Jumaat, 26 September 2025

Tidak layak BUDI95: Loke wajar perincikan beza lesen tamat tempoh, dibatalkan atau ditarik balik

SEMALAM, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan kira-kira 2.4 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) di negara ini kini berada dalam status “tidak aktif”, kerana lesen mereka telah tamat tempoh melebihi tiga tahun. Dengan itu menurutnya, mereka ini secara “automatik” akan hilang kelayakan untuk subsidi petrol RON95 melalui program BUDI95. Pernyataan sebegini menimbulkan persoalan serius dari segi keadilan sosial, keberkesanan dasar, implikasi praktikal serta kemungkinan kesilapan dalam data atau interpretasi. Artikel ini bertujuan mengkritisi kenyataan tersebut, bukan semata-mata untuk menyanggah, tetapi juga untuk memperjelas potensi masalah, kekaburan dan cadangan pembetulan agar dasar itu lebih adil dan berkesan. Terdapat beberapa keraguan yang boleh dipersoalkan berhubung kenyataan pemimpin DAP itu. Antaranya, pertama, ketidakjelasan dan kekaburan data, iaitu asas angka 2.4 juta tidak dijelaskan secara tuntas, malah sekadar menyebut jumlah itu adalah pemegang CDL dalam status tidak aktif kerana lesen mereka telah tamat tempoh melebihi tiga tahun. Beliau langsung tidak memberi pecahan umur lesen. Contohnya, berapa ramai membaca lebih tiga hingga lima tahun, lima hingga 10 tahun atau lebih dari 10 tahun. Tanpa pecahan ini, sukar memastikan sama ada semua golongan itu benar-benar harus dikeluarkan dari subsidi. Status “tidak aktif” dalam sistem mungkin tidak bermaksud “terhapus hak” secara automatik. Hanya kerana data sistem menunjukkan ‘tidak aktif’, tidak bermaksud secara logik mereka semua layak disingkirkan subsidi. Ada kemungkinan sistem pengkalan data (sistem JPJ atau sistem Kementerian Kewangan) tidak sepenuhnya dikemas kini atau terdapat kelewatan pemprosesan. Tanpa audit bebas dan telus ke atas data tersebut, kenyataan bahawa “semua 2.4 juta itu hilang kelayakan” adalah terlalu menyeluruh. Perbezaan antara lesen “tamat tempoh” dan lesen “dibatalkan” atau “ditarik balik”. Tamat tempoh tidak semestinya sama dengan dibatalkan. Seorang pemegang lesen yang tidak memperbaharui selama lebih tiga tahun bukanlah secara automatik “disingkirkan” secara tetap jika mekanisme perbaharuan masih ada (meskipun memerlukan ujian semula). Model dasar yang menyetarakan tamat tempoh tiga tahun dengan nasib “cekak subsidi” mungkin terlalu kaku dan tidak mengambil kira realiti praktikal. Isu keadilan sosial dan implikasi beban. Golongan berpendapatan rendah dan kurang akses mudah akan terjejas lebih teruk. Mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, atau yang tidak biasa melakukan pembaharuan elektronik atau melalui kaunter, mungkin terlambat memperbaharui lesen. Mengeluarkan subsidi mereka kerana kelewatan, bukan kerana pengabaian sengaja berpotensi membebankan golongan yang paling terdedah dengan kenaikan harga bahan api. “Hukum mati” adalah dasar sangat keras. Seolah tiada ruang budi bicara, dengan menyatakan semua yang lewat melebihi tiga tahun akan automatik disingkirkan subsidi memberi impresi bahawa tiada pengecualian atau proses rayuan. Ini boleh menimbulkan ketidakadilan, terutama jika ada sebab munasabah. Sebagai contoh, kesihatan, bencana, kekangan luar biasa yang menghalang mereka daripada mempembaharui lesen. Risiko “hukuman ganda”. Kehilangan subsidi dan perlu ambil semula ujian memandu. Anthony Loke juga menyebut mereka yang melebihi tiga tahun mungkin wajib menduduki semula ujian KPP II & III (praktikal) sebagai syarat mengaktifkan semula CDL. Ini bermakna, bukan sahaja subsidi mereka dipotong, tetapi mereka perlu menanggung kos dan kesukaran baru untuk mendapatkan semula lesen. Jika dasar itu tidak disertakan mekanisme bantuan kewangan atau pengecualian, ia boleh menjadi beban berganda kepada rakyat. Ketidakselarasan dengan objektif dasar BUDI95 dan prinsip penyasaran. Konsep subsidi yang disasarkan, bukan menyekat subsidi atas sebab formalistik. Tujuan asas BUDI95 ialah memastikan subsidi bahan api diberikan kepada golongan yang memerlukan, dengan mekanisme sasaran. Menolak subsidi atas sebab kelayakan rasmi, kerana lesen tamat tempoh sah, tetapi jika pelaksanaan terlalu rigid dan tidak mempertimbangkan realiti rakyat, ia boleh menyimpang dari semangat “subsidi untuk rakyat”. Dasar seharusnya membentuk keseimbangan, iaitu mengecualikan penyalahgunaan, tetapi tidak menjerat mereka yang secara tak sengaja tertangguh. Kesan “paksaan pembaharuan” yang berlebihan. Dengan memberi tekanan bahawa mereka yang tidak memperbaharui dalam tiga tahun akan kehilangan subsidi, dasar ini mendorong pembaharuan segera, tetapi ia juga boleh dilihat sebagai paksaan berlebihan dan berpotensi mencetuskan ketidakpuasan jika rakyat merasakan dipaksa. Bagi banyak orang, pembaharuan lesen bukanlah keutamaan bulanan, tekanan sebegini boleh dianggap “pungutan tak langsung”. Sistem integrasi data antara JPJ dan Kementerian Kewangan harus diuji. Untuk menyekat subsidi secara automatik kepada mereka yang tak layak berdasarkan status lesen, sistem data JPJ dan sistem subsidi MOF harus berfungsi dengan tepat dan tanpa sela masa yang memalapkan data sebenar. Jika sistem sifar kelewatan tidak dijamin, ada kemungkinan seseorang yang baru memperbaharui lesen masih dianggap “tidak aktif”, sementara data belum dikemas kini, menyebabkan kehilangan subsidi sementara yang tidak adil. Setelah pengumuman BUDI95 dan syarat baru, JPJ mencatat banyak transaksi pembaharuan, iaitu 26,991 dalam masa singkat. Jika semua 2.4 juta orang perlu diperbaharui atau melakukan ujian semula, beban ke atas sistem JPJ sangat besar. Tanpa persiapan rapi, mungkin timbul kelemahan operasi, kesesakan atau kegagalan sistem, yang pada akhirnya merugikan rakyat yang ingin mematuhi. Justeru, untuk menjadikan dasar yang lebih adil dan boleh diterima ramai, berikut beberapa cadangan agar kenyataan dan pelaksanaan Anthony Loke tidak menjerat rakyat yang tidak bersalah: Pertama, data terbuka dan audit bebas. Kerajaan perlu mendedahkan pecahan data sebenar melibatkan umur tamat tempoh, statistik mengikut negeri, pecahan tempoh. Audit bebas oleh badan bebas seperti akauntabiliti atau agensi anti-rasuah boleh memastikan data tidak tertakluk kepada manipulasi politik. – POJOK ND 26 September 2025

Tiada ulasan: