Jumaat, 26 September 2025

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan: Wajarkah Cadangan MCA dan DAP?

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, seruan untuk mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan kembali menjadi topik hangat, khususnya apabila parti seperti MCA dan DAP memperbaharui desakan mereka agar proses demokrasi ini dihidupkan semula. Desakan ini mencetuskan perdebatan yang signifikan mengenai arah tuju sistem demokrasi di Malaysia – adakah negara bersedia untuk memulihkan satu lagi lapisan demokrasi yang telah lama dibekukan atau adakah risikonya melebihi manfaatnya? Pilihan raya kerajaan tempatan di Malaysia telah dibekukan pada tahun 1965 atas alasan keselamatan negara dan ketidakstabilan politik pasca Konfrontasi Indonesia-Malaysia serta ketegangan kaum. Walaupun pada asalnya ia dikatakan sebagai penangguhan sementara, realitinya hingga hari ini, lebih setengah abad kemudian, proses demokrasi di peringkat tempatan belum dipulihkan. Dalam tempoh tersebut, Ahli-ahli Majlis Perbandaran dan Datuk Bandar dilantik oleh kerajaan negeri, bukan dipilih oleh rakyat. Keadaan ini telah menimbulkan persoalan mengenai akauntabiliti, ketelusan dan legitimasi kepimpinan tempatan. Cadangan untuk mengembalikan pilihan raya PBT adalah berakar umbi daripada prinsip asas demokrasi, bahawa rakyat berhak memilih wakil mereka di setiap peringkat pemerintahan. Dalam konteks ini, kerajaan tempatan adalah pihak yang paling hampir dengan kehidupan harian rakyat iaitu mengurus kebersihan, infrastruktur asas, pelesenan, pengurusan sisa dan perancangan bandar. Ketiadaan pilihan raya menyebabkan jurang kebertanggungjawaban kerana pemimpin tempatan tidak perlu menjawab kepada pengundi, sebaliknya kepada kerajaan negeri yang melantik mereka. Dengan adanya pilihan raya, Ahli Majlis dan Datuk Bandar akan lebih bertanggungjawab kepada rakyat, kerana mereka perlu mempertahankan kedudukan melalui sokongan popular. Ini diyakini dapat mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam di peringkat tempatan serta mengurangkan unsur kronisme dan pelantikan politik yang sering berlaku tanpa proses tapisan terbuka. Pilihan raya PBT juga berpotensi menggalakkan penglibatan rakyat dalam politik dan urus tadbir secara lebih aktif. Pengundi tempatan akan lebih peka terhadap isu-isu tempatan dan berpeluang menilai prestasi calon berdasarkan kerja mereka di lapangan, bukan semata-mata janji pilihan raya di peringkat nasional atau negeri. Namun, tidak semua pihak bersetuju. Sejak dahulu, antara kebimbangan utama yang sering dikemukakan ialah ketidakseimbangan etnik dalam kepimpinan PBT, khususnya di kawasan bandar yang majoriti penduduknya bukan Melayu. Kebimbangan ini sering dikaitkan dengan imbangan kuasa politik serta potensi ketegangan kaum sekiranya satu-satu komuniti dilihat terlalu dominan dalam pemerintahan tempatan. Dalam konteks ini, parti-parti politik yang mewakili majoriti Melayu seperti PAS dan UMNO telah menyatakan kebimbangan terhadap potensi penguasaan satu kaum dalam PBT, sekiranya pilihan raya dilaksanakan. Selain itu, ada juga yang menyatakan bahawa sistem pelantikan sedia ada lebih efisien dan mengelakkan “politiking berlebihan” di peringkat tempatan, yang boleh mengganggu tumpuan kepada perkhidmatan asas. Secara politik, tidak sukar untuk memahami kenapa DAP dan MCA giat menyokong pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan. Kedua-dua parti ini mempunyai pengaruh yang signifikan di kawasan bandar, di mana sokongan pengundi terhadap mereka secara tradisional lebih kuat. Sebaliknya, parti-parti yang bergantung kepada sokongan luar bandar atau yang lebih bergantung kepada pelantikan politik, mungkin melihat sistem sedia ada sebagai lebih menguntungkan. Oleh itu, pertimbangan terhadap cadangan ini sering kali lebih dipengaruhi oleh strategi kuasa dan imbangan politik berbanding prinsip demokratik semata-mata. Dari sudut perundangan, tidak ada halangan muktamad untuk melaksanakan semula pilihan raya PBT. Apa yang diperlukan ialah komitmen politik, diikuti dengan pindaan kepada undang-undang tempatan, terutamanya di peringkat negeri. Misalnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pernah cuba memperkenalkan undang-undang berkaitan pemilihan PBT, namun usaha itu tidak mendapat kelulusan di peringkat pusat. Dalam konteks ini, federalisme Malaysia yang memberikan kuasa besar kepada kerajaan pusat, menjadi salah satu kekangan utama terhadap pelaksanaan pilihan raya ini, walaupun ada negeri yang bersedia. POJOK ND 31 Ogos 2025

Tiada ulasan: