Ahad, 10 Mei 2015

Saya tidak akan tunduk tekanan letak jawatan PM, Presiden UMNO - Najib

 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disambut orang ramai ketika tiba pada Perhimpunan Solidariti Rakyat Sabah di Tawau hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
-- fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disambut orang ramai ketika tiba pada Perhimpunan Solidariti Rakyat Sabah di Tawau hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
-- fotoBERNAMA

Beliau berkata selagi rakyat menyokong beliau untuk menerajui kepimpinan negara sebagai perdana menteri dan anggota UMNO terus teguh menyokongnya sebagai presiden parti maka beliau akan tidak akan berganjak daripada jawatan yang disandangnya sekarang.

"Saya cuma tunduk kepada (desakan) ahli parti dan rakyat sahaja. Selagi ahli parti sokong saya, selagi rakyat memberi kepercayaan, saya akan tetap meneruskan perjuangan saya," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 40,000 orang yang hadir pada program Solidariti Rakyat Sabah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Padang Perbandaran Tawau di sini hari ini.

Penegasan Najib itu yang dinyatakan dengan suara lantang mendapat tepukan dan sorakan daripada hadirin yang membanjiri Padang Perbandaran Tawau sehingga melimpah ke kawasan jalan raya, disertai paluan gendang.

Beliau menegaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO diperolehinya secara proses demokrasi dan ditentukan oleh rakyat dan anggota UMNO dari seluruh negara iaitu dari Padang Besar di Perlis hingga ke Pulau Sebatik, di Tawau Sabah. - Bernama

Cerita duta terselamat nahas helikopter di Pakistan

10 MEI: Tiga duta yang terselamat dalam nahas helikopter di Pakistan, kelmarin menceritakan saat menakutkan sebelum helikopter itu hilang kawalan dan terhempas menyebabkan tujuh penumpang lain, terkorban.

hasrulsani
HASRUL SANI

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar, yang mengalami kecederaan dalam nahas itu, menceritakan perjalanan pada awalnya lancar dan rombongan itu dijangka mendarat di destinasi mereka di rantau utara Gilgit-Baltistan.

“Hanya lagi beberapa minit untuk tiba, helikopter secara tiba-tiba berpusing laju dan kemudian dengan pantas terhempas ke tanah.

“Saya melihat juruterbang terbunuh, sesetengah yang lain maut serta-merta dan saya berada di tengah. Tidak lama kemudian beberapa penumpang juga berjaya menyelamatkan diri, namun kebakaran amat marak dan asap dengan cepat memenuhi bahagian dalam helikopter,” katanya.

Helikopter itu adalah satu daripada tiga yang membawa delegasi diplomat untuk memeriksa projek pelancongan dalam lawatan tiga hari ke rantau itu.

Mereka juga dijadualkan bertemu Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif.

Tragedi itu turut mengorbankan isteri Hasrul Sani, Datin Habibah Mahmud.

Taliban Pakistan sebelum ini mendakwa menembak helikopter berkenaan dengan peluru berpandu darat ke udara dengan harapan membunuh Sharif.

Tentera Udara Pakistan (PAF) menolak dakwaan itu dan menyatakan nahas itu adalah satu kemalangan dan bukan akibat tindakan keganasan.

Duta Argentina, Rodolfo Martin Saravia, yang turut terselamat dalam kemalangan itu berkata, beliau yakin dakwaan Taliban Pakistan itu tidak benar sebaliknya nahas itu berlaku akibat kegagalan teknikal helikopter.

Duta Belanda, Marcel de Vink yang mengalami lecur di kaki dan muka berkata, beliau berasa “amat bertuah” masih hidup selepas apa yang disaksikannya.

“Saya teringat kami berpusing banyak kali dan perlu bersiap sedia untuk berhadapan sebarang kemungkinan. Selepas itu, saya membuka mata dan melihat asap serta letupan. Kejadian berlaku amat pantas, saya berasa amat bertuah kerana terselamat,” katanya seperti yang dimaklumkan kepada Kementerian Luar Pakistan.

Kemalangan itu adalah nahas udara terburuk Pakistan sejak tahun 2012, apabila sebuah pesawat penumpang Boeing 737 terhempas di Islamabad mengorbankan 130 penumpang.

Pada tahun 1988, satu nahas udara mengorbankan pemerintah tentera Pakistan ketika itu, Jeneral Zia-ul-Haq selain duta Amerika Syarikat, Arnold Raphel. – AFP

Kontroversi, Mungkin Kepada Bukan Islam

th

Mendakwa mendapat nasihat daripada Perdana Menteri, Lembaga Tabung Haji akan menjual tanah yang dibelinya secara kontroversi daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Kata Pengerusi Tabung Haji itu, Ahli Lembaga Pengarah agensi itu bersetuju dengan penjualan berkenaan sebagai menghormati sentimen serta sensitiviti pendeposit dan mengekalkan keyakinan orang ramai.

Bagaimanapun, Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling tetap menafikan Tabung Haji melakukan sebarang salah laku dalam transaksi berkenaan.

"Perdana Menteri menghubungi saya pagi ini dan memberikan nasihat supaya kami menjual tanah berkenaan.

"Ketika ini sudah ada tiga tawaran dan kami akan menyelesaikannya minggu depan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Azeez juga mendakwa, selain akan mendapatkan keseluruhan wang yang dibelanjakan untuk membeli tanah itu, Tabung Haji juga dapat membuat keuntungan daripada transaksi tersebut.

Azeez mendedahkan sehingga semalam, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji tidak bersetuju menjual tanah berkenaan untuk membuktikan tiada salah laku terjadi sepanjang proses ia dilakukan.

Ketegasan itu juga, kata Abdul Azeez, dibuat untuk menunjukkan pembelian berkenaan adalah pelaburan biasa untuk Tabung Haji.

"Mula-mula Tabung Haji ditawarkan membeli tanah itu pada April 2013 dan dipersetujui panel pentadbiran dan pelaburannya sebelum ia dibawa kepada Lembaga Pengarah," katanya.

Abdul Azeez turut berkali-kali menegaskan pembelian tanah itu bukan dibuat untuk menyelamatkan (bailout) 1MDB yang kini didakwa mengalami kerugian besar.

Katanya, persetujuan mesti diperoleh secara mutlak kerana jika ada seorang saja Ahli Lembaga Pengarah tidak bersetuju, transaksi berkenaan tidak boleh diteruskan.

"Isu ini adalah polemik politik yang cuba mengheret Tabung Haji.

"Langkah terbaik untuk saya dan Tabung Haji adalah mengelak daripada terseret di dalamnya," katanya.

Tabung Haji tidak mendedahkan butiran mengenai pihak yang didakwa berminat membeli tanah yang dibeli secara kontroversi daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Namun, berdasarkan kenyataan dibuat hari ini, ada kemungkinan tanah berkenaan akan djual kepada pembeli bukan Islam.

Bercakap kepada media di Kuala Lumpur hari ini, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, agensi itu “menghormati kerisauan makcik-makcik dan pakcik-pakcik (pendeposit)”.

Kata Ahli Parlimen Baling itu, Tabung Haji bersetuju untuk mencari tanah lain.

“Saya nak bagitahu, lepas ini jangan kata mengapa Tabung Haji jual kepada orang bukan Islam,” katanya.

Menurut Abdul Azeez, Tabung Haji sedang menilai tawaran yang diterima sebelum membuat keputusan mengenainya minggu depan.

Abdul Azeez juga berkata, keputusan Tabung Haji melepaskan tanah yang dibeli itu membuktikan ia tidak sukar untuk dijual.

Namun, katanya, Tabung Haji akan mencari pihak atau syarikat yang mampu memberi keuntungan terbaik untuk tanah berkenaan.

“Selepas jual kita akan minta Ketua Pegawai Kewangan Tabung Haji buat sidang media,” katanya.

Berdasarkan kenyataan Tabung Haji, tanah seluas setengah hektar itu dibeli pada harga diskaun RM188.5 juta atau kira-kira RM2,779 setiap kaki persegi.

1MDB pula membeli tanah di kawasan sama daripada kerajaan pada harga RM74.20 sekaki persegi.

Rabu, 6 Mei 2015

Kebakaran di Moscow, pelajar cedera meninggal

Pelajar perubatan Malaysia Nur Atikah Alias, 25 yang cedera dalam kebakaran di kampus Universiti Kajian Perubatan Kebangsaan Rusia bulan lepas, telah meninggal dunia.

Menurut Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Malaysia di Moscow, Francisco Munis, Nur Atikah meninggal dunia pada pukul 2.30 petang waktu tempatan semalam.


Beliau berkata kematian penuntut itu disebabkan komplikasi pernafasan dan lecur di muka, tangan dan kaki dalam kebakaran pada 23 April lepas.

Nur Atikah meninggal dunia di Hospital Skifosovsky Moscow.

"Kami (di kedutaan) sedang membantu keluarga untuk membawa mayat Atikah pulang," katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini dilaporkan kebakaran di asrama 16 tingkat di luar kampus universiti itu berlaku pada pukul 11.30 malam (4.30 pagi waktu Malaysia).

Sejumlah 40 mangsa, termasuk 27 rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kebakaran itu.

Munis berkata seorang rakyat Malaysia masih lagi menerima rawatan di unit rawatan rapi di hospital itu sementara beberapa penuntut lain telah dipindahkan ke wad biasa.

Majoriti daripada pelajar Malaysia telah keluar dari hospital, katanya tanpa memberikan jumlah mereka. -Bernama


YT Terbangkan Keluarga Pelajar Terlibat Kebakaran Ke Russia

Yayasan Terengganu (YT) tampil membantu keluarga mangsa kebakaran Penginapan Pelajar Malaysia di Moscow, Russia, Nor Atikah Alias, 25, dengan menaja tiket penerbangan dan sumbangan wang saku.

Bantuan itu bagi membolehkan bapa, Alias Yaacob, 53 dan ibu mangsa, Najiha Mat Jusoh, 48 terbang ke Russia bertemu mangsa yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sklifosovskogo, Moscow.

Mereka yang ditemani dua lagi saudara dijangka bertolak dari Kuala Terengganu ke Moscow pada malam esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib, berkata berdasarkan laporan, pelajar tajaan YT itu mengalami kecederaan hampir 30 peratus dari paras pinggang sehigga ke bahagian muka.

Katanya, Nor Atikah kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Pihak kami terpanggil untuk membantu mengenangkan keluarga mangsa yang turut ditimpa musibah banjir akhir tahun lepas kurang berkemampuan,” katanya pemberita pada sidang media di Pejabat YT, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah YT, Mohamad Sulong.

Penuntut tahun akhir Russian National Research Medical University, Moscow itu antara 24 pelajar Malaysia yang terlibat dalam kebakaran penginapan universiti itu pada 22 April lalu, kira-kira 11.30 malam.

Sementara itu, ibu mangsa, Najiha berkata pada mulanya dia dan suami buntu memikirkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya.

“Atas keperihatinan YT yang sanggup menaja tiket dan memberi wang saku, perasaan itu mula reda dan saya terima ujian itu dengan lapang dada.

“Tujuh jam sebelum kejadian iaitu kira-kira jam 10.00 malam, Nor Atikah ada menghubungi saya melalui talian Skype untuk bertanya khabar,” katanya. 


Hasan Janji Tidak Hampakan Pengundi Rompin

5 Mei - Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin yang berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin berjanji

terus membela nasib penduduk kawasan Parlimen itu, terutama mempertingkatkan ekonomi generasi muda.

Beliau, yang turut berjanji tidak akan menghampakan harapan pengundi Parlimen Rompin, akan melaksanakan janji pilihan raya yang telah dibuatnya memandangkan kawasan Parlimen yang mempunyai keluasan melebihi kawasan Negeri Sembilan dan Melaka mempunyai banyak potensi ekonomi yang boleh dimajukan terutama dalam bidang pertanian dan pelancongan.

"Kita tahu sumber ekonomi utama Rompin adalah dalam bidang pertanian, namun sebenarnya masih banyak sumber ekonomi yang berpotensi besar untuk dimajukan," katanya kepada pemberita selepas diumumkan menang dalam PRK Rompin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin.

Hasan menewaskan calon PAS Nazri Ahmad dengan undi majoriti sebanyak 8,895 undi setelah mendapat 23,796 undi atau 61 peratus berbanding Nazri yang mendapat 14,901 undi atau 39 peratus.

BN Kekal Di Rompin Dengan Majoriti 8,895 Undi


Datuk Hassan Arifin, Anggota Parlimen baru Rompin
5 Mei  - Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Rompin dalam pilihan raya kecil yang berlangsung, Selasa dengan majoriti 8,895 undi.

Calon BN Datuk Hasan Arifin, 62, mendapat 23,796 undi atau 61 peratus berbanding calon PAS Nazri Ahmad, 40, memperoleh 14,901 undi atau 39 peratus.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Mei 2013, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis telah mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu dengan mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Jamaluddin mendapat 30,040 undi atau 66.53 peratus berbanding Nuridah dengan 14,926 undi atau 33.06 peratus.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Fadzilla Salleh di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Rompin, Selasa malam.

Fadzilla berkata terdapat 591 kertas undi rosak pada pengundian, Selasa.

Jumlah pemilih berdaftar yang keluar mengundi hari ini adalah 74 peratus daripada 53,294 pengundi berdaftar pada kali ini, 11 peratus lebih rendah daripada jumlah keluar mengundi pada PRU13, 46,035 atau 85.89 peratus.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas. -BERNAMA

PM Najib Ucap Tahniah Kepada Calon BN Atas Kemenangan PRK Rompin

5 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin atas kejayaan BN mengekalkan kerusi Parlimen Rompin dalam pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung, Selasa.

"Tahniah Datuk Hasan Arifin atas kemenangan di PRK Rompin. Hidup Barisan Nasional!," kata Najib yang juga Pengerusi BN dalam catatan laman Twitternya.

BN mengekalkan kerusi itu dengan meraih majoriti 8,895 undi.

Hasan, 62, meraih 23,796 undi berbanding calon PAS Nazri Ahmad, 40, yang memperoleh 14,901 undi.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 lalu, Allahyarham Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu dengan mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengulas kemenangan BN berkata kejayaan mengekalkan kerusi Parlimen Rompin itu melambangkan kepercayaan dan keyakinan rakyat yang berterusan kepada BN sebagai parti yang membela mereka.

Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang telah memilih calon BN Datuk Hasan.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata parti itu akan melakukan post-mortem mengenai punca kemerosotan undi majoriti dan kekalahan di beberapa Pusat Daerah Mengundi pada PRK itu.