Jumaat, 26 September 2025
Amerika Dalang Keberanian Israel Musnahkan Gaza
KEKEJAMAN Israel terhadap Gaza bukan lagi rahsia, tetapi persoalan yang lebih besar ialah dari mana datangnya keberanian Tel Aviv untuk terus menekan butang roket, menjatuhkan bom tanpa henti dan melanggar segala garis merah kemanusiaan?
Jawapannya terletak di Washington. Amerika Syarikat adalah dalang sebenar, enjin utama yang memberi oksigen kepada kekerasan Israel.
Israel bukanlah kuasa besar dunia. Negara kecil itu hanya mampu bertahan kerana Amerika menyuapnya dengan berbilion dolar bantuan ketenteraan setiap tahun.
Dari jet pejuang F-35, sistem peluru berpandu tercanggih hingga kepada dana operasi tentera, semua datang dari Washington.
Tanpa sokongan Amerika, Israel hanyalah harimau kertas, hanya gagah pada retorik, tetapi lumpuh di medan tempur. Sebab itu, keberanian Israel bukanlah tulen.
Ia keberanian pinjaman, hasil jaminan bahawa Amerika akan menutup segala jenayahnya di PBB dan membekalkan senjata tanpa henti.
Ironinya, kini muncul suara dari dalam Israel sendiri, rakyat mereka merayu Amerika menghentikan serangan di Gaza. Ini adalah pengakuan secara tidak langsung bahawa Israel tidak bebas. Bahkan, tindakan ketenteraan Tel Aviv bergantung sepenuhnya kepada restu Washington.
Amerika memegang kunci. Rakyat Israel sedar hanya Amerika yang mampu memaksa kerajaan mereka berhenti, bukannya tekanan antarabangsa atau bantahan dalaman.
Inilah bukti paling jelas bahawa perang Gaza bukan sekadar perang Israel, tetapi perang proksi yang digerakkan Amerika melalui tangan Tel Aviv.
Amerika sering mendakwa dirinya juara demokrasi, pelindung hak asasi manusia, tetapi di Gaza, topeng itu tercabut. Washington terus menyalurkan bom, roket dan peluru, walaupun imej kanak-kanak Palestin yang hancur tubuh berselerakan di skrin dunia.
Setiap kali Majlis Keselamatan PBB cuba meluluskan resolusi gencatan senjata, Amerika menjadi benteng veto yang menggagalkan usaha itu. Dunia mendesak keadilan, tetapi Washington memilih untuk terus mengekalkan status quo, iaitu Palestin hancur, Israel kekal kebal.
Kenyataan ini harus membuka mata umat Islam seluruh dunia. Perjuangan Palestin bukan hanya menentang Israel, tetapi melawan hegemoni Amerika yang menjadi pelindung sebenar rejim Zionis.
Selagi Washington tidak ditekan, selagi itulah Gaza akan terus menjadi tanah perkuburan massal yang hidup.
Negara-negara Islam tidak boleh lagi sekadar mengeluarkan kenyataan kecaman. Solidariti mesti diterjemah dalam bentuk tekanan ekonomi, diplomatik, bahkan strategi geopolitik yang mampu menggugat kedudukan Amerika.
Rayuan rakyat Israel sendiri agar Amerika menghentikan serangan adalah titik penting. Ia menyingkap dalang yang selama ini cuba diselindung di balik slogan “keselamatan Israel”. Washington bukan sahaja rakan sekutu, tetapi pengarah di belakang tabir.
Israel hanyalah pelaku, Amerika ialah perancang. Selagi dalang ini tidak dibongkar dan dicabar, penderitaan Gaza tidak akan pernah berakhir. Dunia perlu berhenti menyalahkan boneka semata-mata, dan mula menuding jari kepada tangan yang menggerakkan tali, Amerika Syarikat.
Sejak awal kewujudan negara haram Israel pada tahun 1948, Amerika merupakan penaung utama yang menyediakan perlindungan diplomatik, bantuan ketenteraan dan sokongan kewangan yang besar.
Washington menjadi perisai di Majlis Keselamatan PBB, menghalang sebarang resolusi keras yang boleh mengikat Israel. Dari sudut persenjataan, Israel menerima aliran bantuan ketenteraan mencecah berbilion dolar setiap tahun, termasuk akses kepada teknologi peperangan tercanggih.
Tanpa dokongan ini, sukar dibayangkan Israel mampu mengekalkan kekuatan menyerang, apatah lagi menghadapi tentangan rakyat Palestin yang berterusan serta tekanan masyarakat antarabangsa.
Hal ini menimbulkan persoalan, adakah keberanian Israel sebenarnya lahir daripada keyakinan bahawa mereka tidak akan dihukum, kerana memiliki pelindung besar bernama Amerika? – POJOK ND 7 September 2025
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan