Jumaat, 26 September 2025

Isu kematian Zara: Rakyat marah, hilang kepercayaan

SHAH ALAM – Isu kematian adik Zara Qairina Mahathir masuk hari ke 25, dan kemuncaknya malam tadi, apabila puluhan ribu rakyat Sabah dari seluruh negeri itu turun ke jalan raya menuntut keadilan. Pada hari pertama kejadian, 16 Julai hingga ke hari ini, rakyat Sabah dan seluruh Semenanjung amnya masih dalam keadaan tertanya-tanya, jika adik Zara meninggal dunia kerana buli, kenapa pembuli tidak diheret ke mahkamah. Sepatutnya, dalam jangkamasa 25 hari kejadian ini, suspek dan pihak yang terlibat sudah dikenakan pertuduhan di mahkamah, tetapi tidak kedengaran pun mereka ditahan, direman atau didakwa. Maknanya, pembuli masih bebas. Ini yang mendorong rakyat Sabah dan Semenanjung bangkit menuntut keadilan. Ditambah pula dengan laporan siasatan awal telah diteliti oleh Jabatan Peguam Negara dan dikembalikan kepada polis dengan arahan lanjut. Lagi rakyat hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa dan kerajaan khususnya. Dalam jawapan Jabatan Peguam Negara kepada polis ialah pemeriksaan lanjut termasuk bedah siasat dan gali semula kubur perlu dilakukan. Bahan bukti penting seperti rakaman perbualan telah diserahkan oleh keluarga kepada pihak berkuasa, manakala Kementerian Pendidikan pula memberi jaminan siasatan dijalankan secara adil, dengan tumpuan juga kepada sokongan emosi. Jawapan pemimpin negara pula lagi standard, menyeru masyarakat menghindari spekulasi dan menunggu keputusan rasmi. Disebabkan timbul keraguan yang munasabah inilah, mendorong rakyat Sabah dan Malaysia amnya membuat andaian sendiri, berdasarkan sumber dari mulut ke mulut sehingga kes yang boleh diselesaikan dalam seminggu, berlarutan sehingga hampir satu bulan. Kerana inilah timbulnya spekulasi dan naratif yang dianggap oleh pihak berkuasa dan kerajaan sebagai tanpa disokong bukti dan fakta. Padahal, ini semua pihak kerajaan yang mulakan. Maka tersebarlah pelbagai teori yang sukar disekat atau dihalang, termasuk kononnya arwah terbabit dengan diari yang menandakan tekanan emosi atau dakwaan bujukan bunuh diri. Naratif sebegini dianggap sangat tidak wajar oleh peguam keluarga dan pengamal undang-undang kerana mencemarkan reputasi keluarga serta menambahkan beban mental kepada mereka. Ditambah pula dengan perkongsian gambar, video palsu dan tekaan liar mengenai punca kematian (contohnya, teori mesin basuh) menyebabkan kekeliruan dan mengganggu siasatan. Keluarga Zara turut mempersoalkan kekurangan SOP di asrama sekolah, seperti ketiadaan pemantauan warden waktu malam, ketiadaan CCTV dan kawasan yang membolehkan pelajar bebas keluar masuk. Justeru, mereka menuntut penjelasan penuh atas apa yang sebenarnya berlaku pada malam adik Zara ditemui dalam keadaan menyayat hati. Aktivis mahasiswa dan pelbagai organisasi mengadakan vigil dan kempen solidariti (termasuk di Gaya Street, Kota Kinabalu) untuk menuntut siasatan menyeluruh, telus dan adil terhadap kes ini. Rakaman audio perbualan adik Zara dan ibunya turut diperdengarkan sebagai simbol keperitan yang dilalui arwah. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula tampil menyeru orang ramai agar tidak menambah “asam garam” (mengarang cerita tanpa asas) dalam kes tersebut. KPM turut mengambil tindakan melalui lebih 10 laporan polis bagi menangani penyebaran fitnah dan berita palsu yang boleh mencetuskan kemarahan serta ancaman terhadap pelajar dan guru. Kes ini bukan sahaja menyentuh isu kehilangan seorang remaja malang, tetapi juga mencetuskan kebimbangan terhadap pengurusan keselamatan pelajar di sekolah, tanggungjawab pihak berkuasa dalam mengawal penyebaran maklumat serta etika masyarakat dalam menghadapi tragedi sambil menuntut keadilan secara bertanggungjawab. - POJOK ND 9 Ogos 2025

Tiada ulasan: