perumahan bercampur bernilai berbilion ringgit. Namun, proses pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) didakwa tidak telus apabila sebahagian penduduk menolak tawaran pampasan yang dianggap tidak setimpal dengan nilai pasaran dan sejarah penempatan mereka. Penduduk menegaskan, mereka bukan menolak pembangunan secara mutlak, tetapi menuntut pampasan yang adil dan rundingan telus. Mereka berpegang kepada hak milik tanah yang sah. Namun, ada pihak berhujah bahawa sebahagian pemilik mungkin terlalu mengekalkan pendirian tanpa kompromi sehingga proses rundingan buntu. Pemaju projek pula dilihat terdesak untuk mematuhi jadual dan kontrak komersial. Kritikan tertumpu kepada cara mereka berunding, dakwaan komunikasi lemah, tekanan masa dan tawaran pampasan rendah. Sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan penduduk dan melihat kaedah digunakan tidak adil, menyifatkan pendekatan pemaju lebih menekan daripada berunding. Sebagai pemegang kuasa APT, kerajaan Wilayah Persekutuan dan kementerian berkaitan memikul tanggungjawab paling besar. Kritikan utama ialah kegagalan menyediakan proses rundingan yang adil, kurang telus dalam menilai pampasan dan membenarkan pengusiran paksa berlaku tanpa penyelesaian menyeluruh. Malah, tindakan penguatkuasaan yang keras sehingga berlaku kecederaan, termasuk kepada pegawai kanan polis menjejaskan imej kerajaan. Isu ini bukan hitam putih. Penduduk mempertahankan hak, pemaju mengejar keuntungan, manakala kerajaan berperanan sebagai penjaga kepentingan awam, tetapi didakwa tidak cukup tegas mengimbangi kedua-duanya. Kegagalan utama tampak pada aspek proses dan komunikasi iaitu rundingan awal yang tidak inklusif, penilaian pampasan yang dipersoal dan tiadanya pelan pemindahan yang jelas. Dalam apa jua pembangunan, ketelusan dan keadilan ialah kunci. Menuding jari kepada satu pihak sahaja tidak menyelesaikan masalah. Namun, dari segi tanggungjawab moral dan undang-undang, kerajaan wajar memikul beban terbesar kerana kuasa dan mandat berada di tangan mereka untuk memastikan pembangunan tidak menafikan hak rakyat. Tanpa reformasi, proses pengambilan tanah dan penglibatan komuniti sejak awal konflik seperti di Kampung Sungai Baru berisiko berulang di kawasan lain. Justeru, pengusiran penduduk bukan sekadar pertelingkahan kecil antara pemaju dan penduduk, ia adalah cerminan cara kerajaan mengurus pembangunan bandar, dilihat rakus, tergesa-gesa dan tidak sensitif. Penduduk memiliki geran sah. Mereka menolak pampasan yang jelas di bawah nilai pasaran. Itu bukan keras kepala, itu hak. Apabila kerajaan menggunakan APT untuk “memudahkan” projek pemaju, ia bukan sahaja mengkhianati semangat undang-undang, tetapi menganggap rakyat sekadar nombor yang boleh disisihkan demi projek berbilion ringgit. Ya, pemaju mahukan keuntungan. Itu lumrah perniagaan. Namun, pemaju hanya boleh menekan jika kerajaan memberi laluan. Jika mekanisme kawal selia ketat dan pampasan adil diwajibkan, pemaju tidak akan berani menawar serendah itu atau mengugut penduduk keluar rumah. Di sinilah akar masalah. Kerajaan Wilayah Persekutuan dan kementerian berkaitan bukan sahaja gagal melindungi penduduk, malah membenarkan pengusiran keras berlaku. Apabila penguat kuasa dan polis cedera dalam pergelutan, itu tanda amaran bahawa pentadbiran telah hilang kawalan. Ini bukan pertarungan antara pembangunan moden dan kampung warisan. Ini soal keadilan. Pembangunan boleh dan patut berlaku, tetapi mesti bermula dengan rundingan setara, pampasan wajar dan pelan pemindahan bermaruah. – POJOK ND 12 September 2025

Tiada ulasan: